Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 5

"YA ALLAH, umi dah cakap kan duduk ajelah kat rumah umi. Ini tak, nak juga duduk jauh-jauh. Ini bila dah jadi macam ni, umi juga yang kena datang dari jauh untuk jenguk kamu. Kamu ni Rara..." Kedengaran suara seorang wanita dalam lingkungan separuh abad membebel.

Aariz mencelikkan mata. Suara bebelan yang semakin jelas menusuk ke telinganya, menariknya kembali ke alam sedar.

Imej pertama yang terzahir di matanya ialah siling putih. Buntu, dia tertanya-tanya di mana dia berada sekarang. Pandangannya diliarkan ke sekeliling, lalu matanya tertancap pada rod besi yang menggantungkan botol IV drip. Aariz mengangkat tangan yang bertampal branula, meneliti jarum yang tertanam di kulitnya. Keluhan kecil terlepas dari bibir. Sah. Hospital lagi.

Nasal cannula yang terpasang pada hidungnya disentuh perlahan. Sentuhan pada alat perubatan itu segera mengembalikan memori lama yang seboleh-bolehnya mahu dikuburkan jauh ke dasar ingatan. Sirih pulang ke gagang. Peribahasa itu paling tepat untuk menggambarkan dirinya yang kini kembali terlantar di katil hospital.

"Alhamdulillah, sedar juga kau, Dark," Light bersuara lega.
Dia menarik langsir dengan satu tangan, sementara tangan satu lagi menjinjing beg plastik yang jelas berisi air mineral dan roti.

"Apa yang jadi?" Aariz bersuara perlahan, cuba bangun dari pembaringan. Postur tubuhnya dibetulkan agar lebih selesa. Nasal cannula yang sedikit membataskan pergerakan mulutnya dicabut perlahan-lahan. Dia sudah mampu bernafas sendiri meskipun nafasnya masih terasa sedikit semput.

"Doktor cakap kau alah habuk. Entah, aku pun tak tahu sangat istilah medik ni. Tapi jangan risau, kau boleh terus discharge hari ni," jawab Light sambil membuka penutup botol air mineral.

"Nak air?" tanyanya lalu menyuakan botol air yang sudah dibuka penutupnya.

"Tak apa, kau minumlah," tolak Aariz dengan tenang. Beruntung dia mendapat partner yang baik macam Afiq Taqiuddin ini, sangat memahami orangnya.

"Kau betul-betul dah rasa okey? Ada rasa sesak nafas lagi tak? Ada rasa tak selesa?" Light bertanya bertalu-talu. Nada suaranya hampir sama dengan wanita yang membebel di katil sebelah tadi.

"Aku dah okey, jangan risau," balas Aariz sambil tersengih.

Light mengangguk, kelihatan berpuas hati dengan jawapan itu. Namun, seketika kemudian riak wajahnya kembali serius.

"Okeylah kalau kau dah okey. Aku risau. Disebabkan aku, kau jadi macam ni. Sepatutnya aku yang terlantar sakit macam ni, bukannya kau." Setelah beberapa saat diam, Light meluah.

"Aku dah cakap kan jangan buka balik topik ni? Benda ni takdir, Light," balas Aariz. Ada rasa tidak senang dalam nadanya apabila Light seolah-olah enggan berdamai dengan takdir.

"Tapi..." Light ingin membalas lagi, namun pandangan tajam Aariz segera membantutkan niatnya.

"Kita buddy, Light. Dulu, kini dan insya-Allah selamanya. Ketika kau susah, aku tolong kau. Ketika aku susah, kau tolong aku. Ingat janji kita, Light. Apa pun jadi, kita tetap sahabat," kata Aariz dengan suara penuh autoriti. Dia mahu Light reda dengan segala yang menimpanya dahulu.

"Okeylah, okey." Light akhirnya mengalah.

Keadaan kembali sunyi. Masing-masing tenggelam dalam kenangan misi terdahulu, iaitu misi yang meninggalkan parut hitam dalam agensi perisikan mereka.

Misi itu diklasifikasikan sebagai berjaya kerana ketua penjenayah yang diburu oleh pihak berkuasa akhirnya tertangkap. Namun, harga yang harus dibayar oleh seorang ejen perisikan berkod nama Dark amatlah tinggi.

Siapa sangka Dark yang terkenal sebagai ejen perisikan lapangan terlatih yang kompeten, berjaya dan hebat dalam semua benda itu hilang segala-galanya dalam sekelip mata? Kerana keracunan gas ammonia ketika menyelamatkan Light yang ditawan oleh penjahat, dia disahkan menghidap COPD.

Sejak itu, Dark sudah tidak boleh melakukan aktiviti lasak dan ekstrem seperti sebelum ini. Tiada lagi era kegemilangan Code Name: Dark, yang namanya sebaris dengan Harraz Zayne si Code Name: Ryzen dari Unit Risikan Jenayah Antarabangsa dan Fahim Zarith, si Code Name: Fei Yang dari Unit Risikan Jenayah Siber.

Kerana insiden itu, Dark dipindahkan ke Bahagian Inteligen, Unit Risikan Jenayah Dalam Negara di bawah subunit yang tidak memerlukan ejen perisikan melakukan aktiviti lapangan yang mencabar. Cukup sekadar turun ke lapangan untuk mencari bahan bukti dan kemudian, serahkan tugasan seterusnya yang lebih ekstrem kepada ejen perisikan terlatih lain.

"Ehem. Apa ni Rara... kan abi dah pesan jangan duk teringatkan hal tu lagi." Suara garau milik seorang lelaki membebel kepada empunya diri di katil sebelah mengembalikan Aariz dan Light ke dunia nyata.

Buat seketika, mereka berdua saling berpandangan. Macam kenal saja suara itu.

"Alah abi... Rara tak salahlah. Rara cuma jumpa client. Lepas tu bila Rara balik office, terus jadi begini. Rara pun tak tahu kenapa Rara sakit." Suara seorang gadis kedengaran merajuk.

'Macam pernah dengar juga suara perempuan tu,' detik hati Aariz. Lantas, perbualan anak beranak di katil sebelah dicuri dengar. Bukanlah niatnya mahu menjaga tepi kain orang, tetapi suara si gadis menarik perhatiannya.

"Umi tak kira. Hujung minggu ni Rara mesti balik rumah umi. Biar umi aje yang jaga Rara." Kedengaran pula suara milik wanita pertengahan abad tadi meningkah. Penuh dengan kuasa veto saja nadanya, seram.

"Alah umi, abi. Rara..." rengek si gadis katil sebelah.

Rara.

Nama itu bergema dalam hati Aariz. Damai saja hatinya menyebut sepatah perkataan itut. Bagai ada sesuatu yang menyelinap masuk ke dalam sanubarinya lalu menyentuh lembut tangkai jantungnya.

Dup dap. Senyuman nipis akhirnya terbit pada bibirnya yang sihat tidak pernah disentuh oleh puntung rokok. Nice nickname, Rara.

"Hoi, kau dah kenapa senyum sendiri ni?" tegur Light. Berkerut mukanya melihatkan kawannya ini tiba-tiba tersenyum sendiri.

"Tak ada apa, saja teringatkan perkara lucu," jawab Aariz sambil mengulum senyum.

Rara. Kau adalah aku. Itu janji sehidup semati yang pernah diikrarkan bersama rakan sepermainannya di Darul Hikmah. Dia ketika itu berusia 12 tahun, dan Rara pula 10 tahun. Ibu bapa Rara merupakan aktivis yang sering menyalurkan bantuan kepada Darul Hikmah serta mengadakan pelbagai aktiviti untuk anak-anak yatim di situ.

Namun, Rara menghilang tanpa khabar berita bertahun-tahun lalu. Betapa dia menunggu kedatangan gadis itu saban hari, namun penantiannya bagaikan menunggu buah yang tidak gugur. Sia-sia.

Mengenangkan hal itu, senyuman ditarik lagi tetapi kali ini penuh dengan persoalan berselirat di minda. Apa sebenarnya yang berlaku kepada Rara? Ke manakah gadis itu menghilang selama ini?

Pap.

Aariz berasa dahinya tiba-tiba sejuk seperti ditekap dengan sesuatu. Terzahir di matanya figura Light yang memandang dirinya dengan raut wajah risau. Tangan jejaka yang dilekapkan pada dahinya berasa agak sejuk.

"Kau macam tak okey, Dark!" kata Light lalu menjarakkan tangannya dari dahi Aariz. Aariz pada matanya seperti berada di awang-awangan, tenggelam dalam larut fikiran yang mendalam.

"Aku dah okeylah," balas Aariz.

"Okey apanya kalau mula-mula senyum bahagia lepas tu nampak senyum sedih pula. Aku takut kau mental," jawab Light, selamba.

"Cabullah mulut kau ni, tak baik. Jaga lidah tu, sebab kata-kata adalah doa," pintas Aariz. Sempat tegahan berupa pesanan diselitkan sekali. Manusia kan selalu lupa?

Light mendengus tidak berpuas hati. Walaupun begitu, dia tetap ingin menambah perencah rasa lagi dalam berhujah dengan Dark. Namun, belum sempat dia membuka mulut, tiba-tiba langsir yang memisahkan dua katil yang menempatkan Aariz dan gadis itu terselak kasar. Berkerincing bunyi bebola besi yang disangkut langsir di rod, namun mata mereka semua lebih tertumpu kepada empunya diri si tertarik kain langsir.

"Dark!"

Suara berat itu membuatkan Aariz menoleh serta-merta. Di hadapannya, seorang lelaki separuh abad berdiri tegak.

"Tuan." Aariz terpaku. Renungan tajam lelaki itu mengunci pergerakannya. Namun, yang lebih mengejutkan dia adalah gadis di katil sebelahnya. Cik Amra Khayra?

Wah, ini menarik. Dia tahu bosnya ada seorang anak gadis. Tapi tidak disangka pula anaknya adalah Cik Amra, si gadis garang pertama yang berani menumbuk hidung Dato' Sani.

"Abi kenal dia?" tanya Khayra kepada ayahnya.

Pandangannya beralih antara Tuan Walid, lelaki di katil sebelah, dan seorang lagi lelaki yang berdiri berdekatan. Rasa seperti kenal, tetapi entah mengapa wajah itu hanya samar-samar di ingatannya.

"Kenal. Ini anak buah abi, Aariz dan Taqi," jawab Tuan Walid lalu mengusap perlahan kepala anak gadisnya.

Melihat itu, Aariz menarik senyuman nipis. Ya Allah, dunia ini kecil saja rupanya.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro