Bab 28
KERETA di belakang masih galak mengejar. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan "perlumbaan" ini akan berakhir dalam masa terdekat. Aariz dilihat fokus ke depan, namun bagi Khayra, fokus lelaki itu tidak seratus peratus.
"Aariz elak!" jerit Khayra seraya bertindak memusingkan stereng ke kanan.
Vrom!
Nasib baik tidak berlanggar dengan kereta yang menghala dari hadapan. Aariz yang memandu dipandang lagi dengan pandangan risau yang menggunung. Kenapa dengan Aariz? Ingin sahaja hatinya menjerit setiap kali Aariz terbatuk-batuk kuat dan sesekali kelihatan seperti susah bernafas.
"Mama... adik takut," rintih Yaya perlahan.
Budak kecil berusia lima tahun pun boleh memahami rentak jantung Khayra yang berdebar kencang melihatkan keadaan Aariz yang agak membimbangkan. Aariz ketika ini kelihatan seperti orang yang sakit teruk.
Uhuk! Uhuk!
Sekali lagi, Aariz terbatuk-batuk dengan helaan nafas semakin tidak teratur. Pemanduannya juga kelihatan semakin tidak stabil dengan sekejap ke kiri, sekejap ke kanan.
Melihat keadaan itu, laju Khayra berfikir apa yang perlu dibuat dalam keadaan seperti ini. Akhirnya, dia melihat punca yang menyebabkan sakit Aariz semakin tidak terkawal. Aircond, aircond itulah puncanya!
Aariz tidak boleh terdedah kepada suhu sejuk ekstrem, ditambah pula tanpa topeng muka yang setidak-tidaknya boleh membantu melambatkan udara sejuk masuk ke dalam paru-paru. Terus Khayra menghalakan aircond kereta ke cermin hadapan lalu jam tangannya dikerling sekilas.
Pukul 1.05 pagi. Dia berharap sangat semoga semuanya baik-baik sahaja. Yaya di dalam pelukannya juga dipeluk semakin erat, sekuat hatinya dalam mengalirkan ketenangan buat kanak-kanak itu.
Tit... tit...
Tanpa melihat nama pemanggil, Khayra sudah mengetahui gerangan yang memanggil di talian telefon pintarnya. Terus saja panggilan telefon yang bergetar dari dalam poket bajunya disambut laju.
"Wana!" seru Khayra deras.
"Terus ke markas kita sekarang. Dodo dan partner dia tu, Cindy dah secure dengan Light," beritahu Wana.
"Okey." Khayra memutuskan talian seraya memandang lagi kepada Aariz.
Perasaannya berubah lega dengan berita daripada Wana. Baguslah kalau Light dan Cindy sudah berjaya mengawal kemaraan Dodo dan Nona. Bolehlah dia fokus kepada urusan balik ke markas sekarang.
"Aariz, kau okey? Bagi aku drive," tanya Khayra dengan dalam masa yang sama, meminta supaya dibenarkan memandu.
Aariz mengeleng perlahan. Dia masih okey walaupun dadanya terasa seperti terbakar. Sangat sakit, tetapi dia tidak mahu Khayra mengetahui kondisi dirinya ketika ini. Paling tidak, bukan ketika ini. Khayra tidak boleh tahu!
"Aku okey, jangan risau. Berdoalah kepada Allah agar kita semua selamat kembali ke markas," ujar Aariz perlahan seraya secebis senyuman dikoyakkan buat gadis kesayangannya.
'Percayalah, Rara. Aku masih boleh bertahan. Demi kau, demi Yaya. Demi amanah abi yang dipikul ke atas bahuku, aku akan sedaya upaya melindungi kau daripada sebarang ancaman bahaya,' kata Aariz dalam hati.
Keretanya dipecut lagi, meluncur laju di atas jalan raya. Setelah beberapa ketika, terbit rasa syukur dalam dirinya apabila dari kejauhan, sudah ternampak di matanya akan cahaya lampu yang terhasil dari lampu bangunan dan jalan raya.
Cumanya... entahlah, hatinya berasa tidak sedap apabila sejak tadi matanya mendeteksi kehadiran sebuah kereta dari jenis Toyota Hilux tanpa memasang lampu mengekori kereta mereka sebaik saja melepasi selekoh.
Kawan... atau lawan? Siapakah pemandu kereta tersebut? Nampak macam lawan dan Aariz yakin pemandu Toyota Hilux ini ialah musuh. Inilah juga sebabnya kenapa dia tidak berani membenarkan Khayra memandu kereta.
"Okey, tak apalah begitu. Kalau kau sakit, beritahu aku. Jangan simpan seorang," pinta Khayra dengan wajah berkerut risau.
"Jangan risau," pujuk Aariz perlahan.
'Maafkan aku, Rara. Aku tahu kau risau tetapi keselamatan kau dan Yaya ialah nombor satu pada aku sekarang,' sambungnya dalam hati. Sempat matanya mengerling kepada Khayra yang sedang memeluk kejap Yaya.
"Er... Aariz. Apa jadi kepada Sadad?" soal Khayra tiba-tiba. Sengaja dia mahu memecah kesunyian malam.
Batuk Aariz sudah berkurangan sejak dia menghalakan aircond ke cermin hadapan saja tadi. Sedikit sebanyak pada waktu ini, kerungsingannya kepada kesihatan Aariz perlahan-lahan sirna. Betul agakannya, iaitu Aariz sangat alah kepada suhu terlalu sejuk.
"Aku tak tahu. Lepas pada aku tangkap dia, aku serahkan si Sadad tu kepada pengawal keselamatan yang bertugas," jawab Aariz tenang.
"Lagipun, Sadad cakap Dodo nak bunuh kau. Sebab itulah aku terus cari kau," sambungnya lagi.
"Ooo..." Khayra mengangguk perlahan. Lega rasa hatinya ketika ini.
NONA di bahagian pemandu berasa tersepit. Dengan dua buah kereta menghadang kereta ditambah pula muncung pistol Dodo teracu kejap di kepalanya, dia betul-betul tersepit. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dodo ini butakah? Kereta mereka terhadang, takkan tak reti tengok? Nona membengang dalam diam.
"Jalan saja!" gertak Dodo seraya menujah lagi muncung pistol ke dahi Nona.
"Tapi tuan, kita tak boleh bergerak. Tuan nampak tak tu?" Nona menjuihkan bibirnya ke arah kereta yang menghadang serta kelip-kelip cahaya lampu biru merah yang dari kejauhan sudah boleh dilihat cahayanya dan semakin mendekati kereta mereka.
Dodo mendengus kasar. Kurang asam punya budak, sempat saja panggil pihak polis! Membengang, Dodo menyepak keras dashboard kereta.
Dum!
Terjungkit bahu Nona mendengar efek sepakan padu daripada Dodo. Hah, inilah sebabnya dia tidak mampu untuk melawan Dodo walaupun dia berkelebihan untuk membunuh sahaja ketuanya itu. Dodo mungkin bodoh, tetapi lelaki itu sangat bertenaga dan ganas.
Ketika ini pun, masih terasa ngilu di dahinya akibat dihentak kuat oleh Dodo di stereng. Sebaik saja dia menumbuk hidung Dodo tadi, Dodo bertindak ganas dengan mencengkam rambutnya dari belakang lalu menghantukkan kepalanya ke stereng beberapa kali.
Nasib baiklah pada waktu itu, dia masih boleh mengawal sterng dengan baik. Jika tidak, mereka berdua mungkin sudah kembali ke neraka. Jadi, apa sahaja dia si Nona boleh lakukan dalam keadaan seperti ini? Jadi, dia nekad mahu menyerah diri kepada pihak berkuasa sahaja berbanding dengan terus berada dalam belengggu genggaman Dodo.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan tiga kali di cermin kereta membantutkan peperangan batin dalam benak Nona. Seorang pegawai polis mengetuk cermin kereta, manakala pegawai yang lain mengepung kereta mereka dengan masing-masing mengacukan senjata.
'Malaikat maut sudah datang,' desis hati Nona lalu berpaling kepada Dodo untuk menanti arahan.
Namun, pengharapannya kepada Dodo ibarat haruan makan anak sajalah apabila Dodo terlebih dahulu menyeringai jahat lalu tanpa amaran, muncung pistol milik lelaki itu melekat kembali di kepalanya.
Klik. Picu pistol ditarik.
'Dodo dah gila.' Hati Nona bergetar hebat. Peluh dingin serta-merta merenik pada dahi dek ketakutan melampau terus menujah rakus perut pedalnya. Saat itu jugalah, bayang kematian menari-nari di matanya. Wajah mangsa yang dibunuhnya mula menjelma satu per satu di mata.
"Dodo!" Nona cuba melawan. Namun, tindakannya sia-sia apabila Dodo terlebih dahulu menekan picu pistol.
Bang!
Splash.
Darah merah menyeruak serta-merta memercik lebat di sekeliling cermin bahagian pemandu. Perlahan, kemudian semakin galak bunyi ketawa dari mulut Dodo terhasil bagai melodi seram memenuhi ruang pekat hanyir dalam kereta.
"Selamat tinggal, Nona." Dodo menangis dalam ketawa.
Jujur, Dodo sudah gila.
EDITED: 4/1/2024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro