BAB 27
SEBIJI peluru yang dilepaskan oleh Dodo tersasar ke pintu kereta lalu menembusi cermin belakang di bahagian penumpang. Ya Rabbi, laju betul dua orang itu buat kerja. Memang tidak menyempat betul!
Matanya kemudian dikalihkan kepada figura yang sempat menolaknya tadi ke belakang. Nice, Khayra. Terima kasih. Pantas Aariz menghela nafas lega.
"Cepat," gesa Khayra seraya menerobos masuk ke dalam kereta.
Langkah kaki si musuh semakin mendekat. Tanpa membuang masa lagi, Aariz terus bangun lalu turut menerobos masuk ke tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan lalu tanpa berfikir panjang lagi, stereng dipulas dan pedal minyak ditekan sehabis rapat.
Vrom!
Mengaum bunyi enjin, berdecit bunyi tayar kereta. Dengan kelajuan maksimum, kereta model Honda Civic berwarna hitam yang dipandu oleh Aariz itu menderum laju di atas jalan raya.
Syukur kepada Allah SWT. Baik dia mahupun Khayra dan Yaya, mereka bertiga tidak cedera. Jika tidak, habis!
Alhamdulillah syukur.
"YAYA, Yaya ke depan sayang," panggil Khayra kepada Yaya yang menyorok di celah kusyen kereta.
Cerdik ya amat ini budak. Betapa bersyukurnya Khayra apabila kanak-kanak tersebut terlebih dahulu bertindak memencilkan diri di ruang kosong di tempat letak kaki berbanding dengan berada statik di atas kusyen kereta ketika Aariz meletakkannya di dalam kereta tadi. Jika tidak, mungkin kepala Yaya sudah tembus dimakan peluru.
Menurut arahan, Yaya terus bangun dari tempat persembunyiannya lalu memanjat perlahan kusyen kereta. Kaca-kaca yang bertaburan dikuis-kuis kecil lalu dengan berhati-hati, dia menapak kepada Khayra yang berada di kerusi hadapan.
"Bagus sayang. Mari duduk sini dekat mama." Khayra menyambut langkah terakhir kanak-kanak tersebut lalu mengangkatnya ke atas riba.
Berat juga budak ini, tapi tak apalah. Yaya sangat comel dan mendengar kata. Bagus.
"Yaya takut?" tanya Khayra perlahan sambil mengusap-ngusap kepala Yaya.
"Tak. Sebab Yaya ada papa dan mama di sini. Hihihi," gelak Yaya seraya memeluk dan mencium pipi Khayra.
"Ala bagusnya," puji Khayra seraya membalas pelukan Yaya. Erat.
Tit... tit...
Telefon yang berada di dalam poket seluar Khayra bergetar. Fokusnya kepada Yaya terganggu tetapi tidak mengapalah, sudah pasti panggilan tersebut daripada pemilik Yaya. Tanpa melihat nama pemanggil, Khayra terus mengangkat panggilan.
"Wei, anak saudara aku mana? Kenapa macam ada scene pergelutan saja di sini? Yaya okey saja kan?" Terus Wana menembak soalan bertalu-talu kepada Khayra.
"Wana, kau jangan risau. Yaya selamat saja dengan aku sekarang," jawab Khayra.
"Apa yang berlaku sebenarnya, Rara? Cerita dekat aku, aku akan tolong kau," ujar Wana kalut.
"Orang The Butcher kejar aku dan Aariz. Tadi Sadad, sekarang Dodo dan pembunuh Dato' Sani pula," beritahu Khayra.
"Hish tak guna betul orang tua tu!" bentak Wana di talian.
"Jadi apa kedudukan kau sekarang, Rara?" tanya Wana pula dengan helaan nafas memberat. Semestinya dia runsing, anak kakaknya turut berada dalam bahaya.
Mendengar soalan daripada Wana, Khayra memandang kepada Aariz yang serius memandu. Serius, Aariz kelihatan sangat serius sekarang ini. Dengan matanya tajam memfokuskan kepada pemanduan, tangan dan kaki cekap mengawal kereta, segala-galanya tentang Aariz sangat macho pada pandangan Khayra ketika ini. Terlupa dia sekejap pada soalan Wana.
"Rara, jawab soalan Wana please," tegur Aariz perlahan. Aduh Rara, janganlah pandang dia macam itu. Dia tak boleh fokuslah.
Splash!
Khayra berasa mukanya seperti disimbah dengan air panas. Alamak, malu gila. Umi... abi... tolong dia. Dia terkantoi menilik anak teruna orang! Sudahnya, badan Yaya menjadi mangsa sembaman mukanya.
"Rara? Rara... kau okey tak tu? Semua orang okey ke?" Kedengaran perlahan suara panik Wana di talian.
"Ehem. O... okey. Okey saja. Sorry Wana." Khayra menjeling geram ke arah Aariz yang seperti menahan ketawa saja lagaknya. Sukalah dapat mengusiknya kan?
"Setakat ni Dodo dan pembunuh tu masih tak dapat kejar kedudukan kami. Mungkin dalam masa terdekat, mereka akan dapat juga menyaingi kita orang. Ada apa-apa cadangan tak, Wana?" tanya Khayra.
"Okey kalau macam tu, kau berdua terus menuju ke markas. Tak perlu melencong ke tempat lain," putus Wana.
Mendengar arahan Wana, sekali lagi Khayra memandang Aariz. Dalam situasi ini, dia serahkan semua keputusan kepada Aariz sahajalah. Aariz imam, dia makmum.
"Baik, kita balik ke markas. Kau call Cindy, tanya kedudukan mereka macam mana," putus Aariz.
"Okey," akur Khayra lantas mendail nombor telefon Cindy.
Namun, belum pun sempat panggilannya disambut oleh Cindy, dia dan Aariz dikejutkan dengan bunyi hon bertalu-talu serta pancaran lampu tinggi dari arah belakang.
Pon! Pon!
Pon! Pon!
"Shoot!" Aariz menyumpah perlahan.
Dengan melihat pada cermin pandang sisi dan belakang, jelas terpapar di matanya imej tiga buah kereta di belakang dengan masing-masing saling berkejaran antara satu sama lain.
Sebuah kereta dari jenis Proton Wira mengejar kereta yang dipandunya, manakala kereta dari jenis Toyota Camry mengejar kereta Proton Wira tersebut. Turut mengejar di belakang Toyota Camry ialah sebuah kereta daripada jenis Suzuki Swift. Wanalah, sudah tiada orang lain.
Aariz berasa mahu tergelak sahaja melihatkan situasi ini. Aduhlah, ingat jalan ini litar Formula One ke? Tapi tak apa, nak sangat kan. Jomlah drift.
"Rara, pegang 'anak kita' kuat-kuat," beritahu Aariz dengan senyuman sinis tersungging di bibir.
Cahaya yang terbias daripada lampu kereta belakang yang menembusi dari cermin belakang dipandang dengan penuh gusar oleh Khayra. Tanpa sepatah kata, matanya juga turut memerhatikan cermin pandang sisi serta menoleh ke belakang.
Itu dia, nampak agresif betul pemanduan Proton Wira yang laju mengejar. Apa sebenarnya pelan Aariz, tidaklah dia tahu. Apa yang dia tahu, mereka bertiga kena selamat terutamanya Yaya.
Buat kesekian kalinya lagi, Khayra memandang Aariz dengan muka risau.
"Jangan risau, aku akan pastikan kau dan Yaya selamat." Aariz menghadiahkan senyuman manis kepada Rara.
'Walaupun nyawa aku sendiri menjadi taruhan malam ini,' sambungnya dalam hati lalu kembali fokus kepada pemanduan.
Vrom!
Pedal minyak ditekan sehabis rapat, pemanduannya pada jalan berliku dan curam difokus sehabis baik. Tersilap sedikit, mereka mungkin akan terus menjadi arwah. Mereka kini sedang berlumba di jalan bergaung.
Pin! Pin!
Bum!
Bergegar kereta yang dipandu oleh Aariz dirempuh dari belakang dari sisi kiri. Hampir saja keretanya terbabas merempuh penghadang jalan jika tidak dia lebih cekap memusingkan stereng menghala ke kanan.
Stret...
Bum! Stret...
Kedengaran pula efek rempuhan dari arah belakang. Namun, kali ini melalui cermin pandang belakang, Aariz dapat melihat kereta kesayangannya pula merempuh belakang kereta Proton Wira. Allah... jahanam kereta dia, Light! Tapi tak apalah, terima kasih tolong dia malam ini.
Stret...
Berdecit lagi bunyi tayar kereta berserta ngauman enjin membelah sunyi malam pekat. Tidak berputus asa, si Proton Wira bagaikan tidak terkesan dengan rempuhan daripada si Toyota Camry. Tanpa menghiraukan si Toyota Camry yang menggila mengejarnya dari belakang, si Proton Wira terus menghambat laju target mereka di depan.
Vrom! Stret...
"Aariz elak!" jerit Khayra nyaring.
Bum! Stret...
Kereta mereka terseret sejauh 10 meter efek daripada rempuhan sisi, namun nasib baik masih lagi menyebelahi apabila rempuhan itu tidak terlalu kuat dek Suzuki Swift terlebih dahulu bertindak menghentam ganas belakang si Proton Wira.
Bum!
Giliran si Proton Wira pula tersodok laju ke depan lalu terempuh besi penghadang jalan. Namun, si Proton Wira bagaikan lembu laga yang tetap tidak mengalah walaupun pemanduannya ketika ini dihimpit di kiri dan kanan oleh Toyota Camry dan Suzuki Swift.
Vrom vrom!
Enjin si Proton Wira mengaum hebat membelah suasana, sedangkan Toyota Camry dan Suzuki Swift tetap galak menghadang dengan kedudukan V tanpa memberikan peluang kepadanya untuk bergolek tayar.
Vrom! Vrom!
"Aariz, selamatkan Rara dan Yaya," arah Light di talian.
"Okey," sahut Aariz lalu meneruskan pemanduannya dengan laju.
Khayra, Yaya. Dia akan pastikan dua orang itu selamat tiba di markas. Bersabarlah, insya-Allah mereka bertiga dapat mengharungi semua masalah ini dengan baik.
EDITED: 4/1/2025
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro