Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 18

"RARA, menantu umi tu suka makan apa?" tanya Puan Fatma selamba sambil mengupas bawang.

Mendengar soalan itu, Khayra yang sedang menyuap nestum ke dalam mulutnya terus tersedak. Apa punya soalanlah umi ini pun, tak pasal-pasal perit tekaknya terlekat nestum. Nasib baik nestumnya dibuat agak pejal, kalau dibuat agak cair mesti sudah termasuk ke dalam saluran hidung. Hailah umi ini pun, sambil mengupas bawanglah dia membawang pasal Aariz.

"Tak tahu," jawab Khayra sambil menepuk-nepuk dada. Merah mukanya menahan perit tekak.

"Kamu ni Rara, Aariz tu bakal suami kamu. Kenalah tahu pasal dia," bebel Puan Fatma. Mahu saja dia mencubit anaknya yang ini, geram betul!

"Alah umi, yakinnya dia bakal suami Rara." Rara memuncungkan bibir.

"Alah, padahal dia yang suka Aariz dulu. Siap mengaku suami lagi depan orang ramai. Ingat umi tak tahu ke? Video Rara dan Aariz tu umi tengoklah," perli Puan Fatma.

"Dah, Rara jangan macam-macam ya. Umi suka si Aariz tu jadi menantu umi. Dia calon terbaik untuk tundukkan mak singa macam Rara ni," balas Puan Fatma.

"Kata kat Rara pula. Umi pun singa juga." Rara tersengih-sengih.

Umi, ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Buktinya, inilah. Jarang Rara dapat mengusik Puan Fatma jadi sekali sekala mengusik, tak salah kan? Khayra ketawa kemenangan dalam hati.

"Singa singa umi pun, abi kamu sayang!" bidas Puan Fatma seraya mendabik dada sekali gus memulangkan paku buah keras kepada Khayra.

'Nak lawan umi? Sorry girl, umi terlebih dahulu makan garam daripada kamu.' Sudahnya, Puan Fatma pula ketawa dalam hati melihat wajah cemberut Khayra dikenakannya. Seronok kan, Rara?

"Ala umi ni." Buat kali kedua, Rara memuncungkan bibir lalu kembali menghabiskan nestumnya yang masih berbaki sedikit di dalam cawan. Acah-acah merajuk, kononnya.

"Rara," panggil Puan Fatma.

"Hmm?" Khayra mengangkat kepala lalu menumpukan perhatiannya kepada Puan Fatma. Tak jadi merajuklah, bukannya ada orang pujuk pun.

"Kamu ni kan, sejak kecil sampailah besar pun tetap saja suka makan nestum." Puan Fatma tersenyum-senyum.

"Favorite Raralah..." Khayra menjawab selamba.

"Masak Aariz nak beli nestum untuk kamu dan baby nanti," gelak Puan Fatma keras.

Uhuk! Uhuk!

Buat kali kedua, Khayra tersedak nestum. Apa ni umi! Ya Allah, tolonglah. Umi ini suka sangat kenakan dia sudah kenapa? Mahu saja Khayra menjerit dekat situ juga jika tidak memikirkan Aariz masih ada di ruang tamu bersama abinya. Rasa mahu menyorok di dalam almari. Malu!



"KAMI berkenalan di Darul Hikmah semasa Rara berusia tujuh tahun." Aariz memulakan cerita. Sempat dikerling jam tangan yang terlilit di pergelangan tangan kirinya. Sudah jam 7:00 malam.

"Tetapi, perhubungan kami terputus ketika Rara berusia 12 tahun," sambung Aariz lagi.

Tuan Walid kelihatan mengangguk-angguk. Entah apalah dia dipersetujui oleh abinya si Rara itu, Aariz tidak tahu. Apa yang dia tahu, riak wajah Tuan Walid ketika ini tidaklah tegang, tetapi mahu dikatakan ceria tidak juga. Aduh, berdebar teruk jadinya dia!

"Kami berjumpa semula di wad kecemasan tempoh hari," sambung Aariz lagi lalu memandang tepat kepada Tuan Walid yang juga menentang tajam anak matanya.

Tajam menikam pandangan Tuan Walid kepadanya ketika ini. Takut juga perasaannya, namun lelaki tegas di hadapannya ini ialah wali Rara. Maka, walau apa pun yang terjadi dia perlu mendapatkan keizinan lelaki ini terlebih dahulu jika ingin memperisterikan Rara.

"Beginilah. Abi tak tahu sama ada kamu dan Rara betul-betul serius ataupun sekadar saling menyelamatkan antara satu sama lain..." Tuan Walid berjeda lalu menarik nafas panjang.

Sejujurnya, dia berpuas hati dengan penjelasan Aariz ketika ini. Tiada apa yang diselewengkan, tiada apa yang ditokok tambah. Bagus, test pertama daripadanya berjaya dilepasi oleh Aariz dengan jayanya. Memang dijangkakan daripada Muhammad Aariz Iktizar, anak buah kesayangannya.

Sejujurnya, setelah video Aariz, Khayra, Light dan Cindy trending di laman sosial semalam, hatinya berdetik untuk membuat background check sekali lagi terhadap Aariz. Yalah, sudah kenapa Aariz dan Rara saling bantu-membantu antara satu sama lain sedangkan setahunya, budak berdua itu tidak pernah bersua muka pun sebelum ini.

Hasil daripada membuat background check, memang dia amat terkejut. Sama sekali dia tidak menjangkakan bahawa Aariz dan Rara pernah berkenalan sebelum ini di Darul Hikmah, iaitu tempat abang dan kakak iparnya selalu memberi bantuan kebajikan dahulu. Aariz merupakan penghuni sulung rumah anak-anak yatim Darul Hikmah yang diusahakan oleh ibu saudaranya sendiri iaitu Puan Hamidah.

Kaca matanya yang bertenggek di atas batang hidung kemudiannya dibuka lantas diletakkan di atas meja kopi. Segelas jus oren yang berada di atas meja kopi tersebut dicapai lalu disuakan ke mulut dan diteguk perlahan bagi membasahkan tekak.

"Tapi, jika kamu berdua tidak serius, abi harap kamu berdua tetap bekerjasama sebagai satu pasukan," sambungnya lagi lalu gelas berisi jus oren tersebut diletak perlahan di atas meja. Kali ini, kek batik pula bersedia untuk dinikmati.

Mendengar bait-bait kata Tuan Walid, Aariz mengulum senyum. Hai abi, kenapa nada itu macam pasrah saja bunyinya tu? Kecil tapak tangan, nyiru Aariz tadahkan, abi. Abi sudah bagi lampu hijau, hujung minggu ini juga Aariz hantar rombongan meminang. Aci tak, abi?

"Abi..." Aariz berjeda lalu menentang tajam anak mata Tuan Walid.

"Izinkan Aariz... untuk menjadi bodyguard halal kepada Nur Amra Khayra," lafaz Aariz dengan yakin.

Kting!

Pegangan sudu pada tangan Tuan Walid terlepas. Dia yang mahu menyuap kek batik pada mulutnya ternganga luas. Seriuslah? Aariz memang sangat berani. Salute!

"Abi tak salah dengarkah?" Cepat-cepat sudu yang terjatuh ke lantai diambil lalu diletakkan di atas meja kopi semula.

"Aariz yakin yang Nur Amra Khayra binti Amri ialah jodoh Aariz." Aariz tersenyum kepada Tuan Walid dengan riak lebih serius dan yakin.

'Tuan Walid, eh abi... Aariz serius ni. Aariz tidak main-main dengan Rara. Aariz ikhlas sukakan dia sejak dulu lagi. Abi tahu tak, Rara crush Aariz! Setiap malam Aariz berdoa semoga Allah SWT mempertemukan semula kami berdua pada suatu hari nanti. Dan... akhirnya Allah memakbulkan doa Aariz.' Aariz menghulurkan senyuman lebih serius.

"Hahaha." Tuan Walid ketawa keras lantas bangun dari sofa. Kedua-duanya tangannya disilang ke belakang seolah-olah mahu berkawad lagaknya.

"Kamu yakin abi akan lepaskan Rara kepada kamu?" soal Tuan Walid serius.

"Aariz yakin, abi," jawab Aariz juga sama serius dengan Tuan Walid. Dia juga turut berdiri bagi menyaingi gerak ketuanya itu.

"Kenapa?" soal Tuan Walid sambil tersenyum sinis.

"Sebab Aariz... menantu abi," jawab Aariz juga tersenyum sinis.

Mata bertemu mata, gigi bertemu gigi. Kedua-duanya saling beradu pandangan dan senyuman sinis. Macam lagak berperang mata pun ada dua orang ini dengan aura kegelapan menyelubungi suasana sekeliling.

Namun, "peperangan" mereka tidak lama apabila suatu suara dalam bahasa Arab berkumandang dari corong pembesar suara surau berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Allahuakbar Allahu akbar, asyhadu an lailaha illallah...

"Er... abi. Jom solat berjemaah," ajak Aariz sambil tersengih.

Tuan Walid mengangkat kening seraya menepuk perlahan bahu Aariz. Senyuman kepuasan turut terzahir pada bibir tuanya. Aariz Iktizar ini sangat hebat. Good job, dua ujian daripadanya sudah berjaya dilepasi dengan jaya.

Ujian kejujuran lulus, ujian sebelum solat pun berjaya juga. Ya, sebelum ini dia pernah mendengar ceramah seorang ustaz di televisyen mengenai cara-cara untuk menguji bakal menantu sama ada dia itu seorang yang menjaga solat ataupun tidak.

Caranya ialah, sengaja menjemput bakal menantu tersebut untuk makan malam di rumah bakal mentua dan pastikan bakal menantu tersebut sampai awal sebelum maghrib. Ini kerana, waktu maghrib sangatlah singkat.

Jika waktu maghrib bakal tiba dan si bakal menantu mula kelihatan gelisah lalu bertanya di mana tempat untuk berwuduk, maka ketahuilah bahawasanya memang bakal menantu tersebut ialah seorang yang menjaga solat.

"Er... abi?" Aariz memecah kesunyian suasana. Eh, pelik pula apabila melihatkan Tuan Walid tersenyum-senyum memandangnya.

"Ah, ya ya. Jom berjemaah sekali di surau sana," jawab Tuan Walid.

Malu pula rasanya ditangkap mengelamun di hadapan Aariz. Tapi tak apa, tunggu ya Aariz. Dia ada satu lagi ujian untuk anak muda itu. Bersedialah!


EDITED: 11/12/2024

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro