Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 11

TELEFON pintar milik Aariz bergetar dari dalam dashboard kereta. Khayra yang sedang ralit melayan perasaan sambil merenung langit petang kebiru-biruan sebiru hatinya yang sedang bernyanyi riang berpaling kepada Aariz. Hailah abang bodyguard ini, ralit memandu sampaikan telefon menjerit nyaring pun tidak dihiraukan.

"Nah, telefon kau." Khayra menghulurkan telefon kepada Aariz. Kali ini, sudah panggilan ke berapa entah si pemanggil memanggil.

"Tolong angkat kejap," pinta Aariz.

Maaflah pemanggil, dia sedang sibuk sekarang. Entah malaun manalah yang mengekori keretanya sejak dari tadi selepas menghantar Datin Saniah dan Cik Suja balik ke rumah. Selepas menghantar perempuan berdua tersebut, kini dia perlu pula menghantar balik Khayra. Lagipun, tugasnya sendiri pun sudah berakhir untuk hari itu dan dia sudah bebas untuk balik ke kediaman sendiri.

"Helo," jawab Khayra sesopan mungkin. Telefon orang kan, mana boleh main sembur macam biasa. Lagipun, suasana hatinya baik ketika ini.

"Helo assalamualaikum Ayiz... Ayiz?" Setelah memberi salam, si pemanggil bertanya dengan suara pelik.

"Ibu ke? Kenapa ibu call guna nombor lain? Ayiz tak camlah," sahut Aariz. Sengaja dia meminta agar Khayra di sisinya menekan tanda loudspeaker agar lebih mudah untuknya bercakap.

'Ayiz...' Tanpa sedar, Khayra tersenyum.

Dulu, dia juga ada kawan bernama Ayiz tetapi kawannya itu gemuk dan hitam. Ayiz budak baik. Apa khabar agaknya Ayiz? Sudah berbelas-belas tahun dia tidak berjumpa dengan Ayiz. Ayiz... Ayiz masih ingat Rara tak? Ah... rindu betul kepada Ayiz.

"Ni ibu nak tanya, Ayiz boleh balik rumah ibu tak malam ni?" soal Ibu Hamidah di talian.

"Kenapa bu?" Soalan dibalas dengan soalan. Peliklah juga bila ibunya bertanya dengan nada serius.

"Dani mengamuk sekarang ni. Ibu pun tak tahulah kenapa dengan Dani tu Ayiz," adu Ibu Halimah lagi.

Suaranya resah saja dek merisaukan keadaan Dani yang tiba-tiba mengamuk tidak tahu punca. Dani tidak pernah mengamuk kasar sebegitu, jadi hati tuanya memang sangat resah sekarang ini.

"Satu lagi, anak-anak Ayiz pun ibu dah tak tahu nak buat macam mana lagi." Suara Ibu Halimah melemah dek kerunsingan semakin melanda.

"Baiklah ibu, Ayiz balik rumah ibu. Tapi, mungkin maghrib kut sampai," putus Aariz tanpa berfikir panjang. Lagipun, esok hari Sabtu dan dia tidak bekerja.

"Terima kasih Ayiz. Ibu tunggu," balas Ibu Halimah lalu memutuskan talian.

Suasana sepi setelah wanita yang dipanggil "ibu" oleh Aariz meletakkan panggilan. Pada ketika ini, Khayra tidak tahu mahu merespons macam mana. Anak-anak? Aariz sebenarnya sudah berkahwin ke? Tiba-tiba saja hatinya berasa kosong.

"Rara? Kenapa senyap?" tanya Aariz sambil matanya tetap dikerling ke cermin pandang sisi.

Seperti tadi, sebuah kereta Proton Waja berwarna biru gelap masih setia mengekori. Kini, pemanduannya tidaklah jauh mana dari rumah sewa Khayra. Pelannya sebelum ini, dia akan menghantar Khayra balik dahulu barulah dia akan balik ke rumah ibunya. Namun, apabila melihatkan kepada situasi ini hatinya berbelah bahagi sama ada mahu mengikut pelan asal ataupun tidak.

"Tak ada apa," jawab Khayra perlahan.

Aariz dah kahwin? Persoalan itu yang berlegar-legar dalam kepalanya ketika ini.

'Kau kecewa ke, Rara? Taklah, aku okey saja.'

'Kau tipu diri kau sendiri Rara, kau dah terjatuh cinta pandang pertama pada Aariz sejak di hospital hari itu kan?' tebak hatinya sendiri.

'Tak, aku tidak suka Aariz,' jawab hatinya pula.

'Hei syaitan, nyah kau jauh-jauh dari kepala otak aku. Aku tak suka Aarizlah!' Khayra menyembamkan mukanya ke dashboard kereta.

"Hei, kau kenapa ni?" tanya Aariz. Cuak juga apabila tiba-tiba Khayra berubah 180 darjah.

"Aku nak balik. Lambat lagi ke sampai?" soal Khayra dingin.

Sekarang ini dia sedang sekereta dengan suami orang. Tadi sedap saja mulut mengata Datin Saniah dan Cik Suja sebagai penyondol, takkan dia pun nak jadi sespesies dengan dua orang minah yang tak sedar diri itu?

Tidak, seorang Nur Amra Khayra takkan pernah menjadi oink oink!

"Dah dekat, tapi kita ada masalah sikit," jawab Aariz dengan suara mendatar.

"Hah?" soal Khayra.

"Aku tak tahulah sama ada kita betul-betul diekori ataupun tak, tapi dari rumah datin lagi kereta biru di belakang ikut kita," beritahu Aariz tenang.

"Hah?" Khayra berpaling ke belakang. Benar, terdapat sebuah kereta berwarna biru di belakang mereka.

"Kalau macam tu, kau ambil jalan lain. Cuba belok-belok dan tengok sama ada kereta tu ikut kita lagi ke tak," cadang Khayra.

Perasaannya berdebar-debar sekarang, manalah tahu jika memang betul musuh-musuhnya mengekori. Dia si puteri kebaikan memang tak sah kalau tidak menjemput manusia yang penuh dengan kejahatan. Musuhnya di mana-mana, sama ada musuh baharu mahupun lama.

"Apa kata kalau hari ni, kau tak payah balik ke rumah? Aku risaulah," ujar Aariz perlahan.

Memang dia risau pun. Selepas bercakap dengan Tuan Walid di telefon tadi, ketuanya itu barulah betul-betul mendedahkan identiti sebenar Khayra. Siapa Khayra, dia tahu. Apa yang terjadi kepada Khayra sebelum ini pun, dia tahu. Patutlah gadis itu menghilang semasa berumur 12 tahun.

Khayra, gadis itu kehilangan ibu bapa dalam kes kebakaran yang berpunca daripadanya dirinya sendiri. Selepas pada kejadian itu, Tuan Walid dan isterinya yang merupakan ibu dan bapa saudaranya mengambilnya lalu menatangnya bagaikan anak mereka sendiri.

Khayra kasar orangnya. Berbanding dengan menyusahkan ibu dan bapa saudaranya, dia lebih memilih untuk menjadi orang yang kuat dan berguna untuk masyarakat. Kerana mahu menebus rasa terhutang budi pada mereka berdualah, Khayra sanggup membantu abinya iaitu Tuan Walid dalam menyelesaikan kes.

"Habis tu, aku nak duduk kat mana malam ni?" tanya Khayra. Berkerut-kerut mukanya menahan rasa pelik dan ingin tahu.

"Ikut aku balik rumah ibu," jawab Aariz senada.

"Hah?" Dua kali, Khayra terperanjat. Biar betul Aariz ini, kalau isterinya marah macam mana? Tak pasal-pasal bergusti pula.

"Insya-Allah tak apa-apa. Dia baik," jawab Aariz sambil ketawa dalam hati.

Alahai, polosnya wajah berkerut Khyara. Mesti gadis itu ingat yang dia sudah beristeri dan mempunyai anak. Aduhai, ibu. Sengaja sajakan mengenakan Khayra. Ibu inilah, kata mahukan menantu. Ini bakal menantu sudah ada di sebelah, boleh pula ibu bergurau harimau. Kalau Khayra salah sangka macam mana?

"Haha. Dia baik. Kalau isteri kau serang aku, jangan salahkan aku kalau dahi dia benjol." Khayra memberikan amaran.

'Checkmate! Rara memang ingat yang aku dah beristeri. Rara, aku rasa nak bermain dengan kaulah. Jom?' Sekali lagi, Aariz ketawa dalam hati. Ya Allah, bahagia betul dia melihat wajah cemberut Raranya. Comel sangat!

"Okey, aku tak kisah," balas Aariz sambil mengulum senyum.

"Kau ni suami jenis apa hah? Ada ke patut tak kisah pasal isteri sendiri?" marah Khayra. Ini yang dia panas. Aariz ini pun spesies suami tak guna ke?

"Memanglah tak kisah, sebab yang akan benjolnya kau juga. Kau kan isteri aku," jawab Aariz selamba lalu mengerling kepada Khayra.

Itu dia... Rara sudah bertukar menjadi singa!

EDITED: 5/12/2024

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro