_B A B_2_
MEMANFAATKAN waktu yang terluang, Safiya membelek buku tebal di depan muka. Kusyuk dia membaca langsung tak menyedari diri dihampiri.
"Minum, Pia," segelas teh O ais diletak ke atas meja. Punggung kemudian dilabuh pada kerusi bertentangan.
"Eh! Mak Nah. Buat susah-susah saja," Safiya tersenyum simpul. Buku rujukan tebal segera ditutup.
"Tak ada susahnya," sahut Mak Nah turut tersenyum.
"Terima kasih, Mak Nah," ucap Safiya.
"Sama-sama."
Wajah di depan matanya Maznah pandang. Seorang gadis yang disukai anaknya dalam diam. Kerana itu tak henti dia menasihatkan Azlan supaya mengubah perangai. Kalau betul sukakan Safiya, Azlan perlu hentikan perangai buruknya terlebih dulu. Kemudian fokus pada kerja. Barulah boleh berangan nak memiliki sedangkan Maznah tahu semua itu tak mungkin menjadi nyata. Maznah tahu, kalau dia masuk meminang sekalipun, belum tentu Omar akan menerima. Samentelah Aira Safiya.
Maznah tahu Safiya bukan gadis biasa yang boleh dikucar-kacirkan kehidupan. Gadis itu punya cita-cita yang tinggi, masa depan yang gemilang. Takkan sesekali untuk dia menjadi batu penghalang samentelah anaknya yang buta kayu itu. Langsung tak layak berangan mahu jadikan Safiya isteri. Nak menjadi seorang suami?
Maznah cuma mempergunakan keadaan supaya Azlan mengubah perangai. Mengambil kesempatan supaya anaknya berubah tingkah.
"Assalamualaikum?" satu suara kedengaran mengucapkan salam serentak tangan kasar itu singgah ke kepala yang bertudung.
Safiya terdongak memandang. Bibir terus terkoyak senyuman.
"Waalaikumussalam. Lambat Tok Abah turun. Fiya ingat nak hantarkan makanan tadi," tegur Safiya. Segera dia bangun dari kerusi berganti lelaki tadi terus masuk ke dalam.
"Tak payah susah-susah. Safiya bukannya staf Tok Abah nak buat semua tu," balas Tengku Bakri dengan senyuman melebar. Kepalanya berkalih ke belakang sedangkan kelibat gadis itu sudah tak kelihatan.
"Nak makan apa, Tengku?" Mak Nah bertanya seperti biasa. Kaki melangkah ke meja depan tempat periuk nasi bertenggek. Kuih-muih tersusun ala bufet.
"Apa yang special hari ni? Safiya masak apa?" cucu angkatnya yang sedang membancuh kopi dipandang dari ruang yang sengaja dibina terbuka pada bahagian dapur warung
"Kuey teow goreng aje. Tok Abah nak?" tanya Safiya turut memandang.
"Bolehlah. Janji Safiya yang masak."
"Susah-susah buat aje Pia jadi menantu, Tengku. Barulah hari-hari Tengku boleh makan masakan dia," sampuk Mak Nah sambil mencedok kuey teow yang Tengku Bakri mahukan. Sempat dia ketawa melihat wajah bersahaja Safiya. Seolah-olah tak terkesan diusik saban hari.
"Masalahnya Safiya yang tak nak," jawab Tengku Bakri sebelum dia turut ketawa.
"Masalahnya kalau Tok Abah nak makan makanan yang Fiya masak, datang ajelah ke sini hari-hari apa susah? Selagi Fiya ada Fiya akan masakkan untuk Tok Abah," ujar Safiya sambil mendekati.
"Kopi, Tok Abah," secawan kopi diletak ke depan lelaki itu.
Lelaki yang sudah dianggap seperti ayah sendiri walaupun berpangkat datuk. Lelaki yang terlalu banyak berjasa. Tanpa Tengku Bakri, mungkin dia tiada di situ. Mereka. Termasuk ayah dan adiknya.
"Dah kalau Safiya tak ada?" wajah itu dipandang. Terlalu mendalam maksud ayat yang Tengku Bakri tuturkan.
"Maknanya tak ada rezeki Tok Abah," sahut Safiya bersahaja lalu meledakkan tawa. Giliran dia.
Tengku Bakri menarik muka masam. Memang tak berpuas hati. Ada-ada saja yang akan dijawabnya. Mak Nah yang menghampiri sambil membawa makanan turut ketawa bagai tak berkesudahan.
"Kalau macam tu Safiya tamat STP hujung tahun ni, Tok Abah masuk meminang, ya? Baru ada rezeki Tok Abah hari-hari."
Safiya sentap. Terus terhenti tawa riangnya sebelum wajah ditarik ketat. Mak Nah juga yang tak sudah-sudah dengan gelak melihat gurau senda keduanya. Sudah mesra seperti betul datuk dengan cucu.
Tengku Bakri mencicip kopi O. Aira Safiya dijeling dengan hujung mata.
"Dah! Tak payah nak buat muka macam tu. Tok Abah bergurau aje," Tengku Bakri bersuara akhirnya. Safiya terus menghela nafas lega.
"Tapi kalau bersungguh pun apa salahnya? Cucu Tok Abah tak kawin lagi."
"Tok Abah!" kembali mencuka wajah Safiya. Bibir diketap perlahan.
Namun makin menjadi tawa keduanya langsung tak pedulikan pandangan pelanggan-pelanggan yang memenuhi ruang. Kalau dari kalangan orang kampung, mereka sudah tahu status hubungan yang terjalin. Kalau orang luar yang singgah bersarapan di warung Mak Nah, pasti akan menganggap keduanya memang cucu dan datuk kandung.
Hakikatnya mereka tiada sebarang hubungan melainkan saudara sesama muslim. Bahkan berbeza pangkat, harta dan keturunan. Hakikatnya langsung tak layak berdampingan.
"Tok Ma tak sihat lagi ke? Dah dua hari tak datang breakfast?" Safiya melabuhkan punggung di kerusi bertentangan sambil mulut ertanyakan perihal isteri lelaki yang terlalu berjasa itu.
Jasa yang diterima mereka memang tak terhitung. Benar tak terbalas.
"Macam itulah. Makin menjadi batuknya. Tapi Tok Abah tahu alasan saja tu. Tok Abah tahu Tok Ma rindukan cucu cicit."
Safiya tersenyum nipis. Sempat memerhatikan pelanggan-pelanggan di meja sana kalau-kalau ada yang memanggil mahukan sesuatu.
"Jadi ke Tok Abah nak balik KL esok?" lelaki seiras Ahmad Fauzee pelakon dulu-dulu itu dipandang. Masih tampan tak padan dengan usia. Misai nipis yang dimiliki memang serupa. Namun berjambang lebat.
"Safiya ikut tak? Kalau Safiya tak ikut, Tok Abah cancel balik."
Aira Safiya melopong sesaat.
"Tok Abah..."
"Cuti dekat kedai Mak Nah ni Tok Abah dah mintak. Dah diluluskan pun. Kedai makan Che Suri dengan Mimi pun Tok Abah dah bagitahu. Alasan apa lagi?" cucu angkatnya dipandang dengan wajah tegang bukti dia tak main-main.
Safiya mengeluh panjang. Terketap bibir menahan rasa.
Bukan dia tak sudi. Orang memberi mestilah kita merasa. Tapi dia tak sanggup mahu meninggalkan ayah lama-lama. Ayah bukannya nak dengan orang lain. Kecuali Mak Nah. Itupun sebab Mak Nah adik ayah.
Spontan kepala Safiya berpaling ke kiri. Dari ruang pintu rumah yang terbuka, ayah dilihat bersandar pada kerusi roda. Sedang menonton TV.
"Ayah tu Mak Nah boleh jaga tak payah Pia nak risau," Mak Nah menyampuk tiba-tiba. Tahu juga apa yang bergolak di hati anak saudaranya.
"Mak Nah... Tok Abah, Fiya minta maaf. Fiya tak boleh nak bawa Afiq pergi ke tempat asing. Tak tahu macamana perangai dia nanti? Tak terjaga kalau dia mengamuk," itu yang lebih Safiya risaukan. Tingkah adiknya yang tak terduga.
"Sebab tu Tok Abah nak bawa Afiq pergi KL. Boleh berjumpa dengan doktor kenalan Tok Abah," Tengku Bakri tak sudah memujuk walaupun tahu sukar untuk gadis itu menurut. Alasannya tak mahu terlalu banyak budi yang dihutangkan. Takut tak terbalas.
Macamlah dia mengharapkan balasan atas apa yang telah dilakukan. Safiya dan Afiq ikhlas dianggap seperti cucu sendiri. Membantu keperluan mereka untuk menjaga Omar yang terlumpuh akibat kemalangan dua tahun lalu.
Seperti yang mampu diagak, Safiya tetap menggeleng. Dengan segaris senyuman, terus bangun dari kerusi yang diduduki lalu mendekati meja pelanggan yang memanggil. Minta dikirakan harga makanan.
Giliran Tengku Bakri mengeluh panjang.
Keras hati itu terlalu sukar untuk dilentur. Namun dia tahu bukan Safiya sengaja bersikap sebegitu. Keadaan telah merubah segala. Bahkan Tengku Bakri menyedari senyuman yang terukir di bibir itu suatu ketika dulu bagai tak terwujud lagi. Terhapus sudah dengan kisah yang menimpa.
Aira Safiya seorang gadis yang cukup tabah. Memang dia kagumi. Terlalu berbeza jika mahu dibandingkan dengan kehidupan cucu-cucunya yang dilimpahi kemewahan. Tak pernah merasakan kesusahan. Bahkan mungkin tak pernah tahu apa itu susah.
(1086 words)
*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*
_F R O M_M E_W I T H_L O V E_
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro