Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

CYP 8 - xeno

━━━━ CINTA YANG PEKAK  ━━━━
Xeno
╰┈┈┈┈┈┈┈  Sekecil-kecil kuantiti dalam perhubungan manusia, terutama sekali interaksi antara orang asing; jelingan tertarik, anggukan simpati dan gelakan serentak atas sebab yang tak tidak dijangka - semua perkara itu sangat rawak tetapi masih mempunyai kekuatan emosi yang tinggi untuk memenuhi salah satu simptom seseorang yang kesunyian.

.
.
.

                                       KEPADA sesiapa yang fikirkan dia tidak kisah... tolonglah! Macam mana dia boleh hiraukan selepas apa yang terjadi? Sekejap, sekejap, kenapa dahi kau orang berlipat-lipat seakan-akan tertanyakan sesuatu? Terjauh sangatkah penulis ini bercerita? Baik, sekejap! Sekejap!

Amran : HAHAHA, Tete pergi tanam kau punya alat pendengaran? Macam manalah kau tak perasan?

    Habri mengetap gigi, rasa tidak senang muncul apabila membaca balasan mesej si kawan. Walaupun mesej itu tidak berbunyi, dia tetap dapat mendengar tawa Amran tergiang-giang mengelilingi telinga. Laju dia menaip tanpa menghiraukan orang ramai di koridor hospital tersebut.

Habri : Haha. Lawak sangat. Ini sekali dia kambus dengan tahi dia! Haih...

Amran : AHDHHAHASH maaf. Maaf. Macam mana pula kau hilangkan bau dia pula? Kan berbau pula kedua belah telinga kau nanti.

Habri : Kau fikir saya terus pakai ke? Mestilah lap pakai tisu basah dulu. Haih... dahlah baru lepas buat pemeriksaan dekat hospital.

   Bahu Habri dilanggar tanpa amaran. Tidak fasal-fasal dia dimarahi oleh lelaki yang berbalut tangan itu. "Eh, jangan berdiri tengah-tengah jalan. Susah nak lalulah!"

   "Erk... maaf! Maaf!" Habri menurunkan telefon lalu menundukkan kepalanya berkali-kali. Kalau dilihat sengihan bersalah di sebalik topeng, mesti dilempang Habri kerana menyangka bermain-main dalam memohon maaf. Namun, salahnya juga kerana bermain telefon di tengah-tengah jalan.

Amran : Lah... hari ini ke temujanjinya? Doktor kata apa?

Habri : Pendengaran saya  masih elok lagi. Tak ada makin naik ke apa. Tunggu lagi beberapa bulanlah untuk pemeriksaan seterusnya.

Amran : Amboi, macam pakai spek mata pula power naik dan turun!

Habri : HAHAHA, mestilah!

   GEDEBUK!

  Sekali lagi seorang mangsa menjadi rempuhan Habri. Inilah akibatnya asyik memandang telefon sambil berjalan. Apa ingat renung telefon semasa memandu sahaja ada bahayanya? Masing-masing mengundur ke belakang disebabkan momentum pelanggaran tadi.

   Habri segera mencapai telefonnya yang terjatuh. Aduhai, ini sudah kali keberapa dia langgar orang! Sepatutnya dia perlu memegang watak sebagai hero drama Korea. Mana-mana sahaja pergi pasti akan melanggar orang tanpa henti. Habri lantas mengetepikan lamunannya dan beralih kepada si mangsa semula. "Maaf, maaf. Awak okey ke?"

   "Hey!" Wanita itu tidak menjawab sebaliknya terus menengking Habri. Malah, panggilan yang terpapar pada telefonnya diputuskan serta-merta. Mata wanita itu membulat besar ke arah Habri. "Lain kali otak tu letak dekat kepala, bukan dekat lutut... eh, kau lagi?"

   Alangkah terkejut mereka berdua saat mata mereka bertembung. Rasa sepi mula menjengah meskipun persekitaran hospital dipenuhi suara-suara orang ramai. Raisha juga turut terkunci mulut, lebih-lebih lagi mengingatkan apa yang terjadi antara mereka berdua. Merasakan atmosfera akan terus bertambah janggal, Habri cepat-cepat memecahkan suasana itu.

   "Err... hai, Raisha?" Kekok Habri melambai tangan ke arah Raisha. Dia pun tak tahu mengapa tangannya boleh naik dan terhayun! Sudahlah dia masih teringat peristiwa majlis perkahwinan hari itu!

   Ha, sudah. Mahu cakap apa ini?

  "Macam mana kau tahu nama aku?" Raisha memberi pandangan curiga.

   "Eh, awak ada selamatkan saya kan beberapa hari lepas. Lepas tu saya ada pandang tanda nama awak... ah, dan kita ada jumpa majlis perkahwinan itu kan?" Gelabah Habri menerangkan satu demi satu. Mana tahu Raisha terhantuk kepala dan hilang memori beberapa hari lepas. Atau... "Ke, salah orang ini? Betullah ni cik kan?"

   Tengok, panggilan nama pun sudah berubah kerana terlalu panik!

   "Eh, tenanglah kau ni. Menggelabah pula." Raisha menghentikan omongan Habri sekaligus menghentikan tangan Habri yang bergerak berkali-kali di awang-awangan. Silap-silap terpukul orang, haru-biru nanti.

   "Aku ingatlah kau... dan aku minta maaf," ucap Raisha, perlahan. Pandangannya juga dielakkan daripada Habri disebabkan rasa segan.

   "Lah, minta maaf sebab apa pula? Sebab tadi ke? Tak apalah... semua orang buat silap." Kini Habri membuat gaya  seperti menghalau lalat. Lagaknya yang nampak bersahaja semata-mata membuatkan Raisha mengerutkan dahi, tidak percaya.

   "Minta maaf..." Ayat Raisha terhenti. Ketika wajah Habri yang polos ditatapi, Raisha langsung menukar topik. Kalau dia nampak macam tak kisah, buat apa dia nak beriya-iya? "Apa-apa jelah, yang kau pergi hospital ini kenapa pula?"

   Amboi, nadanya macam hendak terkam orang sahaja! Habri berdehem membetulkan anak tekak. "Saya batuk, jadi saya belilah ubat batuk," bohong Habri seraya tangannya mengangkat beg plastik terisi ubat. Eh, tidaklah tipu. Ini untuk kakaknya juga.

   "Oh..." Belum sempat Raisha ingin membalas, telefon di tangannya berdering meminta diangkat. Ah, lelaki ini lagi! Butang hijau diseret malas ke tepi. Telefon dilekapkan pada telinga. "Hello, Afiq?"

   "..." 

   "Yalah. yalah. Waalaikumussalam! Puas? Lagipun... mana wad Gopalnya? Dari tadi aku tercari-cari." Raisha menyahut, penuh mendatar. Tangannya juga sudah menggaru-garu perlahan kepala yang gatal, tidak teringat sedikit pun pada Habri di hadapannya!

   "Err, uh, awak nak tengok wad kawan awak ke? Saya boleh tunjukkan?" Habri menawar bantuan berdasarkan apa yang dicuri dengar. Lagipun, inilah masanya untuk mengenali wanita itu!

   Hei, kau tak kisah ke lepas apa yang dia buat dekat kau?

   "Tak payahlah." Raisha menolak. Wanita itu juga sudah berpusing arah menjauhi daripada Habri, pasti mahu mengorak langkah pulang ke rumah.

   Tapi.... dia dah minta maaf, bukan?

  "Ra... Raisha! Tunggu dulu!" Habri berlari mendekati wanita itu. Entah apa yang dia lakukan... dia sendiri tidak tahu.

   Macam mana kalau kau tak sempat pun kenal dia?

  Habri menarik nafas dalam-dalam. "Raisha! Saya suka awak! Saya suka awak sangat-sangat! Jom kahwin!" Tanpa sedar, dia sudah melaungkan sesuatu yang dia sendiri tidak jaga. Raisha pun apa lagi? Terbantut terus pergerakannya. Bahkan, muka Habri dipandang bersama mata yang terbeliak.

   "Kau..."

   PANG!

   Satu hentakan kuat terkena tepat pada sisi kepala Habri. Bergegar kepala lelaki itu dibuatnya, sehingga Habri duduk mencangkung dan menekup kepala. Dalam masa yang sama, situasi yang diciptakan otaknya automatik berhenti bersiaran di mindanya.

   "Wey, kau okey tak?"

   "Ya Allah, encik! Maaf! Maaf!" Tergopoh-gapah kata-kata maaf itu dipohonkan. Seorang wanita datang menghampiri mereka bersama-sama anak kecilnya. Selamba lagi si budak kecil itu mengutip kapal terbang besi yang dibaling kepada Habri tadi.

   "Intan! Kenapa buat abang macam tu? Minta maaf dekat dia!" Si ibu mencubit bahu anaknya. Intan terkedu dicubit sebegitu lalu mula mencebik-cebik penuh kesedihan. "Orang tak sengajalah! Dahlah sakit!"

   "Ish, budak ini! Abang tu lagi sakit! Apa baling dekat orang macam tu! Lain kali ibu tak beli dah untuk kakak!" Si ibu memarahi anak. Menjadi satu kerja mahu memujuk anaknya yang tiba-tiba menangis.

   "Tak apalah, saya okey je, mak cik." Habri memegang telinga kirinya berulang kali. Rasa berdenyut-denyut itu dihiraukan. Asalkan tidak berdarah mahupun alat pendengaran rosak, tenaga untuk marah-marah orang seeloknya disimpan sahaja. Sekurangnya, dia dapat hentikan lamunan pelik yang diciptakan otaknya tadi.

   Nasib tak tercakap benda tu kat Raisha tadi. Terima kasihlah dik sebab baling kapal terbang dekat ab...

   "Mana ada okey! Kalau orang baling dekat kepala adik, mesti adik marah juga kan? Apa perasaan adik kalau akak baling kapal terbang dan akak langsung tak minta maaf? Mesti adik rasa marah, kan?" Raisha mula membebel pada anak kecil itu melebih-lebih daripada ibunya.

   "Eh, tak apalah, Raisha. Saya okey jelah..."

  Raisha memintas lagi. "Adik ingat orang suka ke perangai buruk macam adik ni?"

   "Ha, dengar tu, Intan." Ibunya bukanlah mahu membela nasib anak, tapi siap menambah garam pada luka. Intan pula mula terhinjut-hinjut bahu menahan tangis. Macam kena marah oleh guru dua disiplin! Untung tidak dikeluarkan rotan sahaja!

   "Intan... Intan... hiks... minta... hisk... maaf." Intan menghulur tangan. Ayatnya terganggu dengan sedu-sedan air mata sendiri. Bawah mata si anak kecil itu juga semakin membengkak merah gara-gara dimarahi oleh orang tidak dikenali.

  "Okey abang maafkan. Lain kali jangan baling dekat orang lain pula tau? Dah, dah, tak payah sedih-sedih dah." Habri menyambut huluran Intan, siap digoyang-goyangkan lagi! Kesian pula budak ini kena marah teruk-teruk sebegini. Rasa kelakar pun ada, cuma ditahan di hadapan dua-dua wanita ini.

   Akhirnya, semua orang di ruang tempat duduk hospital berpaling semula ke hadapan serta menyambung kerja masing-masing. Dua anak beranak itu pun telah berlalu setelah apa yang terjadi. Mustahil mahu kekal di situ dan menari inang pula. Lain pula jalan cerita novel ini nanti. Tidak pun, dipaksa singgah ke Tanjung Rambutan.

   "Haih... kesian pula budak tu." Habri mengusap-usap kepalanya yang masih lagi terasa pedih. Adalah benjol sedikit.

  "Ish, budak itulah kena ajar sepatutnya." Raisha berdecit tidak puas hati. Hendak apa yang didendamnya akan budak itu pun masih tidak dikenal pasti.

  "Lah... dia budak lagi kot." Jawapan Habri menaikkan sebelah kening Raisha. Habis itu, tak akan budak datang menikam dia, dia terus ambil mudah sahaja? Nampak macam tak betul sahaja lepas kena hentakan tadi.

  Raisha mengeluh. "Tadi kau kata nak tunjukkan jalan."

  "Eh, saya ada kata ke?" Habri menghala jarinya pada dada sendiri.

  "Yalah!" Raisha merenung Habri, tidak puas hati. Sudahlah dia malu meninggi mahu meminta tolong seseorang. Ke kepala lelaki ini benar-benar biul disebabkan kejadian tadi?

  "Ah.... fuh... nasib baik." Habri laju mengurut dada. Rasa syukur segera dilafazkan di dalam hati. Mujur dia tidak melakukan perkara memalukan tadi, kalau tidak, dia sudah berguling menahan malu sampai terjatuh katil.

   "Nasib baik apa pula?" soal Raisha, kehairanan.

  "Erk. Tak ada apa-apa." Habri menukar topik, mennghindari Raisha bertambah pelik atau semakin jengkel akannya. "Wad apa yang awak cari?"

  "Dia orang kata dekat wad biasa... sebab kawan saya tu keracunan makanan. Dekat blok C katanya, tapi masuk-masuk blok tak tahu wad mana satu." Raisha merungut kecil sementara jarinya sibuk menatal skrin telefon, mencari-cari sesuatu. "Ha, dia orang kata ada kat wad 2C."

   "Oh, wad itu. Mari saya tunjukkan," pelawa Habri, menuding ke arah koridor yang dilalunya sebentar tadi. Sememangnya dia sudah sebati dengan suasana hospital ini, hingga seluruh pelosok hospital ini bagaikan rumah keduanya. Sejak... kejadian itu.

    "Keracunan makanan? Salah makan ke apa?"

   "Ha'ah. Salah makan kat satu restoran ni katanya."

  Raisha mengikuti Habri. Hendak ikutkan kawan-kawannya, dua-dua telefon kawannya itu sudah kehabisan bateri. Kenapa tidak guna sahaja telefon pesakit? Eh, betullah juga, bukan? Tatkala dia sibuk melayan termenungnya, matanya tidak sengaja terlintas lalu tertacap pada sesuatu yang tergantung pada telinga Habri.

   "Aku tertanyalah kan, apa benda kau pakai dekat telinga tu? Nak kata earphone macam tak sama je."  Raisha menekan-nekan sisi kiri kepalanya sebagai model telinga kiri Habri.

   "Oh, ni?" Habri menyentuh besi yang menyaluti telinganya. "Ini alat pendengaran saya."

   "Alat pendengaran? Tipulah." Raisha terhambur tawa. Mana tahu Habri sengaja mengajak bergurau dengannya.

  "Betullah. Cuma saya pekak sebelah je. Jadi, masih boleh mendengar. Cuma tak jelas mana." Habri menidakkan sangkaan Raisha. Sedang mereka berborak, Habri sudah melangkah mendahului Raisha. Tercungap-cungap Raisha mengejar stamina Habri yang hanya berjalan lenggang-kangkung itu.

   "Eh, pekak sebelah? Dan boleh dengar lagi?" Raisha mempersoalkan kekeliruannya.

   "Memanglah boleh dengar lagi. Tapi tak seimbang. Macam mana nak cakap, en? Dia macam... tak seimbanglah. Kadang-kadang tu susah nak kesan suara datang dari mana kalau tak pakai alat pendengaran ini. Haih... ini pun baru lepas temujanji doktor." Habri menjelaskan dengan panjang lebar. Sedar tidak sedar, bohongannya yang ditutup tadi terbongkar di akhir kata.

   "Oh... eh, temujanji? Jadi kau tipu akulah fasal batuk tu?" Raisha mengecilkan matanya, tidak puas hati ketika dapat menangkap penipuan Habri.

   "Err... ah, tapi kakak saya batuk. Mana tahu batuk tu ada berjangkit dengan saya ke?" Serentak itu, Habri sengaja membuat-buat batuk. Tambahan pula, dia tidak suka sangat bercakap secara lanjut akan sakit fizikalnya. Malas mahu menerang salah satunya.

   Raisha memutarkan bola matanya. Iya-iyalah itu. Namun dia tetap mahu mengujarkan lagi pertanyaan. Maklumlah, pertama kali terjumpa orang sebegini. "Maaf aku tanya... tapi kau pekak sebelah sejak lahir ke apa?"

   Apabila mereka membelok ke tepi, satu kekecohan menemui mereka. Dari jauh, satu katil disorong beberapa petugas hospital. Setiap-setiap mereka cepat-cepat digerakkan. Sepertinya itu salah seorang mangsa kemalangan.

   "Ke tepi! Ke tepi!"

   Raisha dan Habri rapat ke dinding seperti orang lain, memberi laluan kepada para petugas hospital mengejarkan mangsa ke bilik pembedahan. Kejung tubuh Habri apabila tubuh kanak-kanak itu disorongkan di hadapan mata. Seolah-olah masa digerakkan perlahan, Habri dapat melihat dengan jelas luka-luka dan tangan yang hancur di sebalik selimut itu. Jantung Habri seakan berhenti berdetak.

   "Budak ke? Kesiannya..."

   Raisha menoleh ke arah katil yang mula hilang dari pandangannya. Rasa simpati terbit membayangkan reaksi ibu bapa akan nasib anaknya itu. Ataupun ibu bapa anak kecil itu... Raisha menggeleng perlahan. "Dekat mana dah wad tu..."

   "Hei..."

  Raisha segera mendapatkan Habri yang tidak semena-mena jatuh terduduk. Tangan Habri menggigil menekup mulutnya, menahan mual. Orang-orang yang berdekatan turut mendekati Habri kerana menyangka lelaki itu dalam keperitan. Tiba-tiba, Habri melepaskan muntahnya ke lantai. Tangannya menggelincir bertapak pada muntahnya sendiri.

    Dadanya masih berombak kencang.

   "Dik, adik okey tak?"

   "Panggilkan jururawat berdekatan!"

   "Kau kenapa? Sedarlah!"

   Suara-suara sekeliling mula berubah menjadi sesuatu yang membingitkan di telinga. Bunyi terbakar, bunyi siren yang tidak menentu... rasa... rasa macam nak koyakkan telinga dan buang begitu sahaja! Tanpa menunggu lama, Habri sendiri sudah hilang kesedaran.






Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro