CYP 4 - rigor samsa
━━━━ CINTA YANG PEKAK ━━━━
Rigor Samsa
╰┈┈┈┈┈┈┈ Sejenis Eksoskeleton psikologi yang boleh melindungi kamu dari kesakitan, tetapi akan mula retak sedikit di bawah tekanan atau berlubang mengikut peredaran masa. Dan ia akan berkembang semula lagi dan lagi, sehingga kamu mengukuhkan struktur kekuatan emosi kamu, ditahan oleh tulang kuat dan fleksibel, dan dibina hampir sama seperti kubu.
.
A M A R A N
TRIGGER WARNING
Episod ini mengandungi sedutan depresi, serangan panik dan keresahan (anxiety) yang mungkin tidak sesuai kepada beberapa pembaca.
Para pembaca dinasihatkan membuatkan pertimbangan yang sewajarnya.
.
RAISHA melihat jam di dinding terus berdetak ah... eh, ternyanyi pula. Sekarang jarum jam baru menunjukkan pukul 7:00 pagi. Ini bermakna sudah sehari dia tidak dapat menidurkan diri. Dia menguap seketika barulah dia mencicip sedikit demi sedikit air nescafe yang masih panas itu. Matanya dikerling ke arah bunyi yang datang dari luar.
"Tok mummy nak keluar dah?" Raisha membawa sekali cawannya di muka dapur. Puan Sri Rabbiya membalas bersama senyuman manis di dalam kekalutan. Topeng muka disarungkan. "Iya. Dia orang kata dia orang dah siapkan reka baju baru. Jadi tok mummy nak jumpalah dia orang dekat studio. Senang nak bincang kalau nak tambah apa-apa."
"Oh..." Raisha cuma mengiyakan. Matanya tertumpu pada neneknya yang mengambil beg tangan dari penyangkut.
Daripada kecil lagi Raisha sebenarnya senyap-senyap mengagumi kehebatan Puan Sri Rabbiya. Lebih-lebih lagi, Puan Sri Rabbiya merupakan salah seorang usahanita yang terbilang di Malaysia dalam memasarkan pakaian-pakaian rekaannya sendiri. Perkara itu membuatkan Raisha terbawa-bawa ingin menjadi pereka fesyen di usia muda. Cuma, tingkah laku Puan Sri Rabbiya sepanjang zaman kanak-kanaknya menjarakkan hubungannya dengan neneknya sendiri. Tidak mengapalah, itu cerita lama.
"Aip! Jangan minum sambil berdiri! Tak elok!" Puan Sri Rabbiya menegur Raisha yang selamba menghirup air. Raisha menayangkan sengihan tidak bersalah membuatkan Puan Sri Rabbiya menggeleng kepala. Neneknya itu mencapai segugus kunci sebelum berpaling ke arahnya.
"Raisha belum dapat tidur lagi ke?"
Raisha spontan memegang kawasan lebam di bawah matanya. Dia lekas menurunkan tangan serta tersenyum pahit. "Tak apalah. Nanti Raisha makan ubat, okeylah tu. Lagipun hari ini Raisha cuti, kan? Jadi bolehlah Raisha rehat."
Puan Sri Rabbiya mengeluh. Perasaan risaunya cuba disembunyikan, tidak mahu Raisha rasa bersalah. Tambahan pula, cucu tunggalnya itu mengalami mimpi ngeri sejak dua semenjak ini. "Baiklah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa yang Raisha nak cakap, bagitahu tok mummy tau?"
"Okey! Tok mummy pergilah dulu. Nanti tertunggu-tunggu pula budak-budak tu." Raisha membiarkan Puan Sri Rabbiya membuka pintu pagar. Dia lantas membuka pintu automatik, memberi laluan untuk kereta Honda CR-V itu keluar dari halaman rumah. Senyuman itu kemudiannya mati.
'Nampak sangat tok mummy risaukan aku.'
Raisha melabuhkan punggungnya kembali ke kerusi dapur. Ibu jarinya menatal skrin yang mempaparkan syurga sosial media. Tetapi, tiada satu pun dapat menarik minatnya. Kalau ada video lawak pun, kebanyakkan yang dia jumpa semua lawak-lawak bodoh.
'Doktor Insyirah pun tak ada temujanji dengan aku hari ini. Haih... aku nak buat apa, ya?' Air tadi disuakan ke mulut tanpa disedari cawan itu sudah kosong tanpa setitik air. Perlahan-lahan dia meletakkan cawan ke tepi lalu nafasnya dihela perlahan.
Tiba-tiba emosinya terasa bercampur baur. Rasa mahu menangis tapi tiada satu air mata yang bergenang. Rasa mual tetapi semua itu cumalah di dada. Dia mahu matikah? Tidak, ini semua benda biasa. Segera dia beristighfar dan menenangkan diri. Walaupun begitu, dadanya masih berombak kencang. Nafasnya terasa disekat.
Dia mencengkam dada bajunya. Ke benda ini datang lagi? Kenapa? Bukan ada benda yang tertrigger dia pun. Rasa seperti dia dalam bahaya, laju Raisha membuka peti, membelek pil pil ubat untuk menenangkan dirinya. Hatinya semakin berdegup kencang apabila menyedari tablet ubat itu kehabisan pil.
Apa dia perlu buat? Jantungnya berdentum bagaikan mahu mati sahaja! Apa dia perlu buat?
Telefon Doktor Insyirah?
...
"Macam mana?" Suara itu bertanya dari audio telefonnya. Raisha meraup muka yang masih basah. Raisha mengangguk. "Alhamdulilah, dah okey sikit. Walaupun rasa berdebar-debar lagi."
Helaan lega kedengaran di sebalik talian. "Baguslah kalau macam tu. Lain kali, awak boleh tulis apa perlu dibuat kalau terkena serangan panik lagi. Ikut langkah saya ajar tadi. Lepas tu tampal dekat mana-mana yang senang dilihat."
"Baik, doktor." Raisha mencapai telefon itu dan diletakkan di sebelah telinga. "Lagi satu, terima kasih sebab tolong saya tadi."
Tawa kecil terkeluar dari mulut doktor itu. "Tak adalah, awak pun saya dah anggap macam adik sendiri. Apa-apa terjadi... telefon sahaja saya." Doktor itu terhenti berkata seketika. Bunyi kereta dikatup dan dikunci menangkap telinganya. Doktor Insyirah menyambung bicara.
"Okeylah, saya dah sampai depan hospital ini, sayang. Kita cakap lain kali, ya?"
"Baik, doktor. Assalamualaikum."
"Walaikumussalam."
Ganggang diletakkan.
Skrin telefon Raisha kembali ke halaman utama, memaparkan gambar seekor kucing yang comel. Sebenarnya itu bukanlah gambar kucingnya, sebaliknya ia gambar kucing yang dijumpai di internet. Disebabkan terlalu comel, dia menjadikan kucing tersebut sebagai hiasan telefonnya.
Ding!
64 mesej yang belum dibaca? Eh, apa yang kawan-kawannya bualkan sampai bertimbun banyaknya? Pagi-pagi Subuh lagi sudah bergosip sakan. Raisha menggeleng mengenangkannya.
Dia menekan kumpulan mesej. Nama kumpulan mereka pun sudah pelik. Bukan sahaja aneh, nama kumpulan itu sering diganti seperti pakaian harian. Kawan lelaki dia memang macam ini.
Manusia Purba
Rizal
Bagitahu sahajalah.
Gopal
Tak nak!
Afiq sewel ( adik )
Eh, aku keluarkan kau dari group ini nanti.
Nat bestie ❤️✨
Apa bising-bising pagi ni?
Afiq bukan awak dekat hospital ke sekarang?
Ha, sudah. Bini dia dah marah.
Afiq Sewel (adik)
Erk
Ini kenapa ni?
Rizal
Gopal inilah.
Dia duduk kata ada dia ada kejutan untuk kita orang.
Kononnya rahsia terbesar.
Afiq Sewel (adik)
Tapi tak nak bagitahu pun!
Gopal
Hehehe...
Afiq Sewel (adik)
Apa hehe hehe?
Kalau dia tak nak bagitahu kita tak apa.
Kita jangan layan dia! 😈
Rizal
Itulah, aku pun ada penggambaran nanti.
Gopal
Eh?
Nat bestie ❤️✨
Amboi, filem baru ke?
Terkekek-kekek Raisha membaca mesej kawan-kawannya. Gopal pula sudah gelabah apabila semua mempulaukan apa yang dia kata. Cepat-cepat dia memberitahu 'rahsia terbesarnya'
Gopal
Aku...
Aku makan maggi semalam
Dua bungkus tau!
Eh, nak buat penggambaran filem? Tak takut COVID ke?
Rizal
Taklah, dia orang rancang nak buat rancangan secara online.
Nanti kau orang tengoklah.
Gopal
Ish, yalah.
Aku nak kahwin.
Raisha serta-merta menutup mulutnya sambil menjerit teruja. Wah, seriuslah? Tangannya laju menaip sehingga satu mesej baru timbul.
Jianying Comel 🙈💕
Yakah? Wey, tahniah, Gopal!
Gopal
Lah, kau jadi CCTV ke?
Bila? Bila?
Gopal
Dalam beberapa minggu lagi.
Tunggulah!
Afiq Sewel ( adik)
Kan senang bagitahu awal-awal.
Deringan telefon rumahnya mengalihkan perhatian Raisha. Entah-entah neneknya yang menelefon? Segera dia menggerakkan diri kepada telefon rumah yang tidak berhenti berbunyi.
Ring! Ring!
Lelaki tua itu seperti jengkel mendengar bunyi telefon itu. "Bisinglah telefon tu! Kau memang tak reti nak berkabung, ya? Baru beberapa hari suami kau dah meninggal, kau dah buat perangai."
"Maaf, ayah." Puan Fatihah pantas mematikan telefonnya, tidak mahu lagi menambahkan amarah ayah mertuanya. Meskipun begitu, lelaki tua itu masih menunjukkan riak tidak puas hati. Matanya meliar ke dalam rumah yang bersepah. Terkumat-kamit dia memaki keadaan rumah menantunya.
"Mana Habri? Dia gembiralah kan dia buat anak aku mati?"
"Habri tengah tidur." Sempat Puan Fatihah memberi isyarat kepada Habri yang mengintai mereka dari dapur. Melihat anak kecilnya sudah menyorok di pinggir dapur, Puan Fatihah menoleh ke arah ayah mertuanya. "Nanti esok kita nak jumpa pengurus harta, baik ayah berehat dulu."
"Rehat? Ya, aku memang akan rehat! Tapi ingat! Aku takkan bagi sesen pun harta anak aku pada keturunan yang bunuh anak aku!" Lelaki tua itu menolak Puan Fatihah, hingga dia rebah ke lantai. Ketiga-tiga anak perempuan milik Fatihah laju mendapatkan ibunya.
Puan Fauzlina menarik tangan ayahnya. Kalau tidak dihalang, makin teruk kakak iparnya dikerjakan. "Astagfirullah hal azim, ayah! Sudah-sudahlah tu! Habri pun baru balik dari hospital. Lagipun ini kan kemalangan!"
"Ya, along kemalangan yang disebabkan budak tu! Itu semua salah kau!"
Telefonnya bergetar menyentakkan Habri yang termenung jauh. Terlalu jauh sehingga memorinya bermain sampai ke zaman kanak-kanaknya. Nama 'Amran' muncul pada pemanggil telefon itu. Butang hijau itu lantas diseretkan ke tepi.
Dia meletakkan telefon di telinga kanannya. "Assalamualaikum?"
"Waalaikumussalam! Hoi, ingat aku lagi tak?"
"Mestilah ingat. Baru jumpa dekat kelas online tadi." Habri mengesat pipinya yang kering dengan air mata. Eh, dia menangis dalam tidur ke tadi?
"Memanglah jumpa. Tapi, mesej aku tu kau tak jumpa-jumpa. Dah seminggu tak balas-balas."
Habri tersengih. "Maaf."
"Tak adalah."
Perbualan antara mereka sepi buat seketika. Habri meletakkan kertas-kertas tugasannya ke hujung katil. Ini mesti kes tengok nombor dan fakta sains terlalu banyak sehingga terlelap mata dan terjatuh kepala. Zaman sekolah menengah pun begitu. Haih... dia memang sepatutnya kena minum kopi pagi tadi.
"Hei, Habri."
"Kenapa?"
"Kau okey tak?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro