CYP 11 - kawaakari
━━━ CINTA YANG PEKAK ━━━━
Kawaakari
╰┈┈┈┈┈ Satu perkataan Jepun bermaksud sungai yang bercahaya di dalam kegelapan.
Ia boleh merujuk kepada pantulan bulan pada sungai, atau ia boleh jadi sedikit cahaya di permukaan sungai ketika waktu senja.
Ayat Kawa bermaksud sungai dan akari bermaksud cahaya.
.
.
.
RAISHA berangkat pergi seusai menyelesaikan bayaran di kaunter. Plastik hitam itu diangkat. Kalau diusung ke hulu ke hilir masa bulan puasa akan datang pasti kena tangkap dengan van jenazah. Padahal ini sebenarnya berisi tuala wanita.
Pekerja kaunter perempuan itu siap membungkusnya dengan sebungkus plastik hitan kecil. Terlalu melindungi! Kalau besar lagi, mungkin boleh dibuat pengganti plastik tong sampah!
Plastik hitam itu diletakkan bersebelahan kerusi memandu. Baru sahaja dia ingin memasukkan kunci, otak Raisha memberitahu sesuatu yang dia sendiri hampir lupa.
"Ah, iya. Ambil gambar!" Raisha laju mencari telefon pintarnya di dalam 'hutan' resit beg tangan. Semua ini gara-gara sesi terapi kelmarin...
"Ambil gambar?"
"Ya, memandangkan awak sendiri kata awak nak kurangkan telefon banyak sangat. Jadi, apa kata mulakan hobi ambil gambar sebagai hobi yang baru?" cadang Puan Insyirah.
Cahaya skrin komputer menerpa wajah Raisha yang bermimik pelbagai, seolah-olah memikirkannya. "Apa kena mengena ambil gambar dengan kurang tengok telefon? Sama sahajalah kan? Kita kira tengok telefon juga."
"Memanglah. Tapi kalau nak berhenti daripada larut dalam layan telefon, tak boleh terus berhenti dulu. Macam perokok juga... mestilah berhenti sedikit demi sedikit." Puan Insyirah menjelaskan ayatnya yang disusun bagi memahamkan Raisha.
"Lagipun, ambil gambar pun ada kebaikkanya. Kadang-kadang, sesetengah orang tak dapat meluah perasaan mereka dengan tulis diari atau melukis, jadi dia orang ambil gambar." Puan Insyirah tertawa sedikit, menghiburkan keadaan. "Kalau stress, sedih, gembira, semua ambil gambar."
Kepala Raisha dijatuhkan beberapa kali tanpa dia sedar. "Boleh juga." Sebab nampak macam menarik?
Kalau tulis diari pun dia tak tahu nak meluah apa. Setakat hendak tulis keadaan langit dan 3 benda dia bersyukur itu adalah. Melukis pun kalau dibandingkan dengan lukisan kanak-kanak tadika, pasti lukisan kanak-kanak itu yang menjadi juara.
Ting!
Bunyi notifikasi media sosial mengejutkan Raisha. Mahu sahaja dia ingin menekan muat naik terbaru itu tetapi dia tahan dengan menghalakan kameranya ke cermin kereta.
'Ke sebab ni Jianying selalu ambil gambar langit?' Raisha sempat mengomel di dalam hati. Setiap hari yang dimuatnaik status what's app cumalah gambar langit, ombak dan langit lagi!
Nasib akaun Instagramnya tidak dipenuhi gambar langit.
Tangan Raisha mengetuk-ngetuk skrin, mengfokuskan kameranya. Langit biru yang sedikit kekuningan terbentang luas ditangkap ke memori telefonnya. Tidak semena-mena bunyi sayup-sayup kucing kedengaran di luar kereta.
'Ada kucing ke kat bawah kereta?' Raisha berhenti memulas enjinnya saat telinganya masih menangkap ngiaun tanpa henti di luar. Risau kalau termasuk ke dalam enjin. Haru-biru nanti!
Tidak fasal-fasal anak butik terkenal itu menjenguk ke bawah kereta. Terdapat...
Eh, kucing hitam?
"Bukan kucing kak Husna kucing hitam juga ke? Ni pun area Puchong juga." Raisha melutut separuh, tidak mahulah membongkok. Lengan bajunya yang putih pula kan yang kotor.
"Psss... pssss. Cit... cit... cit... keluarlah." Raisha mencapai kucing hitam yang menyorok di tepi tayar keretanya. Serta-merta kucing itu terhinjut dan mengerang, garang. Sekelip mata, kucing itu pantas membawa diri ke lorong sebelah kedai.
Raisha perlahan-lahan bangun sambil menyapu batu jalan tar yang melekat pada seluar. Wajahnya bersalut resah. "Kucing tu... berdarah ke?"
Luka itu pun bukan sebarang luka. Bagaikan pernah dipukul teruk oleh seseorang.
"Meow!" Kucing hitam itu jalan terhinjut-hinjut, mencari tempat menyorok di antara tong-tong sampah itu. Bunyi tapak kaki berderap-derup membuatkan kucing itu berpusing dan berdesis kuat.
"Oh, garang, en! Dah cederakan kaki dia pun boleh gerak-gerak lagi!" Seorang remaja lengkap berbaju sekolah memegang batang kayu. Cepat-cepat kucing itu cuba melarikan diri.
"Meow!" Kucing itu memekik kesakitan tatkala ekornya dipijak tanpa belas. Si rakan pula mengekek ketawa seolah-olah perkara yang dimainkan itu cuma jenaka semata-mata.
"Kita buat eksperimen. Siapa dapat pukul dia sampai pengsan, kita menang." Si rakan mengujarkan idea tidak bermoral.
"Tulah, dahlah masa aku makan semalam, dia juga yang ambil makanan aku! Kurang ajar betul! Memang nak kena dia ni!" Remaja itu makin menekan, siap menggeserkan ekor kucing tersebut! Memang tidak berhati perut betul!
"Hoi, buat apa tu?" Suara wanita menjerkah mereka dari belakang. Automatik kaki yang diletakkan pada kucing itu diangkat.
Kedua-dua remaja itu menoleh ke belakang. Mendapati Raisha yang menjumpai mereka, kedua sekawan itu menghembuskan rasa geli hati. Ingatkan siapalah tadi.
"Akak ni. Jaga tepi kain masing-masinglah! Tak payahlah menyibuk!" Amboi! Umur baru sekangkang kera, sudah berani menempelak orang.
"Awak tahu tak apa awak buat ni? Ke tak tahu sebab masing-masing pun perangai macam syaitan dah. Dengan ponteng sekolahnya. Oh, lupa pula aku. Syaitan mana pergi sekolah." Raisha yang pada mulanya ingin menegur tiba-tiba berubah arah.
Rakan remaja itu terhenti dari terus mencari kucing yang dicederakannya tadi. Dia mencerlung ke arah Raisha. "Wah, melebih nampak! Aku dah lama tak pukul perempuan ni!"
Remaja itu menahan kawannya yang sudah menggepal penumbuk. "Tapi kan, body akak nampak lawalah... mengancam." Aksi remaja bawah umur itu menjilat bibir mengkakukan Raisha. Bulu romanya terasa meremang.
"Ke akak datang jumpa kita orang sebab akak nak merasa dengan kita orang. Boleh je." Remaja itu membuka tali lehernya. Ah, memang sah gila!
Lidah Raisha terasa dipaku kuat. Sepertinya dia tersilap jumpa remaja bernafsu kuda! Laju dia melarikan diri dan paling menakutkan, remaja itu turut mengekorinya dari belakang.
Meskipun tinggal beberapa langkah sahaja ingin keluar dari lorong tersorok itu, dia terasa setiap langkahnya langsung tidak membawa dirinya ke maju selangkah. Bahkan jarak dia dengan remaja tingkatan 5 itu semakin dekat.
Macam...
Bodohnya dia!
"HOI! BUAT APA ?" Seorang polis berbadan tegap menjerkah kuat. Sekaligus menghentikan remaja itu dari terus mengejar Raisha. Tidak malu betul mengejar wanita lebih dewasa darinya.
"Alamak, polislah!" Rakan remaja dari belakang sudah mencabut langkah seribu, meninggalkan kawannya seorang diri tercengang.
"Hoi, bod..." Remaja itu berura mahu mengejar rakannya tetapi silap besarlah. Tangannya sudah digenggam oleh pegawai polis itu. Ah, memang masa sekarang polis itu mahu beli barang kedai!
"Huh... huh..." Nafas Raisha cuba aturkan kembali. Tangannya meraba-raba ke dalam tudung. Walhal cuma berlari beberapa saat sahaja, namun jantungnya berdegup kencang bagaikan ingin dekat dengan kematian.
"Huh... huh..."
Orang macam kau selalu akan tarik perhatian lelaki. Tak kiralah pakai baju sesopan sekalipun. Pakai seluar pun dapat buat lelaki suka, apatah lagi pakai ayu kan?
"Huh... huh..."
Badan kau bukan suci sangat pun.
"Cik, cik puan okey ke?"
Rakan polis itu menyapa Raisha yang jauh termenung. Tangannya tersentak seketika dan akhirnya dibawa ke sisi. Raisha menarik nafas dalam-dalam. "Ja... jangan risau, saya okey."
Dia mengelakkan pandangan setelah menyedari rakan polis itu juga lelaki.
"Nanti cik puan kena ikut kami buat laporan polis. Memandangkan budak ini cuba nak buat sesuatu tak elok kepada cik ni." Rakan polis itu menjeling ke arah kedua-dua remaja yang berjaya ditangkap oleh sahabatnya tadi.
"Haih... ponteng sekolah lagi budak ni. Dahlah tak pakai mask."
Raisha memandang sekeliling. Selepas termenung baru dia perasan bahawa orang ramai sudah mengerumuni kawasan berdekatan mereka. Maklumlah, ada jeritan perempuan dan kereta polis berkelip-kelip di luar. Pasti ramai datang menyibukkan diri dan merakam!
'Kalau muka aku kena rakam, habislah Tok Mumny dan yang lain tahu.' Raisha menaikkan topeng muka atas. Pandangannya dipasakkan ke bawah. Nanti habis bertimbun mesej yang datang daripada kawan-kawannya.
Raisha tersentak. "Kejap. Kucing! Tadi saya nampak ada kucing. Rasanya tadi dia orang ada dera kucing dekat belakang sana..."
"Me... ow..."
...
Kreeeek..
Tup! Pintu biliknya ditutup rapat. Habri mengurut-ngurut lehernya yang lenguh dek menghadap komputer riba terlalu lama. Anak matanya melekat pada jam jauh di ruang tamu.
"Kata Kak Husna, kawan dia jumpa Tete. Tak apalah, bilik tu. Bukannya masuk bilik aku pun." Habri menggunakan alasan itu untuk memujuk diri sendiri yang pemalas. Lagipun, betul apa? Tak mungkin kawan kakaknya ingin melepak minum kopi di dalam bilik dia pula.
"Kakak dengan ibu tunggu Tete ke?" Habri menegur kedua ahli keluarganya yang tertunggu di kawasan tamu. Hana lebih ekstrem! Acapkali kakaknya menyelak dan melihat tingkap setiap saat.
"Memanglah. Ibu risau ni, Habri. Katanya Tete jumpa kena pukul dengan budak sekolah." Puan Fatihah tidak senang duduk di sofa. Telefonnya dibuka, memeriksa perbualan dengan anak keduanya.
"Ha? Budak sekolah?" Perasaan Habri bercampur-baur. Walaupun selalu bercakaran dengan kucing hitam itu, tidaklah dia mahu Tete itu dipukul oleh orang serupa binatang.
"Tulah... jahatnya dia orang. Katanya siap ada pijak ekor Tete lagi. Pukul Tete..." Hana mengesat air matanya yang tumpah lagi. Hidungnya juga sudah merah-merah akibat menangis kuat selepas mendengar berita kucingnya yang hilang.
Hatta kucingnya demam pun dia sudah berjaga teruk hingga berhari-hari, apatah lagi luka teruk seperti yang dikhabarkan itu.
"Tapi..." Nada Habri mengendur. "Kak Husna tak ada cerita pun..."
Perasan wajah Habri yang berubah membuatkan Puan Fatihah segera menambah. "Ni pun dapat tahu masa awak dalam kelas online tadi. Awak telefon dengan kak Husna pagi tadi, kan?"
"Ah..." Kepala Habri angguk. "Ha'ah."
"Tu! Tu ada kereta!"
Sebuah kereta Honda berhenti di hadapan perkarangan rumah mereka. Habri senyap-senyap menumpang sama di belakang Hana. Matanya disepetkan untuk memfokuskan figura tubuh yang baru keluar daripada perut kereta.
"Ibu, ibu! Tulah Tete. Ya Allah, kesian dia. Berbalut macam tu."
"Yakah?" Habri sudah menarik pintu kayu rumah, ingin melihat sendiri kucing kesayangan semua. Namun, jantungnya bagaikan ingin berhenti berdetak tatkala mengenali gerangan yang membawa Tete di dukungannya. Laju dia menyorok di belakang di pintu, membiarkan Puan Fatihah kalut membuka mangga pintu besi.
Habri menggigit kuku. Mata itu. Kejap... DIA! Dia kawan si kak Husna?
"Assalamualaikum, mak cik ini puan Fatihah ke? Ibu kak Husna?" Raisha menyapa Puan Fatihah yang sudah membuka pintu. Berhati-hati dia menggendong Tete yang senyap berada di dalam pangkuannya. Maklumlah sebelah kaki pun sudah patah.
"Waalaikumussalam, ya. Ini kawan Husna. Eh, awak kan... kita pernah jumpa ke?" Tidak sempat Puan Fatihah meneruskan ayatnya, Hana sudah terlebih dahulu menerjah Raisha dan Tete. Habis kain tudung Raisha dicengkam Tete kerana terlalu terkejut. Tetapi bila nampak sahaja Hana, terus sahaja bising!
"Ya Allah, kesiannya Tete sayang. Siapa orang gila sanggup buat dekat kucing macam ni? Ni sampai patah kakilah. Tete..." Setiap rintihan Hana disambut suara-suara Tete. Betul-betul menagih simpati tuan!
"Saya ada jumpa... erm, budak-budak sekolah pukul dia dekat belakang kedai serbaneka pagi tadi. Tengah tahan dekat pihak polis katanya. Ni minyak gamat, kapas dan bandage saya ada belikan." Setelah Tete sudah kembali pada tuannya, Raisha menghulurkan sebungkus plastik kecil yang tergantung pada celah jarinya kepada Puan Fatihah.
"Terima kasih... kejap, awak Raisha, kan? Kita pernah jumpa dekat hospital dulu. Sebenarnya kawan Husna ke?" Puan Fatihah tersenyum lebar kerana dapat mengecam Raisha. Nampaknya dia masih muda dan kuat lagi ingatan, hehehe...
Raisha menyangkal. "Eh, tak adalah. Saya baru saja kenal kak Husna."
"Ah..." Habri menahan perit apabila tergigit jari sendiri. Kukunya pun sudah sedikit rapuh gara-gara tabiat buruknya. Cepat-cepat dia menyelukkan tangannya ke dalam kapur dan mengintip perbualan Raisha dan ibunya melalui celah tingkap.
Memanglah orang kata situasi 'crush' datang melawat rumah merupakan salah satu peristiwa bulan jatuh ke riba. Masalahnya masa kunjung itu yang salah! Sudahlah biliknya bersepah bagaikan rumah yang sudah lama ditinggalkan dan diperam selama bertahun-tahun.
"Mahal ke kos bayaran tu? Nak mak cik bayarkan, ya?"
Raisha laju menghalang Puan Fatihah daripada mengambil beg duitnya. "Tak adalah. Tak perlu susah-susah, mak cik. Lagipun, saya tolong ikhlas ni."
"Betul ke ni?" Puan Fatihah masih ragu-ragu. Yalah, pasti bukan berpuluh wanita di hadapannya membelanjakan untuk kucing mereka. Mesti lebih dari tiga angka jumlahnya!
"Betul, mak cik. Anggap sahaja rezeki mak cik." Raisha berdalih berkali-kali sehinggalah Puan Fatihah terpaksa mengalah. Lagipun dia betul-betul ingin menolong si kucing hitam itu.
"Makanlah dekat sini, dulu. Rasanya ada lauk lebih pagi tadi. Boleh kan, ibu?" Pelipis dahi Raisha berlipat-lipat mendengar permintaan Hana. Bukan setakat Raisha, orang di dalam rumah pun lagi berkerut bersama pelbagai perasaan lain dilukis pada wajah.
Habri menyeret langsir ke penghujung. Tangannya yang ingin diletakkan pada mulut ditahan di poket masing-masing. Memanglah dia gembira berjumpa dengan Raisha kembali. Masalahnya, dia pun tidak mandi lagi hari ini. Sepatutnya bukan berhari tetapi... begitulah.
"Tak perlu susah-susah mak cik. Saya boleh makan dekat rumah." Raisha menolak, lembut. Tidak semena-mena dia teringatkan anak teruna milik Puan Fatihah. Tidak terlihat pula batang hidung di wajah. Ke dia dekat dalam bilik?
"Apa yang susahnya. Lagipun anak mak cik ni jenis kurang makan. Membazir sahaja tak habiskan lauk nanti. Ini pun nak balas budi kamu sebab tolong kucing mak cik." Puan Fatihah tidak putus memujuk Raisha makan bersama, membuatkan Raisha bertambah kekok.
"Ibu, mana ada orang kurang makan. Orang diet sahajalah."
"Eh, pandailah awak."
'Kalau tolak pula, nampak macam sombong.' Raisha menyembunyikan keluhannya di sebalik aturan nafas. Tidak mengapalah. Sekurangnya dia tidak perlu makan lewat petang serta waktu malam nanti. "Okeylah, mak cik. Saya nak pergi ambil kunci kereta dekat dalam kereta kejap."
"Meow?"
"Lah, Habri kenapa duduk dekat sini? Crush kau ada dekat luar kot. Tak takut ke?" Usikan Hana berjaya menukarkan wajah Habri menjadi putih pucat. Segera Habri mengintai sedikit melalui celah pintu. Ish... nasib baik si Raisha itu sudah jauh ke dalam keretanya.
"Ambillah pinggan mangkuk. Nanti Raisha nak makan dengan kita sekarang ni." Satu demi satu kejutan menyerang Habri. Eh, boleh terkena sakit jantung kalau setiap hari terkena sebegini.
"Sekarang ni?" Habri membuntang mata tidak percaya ke arah Puan Fatihah. Boleh pula ibu dia panaskan lauk ayam gulai pagi tadi. Dia meramas-ramas rambut, cuba membetulkannya. Serabai macam orang tak mandi... hrm, tetapi memang belum bersiram lagi hari ini.
"Yalah, sekarang ni." Hana masih tidak lepas mengendongkan Tete. Kali ini, ditunjukkan pula 'anak angkat'nya kepada Habri. "Tak nak tengok Tete ke? Kesian dia."
"Dah tengok dah. Tulah saya pesan dekat dia, jangan jalan jauh-jauh sangat. Itulah, degil lagi. Tengok tu, tak fasal-fasal awak patah kaki." Selamba Habri mengutuk kucing perliharaanya. Walhal di dalam hati kata lain. Marah juga memikirkan budak bawah umur sebegitu sanggup melakukan kerja yang tidak berakal sebegitu rupa.
"Huh." Hana menjauhkan Tete daripada Habri. Mimik muka tidak puas hati ditayangkan tanpa bertapis. "Oh, macam ini ke nak jadi doktor? Kan pesakit kau sakit-sakit teruk, kau bukannya nak rawat. Tapi marah dia pula."
"Lah... siapa suruh dia tak makan ubat?" Habri menunjukkan riak tidak berperasaan.
"Ha, tengok Habri ni, ibu." Hana menuding menghala Habri.
"Eh, tolong ibunya tidak. Tengok, Raisha tengok je kau orang gaduh depan muka pintu." Puan Fatihah menjuih mulut ke arah pintu ruang tamu sementara tangannya sibuk menyusun pinggan di meja dapur. Itulah, asyik sibuk bertengkar sangat! Sampai orang dan kucing kiri kanan pun tidak perasan pula.
Habri dan Raisha saling bertentangan. Langsung Raisha mengetap bibir, menanggung perasaan janggal yang memenuhi atmosfera. Kalau Raisha diselubungi rasa canggung, Habri pula rasa hendak sorokkan kepala dalam tanah. Dengan wajah tidak terurus yang belum dia lihat dalam cermin lagi. Aduh, ini kalau tengok cermin sekalipun, nescaya cermin biliknya akan pecah berderai!
"Eh, apa benda Raisha buat dekat situ? Jemputlah masuk." Hana mempelawa Raisha masuk dan serentak telah memecahkan aura asing di antara mereka.
"Ah, ya, ya." Raisha akur dengan arahan yang paling dia nanti-nantikan itu. Eh, apa fasal Raisha jadi sopan-santun pula ini? Biasalah... kalau mengunjungi rumah orang mestilah membawa adab bersama. Kenalah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau, pergilah sapa 'kawan' itu. Sekejap... macam pelik sahaja?
"Saya nak gi... ah, jap." Tergagap-gagap Habri menyatakan niatnya yang tidak jelas itu. Habri meninggalkan ruangan tamu dan dapur itu lantas menghilang di sebalik dinding tebal itu. Yalah, dekat ruang lapang lagi satu ada cermin. Kenalah sentiasa bergaya di hadapan wanita idaman.
"Dia memang pelik macam tu." Hana mengutuk adiknya sementara dalam masa yang sama, dia meletakkan menguruskan Tete ke bawah lantai berlapikkan kain batik.
"Jomlah makan, Raisha." Puan Fatihah mengangkat penutup periuk lalu memindahkannya ke atas dapur meja yang kosong. Memang pelik dan ajaib betul kuasa ibu-ibu ini. Baru sahaja tertoleh beberapa saat ke belakang, pinggan-pinggan sudah tersusun di atas meja.
Raisha memulakan perbualan dengan sekadar berbasi basa. "Lauk apa je yang ada, mak cik?"
Makan petang buat Puan Fatihah sekeluarga ditambah lagi dengan Raisha seorang. Bukan setakat itu sahaja, gaya makan dia orang macam makan dekat kenduri! Setiap minit dan saat duduk bertanya soal kehidupan Raisha dan hal terkini.
"Raisha tengah belajar ke sekarang?"
"Ah.... erm. Tak." Raisha menggaul-gaul nasinya. "Saya tengah kerja dekat butik nenek saya."
"Wah, ada butik sendiri? Orang kaya ke? Aduh!" Hana tertunduk menggosok kakinya yang ditendang Habri. Hana mengangkat wajah memandang Habri, tidak puas hati. Tak sangka selembut adiknya boleh menendang sekuat begini, ya?
"Taklah kaya mana. Cukup-cukup je." Raisha mencubit sedikit isi ayam. Tidak mahulah orang tahu mana fasal kedudukan neneknya sebagai Puan Sri. Sebab nampaknya ahli keluarga Puan Fatihah tidak tahu lagi soal keluarganya.
"Nanti bolehlah beli dekat butik nenek Raisha," ujar Puan Fatihah yang turut mengopek isi ayam. Isi itu dikumpul-kumpulkan bersama nasi. "Butik nenek Raisha nama apa?"
"Err... Butik Fesyen-Abbiya," jawab Raisha, ringkas.
Membulat mata kaum hawa mendengar nama butik terkenal di seantero Malaysia itu! Hana di sebelah Raisha sudah terbatuk-batuk. "Laillahaillah... kenapa boleh tersedak pula tu? Ambil air ni." Gelas yang sudah diisikan oleh penapis air diberikan kepada Habri untuk diberikan kepada kakaknya. Habis satu air diteguk Hana!
"Itu butik Puan Sri Rabbiya, kan? Eh, jangan awak ni cucu dia?" Melihat Raisha yang mengiyakan, Hana menekup mulut. "Aduh, seriuslah! Alamak, rasa rendah dirilah gini. Kitanya orang biasa-biasa."
Lah... dia orang tahu rupanya.
"Tak adalah. Yang kayanya nenek saya." Raisha cuba merendahkan diri. Dalam hati dia sudah memaki diri sendiri beberapa kali. Sebab inilah dia tidak mahu memberitahu sesiapa berkenaan statusnya.
Lambat-lambat Raisha mengangkat wajahnya dan tidak sengaja bertembung pandangan sama Habri yang sedang mengunyah. Kedua-dua mereka memandang antara satu sama lain buat seketika barulah Habri cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Raisha terkedu seketika. Mungkin dia pun rasa janggal juga.
"Tak apalah... walau macam mana pun Raisha. Mak cik okey sahaja. Asalkan manusia dan bukan perangai binatang yang kacau Tete itulah." Hrm... terang-terang Puan Fatihah masih sakit hati terhadap pelaku yang mencederakan kucing keluarga mereka. Ini kalau bawa pergi jumpa budak-budak sebentar tadi, mahu pengsan dibelasah oleh Puan Fatihah!
"Itulah saya tak puas hati. Dahlah ponteng sekolah. Perangai tak semenggah betullah." Hana melumat-lumatkan nasinya dengan geram seolah-olah melepaskan amarahnya kepada remaja-remaja tersebut.
"Tete dah tidur dah." Raisha mengerling ke arah kucing hitam yang sudah terlena di atas sofa. Puan Fatihah turut melihat sama. "Tak apalah. Bagi dia rehat dulu. Nanti lepas makan boleh sapu dekat luka-luka dia nanti."
Sesi makan petang mereka bersambung sehinggalah tertinggal sisa dan tulang ayam semata-mata. Raisha memandang ke arah Habri yang masih menjamah nasi yang baru ditambah. Lah... kata anaknya tak kuat makan.
Rasa terkucil di hujung nyawa mula dirasai ketika dia bangun dari kecil. Ah, kalau boleh dia mahu membuang air kecil di rumah sahaja. Cuma risau kalau terbuang di dalam seluar pula kerana dia sudah menahannya daripada waktu makan lagi.
Raisha membawa pinggan ke singki, tempat di mana Hana sibuk membasuh pinggan. Haih... mahu tidak mahu. Terpaksalah dia bertanya. "Akak, bilik air dekat mana? Saya nak buang air sekejap."
"Oh, nak guna tandas, en? Eh! Eh! Tapi jangan guna tandas tu." Hana menggerakkan kepala menghala pintu tandas di dapur sekilas. "Tandas tu tak boleh flush. Guna tandas dalam bilik akulah. Keluar sahaja dapur dan belok kanan."
"Ah, baik," kata Raisha. Aduhai, dia punyalah berbisik hendak menyatakan hajat sucinya! Si Hana ini boleh pula bersuara lantang bagaikan ingin satu kampung tahu! Tengok, tidak fasal-fasal Habri terpandang dia pelik semacam.
Bukan pelik macam hendak menggatal. Jangan tuduh anak aku macam-macam, kata si penulis. Habri hanya terkebil-kebil mendengarnya lantas menyambung menyuap nasi ke mulut. Mustahil mahu menari inang di atas meja makan pula.
Raisha mengikuti arah panduan daripada Hana. Memang ada panduan. Masalahnya ada dua bilik bila dia belok kanan ini! Dua-dua bilik pintu tertutup pula itu! Bibir Raisha semakin diketap. Malas pula hendak bertanya lagi meskipun ia lebih kepada rasa segan.
'Bilik ini kot.' Raisha memilih pintu bilik yang tiada poster anime. Yalah, mana tahu itu bilik si Habri ke? Saat pintu dibuka, sekeping kertas kajang terbang kemudiannya jatuh di kaki Raisha. 'Terjatuh pula dah. Kertas apa ni?'
"Raisha, awak dah jumpa ke bilik kakak saya?" Sayup-sayup kedengaran suara Habri sedang Raisha membaca isi kertas kajang itu. Habri tergaru kepala ketika tiada balasan yang diterima daripada Raisha. Kan tidak fasal-fasal termasuk di dalam bilik dia pula.
"Raisha?" Terkejut beruk Habri apabila melihat pintu biliknya sudah terbuka seluas pagar bola sepak. Sudahlah bilik macam tongkang pecah. Hendak menangislah begini.
"Ja.. jangan Raisha. Tu bilik sa..." Kotak suara Habri tersekat memandang reaksi Raisha. Wajah Raisha berubah kerisauan mendebarkan jantungnya. Kedua-dua mereka terdiam buat seketika. Mata Habri turun ke arah kertas yang dipegang oleh Raisha.
Kertas itu.
✨✨✨
Alamak, kertas apa si Raisha baca tu? Las sekali kertas slip keputusan peperiksaan semester Habri.
Oh, tidak terlupa nak beritahu. Saya ada buka commission atau dalam bahasa Melayunya bermaksud.... erm. Dalam erti kata mudah saya ambil upah lukislah!
Jadi kalau nak saya lukis untuk kau orang, bolehlah minta dekat saya. Semuanya bawah 10 ringgit!
( bayar melalui touch n go!)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro