Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Hai, termenung apa ni? Dari tadi lagi ibu perhatikan kamu. Ibu tengok macam ada masalah aje. Ke kamu dah mula rasa tak selesa duduk di pondok buruk ibu ni?" soal Mak Ita lembut. Dari tadi dia melihat Hazril duduk di pangkin sambil mendongak ke langit.

"Janganlah cakap macam tu, ibu. Rumah ibu ni, bukannya pondok buruk tapi bagaikan istana. Hazril suka duduk sini. Suka sangat... Selesa, tenang. Kepala pun tak serabut."

"Kalau macam tu, kenapa Hazril termenung? Kalau ada masalah, ceritalah pada ibu. Janganlah pendam sorang-sorang, tahu?" Mak Ita menepuk lembut bahu Hazril.

"Ni, ibu ada buatkan cucur pisang. Makanlah..." sambungnya lagi.

"Terima kasih, ibu." Pantas sebiji cucur disumbat ke dalam mulutnya. Otaknya ligat fikirkan tentang sesuatu.

"Ibu..." panggil Hazril tanpa memandang wajah Mak Ita.

"Ya..." Mak Ita merenung wajah Hazril dari tepi.

Wajah Mak Ita dipandang. "Hazril ingat nak bagi Sara sambung belajar. Umur dia dah masuk 20 tahun, memang patut dia sambung belajar, bukan bekerja di warung tu. Lagipun semua tu untuk masa depan dia."

Mak Ita hanya diam.

"Ibu janganlah risau pasal duit sebab Hazril tahu macam mana nak selesaikan hal tu." Tangan Mak Ita digenggam lembut.

"Sara tu, adik Hazril. Satu-satunya adik Hazril. Tanggungjawab Hazril untuk menjaga masa depan dia walaupun Sara tu tak tahu Hazril ni abang dia. Hazril..." Kata-kata Hazril mati tatkala memandang kelibat Sara di belakang Mak Ita. Matanya membulat.

Bila masa Sara ada di situ?

"Abang Hazril... Abang Sara?" soal Sara perlahan. Terserlah riak terkejut di wajahnya.

"Sara..." Hazril bangun dari duduknya. "Abang..." Genggaman tangan Mak Ita membuatkan Hazril menghentikan kata-katanya.

"Sara, duduk. Ada benda yang ibu nak bagi tahu," tutur Mak Ita lembut. Sara hanya menurut.

"Ibu," panggil Hazril lantas kepalanya digelengkan. Dia tidak mahu Sara tahu apa-apa pun tentangnya.

"Hazril, biarlah Sara tahu. Sampai bila kamu nak sembunyikan semua ni? Lambat atau cepat, Sara tetap akan tau juga." Mak Ita memandang wajah Hazril sebelum pandangannya beralih pada Sara.

"Sara, memang Abang Hazril ni, abang Sara." Kata-kata yang keluar dari mulut Mak Ita membuatkan dahi Sara berkerut seribu.

"Maksud ibu... Abang Hazril ni, abang kandung Sara?"

Mak Ita menggeleng. Gelengan Mak Ita menambahkan lagi persoalan di kepala Sara.

"Abang Hazril, anak susuan ibu dan kamu berdua, adik-beradik susuan."

Persoalan yang bermain di kepalanya akhirnya terjawab. Sara mengangguk perlahan tanda mengerti.

"Jadi, siapa ibu dan ayah kandung abang?"

Soalan Sara menyebabkan Hazril dan Mak Ita berpandangan sesama sendiri.

KERETA diberhentikan di kawasan lapang di hadapan rumah. Tengku Mariah keluar dari perut kereta sambil mengucapkan terima kasih kepada Pak Daud, pemandu peribadi keluarganya itu.

Sebelum dia memboloskan diri masuk ke dalam rumah banglo empat tingkat itu, matanya sempat memerhati kereta-kereta yang terparkir di garaj. Langkahnya mati. Dia merenung salah satu kereta yang terparkir bersebelahan dengan Porsche Panamera, McLaren MP4-12C milik cucu kesayangannya, Tengku Hazril Mifzal.

Hazril baru sahaja membeli kereta itu. Tak sampai sebulan Hazril membeli kereta itu, dia menghilang. Serta-merta empangan air mata Tengku Mariah pecah. Walaupun sudah berjumpa dengan cucunya sebentar tadi, dia tetap tidak puas. Dia benar-benar merindui Hazril Mifzal. Sudah enam bulan cucunya membawa diri dek terasa hati. Sehingga sekarang Hazril masih tidak boleh melupakan apa yang terjadi dan tidak mahu pulang.

Katanya, dia belum bersedia untuk berdepan dengan orang di dalam rumah ini, dia malu. Baru sebentar tadi dia dapat tahu yang selama enam bulan ini, Hazril tinggal bersama Rozita, bekas orang gaji mereka.

Keluhan kecil dilepaskan. Tengku Mariah menapak lemah menuju ke pintu besar rumah banglo itu. Tatkala dia berjalan melepasi ruang tamu, ada satu suara menyapanya.

"Umi..."

Tengku Mariah berpaling. Wajah anak lelakinya yang sedang duduk di ruang tamu dipandang.

Tengku Mukhriz bangun dari duduknya seraya menapak perlahan menghampiri uminya.

"Umi pergi mana?" soal Tengku Mukhriz lembut.

"Umi..." Tengku Mariah terdiam. Hazril sudah berpesan supaya tidak memberitahu sesiapa tentang pertemuan mereka. Dia berjalan menghampiri sofa lalu punggung dilabuhkan.

"Umi pergi jumpa kawan umi yang tinggal di kondo tu. Alah, Puan Maimon..." beritahu Tengku Mariah, dia perlu tunaikan janjinya.

"Umi, Mukhriz tahu. Umi jumpa Hazril, kan?"

Tengku Mariah terdiam.

"Tolonglah, umi. Mukhriz nak jumpa dia. Mukhriz dan Feeza betul-betul rindu pada dia." Tengku Mukhriz memegang kedua-dua belah tangan Tengku Mariah. Mata wanita itu direnung dalam. Cuba untuk meraih simpati agar wanita itu membuka mulut.

"Kita tak boleh nak paksa dia. Nanti dia baliklah. Kalau paksa nanti, lain pula jadinya. Kamu pun tahu kan anak kamu tu macam mana." Akhirnya Tengku Mariah bersuara.

"Tapi..."

"Mukhriz... Umi tahu, kamu rasa serba salah dengan Hazril lepas apa yang kamu cakap dulu, kan?"

Tekaan Tengku Mariah hampir tepat, namun itu bukanlah sebab utama dia mencari anaknya. Jujur, dia rindu pada anaknya. Begitu juga dengan isterinya, Tengku Hafeeza.

"Menantu umi sampai sakit sebab rindukan Hazril. Sejak Hazril tak ada, Feeza selalu demam. Tekanan darah selalu naik. Mukhriz tahu, dulu Hazril tu perangai dia... Te..." Kata-kata Tengku Mukhriz dicantas oleh Tengku Mariah.

"Itu semua dulu, Mukhriz. Dulu, umi pun marah dengan sikap dia yang macam tu tapi sekarang, dia dah berubah. Dia dah tak seperti Tengku Hazril Mifzal yang dulu. Kalaulah Mukhriz dan Feeza tengok dia sekarang, mesti kamu berdua bangga dengan dia."

"Tolonglah, umi. Suruhlah dia balik jumpa Feeza..." Tiba-tiba Tengku Hafeeza mencelah. Pipinya sudah basah dek air mata.

Pantas Tengku Mukhriz menapak menghampiri isterinya. Dia memimpin wanita itu. Risau kalau-kalau isterinya rebah. Sakit lain pula yang datang nanti.

Keadaan isterinya kini lemah. Selalu sahaja demam. Mereka berdua duduk di atas sofa berhadapan dengan Tengku Mariah.

"Umi dah cuba pujuk dia tapi dia tak nak balik. Anak kamu tu kalau dah nekad dengan keputusan dia, memang dia takkan dengar cakap orang lain dah."

Makin laju air mata Tengku Hafeeza.

"Sabarlah Feeza, umi pun nak sangat dia balik. Nanti umi cuba pujuk dia lagi..." tutur Tengku Mariah seakan-akan memujuk.

"Bagi tahu Feeza, dia tinggal di mana? Biar Feeza jumpa dia. Mungkin kalau Feeza pujuk, dia dengar," rintih Tengku Hafeeza. Melihat Tengku Mariah hanya mendiamkan diri, mata berpaling memandang suaminya.

"Abang... Tolonglah. Feeza nak jumpa anak Feeza." Bahu Tengku Mukhriz digoncangnya pula.

"Feeza, dia tinggal dengan Rozita..." Tengku Mariah sudah tidak mampu berdalih lagi saat melihat Tengku Hafeeza merintih sebegitu. Hatinya disapa dengan rasa kasihan. Dia seorang ibu, jadi dia faham macam mana perasaannya bila anak tak ada di depan mata dalam jangka masa yang lama. Rindu.

"Rozita?" tutur Tengku Mukhriz dan Tengku Hafeeza serentak.

"Ya, selama ni dia tinggal dengan Rozita. Hazril yang menyara Rozita dan anak perempuannya, Sara. Lagipun, suami Ita dah meninggal setahun lepas. Dah jadi tanggungjawab dia untuk menyara ibu dan adik susuan dia, kan? Dan satu lagi yang kamu berdua perlu tahu, dia bekerja di warung. Tengku Hazril Mifzal, yang dulunya berjawatan tinggi di syarikat kita, sekarang kerja di warung..." ujar Tengku Mariah panjang lebar. Dua orang manusia di hadapannya terkedu mendengar ceritanya.

"Macam mana Hazril boleh terjumpa dengan Rozita? Kenapa dia... Kerja di warung?" soal Tengku Mukhriz pula tersekat-sekat.

"Umi tak tahu. Sejak Ita berhenti kerja, kita dan dia terputus hubungan. Entah macam mana Hazril boleh terjumpa dengan Ita, umi tak pasti. Umi ada tanya, tapi Hazril tak jawab." Pandangan Tengku Mariah teralih pada Tengku Mukhriz.

"Salah ke? Halal kan rezeki yang dia cari dan cara pemakaian dia pun dah lain. Sebab itulah, penyiasat yang kamu berdua upah untuk cari dia, tak dapat jejaki dia. Lagipun, kamu tak pernah suruh penyiasat upahan kamu cari dia di KL, kan? Betullah apa yang orang cakap, kalau tak nak ditangkap polis, kita kena berada dekat dengan polis. Sama macam apa yang dia buat sekarang. Anak kamu tu bijak. Ingat tu..." Tengku Mariah bangun dari duduknya,

"Jangan risau, Mukhriz, Feeza. Umi yakin, suatu hari nanti dia pasti akan balik," sambung Tengku Mariah sebelum dia mendaki tangga menuju ke kamarnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro