Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

PINTU rumah Keysha ditolak perlahan. Sebaik sahaja memboloskan diri ke dalam rumah, beg tangan terlepas dari pegangan tangannya.

Nafasnya naik turun. Wajahnya pucat. Mia terduduk di atas lantai. Tak mungkin! Mia menggeleng berkali-kali. Kelopak matanya sudah bertakung.

Patutlah Aqil tak jawab panggilan dia. Rupa-rupanya... Aqil... Kejamnya! Dan... Hazril! Dia tak sangka Hazril macam tu. Memang dia tak terfikir langsung yang lelaki tu... Argh!

Mia betul-betul tak mampu nak hadam apa yang terjadi tadi. Kenapalah dia kena tahu semua ni pada masa yang sama? Mia menggenggam kuat rambutnya.

Kejadian tadi kembali bermain dalam kotak fikirannya.

SELEPAS keretanya diambil di bengkel, Mia segera memandu menuju ke kondo milik kekasihnya, Aqil Thaqif. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Nak jumpa buah hati yang dah lama tak ketemu. Wajiblah rindu! Tak sabarnya nak buat kejutan pada Aqil.

Usai meyakinkan guard untuk masuk ke dalam kawasan itu dan memarkirkan keretanya, dia berjalan pantas lalu memboloskan diri masuk ke dalam lif lantas butang yang mempamerkan nombor lapan ditekan.

Tiba di tingkat lapan, Mia melurutkan rambutnya menggunakan jari sambil berjalan perlahan. Bajunya dipandang. Okey, perfect! Senyuman manis menghiasi bibir.

Lima langkah sebelum dia tiba di hadapan pintu kondo milik Aqil, senyumannya serta-merta mati seiring dengan langkahnya. Matanya membulat. Dadanya terasa sempit. Mia memusingkan badannya 180 darjah dan telefon bimbitnya diambil, berpura-pura sedang bercakap di talian namun pada hakikatnya dia cuba mencuri dengar perbualan mereka.

"Sayang, I will miss you..." ujar wanita itu manja.

"Saya tahu tapi saya perlu pergi. Malam ni, kita ke kelab. I will spend my night, only for you my dear."

Hampir terlepas telefon bimbit dari genggaman Mia tatkala mendengar ayat itu. Matanya berkaca. Dadanya mula terasa dihempap dengan batu.

"Okey, sayang. Thanks untuk semalam."

"Bye, sayang... Love you!" tutur Aqil lagi.

"Love you more, darling..." ujar wanita itu sebelum dia melangkah pergi dari situ. Pintu kondo kemudiannya ditutup. Belakang wanita yang melintasinya dipandang. Seksi.

Mia berjalan tanpa hala tuju sebelum tersandar di dinding seraya terduduk di atas lantai. Dadanya sebak. Kenapa jadi macam ni? I love you, Aqil... Tapi, kenapa awak buat saya macam ni? Saya percayakan awak, rintih Mia. Berombak-ombak dadanya. Menahan perasaan yang bersatu. Hancur, hancur hatinya.

Dengan sedaya upaya dia bangun dan melangkah lemah menghampiri lif. Pintu lif terbuka namun Mia tidak melangkah walaupun seinci. Dia hanya mengelamun. Lama dia berdiri di situ sebelum seorang wanita menegurnya.

"Kenapa tak masuk?" soal wanita dalam lingkungan 70-an itu.

Lamunan Mia berterbangan. "Oh, saya... Emmm... Nak masuk ni, mak cik..." Lekas-lekas Mia meraup wajah dan mempamerkan senyuman plastik. Wajah wanita di sebelahnya hanya dipandang sekilas.

Setibanya di tempat letak kereta, dia segera memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Belum sempat enjin kereta dihidupkan, matanya tertumpu pada kelibat dua manusia di hadapannya. Seorang lelaki yang memang sangat-sangat dikenalinya sedang bersandar di kereta sambil berpeluk tubuh. Wajahnya kekal dengan senyuman manis. Terbit rasa ingin tahu, apa yang Hazril buat di sini? Mata tertumpu pula pada wanita di sebelah lelaki itu.

Eh, itu kan... Mak cik tadi!

Secara tiba-tiba Hazril mengusap lembut pipi wanita berusia itu lantas tubuh wanita itu dipeluk erat. Tak cukup dengan itu, diciumnya pula pipi kiri dan kanan wanita itu.

Ternganga Mia dibuatnya. Oh my! Takkanlah Hazril tu gigo... Argh, tak mampu aku nak sebut perkataan tu!

"MIA..."

Teguran Keysha mematikan lamunan Mia. Air mata diseka pantas. Dia berdeham beberapa kali sebelum memandang wajah Keysha dan Afina di sebelahnya. Dia cuba untuk menyembunyikan rasa, tapi tak berjaya. Dadanya kembali sebak. Serta-merta air matanya mengalir laju.

"Mia, kenapa dengan kau ni? Kau kena ragut ke? Ada orang buat benda tak elok dekat kau ke?" soal Afina hairan seraya membelek tubuh Mia.

"Tak, aku okey cuma..."

Esakan makin kuat kedengaran. Keysha dan Afina sudah gelisah. Mereka baru sahaja sampai di rumah sewa ini. Tatkala melihat kereta Mia terparkir elok di hadapan rumah, mereka bergegas memboloskan diri masuk ke dalamnya dan mereka tergamam saat melihat Mia sedang terduduk di ruang tamu berhadapan pintu sambil memeluk lutut.

"Aqil... Lelaki tak guna tu! Dia curang dengan aku! Aku nampak... Dia... Dengan perempuan lain, dekat kondo dia!" adu Mia teresak-esak. Terlepas sedikit sebanyak beban dalam hatinya apabila mengadu pada seseorang.

"Apa!" jerit Keysha dan Afina serentak.

"Betul... Aku tak tipu. Depan mata aku, weh! Bencinya. Aku sayang dia separuh mati, boleh dia buat aku macam ni!"

"Kau kenal tak perempuan tu?"

Soalan Keysha dijawab dengan gelengan.

"Aku tak pandang pun dia orang. Bengkak hati aku ni! Aku cuma dengar perbualan dia orang aje. Siap love bagai, sayanglah, thanks untuk semalamlah, entah apa yang dia buat dengan perempuan tu pun tak tahulah!" Mia sebak. Air mata dilap dengan belakang tangan.

"Ala... Mia, chill! Lelaki bukan ada seorang aje dalam dunia ni dan kau... Cuba kau tengok diri kau. Cantik. You have a good personality. Siapa yang dekat dengan kau, pasti akan terpikat pada kau. Dahlah, jangan nak menangis sebab lelaki tak guna tu. Orang macam tu memang tak layak dapat cinta kau," tutur Afina panjang lebar.

"Ya! Buang masa aje. Kau kira beruntung sebab kau tahu perangai dia sebelum kau berkahwin dengan dia. Kalau kau dah kahwin, lagi payah cerita. Kira Tuhan nak selamatkan kau dan tunjuk perangai jantan tak guna tu. Kalau aku kan, kau tahu aku buat apa?"

Semua memandang Keysha yang teruja nak beri pandangan juga.

"Be happy in front of your ex-boyfriend, it'll kill him. Kalau dipujuk, buat tak layan. Biar dia rasa! Jangan bagi peluang lagi pada orang macam tu. Sekali dia buat, mesti dia boleh ulang lagi perangai macam tu."

Mia mengangguk. Ada benar juga kata-kata Keysha. Tapi bolehkah dia? Mampukah dia hadapinya nanti? Cakap memang senang tapi hati... Hati dia macam mana?

"Dia tahu tak yang kau dah tahu tentang skandal dia tu?"

Soalan Keysha dijawab dengan gelengan daripada Mia.

"Bagus! Birthday aku nanti, aku jemput dia juga. Jadi, kau buat balik apa yang dia buat pada kau. Tunjuk pada dia yang kau dah ada orang lain, yang lagi mengancam. Haaa, masa tu barulah dia akan rasa terancam! Baru padan muka dia!" cadang Afina sambil menjongketkan keningnya berkali-kali.

Mia memandang Keysha dan Afina silih berganti. Tiba-tiba semangat Mia kembali tatkala mendengar cadangan Afina.

Betul, buat apa nak menangis bagai hanya disebabkan lelaki tu? Dia harus kuat. Dia akan tunjukkan pada Aqil yang lelaki itu dah buat silap besar sebab curang dengan dia! Mia kembali tersenyum.

"Haaa, macam inilah kawan aku. Jangan sedih-sedih. Kita orang ada. By the way, kau pergi mana semalam? Ceritalah." Soalan Keysha tiba-tiba membuatkan ingatan Mia kembali pada Hazril.

"Haah, risau kami tahu tak? Call kau, asyik voicemail aje," celah Afina.

"Kau orang tahu kan pelayan dekat warung tu semalam?" soal Mia sambil memandang wajah Keysha dan Afina silih berganti.

"Mestilah!" jawab mereka serentak.

"Lelaki macam tu, mana boleh aku lupa dengan sekelip mata. Kalau aku dapat dia memang tak lepas dah," sambung Keysha sambil tersengih.

Mia mencebik. Kau tak tahu... Dia tu... Errr... Apa-apa ajelah!

"Semalam, kereta aku rosak. Mamat tu la yang tolong aku. Nak call kau orang, bateri phone aku habis. Power bank tak bawa pula," terang Mia tenang lantas wajah rakannya.

"Oh... Tapi, yang kau tak balik tu, kau pergi mana?" Afina mula tidak sabar.

"Macam-macam jadi. Bertimpa-timpa masalah aku. Akhirnya, pelayan tu bawa aku balik rumah dia."

"Apa?!" Keysha ternganga manakala Afina terbeliak biji matanya.

"Kau balik... Rumah dia? Berdua?" sambung Keysha seraya mendekatkan kedua-dua belah jari telunjuknya.

"Tak... Dia tinggal dengan ibu dan adik dia la. Gila kau aku nak serumah dengan dia aje. Kalau kena tangkap basah, macam mana?"

"Kahwin!" Serentak mereka menjawab hingga lengan mereka dipukul oleh Mia. Geram!

"Okey... Okey... Sorry! Gurau aje la."

Mereka gelak sakan berdua hingga Afina dan Kesya bangkit menuju ke ruang dapur. Dahaga.

Mia hanya memandang kawan-kawannya.

Kalau aku bagi tahu kau orang siapa dia sebenarnya, mesti lagi banyak kau orang soal aku. Aku pun tak mampu nak menjawab soalan kau orang sebab aku pun tak tahu dia tu siapa.

Mia teringat kemesraan Hazril bersama wanita tua itu. Serta-merta dia rasa meremang bulu roma. Wanita itu, biarpun tua, namun nampak anggun.

Siapa Hazril? Takkanlah Hazril seperti yang dia sangka?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro