
Bab 6
"HEI! Hantar saya balik ke kereta saya. Lepas tu kalau awak nak blah, suka hati! Biar saya cari mekanik sendiri," tutur Mia serius sambil memandang Hazril yang sedang khusyuk mengelap motosikalnya dengan sehelai kain yang hampir reput. Tengok warna pun dia dah jijik nak pegang.
Selesai sahaja dia menjamu selera, dia terus mendapatkan Hazril. Dia nak balik! Dia tidak betah tinggal lama-lama di sini. Bukan sebab Mak Ita atau Sara, tapi disebabkan terlalu geram dengan perangai mamat sengkuang ni!
Sesuka hati dia aje mengata aku. Huh! Perangai annoying gila! kutuk Mia dengan penuh perasaan.
"Sama-sama..." kata Hazril tiba-tiba tanpa memandang wajah Mia. Dia masih khusyuk mengelap jejari motosikalnya.
"Hah? Sama-sama apa? Awak jangan nak tukar topik eh? Saya nak balik! Tak faham bahasa ke? Semalam cakap saya pekak, awak pun pekak juga!" Mia sudah mula menjerit.
Dia dah tak peduli kalau Mak Ita dan Sara dengar. Yang pasti dia nak balik.
"You're welcome..." balas Hazril perlahan.
"What? Isy! Awak ni dulu belajar takat mana? Lain yang saya suruh lain yang awak jawab." Mia mengetap bibir.
Hazril memandang wajah Mia yang sudah merah menahan marah. "It's my pleasure..." ujarnya lagi.
"Argh! Geramnya... Apa yang awak nak cakap sebenarnya ni hah?" Mia bercekak pinggang.
Senyuman manis terukir di bibir Hazril sehingga menyebabkan Mia terpanar. Manis. Indah. Terus rasa terbantut nak marah. Dia ni nak goda aku ke?
"Mintak tolong tahu, tapi nak ucap terima kasih tak tahu. Memang perangai kebanyakan orang zaman sekarang. Hampeh!" Senyuman manis di bibir Hazril bertukar sinis. Kain di tangannya digumpal lalu dibaling ke wajah Mia yang sedang ternganga dek terkejut dengan kata-kata Hazril.
"Fuhhh! Eiii... Kain buruk! Kurang ajar kau! Fuhhh... Habis masuk dalam mulut aku!" Mia menarik kain buruk dan mencampaknya jauh. Mulutnya dilap berkali-kali dengan menggunakan lengan baju. Wajah Hazril yang sedang tertawa dipandang geram.
"Seronok kenakan orang? Bencilah!" jerit Mia seraya melangkah masuk ke dalam rumah sambil menghentakkan kakinya.
"Ehhh, tunggu kejap!"
Langkah Mia terhenti apabila Hazril berdiri di hadapannya.
"Saya dah hantar pun kereta awak ke bengkel. Siap kereta tu, saya hantar awak ke bengkel. Lepas tu awak boleh blah, okey!" Hazril menyeluk poketnya.
"Ni, kunci rumah yang ada dalam dashboard tu." Hazril melangkah kembali menuju ke motosikalnya setelah kunci bertukar tangan.
Amarah Mia serta-merta hilang. Dia dah hantarkan? Alahai, baiknya dia! Aduh... Mulalah nak rasa bersalah ni. Perlahan-lahan bibir Mia mengukir senyuman nipis.
"Tapi... Pasal kain buruk tu, saya tak nak mintak maaf. You deserve that. Siapa suruh tidur sampai air liur meleleh pada baju saya?" ujar Hazril tanpa memandang wajah Mia.
Senyuman Mia mati. "Takkanlah!"
"Awak tidur, habis bahu saya basah dikerjakan awak. Dah busuk! Jadi, sekarang satu sama!" Wajah Mia dipandang sekilas.
"Tipu!"
"Buat apa saya nak tipu? Awak tidur takkan tak pernah meleleh air liur?"
"Isy!" Mia terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke biliknya. Eh, bukan biliknya. Bilik mamat tu!
Geramnya aku. Perangai entah hape-hape. Terkumat-kamit Mia membebel seorang diri lantas punggung dihenyakkan di atas katil. Bila difikirkan balik apa yang dikata Hazril, wajah Mia membahang.
Takkanlah dia buat perkara yang memalukan tu? Kepala digeleng berkali-kali. Tak, tak mungkin. Mesti dia saja nak kenakan aku. Kali ni Mia mengangguk pula. Cuba untuk menyedapkan hati sendiri.
Matanya tiba-tiba terpandangkan beg tangannya yang tersangkut di dinding.
Dia kembali bangun dan menapak pantas menghampiri beg tangannya. Selepas kunci rumah dimasukkan ke dalam beg tangannya, telefon bimbit dicari. Beg kembali diletakkan di tempat asal dan Mia merenung kosong telefon bimbitnya.
Hmmm... Bateri habis. Macam mana aku nak cas ni? Kesian Aqil, mesti tunggu aku call dia. Mesti dia risaukan aku bila dia call aku tak dapat. Argh! Macam-macam betul benda yang jadi pada aku. Nasib-nasib.
"Akak, kenapa ni? Akak ada masalah ke?" soal Sara tiba-tiba.
Terenjut bahu Mia apabila disoal tiba-tiba sebegitu. Dadanya diurut. Nasib aku tak terlepas telefon bimbit aku. Alahai Sara, kenapa suka muncul dan soal mengejut macam tu? omel Mia sendirian.
"Bateri handphone akak habis. Adik ada charger handphone iPhone tak?" soal Mia seraya menayangkan telefon bimbitnya kepada Sara.
"Errr... Maaf kak, tak ada. Sara pakai handphone lain. Handphone Samsung yang biasa aje. Emmm, chargernya tak sama..." jawab Sara perlahan. Rasa bersalah mula menjentik tangkai hatinya apabila tidak dapat membantu.
"Oh... Akak nak pinjam handphone Sara, boleh? Nak call kawan akak... Kejap aje," pinta Mia sambil menggenggam tangan Sara.
"Boleh. Kejap Sara ambilkan." Senyuman dihadiahkan kepada Mia sebelum dia melangkah ke biliknya untuk mengambil telefon bimbit. Lega hatinya kerana dapat juga membantu Mia.
Mia tersenyum senang. Lega! Boleh call Aqil.
Sejak dia datang ke KL, memang dia tak berkesempatan lagi nak berbual dengan Aqil dan melepaskan rasa rindunya. Pernah juga dia cuba menelefon, tapi asyik voicemail sahaja yang didengarinya. Malah Aqil tak tahu yang dia sudah ada di Kuala Lumpur. Dia sendiri rahsiakan sebab nak buat kejutan pada kekasih hati.
"Kak..." Sara muncul dan telefon bimbit dihulur bersama senyuman manis.
"Thanks, Sara. Kejap ya, akak nak call kawan akak." Mia keluar dari bilik lantas keluar dari rumah. Leher dipanjangkan, mencari kelibat Hazril. Tak ada! Yang ada hanyalah besi buruknya! Bagus...
Mia duduk di atas pangkin. Nombor Aqil didail bersama senyuman mekar yang melekat di wajahnya. Mujur nombor Aqil tersemat di otaknya. Beberapa saat kemudian, senyumannya mati.
Voicemail lagi. Hmmm... Beberapa kali Mia cuba tapi masih masuk ke dalam peti simpanan suara. Keluhan kecil dilepaskan.
Kenapa dia asyik matikan telefon? Risaulah! Takkan ada flight kut? Tak apalah... Aku call Keysha dulu. Bagi tahu yang aku selamat.
"Mujurlah aku jenis mudah ingati nombor. Kalau tak... Memang terkapai-kapailah aku," omel Mia sambil mendail nombor Keysha.
"Helo, Keysha!"
"Siapa ni?"
"Ini akulah, Mia..."
"Mia! Kau kat mana? Kau okey?"
"Aku okey..."
"Ya Allah, risaunya kita orang, kau kat mana ni?"
"Sorrylah, nanti aku balik aku terangkan. Nak cerita kat telefon leceh. Kau ada kat mana ni? Kunci rumah kau ada pada aku, macam mana kau masuk rumah?"
"Aku balik ke rumah Afinalah. Nasib baik mama dan papa dia tak tanya lebih-lebih bila kita orang balik rumah dia pukul empat pagi semalam. Menyesal aku tak buat kunci spare. Kalau tak, mesti tak jadi macam ni," terang Keysha bersungguh-sungguh.
"Bila kau nak balik ni?" soal Keysha lagi.
"Petang ni baru aku balik."
"Kalau macam tu, aku lepak dululah dengan Fina. Petang ni baru kami balik rumah. Harap masa tu kau dah sampailah. Kalau tak memang tercongoklah kami kat luar nanti."
"Okey, kau orang balik naik apa?"
"Kereta Fina kan ada. Dia tu mengada-ada aje tak nak naik kereta padahal ada kereta banyak. Konon nak jadi mem besar!"
Mia tertawa halus. "Okey, jangan risau pasal aku. Pandailah aku jaga diri. Orang kacau aku, aku karate dia cukup-cukup. Dia tu semalam bernasib baik aje. Kalau aku buka langkah, memang melututlah minta maaf pada aku." Mia bercakap besar sambil menyental kain batiknya.
"Dia tu sia..." Tiba-tiba talian terputus.
Terkebil-kebil dia memandang telefon bimbit Sara. Tiba-tiba satu mesej masuk. La! Kredit habis rupa-rupanya.
Keluhan kecil dilepaskan. Mia bangun dan badannya dipusingkan. Hampir sahaja dia terjatuh ke belakang namun ada tangan sempat menyambar tangannya.
"Kalau awak buka langkah semalam, saya melutut pada awak? Langkah apa awak nak buka kalau dah penakut? Merayap habis dekat saya... Macam lipas." Hazril mengangkat keningnya sebelah sambil bibir mengukir senyuman sinis manakala tangan kirinya masih menggenggam kejap pergelangan tangan Mia.
"Lipas?"
"Haaa..." Hazril menggertak seolah-olah mahu melepaskan tangan Mia.
Gulp!
"Errr..." Ni kalau dia lepas tangan aku, memang aku jatuh ni! Nangka busuklah aku!
"Errr... Errr, apa? Jawablah..." Hazril mengecilkan matanya.
"Hei, awak curi dengar perbualan saya. Awak ni memang tak ada adab betul! Dahlah cakap saya ni lipas!" marah Mia kuat cuba menukar topik.
"Buat apa saya nak jaga adab saya pada orang yang tak reti beradab?" Hazril bernada begitu sinis.
Mia menjegilkan matanya. Dia ni memang nak cari pasal!
"Lepaskan saya!" jerit Mia sekuat hati.
"Very poor choice of words..." Pegangan dileraikan dan...
Gedebuk!
"Auch!" Mia menggosok belakangnya lantas wajah Hazril yang sedang berdiri di hadapannya dipandang geram.
Hazril mendekatkan wajahnya. "Sakit?"
"Mestilah sakit!"
"Tak sakit mana pun, mengada-ada aje lebih. Drama," ujar Hazril berbisik kemudian dia ketawa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro