Bab 3
TINGKAP diketuk buat kesekian kalinya. Setelah hampir seminit dia mengetuk, masih tiada respons daripada pemilik kereta.
Hazril sudah berkira-kira mahu beredar dari situ. Mungkin pemilik kereta tidak mahu diganggu. Belum sempat dia melangkah, cermin kereta diturunkan sedikit.
"Awak siapa?!" jerit Mia dari dalam kereta.
"Saya Hazril... Cik okey? Kereta rosak ke?" soal Hazril prihatin.
"Kenapa ketuk tingkap kereta saya? Awak ni pembunuh bersiri ke? Nak bunuh saya ke hah?! Ke awak nak samun saya?"
Ewah, lancangnya mulut! Ingat aku ni jahat sangat ke? desis hati Hazril.
"Kenapa diam? Memang ada niat jahatlah tu!"
Cermin topi keledarnya ditolak sehingga wajahnya dapat dilihat oleh Mia.
"Eh, kalau saya nak bunuh, tak adanya saya nak ketuk pakai tangan. Saya ketuk tingkap ni guna helmet terus. Biar pecah. Lepas tu bolehlah hijack kereta awak, cekik awak sampai biru lepas tu mati. Lepas tu campak awak ke dalam semak. Sebelum tu boleh kut nak kerat-kerat dulu, nak ke?"
Ya tak ya, kan? Mia garu kepala.
"Kalau cakap bodoh, marah pula."
Mia pantas menoleh lelaki itu semula. Sakit hati pula dia mendengar gumaman 'bodoh' tadi.
Tatkala memandang wajah lelaki itu betul-betul, cermin kereta diturunkan lagi. Terbeliak biji mata Mia. Rupa-rupanya pekerja warung tadi, mamat sombong tu!
Tapi entah kenapa, Mia rasa sedikit lega apabila memandang wajah lelaki itu. Kata-kata lelaki itu sebelumnya diabaikan saja.
Riak wajah Hazril serta-merta berubah apabila dia melihat dengan teliti wajah gadis di depannya. Terbit pula rasa menyesal dalam dirinya.
Kalau aku tahu ni kereta perempuan ni, tak ingin aku nak tolong!
"Tolong baiki kereta ni! Saya nak balik. Dah lewat ni!" Mia mengarah dari dalam kereta.
Hazril mendengus. Amboi, suka-suka hati nak arah aku. Ni dah lebih, melampau!
"Saya bukan mekanik. Saya ni kerja pelayan di warung, faham tak? Awak pun nampak tadi saya kerja apa, kan?" tutur Hazril spontan.
Mia mengetap bibir. "Kalau macam tu pinjam handphone boleh? Handphone saya bateri habis. Saya nak telefon kawan saya dan mekanik." Suara Mia sudah mula kendur.
"Saya miskin, tak pakai handphone."
Bukan dia tak ada telefon bimbit tapi dia jarang-jarang hidupkan telefon bimbitnya sejak kejadian itu. Kalau hidupkan pun sekejap saja, lepas tu dia akan matikan balik.
"What! Takkan telefon bimbit pun tak mampu nak beli?" Mia kembali menjerit. Kalau tak pandai baiki kereta, dia boleh faham tapi kalau tak ada telefon bimbit, memang mengarut.
"Tak!" Hazril menayangkan wajah selamba.
"Awak ni datang dari zaman kurun ke-17 ke apa hah? Mana ada orang zaman sekarang tak ada telefon bimbit. Budak-budak pun ada telefon bimbit, tahu tak? Ke awak ni kedekut tak nak bagi pinjam?"
"Hesy, betullah! Tak ada telefon bimbit! Tak faham bahasa ke?"
"Habis tu, macam mana?" Mia memegang kepalanya. Pening! Apa dia nak buat ni?
Kelibat gadis yang sedang memegang kepalanya direnung. Keluhan kecil dilepaskan. Mata dipejamkan rapat. Belakang kepala digaru. Hazril rasa bersalah pula kata begitu sebentar tadi. Tatkala kelopak mata dibuka, dia terfikirkan sesuatu.
"Dua pilihan."
"Apa awak cakap?" Kata-kata lelaki itu menarik perhatian Mia.
"Saya cakap awak ada dua pilihan. Satu, stay sini sampai esok pagi. Dua, saya hantar awak balik."
Risau juga kalau dibiarkan dia ni sendirian. Macam-macam kes sekarang ni, omel Hazril. Benda dah jadi depan mata, takkan dia nak buat tak tau aje?
"Awak hantar? Boleh percaya ke dengan awak ni?"
Saat itu, Hazril memejamkan matanya rapat. Dia ni kan, asyik nak fikir buruk-buruk aje pasal aku dah kenapa?
"Kalau saya nak buat jahat, dari tadi dah selesai saya kerjakan awak. Awak nak ikut atau tak? Itu aje pilihan yang awak ada."
Melihatkan gadis itu yang teragak-agak, Hazril sedikit merengus.
"Ya, awak boleh percayakan sayalah. Saya ada keluarga dan ada otak juga."
"Bukti?"
"Nak bukti macam mana lagi? Eh, menyampah pula rasa. Saya balik dululah! Orang nak tolong banyak songeh pula." Hazril sudah mula bosan dengan perangai manusia di hadapannya ini.
"Jangannn! Okey, saya percaya tapi..." Mia memanjangkan lehernya lantas sebuah motor EX5, berkotak di belakang dipandang jelik.
"Naik tu ke? Eiii! Tak naklah! Saya lebih rela duduk dalam kereta ni sampai esok pagi dari naik besi buruk tu!" Mia memeluk tubuhnya.
"Berlagak... Tak payahlah nak sombong sangat! Kereta mahal-mahal pun bukan boleh bawa masuk kubur! Sekarang ni, besi buruk ni lagi berguna daripada kereta awak. Mahal tapi tak boleh bergerak, buat apa?" Hazril sudah mula panas hati.
Serta-merta Mia mencebik.
"Jadi, nampaknya awak dah buat keputusan, kan? Staylah sini sampai esok pagi!" Jam di tangan dikerling.
"Dah pukul satu pagi. Saya balik dulu." Hazril mula melangkah pergi namun dalam hatinya, dia tidak sanggup untuk meninggalkan gadis itu sendirian di kawasan seperti itu. Otaknya ligat memikirkan idea agar gadis itu mengikutnya dan... Ting! Senyuman nakal terukir di bibirnya.
Yes! Idea ni memang aku pasti akan berhasil. Terangguk-angguk Hazril dibuatnya tatkala idea itu muncul di kepala.
Hah! Dia nak tinggal aku sorang-sorang kat sini? Sungguh tidak gentleman! Tadi cakap nak tolong aku! marah Mia. Anak matanya mengekori langkah lelaki tadi. Saat lelaki itu berpaling, dia mengulum senyum.
Haaa, ingat nak tinggal aku dah tadi, desis hati Mia.
"By the way, jangan lupa kirim salam pada kawan dekat sebelah awak tu. Lupa pula saya nak say hai tadi kat dia. Asyik senyum-senyum aje dia tu. Happy betul! Rambut dia tu, awak rebondingkan boleh? Kusut sangat tu. Dahlah panjang menggerbang aje..." sambung Hazril kemudian disertai dengan tawa yang dibuat-buat. Ketawa mengilai!
"Arghhh!" Mia segera keluar dari perut kereta. Tanpa menutup pintu kereta, dia berlari menuju ke arah Hazril dan bersembunyi di belakang lelaki itu.
"Bencinya! Awak ni memang jahat betul! Kejam! Keji!" tutur Mia geram sambil menumbuk belakang badan Hazril.
"Penakut!" Sedaya upaya Hazril cuba menahan tawanya tatkala melihat reaksi Mia.
"Dah! Jangan nak pukul saya. Nah! Pakai ni," arah Hazril sambil menghulurkan topi keledar yang hanya layak masuk ke dalam tong sampah!
"Buruknya! Tak nak... Habislah rambut saya!" Mia memegang rambutnya yang lembut.
"Masya-Allah. Astaghfirullah. Tolong jangan nak melampau sangat boleh tak? Awak perempuan yang paling mengada-ada saya pernah jumpa!" Hazril geram.
"Tapi..."
"Tak payah nak kompelin apa-apa. Nah, pakai ajelah!" Hazril segera memakaikan topi keledar untuk Mia. Selalunya Sara yang pakai topi keledar ni, dia tak pernah pula cakap begitu.
"Hesy! Stop it! Saya boleh pakai sendiri." Mia lantas menepis tangan Hazril.
"Berlagaknya perempuan ni," omel Hazril sendirian namun masih mampu didengari Mia.
"Huh! Whatever!"
Hazril mendengus. Belum sempat dia menyentuh motosikalnya, Mia berdeham beberapa kali sambil bermain dengan hujung rambutnya yang panjang.
Jelingan tajam dihadiahkan kepada Mia.
"Apa hal pula?" soal Hazril dingin.
"Errr... Barang-barang saya ada dalam kereta," kata Mia perlahan.
"Jadi?"
"Ambilkanlah! Tu pun nak kena ajar ke?" Mia sudah memeluk tubuh.
Hazril jegilkan matanya. "Saya bukan kuli, hamba abdi, faham?" Hazril duduk di atas motornya lantas enjin dihidupkan.
"Eee! Cepatlah ambilkan!" jerit Mia.
"Hei, tak sakit tekak ke asyik menjerit aje? Dahlah suara macam itik! Arah orang itu ini sesuka hati. Mintak tolong dengan cara baik tak boleh ke hah?" kutuk Hazril.
Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Bertenang, Mia. Fuh... Dia berdeham beberapa kali.
"Tolong ambilkan barang saya dalam kereta, boleh? Kunci kereta dan beg tangan saya." Mia mengukir senyuman paksa dan mengerlipkan matanya berkali-kali. Suaranya dilembutkan selembut mungkin.
"Tak boleh. Ambil sendiri." Senyuman sinis menghiasi wajah Hazril.
Padan muka. Nak berlagak sangat dengan aku kan. Rasakan!
"Argh!" Kaki dihentak berkali-kali sebelum Mia menapak geram menghampiri keretanya. Beg tangan diambil. Belum sempat dia mengambil kunci keretanya, Hazril sudah menjerit.
"Cepatlah! Nak suruh kawan awak tu ikut sekali ke hah? Tak muat ni. Motor boleh naik dua orang aje." Sengaja Hazril mahu menakutkan Mia.
Wajah Mia serta-merta bertukar pucat. Dia mengunci keretanya dan terus berlari ke arah Hazril lantas segera duduk di belakang lelaki itu.
"Kalau tak takutkan saya, tak boleh ke hah?"
"Tak."
Motosikal ditunggang perlahan. Pipi Mia terasa kebas saat ditampar angin malam yang sangat sejuk!
Mujur motosikal ni ada box, bolehlah aku bersandar dan duduk jauh sikit dari mamat ni! Bau hangit, kutuk Mia walaupun pada hakikatnya, bau lelaki di hadapannya tidak seperti yang dibisikkan di dalam hatinya.
"Rumah awak kat mana?" soal Hazril tiba-tiba dengan nada yang agak kuat.
"Hah?" Mia mendekatkan kepalanya ke bahu Hazril. Dia cakap apa?
"Pekak!"
"Hesy! Mana ada pekak! Saya tak dengarlah! Dahlah bunyi angin ni kuat!" laung Mia seraya menampar bahu Hazril.
Sesuka hati mak nenek dia aje nak cakap aku pekak! marah Mia dalam hati.
"Eh, dengar pula? Saya kutuk awak terus dengar..." Hazril tertawa halus.
Bibir diketap. Geramnya dengan sengkuang sorang ni! Huh... Tapi sekurang-kurangnya dia baik juga mahu tolong aku. Baik ke? Argh! Mia jangan fikir bukan-bukan. Insya-Allah dia baik dan tak buat jahat pada kau. Mia cuba berfikir positif.
"Hei, cepatlah jawab! Rumah awak dekat mana?"
Tersentak Mia dibuatnya. Selepas memberitahu lokasi rumah sewa Keysha, dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.
Setelah 20 minit berlalu, akhirnya mereka berdua berada di hadapan rumah teres dua tingkat. Tanpa mengucapkan terima kasih, Mia turun dari motosikal dan terus membuka pintu pagar seraya menghampiri pintu rumah.
Nasiblah lampu depan ni tak tutup. Kalau tak, mesti gelap! Kereta Keysha yang tersadai di depan rumah dipandang sekilas sebelum mencari kunci rumah di dalam beg tangannya.
Eh? Kenapa tak ada? Beberapa saat kemudian, mata Mia membulat sebelum dia menghentak kakinya berkali-kali.
Kunci rumah ada dalam dashboard kereta! Arghhh!
"Dahlah tak reti nak berterima kasih, lepas tu helmet saya pun nak curi! Bak balik!"
Mia segera memusingkan badannya ke belakang. Kelihatan Hazril sudah bercekak pinggang sambil merenungnya tajam.
"Nah, ambil! Tak ingin nak curi topi buruk busuk ni!" ujar Mia sambil membuka topi keledarnya lantas dibaling kasar ke arah Hazril.
"Isy, perempuan ni..." Hazril mengetap bibir. Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Geram.
Menyesal aku tolong! Memang tak ada adab! Buang masa dia saja.
Topi keledar diletakkan di dalam box. Belum sempat dia menghidupkan enjin motosikalnya, Mia sudah terpacak di hadapannya.
"Ha, nak apa lagi?" soal Hazril dingin sambil menjulingkan matanya ke atas sebelum pandangan dihalakan ke kanan. Malas nak menatap wajah gadis di hadapannya.
"Maaf..."
Terkejut. Serta-merta pandangannya melekat pada wajah Mia. Dia sebut... Maaf? Dia mintak maaf dengan aku ke?
"Tak apa... Tepilah. Saya nak balik. Awak menghalang laluan saya..." tutur Hazril senada.
"Nanti. Emmm, sebenarnya..." Mia kematian kata-kata. Keluhan berat dilepaskan.
Stres aku macam ni. Tadi aku kurang ajar dengan dia, sekarang nak mintak tolong pula. Argh! Malunya... Memang jatuhlah saham aku!
"Sebenarnya apa?"
"Kunci... Rumah... Tertinggal dalam kereta... Dalam dashboard," tutur Mia perlahan sambil melagakan kedua-dua hujung jari telunjuknya.
"Dah tu? Tunggulah depan pintu rumah sampai esok pagi. Apa susah..." balas Hazril spontan.
"Tapi..." Suara Mia sudah bertukar sebak. Tunggu sini? Dia takut!
"Apa?" soal Hazril perlahan. Hatinya mula disapa rasa kasihan. Alahai, kenapa sekarang ni cepat sangat aku kasihan pada orang?
"Saya... Emmm... Saya takut..." Mia memeluk tubuhnya. Pandangannya dihalakan ke arah kanan. Tak mampu nak menatap wajah lelaki di hadapannya. Malu!
"Takut? La, dengan kawan-kawan awak sendiri pun takut ke?" Hazril ketawa.
"Hesy! Bukan kawan sayalah! Kawan awak! Tak payahlah nak buat perangai keji sangat! Nak takutkan saya tak habis-habis!" Lancar saja Mia menghamburkan kata.
"Haaa, jerit kuat lagi. Kawan-kawan awak memang suka dengan orang menjerit kuat ni!" Hazril mengukir senyuman mengusik.
"Bencilah..." Mia muncungkan mulutnya.
"Dah tak ada kunci rumah, sekarang awak nak buat apa?" soal Hazril mula berlembut. Matanya redup memandang Mia.
Anak mata Mia memandang Hazril tatkala lelaki itu bersuara. Wah! Boleh pula dia cakap macam ni. Terus rasa terpikat dan matanya...
Eh? No! No! Buah hati aku, Aqil Thaqif nak letak mana? Mia menggeleng beberapa kali.
"Berangan tak habis-habis..."
Bebelan Hazril menerbangkan lamunan Mia.
"Saya tak tahu. Kalau nak ke kereta balik, macam jauh. Kesian pula dekat awak. Duit saya tinggal sikit aje ni. Nak call kawan, bateri handphone habis. Tadi masa dalam perjalanan ke sini, saya ada nampak telefon awam tapi semuanya rosak..." tutur Mia perlahan.
Saat itu, dia mula menyumpah orang-orang yang menyebabkan telefon awan menjadi begitu. Sudahlah sekarang zaman teknologi moden, telefon awam makin pupus, boleh pula mereka rosakkan. Dasar vandalisme tak guna.
Hazril mengeluh kecil. Apa aku nak buat ni? Nak tinggalkan dia sorang-sorang di sini, macam tak patut pula.
"Apa kata awak ikut saya balik, nak?" Akhirnya Hazril memberi kata putus.
"Sebab kalau nak dibandingkan dengan lokasi kereta awak, rumah saya lagi dekat..." sambungnya lagi.
"Hah!" Aku? Ikut dia balik? Gulp! Air liur ditelan berat.
"Awak jangan risaulah. Saya ada ibu, ada adik. Saya takkan apa-apakan awak." Hazril turun dari motosikal. Topi keledar yang berada dalam kotak di belakang diambil lalu dihulurkan kepada Mia.
"Nah, pakai topi ni..."
"Errr... Kena pakai juga ke? Habislah rambut saya. Ni pun dah berbau dah," kata Mia sambil mencium rambutnya.
Eh, wangi aje. Pandai-pandai aje aku cakap busuk.
"Jangan banyak songeh sangat boleh tak? Cepat pakai dan naik motor ni! Kalau lambat saya tinggal," tegas Hazril. Dah lewat sangat dah ni!
Argh... Time aku tidur pun dah terlepas ni. Mengantuknya!
Mia turutkan saja. Dalam hati dia berdoa, berharap agak lelaki di hadapannya ini tidak mengambil kesempatan dan benar-benar manusia baik.
Kalau daddy aku tahu aku ikut lelaki lain balik rumah, memang kena pancunglah aku!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro