Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

MEREKA bertiga melangkah masuk ke dalam warung itu seperti orang lain. Jam sudah menganjak ke angka sebelas malam, namun masih ramai pengunjung di warung yang dikatakan menyediakan makanan yang sangat lazat sehingga tular di media sosial.

Melilau tiga pasang mata mencari tempat kosong. Mereka terus ke arah tempat duduk yang agak jauh dari pelanggan lain. Beberapa pasang mata liar kini memandang mereka tanpa berkelip.

"Aku rasa macam tak selesalah apabila semua orang tengok kita. Apa pelik sangat ke kita ni? Aku rasa aku tak adalah pakai crown, baju labuci, baju pengantin bagai. Tambah-tambah kau, Mia. Sakan dia orang perhatikan kau." Keysha membuka bicara tatkala melihat lelaki-lelaki muda memandang sahabatnya, Mia Adlina.

"Haah, betullah. Tengok tu, mata masing-masing tak berkerlip." Afina mengeyakan juga dengan nada yang kurang selesa. Matanya turut meliar memandang sekeliling.

"Biarlah... Dasar gatal. Tak pernah tengok orang ke apa? Handsome tak apa juga. Sedaplah sikit mata nak balas pandangan dia orang tu," balas Mia dengan gaya flip hair.

Tawa mereka bertiga bersatu.

"So, who's the naughty one now?" soal Afina dengan tawa yang masih bersisa.

"Entah. Not me okay!" jawab Mia dan Keysha serentak.

"Kau orang ni, aku main-main ajelah. Tapi apa-apa pun, setakat nak tengok tu tak apa. Kalau lebih-lebih memang mampus la dengan aku. Takkanlah aku nak menduakan orang yang bertakhta dalam hati aku ni." Mia mencari telefon bimbit di dalam beg tangannya.

"Hati aku, only for this charming guy..." sambung Mia sambil menayangkan wajah jejaka kacak yang terpapar sebagai wallpaper di skrin telefon bimbitnya.

"Aqil Thaqif! Aku suka tengok dia. Dahlah senyum manis, handsome, pandai ambil hati, caring, untung kau dapat dia," puji Keysha melambung.

"Romantik pula tu," celah Afina.

"Betul! Sebab tu aku terpikat dengan dia. Bukan sebab dia handsome, tapi dia pandai ambil hati aku. Yang lain tu bonus. Cumanya, kalau jumpa lelaki yang lain, yang sedap mata memandang, yang indah-indah, boleh lagi nak cuci mata. Aku kan suka tengok benda-benda yang indah." Mia tertawa halus.

"Amboi, ada hati nak skodeng mamat lain. Si Aqil tahu, mengamuk lepas tu merajuk, padan muka kau! Lelaki kalau merajuk ni memang tak boleh bawa bincang weh. Pening kepala nanti." Kata-kata Afina mendapat anggukan daripada Keysha.

Perangai Mia dari dulu tak berubah. Cuci mata memang menjadi hobi utama. Bukan setakat cuci mata tapi menganalisis watak-watak lelaki juga. Lepas menganalisis, masing-masing bergosip. Perangai kebanyakan wanitalah katakan tapi perangai seperti ini hanya sah dalam kalangan sahabat sahaja. Sahabat, bukan kenalan. Kalau bergosip dengan kenalan, silap hari bulan boleh kena ceramah. Kenapa hendak serius sangat pun tak tahulah. Chill sudahlah.

"Aqil dah tahulah hati aku ni untuk dia aje. Dia percayakan aku, aku pun percayakan dia." Mia tersengih.

"Eh, kau orang tak kesah kan makan kat sini?" sambungnya lagi sekadar mahu tukar topik. Kalau nak bercerita pasal Aqil ni, sampai esok pun dia tak kesah. Tapi tak naklah asyik bercerita pasal lelaki aje.

"Kau ingat kami memilih sangat ke? Janji kenyang dan murah. Itu aje yang penting sekarang. Tambah-tambah aku ni yang duduk merantau jauh, kenalah berjimat sikit. Sebulan sekali aje boleh makan mahal-mahal..." tutur Keysha bersemangat.

"Betul... Sekali-sekala naklah juga tukar selera. Dahlah sekarang ni semuanya harga tinggi, gayat!" Mia menambah.

Walaupun dia anak orang berada namun dia tidak cerewet tentang makanan. Yang mana nampak sedap, semua dia bedal. Janji halal. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan lain yang datang dari keluarga berada tak suka dengan perangainya yang satu itu. Mereka fikir tempat macam ni makanan kotor agaknya.

Heh, kalau kotor, mesti dah bercambah-cambah orang sakit perut, lepas tu masuk hospital. Mengada-ada aje lebih. Berlagak cakap ajelah berlagak, desis hati Mia sendiri.

"Weh, mana pelayan ni? Lambatnya! Aku dahlah lapar gila ni. Dari petang tadi tak makan benda berat, makan benda merapu banyaklah..." rungut Keysha sambil memegang perutnya.

"Sabarlah, kan ramai orang tu. Aku pun lapar juga," celah Afina.

Mia menggeleng melihat sahabatnya yang sudah menunjukkan riak muka orang yang kebuluran. Telefon bimbit dimasukkan kembali ke dalam beg tangan. Rambut yang menutupi dahinya dikuis sedikit. Tatkala memandang wajah Afina dan Keysha yang duduk bertentangan dengannya, dahinya berkerut seribu.

"Eh, kenapa dengan kau orang ni?" soal Mia hairan.

Diam.

"Diam pula, kenapa ni weh?"

"Kau tengok la tu, beb. Tiba-tiba selera aku dah hilang. Pandang dia pun dah buat muka aku jadi kenyang." Mata Afina bersinar-sinar.

"He's more delicious than a cheese cake!" ujar Keysha pula.

"Apa benda yang kau orang merepek ni?" Mia berpaling ke belakang.

Dia terpempan! Tiba-tiba seperti ada kejutan elektrik mengalir di badannya tatkala memandang seorang lelaki sedang menapak menghampiri mereka. Setiap langkah seakan-akan model di atas pentas peragaan.

Pakaian lelaki itu sederhana, jean dan baju T biasa berwarna hitam. Sehelai tuala 'good morning' terselit di sebelah poket kirinya. Tangan kanannya juga ada tuala yang sama, yang dililit cantik di pergelangan tangan dan rambutnya, tak dapat diteliti kerana dia memakai topi. Setiap langkah lelaki itu dipandang dengan mata yang langsung tidak berkerlip sehinggalah lelaki itu berhenti di sisi meja mereka seraya menghulurkan buku menu.

Oh My God! Takkanlah lelaki ni... Pelayan?

"Oder, miss..." ujar lelaki itu bersama senyuman manis. Wajah tiga gadis di hadapannya dipandang silih berganti.

Mia sudah seperti mahu pengsan. Sedapnya suara dia! Maco! Lagi maco daripada suara Aqil dan senyumannya, walaupun senyuman itu hanya senyuman nipis. Wah! Tak mampu dia nak gambarkan dengan kata-kata tapi yang pasti... Senyuman itu indah.

Eh? Apa dia merepek ni? Kenapa dia bandingkan lelaki yang dia tak kenal dengan buah hati sendiri? Mia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Mata Keysha dan Afina juga masing-masing diam. Terpegun. Menu pula tidak dipandang walaupun sekilas. Mata masing-masing masih melekat pada pelayan yang entah siapa namanya itu.

"Ehem... Oder apa, miss?" Lelaki itu berdeham beberapa kali sebelum menyoal sekali lagi.

Mia, Afina dan Keysha kembali ke alam nyata. Mereka turut berdeham sambil menyambar menu yang berada di atas meja. Kontrol malu.

"Saya nak... Nasi Goreng Udang... Dan... Emmm... Air Sirap Laici..." tutur Keysha perlahan bersama senyuman manis di bibir.

"Saya nak Nasi Goreng Sotong... Same drink," pesan Afina pula lantas mata dikerlipkan berkali-kali kepada pelayan itu.

Lelaki itu tersenyum nipis lantas menulis menu yang dipesan.

Mia sekali lagi terpanar. Dia kidal! Oh, aku memang suka dengan lelaki kidal ni, spesial! puji Mia dalam hatinya.

Lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya kepada Mia yang belum memesan makanan. Gadis yang paling menarik perhatian pengunjung di restoran itu.

Menu yang berada di tangannya pantas diteliti, tapi entah kenapa hatinya membuak-buak untuk berborak panjang dengan pelayan itu. Okey! Menu diletakkan di atas meja dan matanya mula memandang anak mata lelaki itu. Mia tersenyum senget apabila otaknya mula terfikir idea nakal.

Berkerut dahi lelaki itu apabila terpandang senyuman nakal yang menghiasi wajah Mia.

"Makanan apa yang spesial di sini?" soal Mia berpura-pura serius.

Terkebil-kebil lelaki itu. Wajahnya kelihatan sedikit terkejut dengan pertanyaan Mia. Kemudian dia tersenyum.

"Semua makanan yang dihidangkan di sini semuanya spesial. Insya-Allah, menepati cita rasa orang Malaysia dan sudah semestinya sedap."

Mia mengecilkan matanya. Itu jawapan standard!

"Spesifiklah... Apa menu yang paling sedap?" soal Mia lagi dengan nada tidak puas hati. Perkataan 'paling' ditekankan.

Riak wajah lelaki itu bertukar. Dia memandang wajah mereka bertiga silih berganti. Afina dan Keysha masing-masing cuba menyembunyikan senyuman.

Lelaki itu mendekatkan kertas menu kepadanya. Jari telunjuk mula memainkan peranan. "Selalunya, pelanggan pesan makanan-makanan ni." Beberapa menu yang sering dipesan pelanggan ditunjukkan kepada gadis di hadapannya satu per satu.

"Ini banyak. Saya nak satu saja. Satu. Jadi bagi saya satu menu yang paling sedap. Susah sangat ke?"

Terdengar keluhan lelaki itu apabila Mia selesai berbicara.

"Cik boleh pilih aje yang mana saya bagi tahu tadi..."

"Awaklah syorkan satu menu yang saya wajib makan. Kalau tak makan, memang rugi. Haaa, saya nak yang macam tu."

Terlepas dengusan kecil di bibir lelaki itu.

"Cik, kalau lapar semua sedap. Mungkin salah satu menu yang saya tunjuk ni tak kena dengan selera cik, tapi apa pun cik, makan nasi dengan air garam pun dah sedap kalau cik betul-betul menghargai makanan. Cik nak cuba ke? Saya boleh tolong pesankan. Saya nak tolong siapkan nasi tabur garam pun boleh." Bibir lelaki itu mengukir senyuman. Kali ini dengan sinis sekali!

Hati Mia mula panas dengan jawapan itu. "Eh, awak pelayan, sepatutnya apa yang saya tanya awak kena jawab betul-betul. Bukan nak sinis-sinis dengan saya."

"Saya rasa saya dah jawab, jadi..."

"Tak, awak tidak menjawab soalan langsung!" Mia mencantas.

"Sebenarnya, cik ni nak makan ke tidak?" Jelas kelihatan yang lelaki itu sudah mula rasa tidak puas hati.

"Saya nak tahu menu apa yang paling sedap!"

"Jangan banyak songehlah, cik. Ambil aje nasi goreng biasa kalau dah tak tahu sangat nak makan apa. Jangan nak buang masa saya, banyak lagi kerja yang saya kena buat," tutur lelaki itu sambil ligat menulis sesuatu di atas kertas kecil yang berada di tangannya.

"What!" Mia mengetap bibir. Kurang ajarnya jawapan dia.

Keysha dan Afina hanya mampu memandang mereka berdua silih berganti dengan mulut ternganga. Mulanya mereka menyangka semua ini hanya usikan semata-mata, tapi tak tahu pula usikan akan bertukar pergaduhan seperti ini.

"Air?"

Belum sempat Mia menjawab, lelaki itu terlebih dulu menjawab soalannya sendiri.

"Okey, teh O ais aje. Lupa yang cik tak reti baca menu..." tuturnya spontan dan mengambil buku menu di atas meja dan berkira-kira untuk melangkah pergi.

Bibir diketap. Sombongnya!

"Hei! Siapa nama awak hah? Apa hal biadab sangat?"

Soalan Mia menyebabkan langkah lelaki itu terkunci. Orang yang duduk berdekatan meja mereka mula berpandangan sesama sendiri sambil mengomel.

Lelaki itu berpaling memandang Mia yang sedang menayangkan wajah tidak puas hati. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

"Siapa yang biadab sebenarnya?"

Mia hanya menjeling.

"Ingat saya tak tahu ke yang cik sengaja nak kenakan saya?"

Makin menggelegak darah Mia. "Siapa nama awak?"

"Penting ke?" soal lelaki itu dingin.

"Penting!"

"Nak buat apa? Aduan?"

"Yep!"

"Bodohlah saya kalau saya bagi tahu nama saya. Tak sangka, muka dah cun tapi kurang bijak." Lelaki itu melangkah pergi setelah menghadiahkan jelingan tajam kepada Mia.

"Eiii! Harap muka aje handsome, perangai... Teruk!" Mia mengetuk meja kuat! Nafasnya sudah naik turun. Wajahnya yang putih bersih itu sudah bertukar merah. Marah!

"Wow! First time la lelaki layan kau macam tu..." tutur Keysha setelah lama mendiamkan diri.

"Sebab itulah aku geram sangat ni! Hesy! Kalau ikutkan hati aku ni, nak aje aku lempang muka dia tu."

"Tapi salah kau juga. Yang kau nak test dia tu dah kenapa? Siap tanya bukan-bukan lagi. Aku rasa dia tu dah penuh sabar jawab soalan kau. Kau cari pasal lagi, dia benganglah tu..." Afina menggeleng berkali-kali.

"Aku saja aje. Aku cuma nak cari topik untuk borak dengan dia. Tanya menu tu mukadimah aje. Tunggulah! Nanti dia hantarkan makanan untuk kita nanti... Memang siap dia!" Mia geram.

Malangnya, setelah 15 minit menunggu, seorang gadis kecil molek yang menghantar makanan di meja mereka, bukan lelaki itu.

Mia mendengus. Tak apa, hari ni hari kau. Esok, aku datang lagi di sini dan aku kerjakan kau cukup-cukup. Huh!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro