Bab 4
Majlis perkahwinan yang menggunakan perkhidmatan daripada butik aku berlangsung dengan meriah, tanpa ada rungutan daripada pasangan pengantin, mahupun daripada keluarga pasangan pengantin. Kedua-dua pasangan itu hanya tersenyum dengan hasil bayaran yang dibayar oleh mereka. Aku menarik nafas lega apabila melihat senyuman itu.
Fauzan membantu aku dalam hal fotografi. Dari majlis akad nikah sehinggalah ke majlis bersanding. Fauzan cepat belajar akan sesuatu. Kami berdua sama-sama menumpukan perhatian kepada tugas di dalam majlis.
"Family photo!" ujar pengantin lelaki kepada ahli keluarga. Ahli keluarga mula berkumpul untuk mengambil gambar bersama-sama dengan pasangan pengantin. Aku yang bertugas sebagai jurukamera utama sudah bersiap sedia dengan kamera kesayangan aku.
Aku menghalakan lensa kamera ke arah pasangan pengantin yang sudah dihimpit oleh ahli keluarga untuk mengabadikan kenangan dalam majlis penuh gemilang ini.
"Senyum semua... Satu... Dua... Tiga..." Jari aku menekan butang kamera. Terpahat satu potret famili di dalam kamera aku.
"Free style!" arah aku kepada ahli keluarga tersebut. Dengan penuh selamba mereka semua berlagak aksi selamba. Dengan kiraan tiga, sekali lagi aku mengabadikannya sebagai satu kenangan.
"Friends photo!" ujar pengantin lelaki kepada rakan-rakannya pula.
Ahli keluarga mula bersurai dan digantikan pula dengan rakan-rakan pasangan pengantin. Masing-masing mula mengambil tempat untuk mengambil gambar bersama-sama dengan pasangan pengantin yang kelihatan bergaya di dalam sut dan juga gaun.
"Riz! Kau jangan malu alah nak ambil gambar. This is my wedding, okay?" tegur pengantin lelaki kepada rakannya yang tidak turut menyertai mereka.
Spontan aku memandang ke arah lelaki yang dipanggil Riz oleh pengantin lelaki. Tergamam aku seketika. Dia? Bukan ke dia... Chinese guy yang drive Audi beberapa minggu lepas? Yang selamba parking kat tempat parking aku? Bukan dia ke?
"Fariz Adryan... Come join us!" Salah seorang rakan pengantin mula memanggilnya. Seorang demi seorang mula memaksa gerangan yang dipanggil Fariz Adryan bergambar bersama. Pemuda yang berwajah seperti bangsa Cina mengalah dan menyertai rakan-rakannya.
Dia Melayu? Biar betul? Mati-mati aku ingatkan dia Chinese. Fariz Adryan... Boleh tahan nama tu, sesuai dengan orangnya. Ya Allah! Apa aku merepek ni? Ingat rocketman, Zara. Dia buah hati pengarang jantung kau.
"Ready semua... On my count! One... Two... Three!" Snap!
"Ermmm... Zara, boleh ambil gambar saya dengan Fariz?" pinta pengantin lelaki kepada aku. Aku mengangguk setuju.
Pengantin lelaki yang segak bersut kembali mendapatkan gerangan Fariz Adryan. Tidak lama kemudian, kedua-duanya mendapatkan aku semula. Aku dan Fariz berpandangan seketika. Bibir Fariz seperti mahu menuturkan sesuatu kepada aku. Tetapi aku tidak mengendahkannya.
"Okay... Ready!" Dalam kiraan tiga, sekeping gambar diambil oleh aku. Kemudian, kepingan kedua diambil dengan aksi yang berbeza pula.
Pengantin lelaki mendapatkan ahli keluarganya apabila dipanggil. Hanya Fariz masih terpacak berdiri di hadapan aku. Aku abaikan sahaja susuk tubuh itu sambil meneruskan kerja aku semula, mengambil gambar setiap aksi para tetamu yang hadir.
"Mana kau park kereta buruk kau?" soalnya tiba-tiba dengan bahasa yang aku rasakan amat 'sopan' sekali.
"Di tempat yang sememangnya khas untuk saya," balas aku semula.
"Masih block kereta orang?" soalnya menyindir aku akan kejadian lepas.
"Tempat khas untuk saya. Tak perlu nak block kereta orang lain pun," jawab aku tidak mahu kalah dengan perang sindiran kami berdua.
"Berlagak!" tempelak Fariz dengan dengusan kecil lalu mengorak langkah meninggalkan aku.
Eh? Siapa yang berlagak sebenarnya? Dia ke aku? Jawapan aku dikira berlagak juga ke? Dah memang betul apa yang aku jawab. Takkan van aku yang nak mengangkut barang-barang diletakkan di luar kawasan dewan? Semestinya aku parkir berdekatan dengan dewan, dikhaskan hanya untuk untuk perancang perkahwinan seperti aku. Ini memudahkan kerja-kerja aku untuk mengangkat barang masuk ke dalam van apabila selesai majlis nanti.
Apalah nasib aku bertemu dengan orang yang berlagak sombong macam ni? Dah la muka dikategorikan boleh tahan kacak, tapi perangai... Hampeh! Berlagak! Malang la sesiapa yang jadi isteri dia. Cemberut aje wajah kacak tu. Nak cepat tua agaknya kut.
Seperti yang dijanjikan dengan mak lang minggu lepas, selesai sahaja majlis yang aku uruskan, aku akan pulang ke kampung menjenguk mak lang dan pak lang. Setelah memberi pesanan kepada pekerja-pekerja, aku meninggalkan Kuala Lumpur. Butik dan kedai bunga aku tinggalkan di bawah pengawasan Kak Lina, pekerja lama sejak arwah ibu ada lagi.
Aku memandu kereta buruk yang dipanggil oleh gerangan Fariz Adryan. Buruk ke? Proton Satria... Memang la oldies. Tapi, tetap bertahan sehingga sekarang. Banyak berjasa kepada aku sejak aku belajar sehinggalah sekarang.
Aku berhenti sekejap di Hentian Sungai Perak untuk mengisi perut aku yang kosong sejak pagi tadi. Sempat lagi aku membeli sedikit buah-buahan untuk mak lang. Selesai mengisi perut, aku kembali ke kawasan parkir.
Langkah kaki aku terhenti tidak jauh dari tempat kereta aku diparkir. Kelihatan sebuah kereta mewah yang berwarna putih terparkir di sebelah kereta aku. Bukan kerana kereta itu yang membuat aku bereaksi seperti begitu. Tetapi gerangan kelibat yang sedang bersandar di kereta mewah itu.
Pandangan aku tidak salah lagi melihat gerangan itu walaupun hanya dari sisi. Dia kelihatan santai dengan kemeja T berkolar dan juga seluar jean berwarna hitam tersarung ke tubuhnya. Cermin mata hitam tidak lekang dari wajahnya yang persis keturunan Cina. Dia kelihatan leka mengunyah buah yang dibelinya.
"Nak berjemur di tengah panas ke? Tak takut kulit gelap?" tegurnya tanpa memandang aku. Aku tersedar daripada lamunan.
"Patut la macam kenal kereta buruk ni. Ingatkan tadi nak block aje di bahagian belakang kereta kalau tak ada parking kosong. Nasib baik ada parking kosong kat sebelah kereta buruk ni," sindir Fariz yang masih leka mengunyah buah.
"Buruk perangai bercakap sambil mengunyah," sindir aku kembali yang sudah menghampiri kereta.
Fariz terdiam. Wajahnya masih mempamerkan riak wajah sombong. Aku tidak mempedulikan pandangannya yang memandang aku.
"Boleh pula kereta buruk ni bertahan sampai ke sini. Takut juga kalau tinggal tayar aje." Fariz Adryan masih tidak mahu mengaku kalah. Aku hanya mengabaikan sindiran itu. Sabar, Zara. Buang masa aje nak bertekak dengan dia.
"Opocot!" Tidak semena-mena, si sombong boleh pula melatah. Hilang kekacakannya! Hilang lagak sombong Si Fariz Adryan. Terasa mahu meletus ketawa aku di situ juga dengan latahnya dek terkejut dengan deringan telefon bimbit.
"Waalaikumussalam. Ya, ma," sapa Fariz cuba mengawal perasaan malunya di depan aku.
"Angah ada di Sungai Perak. Singgah makan sekejap. Mungkin lagi dua jam sampai la kat sana. Ya, mama. Nanti angah call bila dah sampai kat hotel. Don't worry, ma. Angah bukan budak lagi. Tahulah angah jaga diri," bual Fariz.
Aku seperti tertarik ingin mendengar perbualan Fariz. Tetapi apabila difikirkan semula, tidak sopan aku memasang telinga. Dia siapa, dan aku pula siapa? Kenal pun tidak. Hanya tahu nama dia, Fariz Adryan. Titik!
"Angah datang dua hari aje, ma. Tak lama pun. Angah minta maaf sebab tak beritahu mama. Nanti angah dah balik KL, angah balik rumah papa. Pesan kepada alang tolong tengokkan Captain dengan Nemo di rumah angah. Karang mati kebulur pula," pesan Fariz lagi.
Sembang dengan mama rupa-rupanya. Anak manja mama la ni. Hmmm... Tak padan dengan muka handsome, tapi anak manja mama. Aku malas mahu memasang telinga lagi. Lantas aku loloskan tubuh ke dalam perut kereta.
Aku mengundur kereta dari kotak parkir. Aku memberhentikan kereta sebelum melewati Fariz yang sudah tidak berbual lagi di telefon. Mulutnya kembali mengunyah buah. Aku menurunkan cermin tingkap kereta dan menjengulkan kepala aku ke luar.
"Orang-orang tua selalu pesan, buruk perangai kalau makan sambil berdiri. Opocot!" sindir aku kembali dengan senyuman kemenangan apabila Fariz mengetap gigi dengan sindiran aku. Nak lawan dengan Zara, kan? Ni, Izara Batrisya la! Juara debat sekolah!
Aku ketawa kecil sendirian di dalam kereta apabila mengenang kembali wajah terkejut Fariz dengan deringan telefon bimbitnya. Boleh pula dia melatah. Aihhh... Hilang handsome. Kalau melatah depan awek, mesti kena gelak sakan.
Sedang aku ketawa sendirian, aku dikejutkan dengan bunyi hon dari belakang kereta. Pantas aku memandang cermin pandang belakang. Terkejut aku dengan gerangan kereta mewah yang berwarna putih itu. Sekejap sahaja dia sudah berada di belakang aku.
Tersungging senyuman nakal di bibir aku. Nak main-main, eh? Perlahan-lahan kaki aku yang menekan pedal minyak diangkat sedikit demi sedikit dari pedal. Kelajuan kereta mula berkurangan dan beransur-ansur menjadi perlahan. Semakin bingit telinga aku dengan bunyi hon dari kereta mewah yang membuntuti dari belakang. Aku tidak mengendahkan bunyi yang membingitkan itu.
Tidak sampai seminit, kereta mewah itu memberi isyarat ke kanan dan segera memotong kereta aku. Dan pantas sahaja kereta itu menukar laluan dan berada di hadapan aku pula. Kelajuannya sengaja dikurangkan. Apabila aku mula menekan pedal minyak, dia juga seperti mahu menambah kelajuan keretanya pula.
Arghhh! Fariz Adryan! Apa kena dengan dia ni? Gengster lebuh raya! Aku tahu la kereta kau mewah, tak perlu nak berlagak dengan aku. Aku cuba mencari peluang untuk memotong kereta milik Fariz. Ada sahaja peluang, terus aku memotong kereta yang dipandu oleh Fariz. Aku menyelit-nyelit di celahan kenderaan yang bergerak laju di lebuh raya.
Alhamdulillah... Akhirnya, tiada lagi kelihatan kereta mewah milik pemandu berlagak sombong, Si Fariz Adryan. Perjalanan aku kembali tenang dan aman. Sehinggalah sekali lagi aku terlihat akan kelibat kereta milik Fariz di atas jambatan Pulau Pinang.
Kereta itu hanya melewati aku tanpa mengganggu perjalanan aku lagi. Aku melihat sekilas ke arah Fariz yang sedang memandu kereta. Kelihatan bibir Fariz terkumat-kamit bergerak. Lagak gayanya seperti berbual dengan seseorang. Guna handsfree kut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro