Bab 2
Selesai sahaja menguruskan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan aku di bahagian fotografi untuk majlis pertunangan mereka, aku kembali menyambung tugas aku yang tergendala sebentar tadi.
"Kak Zara... Saya ada cadangan untuk Kak Zara," ujar Farid tiba-tiba. Entah bila la dia membuntuti aku masuk ke dalam bilik kerja aku?
"Cadangan apa, Farid?" soal aku semula kepada Farid.
"Since tiada feedback mengenai iklan jawatan kosong photographer tu, apa kata adik lelaki saya bantu Kak Zara? Lagipun dia baru aje grad dalam bidang fotografi. Dan masih mencari kerja," usul Farid kepada aku.
Jari aku yang sejak tadi menekan tetikus terhenti. Otak aku ligat memikirkan cadangan Farid. Anak mata aku terarah kepada Farid. Cadangan yang agak baik, sebenarnya. Dah ada asas fotografi. Tak perlu nak ajar lebih-lebih. Hanya perlu didedahkan dengan suasana yang sebenar.
"Esok suruh dia datang interview. Dan bawa sekali portfolio kalau dia ada buat," arah aku. Farid tersenyum gembira.
"Adik saya ada portfolio. Kak Zara jangan risau. Kak Zara mesti suka," ujar Farid dengan gembira. Belum sempat aku membuka mulut, Dayana pula datang memanggil aku.
"Puan Marina datang nak jumpa Kak Zara," celah Dayana.
Berkerut wajah aku memikirkan gerangan Puan Marina yang disebut oleh Dayana. Nama macam biasa didengar. Tapi... "Puan Marina?" sebut aku semula dengan sebuah pertanyaan.
"Puan Marina... Dengan anak lelaki dia yang handsome tu. Yang langgar kereta Kak Zara minggu lepas. Lelaki yang kita sangkakan Chinese tu," celah Farid pula mengingatkan aku akan gerangan pemuda yang berlanggar dengan kereta aku.
"Oh... Okey!" sahut aku apabila telah mengingati semula akan gerangan wajah-wajah yang muncul di butik aku pada minggu lepas selepas perlanggaran kereta.
Aku kembali meninggalkan kerja aku dan keluar mendapatkan pelanggan yang sedang menunggu aku. Kelihatan Puan Marina sedang berbual dengan seorang wanita sambil membelek pakaian pengantin yang bergantungan.
"Ehem... Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tegur aku apabila telah menghampiri Puan Marina dan wanita itu. Spontan kedua-duanya menoleh dan memandang aku.
"Zara... Kenalkan, ni anak sulung saya, Nadhrah." Aku dan Nadhrah bersalaman sebagai tanda perkenalan. Kemudian, tersungging senyuman di wajah Nadhrah dan Puan Marina. Kenapa dia orang saling tersenyum pula?
"Ada apa-apa yang saya boleh bantu puan dan Cik Nadhrah?" soal aku sekali lagi akan kedatangan mereka berdua di butik.
"Panggil saya Kak Nadhrah aje. Tak payah formal sangat," tegur Nadhrah. Aku tersenyum kepada Nadhrah.
"Sebenarnya, saya dan anak saya datang mengenai cadangan saya minggu lepas. Mengenai upah jahit pakaian kami sekeluarga di majlis nanti," terang Puan Marina. Aku mengangguk kecil lalu menjemput mereka anak-beranak melabuhkan punggung di atas sofa yang disediakan.
"Kain untuk membuat pakaian saya dah beli. Untuk lelaki dan perempuan," ujar Kak Nadhrah lalu menghulurkan beg kertas yang mengandungi kain kepada aku.
"Ukuran badan?" soal aku semula.
"Untuk perempuan hanya saya, mama dan juga this little girl. Untuk lelaki kena tunggu suami, adik dan papa saya datang sekejap lagi," jawab Kak Nadhrah. Spontan aku menyorot pandangan ke arah kanak-kanak perempuan yang duduk bersebelahan dengan Kak Nadhrah. Eh? Bila pula...
"Nana... Anak perempuan saya." Kak Nadhrah memperkenalkan kepada aku kanak-kanak perempuan itu.
"Auntie Zara..." Aku menghulurkan salam perkenalan kepada Nana. Teragak-agak Nana hendak menyambutnya.
"Salam Auntie Zara, sayang," tegur Puan Marina. Nana menyambut huluran tangan aku lalu tunduk mencium tangan aku.
"That is my girl," puji Kak Nadhrah.
"Zara asal dari mana? Memang orang KL ke?" soal Puan Marina akan perihal diri aku. Aku menggeleng kecil.
"Asal dari Penang. Arwah ibu dan abah berpindah ke KL sebab arwah abah kena posting ke KL," jawab aku.
"Posting?" soal Kak Nadhrah semula.
"Arwah abah polis. Arwah ibu pula uruskan butik ni sambil dibantu saya dan arwah abah," terang aku.
"Maaf kalau saya bertanya, parents Zara sekarang..." Kata-kata Puan Marina terhenti di situ sahaja.
Aku sudah dapat mengagak akan pertanyaannya itu. Aku tersenyum hambar lalu mengangguk kecil. "Arwah ibu dan abah dah meninggal dalam kemalangan jalan raya tiga tahun yang lepas. Saya hidup sendirian di KL," sambung aku.
"Tiada ahli keluarga yang lain?" teka Kak Nadhrah.
"Ada seorang kakak di Auckland. Abang ipar saya bekerja di pejabat kedutaan Malaysia di sana. Kakak pula kerja sebagai pensyarah di sana. Mak saudara yang lain pula ada di kampung, Penang dan Perlis," jawab aku.
"Zara jangan sesekali kata Zara sendirian di KL. Saya dan mama ada untuk Zara. Kami sekeluarga ada untuk Zara." Tegas kata-kata Kak Nadhrah. Terkejut kecil aku dengan kata-kata Kak Nadhrah. Apa hal pula ni?
"Betul tu, Zara. Kami sekeluarga ada untuk Zara," sahut Puan Marina pula mengiakan kata-kata Kak Nadhrah.
Biar betul ni? Baru dua kali berjumpa, Puan Marina dah mula berperangai pelik. Kak Nadhrah pun sama ni. Pelik pula aku dengan dua-dua beranak ni. Belum sempat aku membuka mulut, kedengaran sensor pintu utama.
Spontan, aku, Puan Marina dan Kak Nadhrah mengalihkan pandangan ke arah pintu utama. Farid menekan butang unlock untuk membenarkan beberapa batang tubuh yang sedang menunggu di luar masuk ke dalam butik.
"Selamat datang," sapa Farid sambil membuka pintu utama.
"Papa!" panggil Nana lalu meluru ke arah seorang lelaki yang berusia 30-an. Mungkin ini suami Kak Nadhrah.
Selain daripada suami Kak Nadhrah, terselit juga beberapa wajah yang lain. Seorang lelaki yang berusia lingkungan 50-an, seorang pemuda yang telah aku kenali kerana dia yang melanggar keretaku minggu lepas dan juga seraut wajah wanita yang manis bertudung. Aku juga amat mengenali wanita itu kerana dia bekerja berdekatan kawasan ini.
"Suami saya, Abang Yusri. Dan ini, papa saya." Kak Nadhrah memperkenalkan ahli keluarganya kepada aku.
"Itu bakal pasangan pengantin. Zara ingat lagi, kan? Mikail dan Aliya," celah Puan Marina pula. Aku mengangguk kecil. Aku membalas senyuman papa Kak Nadhrah. Raut wajahnya iras dengan seseorang.
"Angah mana?" soal papa Kak Nadhrah. Masing-masing tertanya-tanya akan gerangan angah yang dipanggil oleh mereka sekeluarga.
"Nad ingatkan angah nak datang dengan papa," jawab Kak Nadhrah.
"Taklah. Awal-awal pagi lagi dah hilang dari ofis. Papa ada tanya dekat Syiqah, Syiqah kata angah dah keluar," balas papa Kak Nadhrah pula.
"Mie call angah aje la," celah bakal pengantin lelaki yang menggelarkan dirinya Mie.
Masing-masing saling berbual sesama mereka. Sesekali aku memandang wajah Mikail dan Aliya. Sama-sama padan! Seorang kacak dan seorang lagi cantik. Bagai pinang dibelah dua jika digandingkan di atas pelamin nanti.
"Angah kat mana? Kita orang semua dah ada di butik," soal Mikail apabila talian berjaya disambungkan.
"Kan alang dah SMS alamat butik kepada angah semalam. Syiqah beritahu, angah dah keluar pagi tadi," sambung Mikail lagi selepas mendengar butir perbualan di hujung talian.
"Yalah. Nanti alang beritahu papa dan mama," ucap Mikail. Beberapa saat kemudian, talian dimatikan oleh Mikail.
Semua ahli keluarga termasuk aku memandang Mikail. Eh? Kenapa pula aku juga nak ambil tahu akan gerangan si angah yang disebut-sebut oleh dia orang sekeluarga?
"Angah kata dah datang awal pagi tadi. Tapi, tak sempat nak singgah butik sebab angah dapat emergency call daripada engineer. Angah kena pergi site, ada masalah," ujar Mikail. Masing-masing melepaskan keluhan kecil.
"Tak apalah. Kita ambil ukuran badan sesiapa yang datang hari ni. Ukuran badan angah nanti mama suruh angah datang sendiri," cadang Puan Marina, meredakan suasana ketika itu.
Kenapa la aku rasa gerangan si angah ni seperti tidak suka akan perjumpaan famili macam ni? Apa yang disembunyikan oleh gerangan si 'angah' ni? Seronok apa dapat berkumpul seluruh famili macam ni. Suasana majlis bersejarah yang bakal berlangsung tidak lama lagi akan semakin terasa. Bukan macam aku dengan Kak Dina. Dah la duduk jauh beribu-ribu batu. Nak jumpa selalu pun susah. Dah dua tahun aku tak berjumpa dengan Kak Dina.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro