Bab 4
Akhirnya tamat juga hari pertama praktikal yang penuh dengan perkenalan dan mengingat nama orang. Aku dan Suhaina diletakkan di bahagian pengurusan akaun dan juga bahagian claim, di bawah seliaan lelaki yang kami panggil Mr. Justin... Cina campur India rupanya dia tu, Chindian. Kat sini ada dua orang eksekutif akaun, Lola yang kami dah jumpa tadi dan juga Jenny (senior executive sebenarnya). Nurin pembantu Mr. Danny serta ada empat orang pegawai dan dua orang kerani. Kat section lain ramai lagi para eksekutif akaun yang kami belum kenali.
Waktu kerja tamat pada jam 5.30 petang. Sebab tak ada apa sangat yang kami buat hari ni, maka kami ambil keputusan untuk pulang.
"Nak minum dulu tak?" Suhaina tanya aku masa kat dalam lif. Cuma ada aku dan dia kat dalam lif tu. Yang lain belum nak balik lagi kut.
"Ramai lelakilah kat restoran mamak tu... Malaslah."
"Ala... Fasal ramai lelakilah kita kena minum kat situ. Untung-untung ada orang tolong bayarkan macam pagi tadi." Suhaina jawab dengan gaya gedik dia tu. Haish.
Aku bagi jelingan kat dia sedas. Dia sengih-sengih aje. Kalau setakat nak minum kat restoran mamak tu aku pun boleh tolong bayarkan. Tak payahlah sampai berharap dapat minum free. Karang entah laki siapa pula tolong bayarkan. Eee... Tak naklah!
"Dah nak balik ke?" Masa dekat pintu keluar, abang berdua pagi tadi tegur kami.
"Haah... Nak balik dah." Suhaina menjawab dengan suara manja dan gaya yang menggoda. Kat atas tadi memang dia cakap yang dia berharap dapat terserempak dengan Umar Azharie ni sebelum balik. Cepat makbul doa dia. Haruslah dia tidur dengan lena malam ni sebab dah dapat menatap wajah pujaan hati. Ceh... Belum apa-apa dia dah anggap Umar Azharie tu pujaan hati dia! Umar Azharie tu memang 'taste' dia katanya. Hrm...
"Abang belanja minum nak?" Akmal Rizal yang ada siung tu pelawa minum pula. Harap-harap dia ni bukanlah keturunan Raja Bersiung, manalah tahu kalau betul dan dia ada ritual nak makan darah orang pula, habislah.
"Aku balik dulu..." Lepas bisik kat Suhaina macam tu, aku terus minta diri. Tiga pasang mata pandang aku yang berjalan macam tak cukup tanah keluar dari pintu utama bangunan ni. Mesti Suhaina bengang kat aku tu. Takkan pagi petang nak makan orang belanja!
Diam tak diam, dah masuk minggu baharu aku dan Suhaina di sini. Belajar pun baru sikit-sikit aje. Kebanyakan waktu kerja aku duk menyusun dan mengira segala mak nenek bil dan resit claim para pekerja. Kebanyakannya bil petrol, bil makan dan perbelanjaan yang lain. Kena kira untuk selaraskan jumlahnya dengan borang tuntutan yang disertakan.
Kami ditempatkan dalam bilik mesyuarat kecil yang ada di sebelah bilik Mr. Danny. Bilik di mana segala fail-fail berkenaan aktiviti jabatan akaun ini diletakkan. Kena masukkan report dan dokumen mahupun salinan dokumen ke dalam fail yang sepatutnya.
"Hani, berpinar dah mata aku ni tengok segala macam figures dalam borang claim ni. Kalau hari-hari macam ni, mahu tercabut biji mata aku." Nina mengomel kat aku. Apa tidaknya, tadi jabatan kejuruteraan dan jabatan arkitek kat tingkat atas tu masing-masing menghantar claim. Kata Lola yang tak mahu dipanggil cik ataupun kakak di pangkal namanya tu, kebanyakan yang menghantar claim tu semua nak dapat duit cepat. Kalau boleh, pagi hantar borang claim, tengah hari dah nak duitnya. Itu yang kadang-kadang aku tengok Lola dan Jenny tu membebel-bebel aje apabila ada yang tanya fasal claim. Nasiblah.
Tapi betul juga, kan? Kalau dah guna duit sendiri untuk perbelanjaan bagi urusan syarikat, mestilah nak claim secepat mungkin. Buatnya jumlah perbelanjaan tu besar, mahu mengganggu duit dalam poket jugalah. Penting juga bagi syarikat mempertimbangkan untuk segera membayar balik duit sendiri yang pekerja gunakan. Agaknya sebab itulah muka orang yang bekerja di bahagian claim ni jarang sangat yang manis. Macam nak telan orang pun ada kadang tu. Pantang aje orang tanya fasal duit claim, mulalah masing-masing nak berasap telinga. Relakslah, dia orang tanya aje kut. Hehehe...
"Boleh abang join?" Tak sempat nak jawab apa pun, dua orang lelaki tu letakkan pinggan nasi masing-masing kat meja makan kami. Tadi aku duduk bertentangan dengan Nina aje kat meja yang boleh menempatkan empat orang ni. Kami baru nak menikmati makan tengah hari di restoran Melayu yang terletak agak jauh dari pejabat.
Akmal Rizal dan Umar Azharie. Semenjak perkenalan kami minggu lepas, baru kali inilah kami duduk bertentang mata. Ada sekali dua aje kami bertembung di lobi pejabat. Busy sangat dia orang tu rasanya. Waktu makan tengah hari pun jarang nampak muka dia orang. Kalau tak bertapa buat kerja dalam pejabat, mesti mereka ada di luar dengan client. Kata Nurin, para arkitek tu kalau tiba waktu sibuk, makan tidur kat dalam pejabat tu aje. Selalu dia orang oder aje makanan dari luar dan makan ramai-ramai kat ofis. Best juga tu, kan?
Sebenarnya aku hairan juga kenapa tak ada kafeteria kat dalam bangunan pejabat tu. Pekerja boleh tahan ramai, patutnya kena ada kafeteria untuk kemudahan, tak payahlah asyik nak cari makan kat kedai-kedai luar ni. Rupa-rupanya kata Nurin, dulu memang ada kafeteria tapi taukenya asyik merungut kata meniaga tak untung dan tak ramai pelanggan. Maka management memutuskan untuk menutup terus kafeteria tersebut. Jadi setiap pekerja akan dapat elaun makan sahaja dan bukannya subsidi harga makanan macam sebelum ini.
Lagipun tingkat atas-atas tu disewa oleh syarikat lain, bukan semua sepenuhnya digunakan oleh Teguh Dinamik.
"Macam mana praktikal kat bahagian akaun tu? Okey tak?" Akmal Rizal tanya dengan suara yang ramah dan ceria.
"Okey... Semua staf kat sana baik-baik, kalau dapat kerja terus kat sini lagi best." Nina jawab dengan teruja. Kata Nina, kat bangunan ni ramai lelaki handsome dan berkerjaya. Jangan dia ingat semua lelaki handsome tu single and available sudahlah. Mesti ramai yang dah berpunya, laki orang ke, tunang orang ke ataupun paling koman pun pakwe orang.
Zaman sekarang ni, budak sekolah rendah pun dah pandai bercouple. Inikan pula cik abang dua orang yang segak bergaya ni. Entah-entah makwe keliling pinggang.
"Cubalah apply lepas habis belajar nanti." Akmal Rizal buat cadangan.
"Bagus juga cadangan tu... Ada juga terfikir." Nina jawab dengan nada ceria dan ramah. Memang dia ni jenis yang happy go lucky orangnya. Taklah keras, kaku dan pemalu macam aku ni. Aku kalau orang yang baru-baru kenal memang payah sikit nak berbual mesra. Sebab aku tak berapa pandai nak mencari topik untuk diperbualkan. Jadi aku banyak diam aje. Kalau dalam grup WhatsApp, orang pendiam macam aku ni dipanggil silent reader. Memang cerah peluang nak kena tendang daripada grup WhatsApp!
Lepas baca doa makan, aku terus gaul nasi yang disiram kuah lemak kubis tadi. Sesuap nasi berlaukkan ikan kembung masak pedas dah selamat masuk dalam perut aku. Sedap sangat rasanya, mungkin sebab perut aku memang betul-betul lapar.
Baru aku perasan menu aku dengan Umar Azharie tu sama dan lebih manis aku dan dia makan menggunakan tangan. Aku memang selalu makan menggunakan tangan, sunnah Rasulullah S.A.W, kan? Biarlah orang pandang-pandang sebab dia orang rasa aku tak kelas dan macam orang kampung. Aku rasa jadi orang kampung lebih cool.
"Abang Umar Azharie... Abang ni memang pendiam, ya?" Nina tegur Umar Azharie yang dari tadi diam aje. Macam aku juga Umar Azharie ni, diam dan tunduk menikmati makanan. Tiba-tiba dia tersedak sebab ditegur oleh Nina tadi. Aku tolakkan cawan berisi air laici ke depan dia. Separuh air laici tu dia sedut.
"Sorry... Tak sangka pula abang terperanjat sampai tersedak." Nina buat muka prihatin. Tu la, tegur lagi orang yang tengah makan! Mujur dia tak tercekik tadi.
"It's okay... Hari ni memang lapar sangat. Pagi tadi tak sempat sarapan terus shoot pergi jumpa clients. Ni baru jumpa makanan." Umar Azharie terangkan sambil pandang kat aku yang duduk di kiri dia. Salah orang dia pandang ni, bukan aku yang tanya dia soalan.
"Abang nak panggil awak apa?" Dia terus tanya aku soalan tu. Buat aku terkedu seketika dan kemudian tak semena-mena aku pula yang tersedak.
Peritnya tekak aku tersedak ikan masak sambal ni. Giliran aku pula sedut teh o ais sampai tinggal seinci aje dari pangkal gelas. Aduhai.
"Panggil dia Hani, saya pula abang boleh panggil Nina." Nasib baik Nina sudi tolong jawabkan. Tekak aku tengah perit sangat ni.
"Honey? Ala, sweetnya nama panggilan. Abang baru cadang nak panggil sayang." Akmal Rizal tu cuba buat lawak pula. Tak kelakar pun aku rasa tapi tetiba aje dia berduet gelak dengan Nina. Entah apa-apa. Aku pandang dia sekilas sebelum terpandang kat orang sebelah kanan aku ni. Dia pun tengah pandang aku, dia tak gelak pun.
"Dah ada boyfriend ke?" Akmal Rizal ni memang terlebih peramah aku rasa. Biar ajelah dia berborak dengan Nina yang rajin melayan tu. Aku tunduk dan sambung suap nasi ke mulut. Cepat habis nasi aku, cepatlah aku blah dari sini.
"Biarlah rahsia..." Nina yang jawab. Lepas tu dia sambung gelak-gelak lagi dengan Akmal Rizal. Aku dengan Umar Azharie pandang satu sama lain sekilas. Entah apalah yang lucu sangat tu agaknya, ya?
Siap aje makan, aku basuh tangan dan minta diri dulu. Baru terkulat-kulat kawan aku ni nak habiskan makanan. Aku tinggalkan aje dia dengan dua orang abang tu. Padan muka, suka sangat melayan.
Masa aku nak melintas inilah pula banyak kereta lalu-lalang. Tadi tak banyak pun. Kenalah aku terpacak kat tepi jalan ni kejap. Orang yang berjalan kaki pun ramai. Maklumlah, time makan tengah hari.
"Jom." Tiba-tiba aje ada orang pegang lengan kanan aku dan dalam keadaan tak bersedia macam tu, terkocoh-kocoh aku nak menyamakan langkah dengan dia. Sampai aje kat seberang jalan, baru dia lepaskan lengan aku. Terus terhenti langkah aku dan aku pandang dia yang juga berhenti melangkah. Kami berdiri berhadapan.
"Sakit ke?" Umar Azharie tunjuk muka risau apabila aku pegang lengan kanan aku yang agak sengal dengan muka berkerut. Kuat gila kudrat dia ni, aku rasa macam kena seret aje tadi.
"Taklah..." Cepat-cepat aku jatuhkan kedua-dua tangan ke sisi. Malu pula nak mengaku perit juga tangan aku kena seret tadi.
"Ingatkan encik masih dengan dia orang tadi." Aku tunjuk arah restoran nun di hujung jalan seberang sana.
"Biarlah Rizal dengan kawan awak tu. Kasi dia orang chance berkenalan." Masa cakap macam tu, aku nampak senyuman kat bibir dia. Senyum senget dia yang menawan tu.
"Errr... Hani nak tengok ofis abang?" Haa??? Dia bahasakan diri dia abang? Alamak... Kelu lidah aku tak tahu nak jawab apa. Tapi yalah, kan. Dah dia lelaki, mestilah bahasakan diri 'abang'. Kalau dia bahasakan diri dia 'kakak', mahu aku pengsan kat sini juga.
"Jomlah... Hani belum pernah sampai tingkat tujuh, kan? Ada setengah jam lagi waktu rehat. Marilah, ramai ada kat atas tu. Yang kejar deadline semua..."
"Boleh ke?" Aku buat muka blur. Yalah, selama ni aku hanya ke ofis bahagian kewangan tu aje, kat tingkat lima. Mana pernah aku buat hal merayau ke tingkat yang lain.
Oleh sebab dia mengajak yang ala-ala memaksa tu, maka aku pun tak ada pilihan. Dia tunggu aku mengangguk aje, lepas tu terpaksalah aku mengekor dia masuk dalam lif.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro