Bab 2
Masuk aje melalui pintu hadapan bangunan, aku nampak ada seorang perempuan muda sedang duduk di kaunter penyambut tetamu. Di hadapannya ada seorang lelaki yang memakai kemeja lengan pendek biru muda dengan kolar baju berwarna putih. Lelaki tu menyengetkan badan dan bersandar di kaunter penyambut tetamu, gaya macam sedang mengurat aje.
Aku dan Suhaina melangkah perlahan ke arah kaunter penyambut tetamu tu dan serentak perempuan dan lelaki yang sedang ketawa itu memandang kami.
"Errr... Assalamualaikum dan selamat pagi, kami datang melaporkan diri untuk menjalani latihan praktikal di bahagian kewangan di sini." Aku terus memberitahu perkara sebenar tentang tujuan kedatangan kami ke mari.
"Oh, untuk Syarikat Teguh Dinamik Holdings, ya? Mana satu Farhani Idayu dan yang mana pula Suhaina?" Perempuan muda tu bergilir memandang wajah aku dan Suhaina sambil sesekali mengerling kertas bercetak yang dipegangnya. Dia tak jawab pun salam aku tadi. Ah, mana tahu dia jawab dalam hati, kan? Husnuzon Hani, husnuzon! Aku nasihatkan diri sendiri.
"Saya Farhani Idayu." Aku jawab soalannya dengan pantas.
"Saya pula Suhaina." Sambil membetul-betulkan rambut paras bahunya, Suhaina menjawab.
"Duduklah dulu, jam 9 pagi nanti naik ke tingkat satu. Jumpa dengan pengurus bahagian sumber manusia. Oh ya... Nama saya Zarini." Perempuan tu bercakap sambil tunjukkan sofa tempat kami disuruh menunggu.
"Terima kasih, Cik Zarini!" Serentak pula aku dengan Suhaina bercakap.
"Sama-sama, silalah duduk dulu!" Tangan dihala ke arah sofa, meminta kami duduk di situ.
Aku dan Suhaina melangkah ke arah yang ditunjukkan. Ada set sofa dan juga meja kopi yang dihiasi dengan jambangan bunga hidup. Dah rasa macam kat ruang tamu rumah pula dah. Siap ada bau wangian Ambi Pur lagi. Segarnya.
Di sofa single tu aku nampak ada seorang lelaki sedang bersila panggung sambil bercakap di telefon bimbit.Kasut dia bukan main berkilat aku tengok, boleh buat cermin. Dia nampak kemas dan bergaya. Siapa agaknya, ya? Takkan dia pun nak lapor diri untuk praktikal? Muka macam orang dah berumur, pasti dia sudah bekerja.
Aku dan Suhaina ambil tempat kat sofa dua tempat duduk. Setentang dengan lelaki itu yang duduk di atas sofa sebelah sana. Sempat lelaki tu mengerling kami sekilas sebelum menyambung perbualannya di telefon bimbit. Nampak macam sedang bercakap perkara serius aje.
"Bukan lelaki tu ke yang belanja kita kat restoran mamak tadi?" Suhaina bisik kat aku sambil pandang-pandang lelaki tu.
"Haah, kan... Warna baju sama. Muka dia aku tak perasanlah..." Aku malas nak pandang wajah lelaki tu. Jadi aku tundukkan pandangan ajelah sambil buat-buat selak folder file yang berisi segala maklumat peribadi dan sijil-sijil aku.
"I'll get back to you as soon as possible." Aku dengar lelaki tu cakap macam tu dan kemudiannya dia mengeluh dengan kuat, menyebabkan aku secara spontan mengangkat muka dan pandang dia. Untuk seketika kami bertentang pandang sebelum aku seolah-olah tersedar daripada lena dan cepat-cepat alihkan pandangan ke bawah. Kembali memandang folder file di atas riba aku. Sebabnya renungan tajam sepasang matanya yang bersinar cantik tu membuatkan hati aku berdebar.
"Pekerja baru ke?" Suara garau dia kedengaran.
"Pelajar praktikal..." Suhaina menjawab.
"Praktikal kat bahagian mana nanti? Budak archi ke?" Aku angkat muka dengar pertanyaan dia. Baru aku nampak dengan jelas wajah kacak lelaki di depan aku ni. Misai dan jambang nipis yang elok terjaga. Matanya yang bulat dan bercahaya, rambut pendek kemas dan lurus. Senyum senget yang begitu manis dan menawan, walawei... Sempurnanya rupa paras dia.
"Errr... Praktikal kat bahagian kewangan, kita orang study accountancy." Suhaina yang bertindak sebagai jurucakap menjawab soalan lelaki kacak bergaya tu. Siap beritahu lagi course yang kami ambil.
"Sayangnya..." Lelaki tu jawab macam tu sambil leraikan kaki dia yang bersila panggung tadi. Dia buka kedua-dua kaki dan letakkan kedua-dua siku atas lutut. Dia pandang tepat kepada aku dengan senyum senget dia yang bisa mencairkan hati perempuan aku ni.
"Maksud encik?" Suara Suhaina kedengaran lagi dan kali ni lelaki tu alihkan pandangan ke arah Suhaina pula.
"Oh... Saya memang tengah tunggu intern dari archi... Tengah banyak kerja kat atas tu. Kalau dapat intern yang cantik manis macam awak berdua ni tentu tak jadi masalah untuk arkitek-arkitek kat atas tu berkampung kat ofis." Secara automatik aku dapat meneka yang lelaki ni pastinya bekerja di firma arkitek milik Teguh Dinamik Holdings ni. Setahu aku, di sini juga terletaknya pejabat construction dan engineering yang tersohor di daerah ini.
"Encik ni arkitek, ya?" Suhaina melanjutkan soalan. Lelaki tu menganggukkan kepala dan sekali lagi juga pandangan dialihkan kepada aku.
"Tadi kat restoran depan tu encik bayarkan sarapan kami, kan?" Suhaina bertanya dan lelaki tu ketawa kecil sahaja, tidak pula menafikan, jadi tentunya dia yang bayarkan tadi.
"Terima kasih..." Serentak aku dan Suhaina cakap kat dia.
"Sama-sama kasih!" Dia jawab sambil senyum dan pandang kat aku. Suasana jadi sunyi sekejap sebab tak sangka dia akan jawab macam tu.
"Saya Umar Azharie, kerja kat tingkat 7. Belum berkahwin, errr... Sedang mencari calon sesuai untuk dijadikan isteri. Tinggal di sekitar sini aje. Berasal dari Banting, Selangor. Itulah serba sedikit fasal diri saya. Awak berdua pula?" Mata dia masih tekun memerhatikan aku. Sesekali aje dia larikan bola matanya memandang Suhaina. Nasib baik aku berpakaian sopan. Kalau pakai skirt macam Suhaina tu tentu bertambah segan aku apabila dipanah mata lelaki depan aku ni.
"Saya Suhaina dan yang ni pula kawan saya, Farhani Idayu." Nasib baik Suhaina perkenalkan aku sama. Segan dah aku nak buka mulut sebab aku perasan sangat mata Umar Azharie tu yang asyik pandang aku.
Tolonglah... Tolonglah encik, jangan pandang saya. Saya akui, encik memang handsome orangnya. Saya tahu, walaupun saya taklah secantik mana tapi wajah saya manis. Tu kawan-kawan dan keluarga yang cakap macam tu, tapi kalau encik asyik pandang saya aje, malulah saya. Kat mana saya nak letak muka ni? Aku berkata-kata dalam hati.
"Farhani Idayu... Sedapnya nama. Sesuai dengan orangnya." Dia komen fasal nama aku. Dia tak dengar ke Suhaina sebut nama dia tadi? Kalau ya pun nak puji-puji nama aku, komenlah fasal nama Suhaina sekali. Berat sebelah macam ni boleh mendatangkan kemarahan Suhaina ni!
"Eh, bro! Berjanggut aku tunggu kat atas. Kau baik punya mengayat kat bawah ni!" Seorang lelaki yang membawa bergulung-gulung kertas putih yang besar tu terkocoh-kocoh datang dan melambakkan semuanya atas meja kopi depan kami. Lelaki yang berbaju kemeja putih tu pandang aku dan Suhaina yang juga tengah pandang dia.
"Hai, adik manis! Intern kat bahagian kewangan, ya?" Lelaki berbaju putih tu menegur dengan ramah. Tapi tadi cara dia tegur kawan dia tu ala-ala sarkastik aje aku dengar. Ke memang semua lelaki bercakap gaya macam tu dengan kawan-kawan?
Aku dan Suhaina anggukkan kepala dengan tekaannya yang betul itu.
"Nama abang, Akmal Rizal, panggil Abang Rizal aje... Buaya darat ni jangan layan. Kalau ada apa-apa nak tanya ataupun nak minta tolong, cari abang kat tingkat 7 tau!" Lelaki yang bernama Akmal Rizal tu pandang kami sambil tersengih. Menampakkan gigi dia yang berlapis dan ada siung di kiri dan kanan. Siung yang manis.
"Dah dekat jam 9 pagi, jom..." Aku bangun dan ajak Suhaina naik ke tingkat satu. Lagi lama kat sini, lagi pening kepala aku. Menambahkan nervous dalam hati aku ni aje.
"Naik tingkat satu, jumpa Puan Rosmila... Dia dah siap tunggu kat depan pintu lif." Lelaki ramah-tamah yang berkemeja putih tu beritahu kami.
Lepas ucapkan terima kasih, aku dengan Suhaina menapak menuju ke lif untuk naik ke tingkat satu. Berdebarnya hati aku hanya Allah S.W.T yang tahu.
Kami sampai di tingkat satu yang menempatkan bahagian sumber manusia. Keadaan dalam pejabat ni kemas dan cantik. Ruang yang menempatkan meja para pekerja pun luas, meja dia pun besar dan kelihatan selesa.
"Assalamualaikum, Farhani Idayu dan Suhaina, kan? Saya Rosmila... Pengurus di bahagian sumber manusia. Sila ikut saya." Memang betullah kata lelaki yang bernama Akmal Rizal tadi. Memang Puan Rosmila ni tunggu kedatangan kami, tak lama lepas keluar dari lif dan tercangak-cangak pandang sekeliling, dia menghampiri.
Setelah bersalam-salaman dan berbasa-basi menanyakan khabar masing-masing, kami mengekori Puan Rosmila ke biliknya. Mak ai... Bestnya. Besar, cantik dan sangat-sangat selesa. Itu aje yang dapat aku rumuskan hasil daripada pemerhatian aku ke atas bilik pejabat dia.
"Duduklah..." Puan Rosmila ambil tempat di mejanya, aku dan Suhaina ambil tempat di kerusi berhadapan dengan tempat dia duduk.
"Selamat datang ke Teguh Dinamik Holdings. Ini profil syarikat. Bacalah dulu..." Aku sambut dokumen yang dihulur dan tanpa bertangguh aku terus membacanya. Sebenarnya hampir kesemua fasal syarikat ni aku dah tahu. Aku dah Google daripada A sampailah Z tentang syarikat bumiputera ni. Syarikat ni pun memang agak terkenal di sini dan telah banyak menyelesaikan projek-projek pembangunan yang besar di dalam dan di luar negara.
Lama juga aku dan Suhaina ambil masa nak habiskan profil yang boleh tahan tebalnya itu. Yalah, di bawah syarikat ni ada banyak anak syarikat yang lain. Nasib baik juga profil syarikat ni dicetak menggunakan kertas tebal yang berkualiti dan berwarna-warni. Dapatlah aku cuci mata tengok segala gambar-gambar projek yang telah disiapkan mahupun yang masih dalam progress.
Puan Rosmila tadi menghilang entah ke mana. Dia minta diri nak keluar dari biliknya tadi. Main percaya aje dia tinggalkan aku dengan Suhaina kat dalam ni. Tapi nampak macam busy aje Puan Rosmila ni.
"Hani, abang-abang arkitek tadi pejabat dia orang kat tingkat tujuh la. Dua tingkat lebih tinggi dari bahagian kewangan di tingkat lima." Suhaina bisik kat aku. Cis, dia ni. Itu yang dia dapat daripada profil syarikat tu? Bacalah betul-betul, kena soal nanti niaya aje tak dapat jawab.
Dua jam berada di bilik Puan Rosmila kami dihantar ke bahagian kewangan. Wah... Kat sini pun pejabatnya sangat cantik dan selesa. Seronoknya kalau aku dapat bekerja di sini. Masa Doris, pegawai Puan Rosmila menghantar kami ke sini, semua pekerja yang sedang tekun berada di tempat masing-masing tertoleh-toleh memandang kami.
"Lola, intern lapor diri hari ni. Siapa incharge?" Doris bertanya kepada seorang pekerja perempuan kecil molek dan berambut panjang yang kebetulan sedang berjalan berlawanan arah dengan kami.
"Jumpa Mr. Danny dulu kut... Dalam bilik dia." Perempuan yang bernama Lola tu tunjukkan dengan jari telunjuk dia bilik yang dimaksudkan. Bukan main bergaya lagi cara dia tudingkan jari telunjuk dia yang runcing tu. Stylo mylo.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro