Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

"Aduh, penatnya berdiri." Aku urut betis yang lenguh, sejam lebih kut aku 'menebeng' kat mesin fotostat tu. Dahlah aku kena beri laluan kat orang lain kalau dia orang nak guna mesin fotostat tu. Mentang-mentanglah aku paling junior kat sini maka semuanya aku kena beralah, kan? Tunggulah aku kaya nanti, jangan kata mesin fotostat, dengan bangunan ni aku beli sekali.

"Aku nak fotostat kau tak bagi..." Nina cakap kat aku macam tu sambil sengih-sengih pandang muka aku. Memang pun dia ada menawarkan diri nak fotostat dokumen-dokumen ni tadi tapi aku kesian kat dia sebab dia pakai kasut tumit tinggi yang tajam runcing tumitnya tu. Penat kut nak berdiri pakai kasut macam tu.

Aku tak apalah, wedges yang aku pakai ni memang selesa untuk berdiri. Melangkah pun rasa ringan dan yakin.

Hari ni aku pakai seluar slek kelabu, blouse lengan panjang warna krim yang aku padankan dengan shawl kelabu berbunga-bunga kecil. Nina selalu kata aku berpakaian macam wanita pertengahan umur sebab aku suka berbaju kurung dan kalau pakai blouse pun mesti blouse panjang melepasi punggung. Tak macam Nina yang up to date, blouse dia selalunya paras pinggang aje. Tak betul cara duduk boleh nampak perut ataupun belakang badan dia. Seksi kut.

"Ala... Aku suka aje berdiri kat mesin fotostat tu, baru dia orang nampak aku buat kerja, rajin gitu..."

Hahaha... Aku saja buat lawak.

"Lagipun dari mesin fotostat tu kau boleh direct intai bilik Mr. Danny, kan?" Nina sambung cakap dan sengih lagi. Itu pula yang Nina perasankan. Ingat aku tak ada kerja lain ke? Huh!

Aku memang tak ada hati nak skodeng Mr. Danny tu tapi tak tahulah kalau dia yang skodeng aku pula, kan? Kalau aku pandang arah bilik dia, mesti orang lain nampak, nak-nak lagi Si Nurin yang memang duduk dekat depan bilik dia tu. Banyak mata memandang kalau aku saja-saja nak tengok dia dalam bilik tu.

Tapi apa motifnya aku nak tengok dia. Bukan aku minat kat dia pun. Tak tahulah kalau dia minat kat aku. Ha, kan dah keluar statement perasan tahap gaban aku ni. Memang tak boleh blah aku punya andaian ni.

"Nina, tengah hari keluar makan tak?" Aku risau ni, Mr. Danny nak bawa aku makan kat mana, ya? Baik aku ajak Nina sekali. Alah, tak miskinnya kalau dia belanja aku dengan Nina sekaligus. Kalau dia tak setuju aku bawa Nina, aku tak nak keluar makan. Tak kebulurnya tak makan belanja dia. Lagipun bukan aku yang minta dia belanja, dia yang beria-ia nak membelanja aku makan.

Kat pantri tu ada banyak stok macam-macam jenis biskut dalam peket-peket kecil tu. Kalau lapar, bancuh Milo dan cecah biskut, habis cerita.

"Aku puasalah..."

"Puasa? Cepatnya kau puasa ganti?" Kagum aku kalau betul Nina dah puasa ganti. Aku ni belum mula pun mengganti puasa.

"Mama aku puasa sunat, dia bangun sahur aku pun bangunlah sekali." Bagusnya Nina ni, aku berdoa agar dia diberikan hidayah untuk menutup aurat. Sayang dia membiarkan auratnya terdedah kepada orang yang tidak sepatutnya. Rugi. Rugi.

"Lambat-lambat nanti takut lupa pula nak mengganti puasa. Kau?" Dia tanya aku pula. Ceh... Mentang-mentanglah dia dah mula mengganti puasa, nak perli aku ke apa? Tak apa... Positif. Positif.

"Aku biasanya dekat-dekat bulan Rejab baru nak start mengganti puasa." Aku ni bab puasa macam budak kecik. Sebelum menjelangnya Ramadan, aku kena start puasa lebih awal. Nak latih perut aku ni. Kalau aku terus puasa aje nanti macam-macam penyakit datang. Sakit perut, pening kepala, nak muntah, pendek kata memang ada ajelah kejadian yang membuatkan aku tak selesa. Sebab tu aku kena practice puasa dulu sebelum berpuasa direct di bulan Ramadan yang mulia itu.

"Rehat karang pergi makan sorang-sorang, ya? Jangan kacau aku nak tidur." Nina warning aku sambil jegilkan mata. Eleh... Padahal selama ni yang selalu kacau aku ajak keluar makan dia juga. Eksen.

"Yalah, Cik Puan Nina. Tidurlah lena-lena, ya? Aku tak kacau kau!" Aku pandang jam tangan, lagi 5 minit nak ke pukul 12.30 tengah hari. Mr. Danny kata dia nak ajak aku keluar 12.30, padahal waktu rehat bermula jam 12.45 tengah hari. Nurin pula kata Mr. Danny ada lunch appointment dengan clients. Mana satu ni? Aku harap betul cakap Nurin, tak payahlah aku susah-susah nak keluar makan dengan dia.

Aku susun kertas yang berselerak di atas meja. Semak pandangan mata aku tengok keadaan meja ni. Tapi ni kira ada ampun lagi, meja pekerja-pekerja kat tingkat 7 tu lagi dahsyat. Ada yang tak rupa macam meja, boleh pula dia orang bekerja dalam keadaan macam tu. Hebat. Hebat.

Baru nak tarik nafas lega sebab meja dah clear, aku dengar suara Mr. Danny kat depan pintu bilik mesyuarat ni.

"Farhani, let's go!" Dia inilah satu-satunya manusia yang suka panggil aku dengan panggilan Farhani. Orang lain elok aje panggil aku Hani. Keluarga pula panggil aku kak ngah ataupun Ayu. Jadi kalau orang panggil aku dengan nama Hani, itu pasti kawan-kawan aku. Orang yang panggil aku Farhani ni aku nak letak kategori apa pula, ek? Kategori baladalah kut, sebab yang memanggil tu pun ala-ala balada orangnya.

"Saya nak beritahu Nina dulu... Dia pergi tandas." Aku bangun dan betul-betulkan blouse.

"I dah pesan dengan Nurin. Jom..." Aduhai... Jenis tak sabar rupanya dia ni.

Lepas ambil beg tangan, aku mengekor Mr. Danny menuju ke pintu lif. Si Nina ni manalah pula? Bertapa dalam tandas ke? Ah! Tadi dia kata jangan kacau sebab dia nak tidur. Mungkinkah dia mengantuk sangat dan tertidur kat dalam tandas tu? Biarkan ajelah, balik nanti aku jenguk dia kat tandas kalau dia masih belum keluar-keluar juga.

"Kita keluar berapa orang, bos?" Aku tanya dia masa kita orang sedang tunggu lif.

"Just the two of us." Eh, macam lagu iklan kereta Proton Suprima tu la pula... Just the two of us. Hrmmm...

"Errr... Bukan bos belanja grup yang menang boling tu ke?" Opsss... Aku tutup mulut dengan tangan kanan.

"Kan I dah belanja dia orang semua semalam. Kat Restoran Haji Sharin Low, you yang lari balik awal..." Dia pandang aku, sambil cakap. Siap sebut lagi kat restoran mana dia belanja makan semalam. Masa tu jugalah pintu lif terbuka, jadi aku dan Mr. Danny menapak ke dalam lif yang dah ada orang di dalamnya.

"Hai, Mr. Danny... Keluar makan ke?" Satu suara yang aku kenal menyapa Mr. Danny yang sedang berdiri sebelah aku kat bahagian depan pintu lif ni. Secara spontan pula Mr. Danny berpaling ke belakang. Aku rapatkan diri ke dinding sebelah kiri lif. Tak ada keberanian nak menentang pandangan lelaki yang menegur bos aku tu.

"Yeah... Nak keluar dating dengan Farhani sekejap. Nak join ke?"

"Nak pergi dating mana boleh ramai-ramai... Mengganggu aje nanti. Selamat berdating Mr. Danny, Cik Hani!" Umar Azharie tekan suara apabila menyebut nama aku, siap telengkan kepala kat aku masa nak keluar dari lif. Sajalah tu. Masa tu pintu lif terbuka di ground floor, Umar Azharie dan Akmal Rizal melangkah keluar. Aku dan Mr. Danny pula menuju ke basement.

"Kita nak pergi mana ni, Mr. Danny?" Aku tanya sambil tarik dan pasang tali keledar. Sebenarnya dekat-dekat kawasan ofis ni banyak aje kedai makan. Yang mahal, yang murah, sedap, tak sedap... semua ada. Pilih, makan dan bayar sahaja.

Aku tak rasa lapar pun hari ni. Perut aku dah penuh dengan angin ni rasanya, tak makan pun tak apa. Dahlah aku kena berdua-duaan dengan bos yang boleh tahan kacak ni. Kalau Lola nampak mesti aku kena kerat 18. Tadi pun Umar Azharie dah nampak... Ala... Macam mana ni? Jatuhlah saham aku macam ni.

Tapi kalau setakat saham jatuh tak apa lagi kut, boleh aje naikkan balik. Lagipun memang lumrah kut... Saham turun naik di pasaran. Aku cuba sedapkan hati sendiri. Tapi kalau aku dicap perempuan miang dan penggoda macam mana pula? Astaghfirullahalazim... Positif Hani, positif. Aku tarik nafas.

"I nak bawa you pergi makanlah. Kan I dah janji nak belanja you?" Dia beritahu perkara yang memang aku dah tahu. Perlahan dia memusingkan stereng dan memulakan pemanduan.

"Tak payahlah susah-susah nak belanja saya, bos... Saya... Errr..." Apa alasan aku nak buat ni? Tapi macam dah terlambat aje nak bagi alasan. Kereta pun dah menuju ke jalan besar. Ala... Bencilah, lembab betul otak aku ni nak berfikir. Kalau aku tolak awal-awal tadi kan senang? Hai la...

"Jangan risaulah... I nak bawa you pergi makan aje, bukannya nak makan you!" Mak ai... Panas rasa muka aku dengar kata-kata dia ni. Tapi yang peliknya, muka dia sardin aje. Tak rasa ke yang kata-kata dia tu agak melampau? Hish!

"Oh ya, mulai esok you ganti tempat Nurin. Dia cuti dua minggu!" Satu lagi ayat selamba keluar daripada mulut dia. Cakap sambil pandang jalan raya. Yalah, sedang memandu, kan?

Tapi lepas tu aku tersedar pula. Kenapa aku yang kena ganti Nurin? Bukankah Lola adalah calon yang terbaik? Aku pelajar praktikal aje kut. Mana aku tahu job function Nurin. Lagipun aku tak vogue macam Nurin yang selalu pakai skirt pendek tu. Aku bertudung litup, kalau Nina... haaa, tu calon yang sesuai!

"Ke... kenapa Nurin cuti?" Itu pula yang keluar daripada mulut aku. Patutnya aku tanya direct aje kenapa aku yang kena ganti Nurin. Hmph!

"Mak dia admitted... So, dia kena balik kampung jaga mak dan adik-adik dia. Ayah dia kan dah tak ada." Dia terangkan kat aku. Gaya cakap tu macamlah selama ni aku kenal rapat dengan keluarga Nurin, yang sampai aku tahu ayah dia dah tak ada.

Aku hanya mampu bulatkan mulut dan membentuk huruf O tanpa bunyi. Selama ni aku tengok Nurin tu happy go lucky aje. Tak sangka pula dia tak ada ayah dan emak dia pula sedang sakit. Kesiannya.

"Tapi bos... Miss Lola kan ada?" Aku sengaja nak bagi hint dekat dia fasal Lola. Takkan dia tak perasan kewujudan Lola selama ni? Lola tu cinta separuh mati kat bos dia yang kacak bergaya ni. Nurin la yang cakap kat aku macam tu. Tapi memang boleh nampak la yang Lola tu ada hati dengan Mr. Danny ni. Sebab dia selalu pandang Mr. Danny dengan penuh minat.

"Lola dan staf-staf lain semua ada kerja masing-masing. You jangan risaulah... I guide you nanti." Senang aje dia bercakap, bunyi macam kerja Nurin tu tak penting aje. Macam dia tahu aje buat semua kerja Nurin tu? Nak aje aku cadangkan dia buat dua kerja serentak. Kerja dia dengan kerja Nurin sekaligus. Haaa... Kan senang tu? Tak payahlah dia ganggu aku yang memang tengah banyak kerja ni. Boleh ke aku cadangkan macam tu? Hahaha...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: