Bab 14
"Semalam pergi mana? Balik dengan siapa?" Itu soalan pertama Mr. Danny apabila nampak muka aku yang tengah berdiri kat mesin fotostat ni. Tunggu turn nak buat salinan dokumen yang tebal dekat sejengkal ni.
"Balik dengan kawan." Semalam masa aku masuk dalam Shalin's Bowl tu, Mr. Danny tak ada. Aku pesan dengan Nurin aje sebab Lola pun aku tak nampak. Lagipun aku tak ada nombor handphone Mr. Danny. Kalau tak, boleh aje aku SMS ataupun WhatsApp dia. Nak minta nombor dia kat Nurin seganlah aku.
"Hari ni lunch dengan I. Semalam group kita menang, I dah janji nak belanja you makan tapi you balik awal pula."
"Ermmm..." Itu aje aku sempat cakap, dia dah potong cakap aku.
"No excuses... 12.30 kita keluar." Lepas cakap macam tu, dia blah dan laju aje berjalan ke bilik dia. Aku pandang sebelah kanan dan nampak beberapa pasang mata tengah pandang aku dengan muka hairan. Antara yang sedang memusatkan pandangan tu termasuklah Nurin, Lola, Nina dan Mr. Justin. Oh my! Apalah andaian dia orang agaknya, ya? Sebab aku jarang nampak Mr. Danny tegur anak buah dia saja-saja macam yang dia buat kat aku. Jangan orang lain salah faham sudahlah.
Setengah jam lepas tu, aku duduk balik kat meja yang terletak hampir dengan meja Jenny. Memang ada meja kosong kat sini. Jadi aku dengan Nina bergilir duduk kat sini dan dalam bilik mesyuarat tu. Aku nak sort dokumen yang aku copy tadi aje. Tu yang aku tumpang duduk kat sini.
Nina sejak datang pagi tadi hanya cakap gitu-gitu aje dengan aku. Macam tak berapa nak layan aje pertanyaan aku tentang kesihatan dia tu. Tak habis marah lagi agaknya.
"Hani, kenapa you dua orang nampak lain macam aje pagi ni? Gaduh, ya?" Nurin datang bertenggek kat meja aku. Kalau dia ni burung lama dah aku tolak dia dari sudut meja tempat dia menenggek tu. Tak nampak ke atas meja ni penuh dengan susunan dokumen?
"Mana ada... Kita orang fokus nak siapkan kerja ni." Aku berdalih. Siapa pun akan perasan dengan sikap lain macam Nina terhadap aku. Sebabnya Nina tu becok dan suka pot pet pot pet. Mulut dia tak pernah diam, nak-nak lagi apabila dengan aku. Jadi memang nampak sangatlah sikap pendiam dia tu hari ni jika nak dibandingkan dengan hari-hari lain. Nina oh Nina... Pening kepala aku, tak tahu nak pujuk kau macam mana.
"Hani dengan Mr. Danny ada apa-apa ke?" Nurin tanya sambil pandang kiri kanan, cakap pun bisik-bisik macam dalam kelambu. Apa kes?
Aku pandang muka ingin tahu dia tu. Kata aje busy dan banyak sangat kerja kat ofis ni tapi tetap juga nak bergosip. Haish.
"Mestilah ada apa-apa... Kenapa? Tak boleh ke kalau saya nak tackle Mr. Danny? Dia handsome sangat. Lepas tu jawatan tinggi, gaji mesti tinggi juga, kan? Orang macam itulah saya nak cari buat suami. Jadi isteri nombor dua dia pun tak apa. Kalau isteri dia tak izinkan kami kahwin, saya rela kahwin lari kat Siam!" Selamba aje aku cakap macam tu kat Nurin. Ha, ambil kau... Kan dah terkebil-kebil dengar ayat-ayat power aku tu.
"You biar betul, Hani?" Dia pamer rupa terkejut.
Nurin ni kecil molek orangnya. Berkulit hitam manis, rambut ikal mayang. Rupa boleh tahan, cantik gadis Melayu. Dia ni kira okey juga, selalu tegur dan bersembang dengan aku dan Nina. Kira tak sombonglah orangnya.
"Tak percaya ke?" Aku saja nak tengok reaksi dia.
"Entahlah, macam tak sangka pula Hani akan cakap macam tu." Perlahan aje suara Nurin. Aku dah nak tergelak dalam hati.
"Ingatkan Hani lain daripada yang lain..."
"Kak Nurin... Hani main-main ajelah." Aku pegang tangan dia.
"Tapi errr... Kenapa akak tanya? Akak minat dia ke?" Giliran aku pula cakap sambil berbisik.
"Taklah, saja tanya. Kalau Hani ada niat nak tackle dia, I nak bagi nasihat sikit." Nurin tundukkan kepala kat aku.
"Dia tu hati batu, bukan senang nak suka orang. Ada staf kat sini yang dah lama simpan perasaan dan cuba nak tackle dia tapi dia buat derkkk aje. Padahal dia tu bujang terlajak dah. Memilih sangat." Habis 'mengumpat' Mr. Danny, barulah Nurin angkat muka.
"Ooo... Macam tu ke? Jangan risau, Hani datang sini nak buat praktikal aje, bukan nak mengurat sesiapa." Nurin senyum dengar aku jawab macam tu. Tiba-tiba aje nama dia kena laung. Nurin pandang ke arah namanya dipanggil dan Mr. Danny tengah bercekak pinggang kat depan bilik dia. Mesti dia yang interkom Nurin tadi. Ha, baru nak menggelabah, pucat aje aku tengok muka Nurin yang terkocoh-kocoh turun dari meja aku dan betulkan skirt dia.
Apabila mata aku bertentang pandang dengannya, Mr. Danny senyum dan kenyitkan mata. Aku terpanar seketika dan alihkan pandangan mata. Aku harap tak ada siapa yang perasan apa yang berlaku sekejap tadi.
"Nina, kalau kau tak sihat tak payahlah angkat dan letak fail-fail tu semua. Biar aku yang buat. Kau asingkan dokumen ni ikut tarikh dan kategori, nanti aku failkan." Kesian pula aku tengok Nina asyik berulang mengangkat fail-fail yang berat tu. Ada antara fail tu yang setebal 8cm dan hampir penuh isinya.
"Yang kau baik sangat dengan aku ni kenapa?" Nina jawab dengan sarkastik.
"Selama ni aku tak baik ke dengan kau?" Eh, geram jugalah aku dengan jawapan dia tu. Gaya cakap macamlah selama ni aku bermusuh dengan dia.
Nina diam. Tangan dia lincah menyusun kertas-kertas putih bercetak di hadapannya.
"Aku nak jadi kawan yang prihatin, Nina. Selama ni kita baik-baik aje, tapi tiba-tiba aje kita jadi macam ni. Kau marah aku ke, Nina?" Aku hampiri Nina yang sedang sibuk menebuk lubang kertas A4 dengan menggunakan punch holes.
"Siapalah aku ni nak marah-marah kau? Semua orang kat sini suka dan sayang kau, kan? Maklumlah, kau kan baik dan secantik bidadari!" Demi Allah, aku terasa hati sangat apabila Nina perli aku macam tu. Dahlah dia bercakap sesuka hati dia tanpa pandang aku pun. Pedihnya hati aku ni dengan kelakuan Nina.
"Aku tak tahu apa salah aku kat kau. Tapi aku nak minta maaf dari hujung rambut sampailah hujung kaki. Tapi sangat tak adil kau bersikap dingin macam ni. Berterus terang kan lebih baik. Supaya aku dapat tahu salah silap aku dan memperbaiki diri." Memang Nina masih marahkan aku. Biarlah, aku dah malas nak pujuk dia lagi. Tapi air mata aku memang nak tumpah dah, sedih aku dengan kata-kata dia tadi.
Aku bangun nak pergi tandas. Nina bangun dan tarik lengan aku.
"Maafkan aku!" Perlahan suara yang keluar daripada mulutnya. Aku berpaling dan pandang dia.
"Aku minta maaf sangat-sangat!" Nina pandang wajah aku sekilas dan kemudian menundukkan pandangan. Hari ni Nina kelihatan manis mengenakan sepasang baju kurung warna biru muda berbunga-bunga kecil. Tentu lebih manis jika wajahnya dihiasi dengan senyuman.
Aku pegang kedua-dua tangan dia. Muka diangkat dan kami bertentang pandang. Aku ajak dia duduk semula di kerusi. Kami duduk sebelah-menyebelah.
"Aku betul-betul minta maaf, Hani. Aku malu sebenarnya. Malu dengan kau, malu dengan Abang Ayie dan semua orang di sekeliling aku." Nina pandang aku dengan wajah sayu.
"Tak ada sebab untuk kau berasa malu. Kau bukannya ada buat apa-apa kesalahan pun!"
"Itu kata kau... Nak sedapkan hati aku, kan? Aku malu... sebab menaruh hati kepada Abang Ayie walaupun dari awal lagi aku dah dapat agak yang dia sukakan kau. Agaknya inilah balasan sebab aku tak jujur..."
"Tak jujur? Maksud kau?"
"Yalah, kau kan tahu aku dah ada boyfriend tapi masih lagi nak cuba tackle Abang Ayie!" Ha, mengaku pun! Semua orang di kampus tahu dia dengan senior yang bernama Rizman tu dah lama bercinta, tu yang aku naik hairan sebenarnya apabila dia sibuk nak mengurat lelaki-lelaki di sini. Paling tidak pun aku teka dia dah putus dengan Rizman tu.
"Dahlah, Nina... Kalau kau memang serius dengan Rizman tu ada baiknya kau belajar setia. Kadang-kadang sikap kita sekarang ni menjadi penentu kehidupan kita di masa hadapan. Aku yakin kalau kau setia dengan Rizman dan kalau kau orang ada jodoh, insya-Allah kau orang akan bahagia. Aku faham, kadang-kadang kita nak lelaki yang dah punya segala-galanya. Ada kerjaya, ada kereta, ada rumah dan jangan lupa, mungkin dia juga dah ada seseorang dalam hatinya. Lebih manis kalau kau dan Rizman bermula dari kosong, sama-sama memajukan diri. Kita pun tak tahu, entah-entah Abang Ayie tu dah ada tunang ke... Silap-silap kena serang pula dengan tunang dia tu!" Ngeri juga aku membayangkan kalau kena serang dengan tunang Abang Ayie. Mahu kenyang makan sumpah seranah dan penampar agaknya. Nauzubillah!
"Thanks, Hani..."
"Aku tak buat apa-apa pun... Dahlah, jangan sedih-sedih, jangan layan sangat perasaan tu. Hidup kenalah enjoyyy!!!" Aku buat suara ceria. Nina tergelak sambil lap air mata yang menitik di tubir mata. Tak sangka aku, Nina ni sensitif juga orangnya.
"Aku malu dengan Abang Ayie..." Nina merengek.
"Ala... Jangan banyak fikirlah. Buat tak tahu aje... Kau nak malu buat apa? Biar ajelah... Tak usah kenang-kenang." Macam apa aje nasihat aku ni, kan? Tapi aku memanglah fail dalam bab-bab menasihat orang ni. Fasalnya kalau kat rumah, akulah yang sering dinasihati dan bukannya memberi nasihat. Hehehe...
"Marilah kita sambung bekerja... Banyak lagi benda nak kena buat ni. Tu, sebeban aku nak kena copy dan scan sekali." Aku muncungkan mulut ke arah kertas A4 yang bersusun di atas meja. Untung company ni ambil aku dan Nina praktikal kat sini. Macam-macam kerja kami tolong buat. Apa dia orang suruh semua kami buat, kadang-kadang rasa macam kuli pun ada.
Paling teruk, Mr. Danny dah pandai suruh aku buatkan air minuman untuk dia. Selalu Si Lola, girlfriend dia tu yang bancuhkan. Nak pula hari-hari dia minum air yang aku buat. Nak aje aku pedajal Mr. Danny tu, kat mana nak beli julap, ya? Hahaha... Bolehlah dia cuci perut dan tak berani suruh aku buatkan air dia dah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro