Bab 1
Baju kurung kain kapas berbunga dan bertanah coklat muda yang tersarung di badan aku betul-betulkan. Shawl polos warna coklat melengkapkan penampilan aku hari ini. Bibir pula tak putus-putus mengukir senyuman untuk diri sendiri. Perfect! Itu yang aku cakap apabila melihat pantulan diri sendiri di depan cermin. Dengan penuh keyakinan, aku melangkahkan kaki ke ruang makan di tingkat bawah.
"Assalamualaikum papa, mama... Selamat pagi!" Aku sapa kedua-dua orang tuaku dengan wajah yang ceria.
"Waalaikumussalam..." Serentak mereka menjawab salamku. Aku ambil tempat di depan mama. Papa duduk di kepala meja, memang itu tempat tetap papa.
"Cantiknya Ayu hari ni. Seronok sangat nak mula bekerja, ya?" Papa senyum pandang aku.
"Ayu memang hari-hari cantik, pa!" Aku buat statement masuk bakul angkat sendiri. Mama mencebik, sajalah nak mengusik aku tu. Apa tidaknya, kebiasaannya apabila di rumah aku asyik dengan t-shirt dan seluar trek sahaja. Selesa kut berpakaian sempoi macam tu.
"Ingat ya... Ayu tu baru nak praktikal. Jangan nak mengurat pula. Nanti praktikal tak tamat, skrol ijazah tak dapat, tup-tup mama dapat menantu dan Ayu pula dapat sijil nikah berserta seorang suami!" Mama cakap sambil jeling aku. Haish! Apa yang mama fobia sangat? Memanglah aku ada ramai kawan lelaki, tu semua bekas rakan sekolah dan sekarang ni yang ramai rakan sekuliah. Aku bukan ada pakwe pun.
Mama sangat skeptis fasal pasangan yang bercinta semasa belajar. Padahal mama dengan papa dulu bercinta sewaktu sama-sama di universiti kut. Macamlah aku tak tahu!
"Makanlah! Kenapa ditenung aje nasi goreng tu?" Papa tegur aku yang pandang nasi goreng tanpa ada selera nak makan.
"Minum ajelah kut... Tak laparlah!" Aku ni nampak aje tenang padahal dalam hati dup dap, dup dap. Maklumlah, nak menjejakkan kaki di tempat baharu. Entah macam manalah agaknya orang-orang di syarikat tu nanti, ya? Harap-harap dia orang semua baik dan bertimbang rasa.
Setelah berpamitan dengan mama dan papa, aku memandu ke Shah Alam. Syarikat pembinaan milik bumiputera yang terletak di Seksyen 7 itu menjadi destinasiku pagi ini.
Maka pada pagi Isnin yang cerah ini aku sudah pun terpacak di hadapan bangunan pejabat yang tersergam indah, di kawasan yang sibuk dengan aktiviti perniagaan ini. Aku dan Suhaina berjanji untuk berjumpa pada jam 8.45 pagi.
Teruja tahap luar biasa mahu memulakan hari baru di sini membuatkan aku keluar dari rumah seawal jam 7.00 pagi lagi. Aku memandu dengan hati yang gembira, bersaing dengan para pemandu lain yang juga kebanyakannya menuju ke tempat kerja. Seronok pula rasanya ketika bersiap-siap pagi tadi. Tak sabar nak merasai suasana alam pekerjaan. Walaupun sekadar praktikal sahaja, namun aku berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh.
Aku tersenyum apabila nampak kelibat Suhaina di luar bangunan pejabat dua puluh tingkat ini.
"Assalamualaikum..." Aku senyum sambil hulur tangan. Kami bersalaman.
"Waalaikumussalam... Baru pukul 8.15 la. Awal lagi ni, minum dulu jom!" Suhaina tunjuk dengan muncung restoran mamak yang berada tak jauh dari bangunan pejabat ni. Terletak di seberang jalan. Yang lecehnya, kena melintas jalan besar. Kereta pula sedang banyak.
"Restoran mamak tu macam ramai orang. Hujung sana ada satu restoran Melayu... Nak cuba?" Aku rasa malas nak minum kat restoran mamak tu sebab dari sini aku dah nampak betapa padatnya pelanggan yang sedang bersarapan di situ. Dahlah kebanyakan yang aku nampak spesies berlainan jantina dengan kami pula tu. Alahai...
"Ala... Jauhlah, kaki aku dah melecet ni... Aku jalan kaki jauh tadi. Ayah aku turunkan kat simpang depan sana." Suhaina cakap kat aku sambil tayangkan tumit kaki dia yang memang dah merah dan menggelupas sikit.
Aku rasa mesti sebab kasut tumit tinggi yang dia pakai tu. Baru belilah tu agaknya, nampak baru aje. Alah, praktikal aje pun... Nak bergaya mengalahkan orang dah bekerja tu fasal apa? Aku hanya mampu menggelengkan kepala tengok gelagat rakan seperjuangan aku ni.
Aku pandang restoran nun di seberang jalan tu bersilih ganti dengan aku pandang muka seposen Nina. Kesianlah pula aku tengok dia ni. Kalau tak fasal kaki dia melecet memang aku malas nak teman dia minum-minum kat situ.
"Jomlah..." Akhirnya aku mengalah dan Nina tersenyum kemenangan.
Rupa-rupanya kat meja luar tu aje yang padat amat dengan manusia. Kat dalam tu ada dua tiga meja lagi yang kosong. Tapi tak ramai perempuan yang bersarapan kat dalam restoran yang bingit dengan suara lelaki bersembang dan juga bau asap rokok itu. Nak naik lemas dah aku lalu kat sebelah meja para perokok tu. Kalaulah dia orang nampak macam mana rupanya jin yang sedang bertenggek dan makan asap rokok tu, mahu dan-dan tu juga dia orang bertaubat daripada merokok kut. Silap-silap dengar perkataan rokok pun tak boleh. Trauma. Fobia.
Ni nasib tak baik karang habis baju kurung moden aku ni berbau asap rokok. Jangan pekerja-pekerja kat bangunan tempat aku nak praktikal tu ingat aku ni merokok dahlah. Tak kena kut dengan imej ayu aku yang bertudung dan berbaju kurung ni.
Suhaina ni agak moden dalam berpakaian. Hari ni dia mengenakan skirt hitam labuh sikit aje daripada lutut. Pakai pula blouse pendek yang ngam-ngam aje dengan potongan badan dia yang sedang-sedang tu. Mujur juga blouse sutera merah hati tu berlengan panjang. Kalau lengan pendek, alamat sengaja nak tayang ketiaklah jawabnya. Kalau ketiak tu putih melepak macam model deodoran kat televisyen tu okeylah juga. Kalau tak, ishk... Tak payahlah dibayangkan, kan?
"Apasal dia orang tu pandang-pandang aku? Tak pernah tengok perempuan cantik ke?" Suhaina bisik kat aku yang duduk setentang dengan dia. Rasa nak ternganga aku dengar kenyataan dia ni. Mujur aku duduk menghadap ke arah restoran, tak kuasa nak tayang muka ke arah luar restoran yang ramai pelanggan lelaki tu.
"Orang cantik, memanglah lelaki akan pandang!" Aku jawab juga kata-kata dia tadi walaupun tak ikhlas mana ayat-ayat aku ni. Dia siap senyum kat aku, seronok kena puji cantik, eh?
Suhaina ni memang bergaya dan dia agak popular di kampus sebab kawan-kawan dia memang jenis yang menonjol dalam serba-serbi bidang. Kami belajar course yang sama tapi di kampus kami taklah rapat sangat sebab ada geng masing-masing. Dah tentulah geng aku semuanya sederhana aje, kami lebih mementingkan pelajaran daripada gaya. Cewah...
"Kau pun cantik, tapi pakaian kau ni... Erm... Kalau asyik pakai kelambu aje dua puluh empat jam, siapa nak pandang?" Selamba dia komen fasal cara aku berpakaian. Heh... Baju kurung ni baju kebangsaan, kan? Aku selesa begini. Menutup aurat dan rasa selamat daripada pandangan mata-mata lelaki di luar sana. Takkan Suhaina tak tahu hukum menutup aurat itu adalah wajib bagi seorang wanita Islam? Lagipun aku memang tak suka menarik perhatian orang. Aku lebih selesa low profile.
"Aku dah biasa pakai macam ni dari dulu lagi..." Aku senyum tawar. Kalau aku buka ceramah fasal haramnya mendedahkan aurat, mesti dia hilang mood kut pagi ni. Paling teruk kalau dia boikot aku. Erm... Aku akan nasihatkan dia, tapi nanti-nantilah. Aku bukan kawan yang baik kalau aku terus biarkan dia begini. Lagipun ini kali pertama aku dengan dia makan bersama berdua macam ni.
"Kalau kau tak pakai tudung lagi cantik agaknya. Rambut kau lurus atau kerinting?"
"Rambut aku tak lurus dan tak kerinting, biasa-biasa aje... Eh, jomlah makan!" Aku terus ajak dia makan sebaik pesanan kami sampai.
Kami makan tanpa bercakap-cakap. Pasti Suhaina pun ada perasaan yang sama macam aku, nervous. Aku dengan perkataan nervous ni bak irama dan lagu. Percaya tak, sampai sekarang aku masih nervous kalau nak memandu di bandar. Bukannya aku tak berkeyakinan tapi entahlah, nervous tu memang kembar aku agaknya.
Jam tangan yang dah menunjukkan angka 8.40 aku kerling. Dua puluh minit aje lagi tibalah waktu untuk kami melaporkan diri. Aku pandang tray yang masih berbaki separuh tose yang aku makan. Bukannya aku sengaja nak membazir tapi perut aku ni bergelojak dengan bermacam rasa kat dalam ni. Dah tak boleh nak disumbatkan dengan makanan lagi. Air ni pun aku sisip perlahan-lahan, sikit-sikit aku minum. Tose kat tray Suhaina pun sama, hanya separuh yang berusik. Ishk, kalau tahu tadi baik oder satu aje. Kongsi makan. Barulah tak membazir!
"Itu abang suda bayar..." Si penjaga kaunter yang berjambang dan berkopiah senget tu beritahu aku dan Suhaina yang sedang berdiri kat depan kaunter bayaran ni.
"Abang mana?" Suhaina bertanya sambil tertoleh-toleh ke arah yang ditunjukkan. Ada dua orang lelaki sedang berdiri di tepi jalan berhampiran restoran ni. Nak menyeberang ke seberang sana.
"Baju oren tu..." Penjaga kaunter beritahu sambil ambil duit daripada tangan salah seorang pelanggan yang mahu membuat pembayaran. Aku rasa penjaga kaunter ni ada masalah penglihatan kut, lelaki yang dia tunjuk tu pakai kemeja lengan panjang kuning cair dan yang bergandingan dengan dia tu pula pakai baju putih. Mana ada orennya?
"Jomlah, nanti lambat pula." Aku tarik tangan Suhaina. Kami berdua berjalan keluar dari restoran dan menuju ke bangunan pejabat yang terletak di seberang jalan sana.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro