CDD | 8
AWINA membelek telefonnya sedari tadi. Sibuk berbalas mesej dengan Haiqal. Sedar-sedar sudah dua minggu dia jadi tunang lelaki itu. Tiba-tiba nanti sudah genap empat bulan dan jadi isteri pula. Awina meremang seram. Tak terbayang dek akalnya kalau hidup sebumbung dengan Haiqal nanti.
Haiqal
Nanti bagi alamat rumah sewa awak
Nak buat apa?
Bagi je la. Banyak tanya la dia ni
Awina berdecit perlahan. Kalau ada depan mata, memang dia tumbuk saja lelaki itu.
"Hoi Wina, kau dengar tak apa aku cakap ni?" Syafina pukul paha Awina. Terkejut wanita itu dan fokus semula pada mereka semua.
"Ha? Kenapa?"
"Kita orang cakap pasal reunion. Esok lepas habis kelas nak pergi cari something. Aku tak ada baju," terang Ain.
"Habis baju dalam almari kau yang melambak tu?" soal Zulaikha siap pandang Ain sambil kunyah keropok. Tapi dia rasa, dia juga tiada baju yang sesuai untuk majlis reunion batch itu nanti.
"Choyy! Itu semua baju aku nak pergi kelas. Mana boleh sama kan," balas Ain.
"Tapi diorang tak ada kata yang majlis tu ada tema... Kan?" Awina pandang semua. Dia paling tidak suka majlis yang bertema begitu. Satu kerja pula nak cari dan suai padan. Sama ketika majlis graduasi tingkatan lima dulu. Sibuk nak buat tema. Sudahnya dia sarung saja apa yang ada dan selesa untuk dipakai.
Party pooper? Yes I am.
"Aku rasa tak ada. Kalau ada pun, lantak la. Jalan je dan buat tak tahu," tutur Syafina selamba.
Awina senyum. Syafina boleh dikatakan hampir sekepala dengannya juga.
"Kau nak shopping baju juga tak Wina?"
Awina hanya menggeleng menjawab pertanyaan Ain. Dia sudah lama beli baju secara atas talian. Tapi tetap mahu ikut mereka nanti. Manalah tahu tiba-tiba dia rasa nak beli sesuatu sebagai tambahan untuk penampilannya nanti.
***
TANGAN mencapai pin tudung dan disemat ke bahu. Usai itu, Awina kemaskan selendang putih yang dipadankan dengan kebaya putih moden berwarna putih juga dan kain pario campuran tiga warna iaitu coklat, putih dan merah jambu. Solekkannya juga tidaklah tebal mana. Sama saja seperti mahu ke kuliah cuma bagi nampak manis.
Awina pusing sedikit ke kiri dan ke kanan sambil senyum. Puas hatinya.
"Kau ni nak pergi reunion ke... Nak pergi nikah?" soal Syafina yang sedang betulkan awning tudung bawalnya sambil duduk di birai katil. Cermin kecil diangkat separas kepalanya bagi nampak bahagian awning.
Awina pusing menghadap Syafina di belakang.
"Kalau nikah, aku tak pakai baju ni. Aku pakai yang lagi simple dan manis," jawab Awina.
Pintu bilik diketuk dari luar sebelum daun pintu terbuka. Ain masuk diikuti Zulaikha dan Amira.
"Dah siap ke? Jom la. Nanti lambat pula," kata Ain dan duduk di sebelah Syafina.
"Uish! Ni ke baju yang kau order online tu?" soal Amira dan menapak ke arah Awina. Wanita itu mengangguk.
Matanya membelek baju yang tersarung di tubuh kawannya. Ini antara fesyen baju yang laris semasa jualan hari raya tahun lepas. Dia teringin nak pakai tapi dia tak yakin kerana kain pario yang dipadankan untuk baju kebaya ini.
"Girl, aku nak puji juga sebelum orang lain puji. Kau cantik," kata Zulaikha.
"Ini kalau tunang kau nampak, mesti dia melopong," tutur Syafina lalu bangkit dari birai katil untuk letak semula cermin kecil itu.
"Erm malangnya dia tak ada. Tak ada sebab dia nak datang." Seraya itu telefon Awina berbunyi. Bila diintai, nama Haiqal tertera di skrin. Awina jawab.
"Hai sayang, saya dekat depan rumah awak ni."
"Ha? Depan rumah?" Awina berlari ke tingkap biliknya untuk intai depan rumah. Memang ada kereta Haiqal.
"Awak nak apa? Hari ni bukan ada kursus kahwin pun,"
"Kita settlekan la apa yang patut dulu. Cari pelamin, tempah kad kahwin ke. Booking hotel untuk honeymoon pun boleh." Sempat Haiqal menyakat.
"Saya ada reunion la hari ni. Ish tunggu dekat bawah tu kejap." Awina putuskan panggilan dan capai beg tangannya. Yang lain bergegas ikut Awina.
Di bawah, Awina berdiri di depan Haiqal kemudian berpeluk tubuh.
"Saya tak nak ikut awak. Saya ada reunion batch hari ni. Salah awak sebab tak cakap awal-awal."
Haiqal pandang Awina yang sudah bersiap cantik. Dia tersenyum melihat mulut muncung Awina. Dia yang bersandar kereta terus berdiri tegak semula.
"Okay, saya tak paksa. Tapi dengan syarat... Saya ikut sekali awak pergi reunion," ujar Haiqal.
Awina diam mempertimbangkan syarat mudah itu. "Suka hati la."
"Naik kereta dengan saya," arah Haiqal.
"Kalau saya tak nak?"
Haiqal berjalan ke arah Awina. "Dukung la apa susah,"
Awina sempat menolak tubuh Haiqal yang hampir nak dukung dirinya. Geng perempuan di belakang ada yang terbeliak dan cuba menahan kemanisan di depan mata mereka.
"Ya la! Ish malu la orang tengok." Awina mendengus dan berjalan laju ke kereta Haiqal.
Syafina suruh Ain pandu kereta dan mereka akan ikut kereta Haiqal dari belakang.
Di dalam kereta, Awina masam. Geram saja dia dengan Haiqal. Nasib baik ada kawan-kawannya saja. Kalau mak cik Bedah yang tinggal di sebelah rumah sewa mereka nampak, tak kecoh satu taman?
Awina terkejut bila ada tangan asing yang melintas di pandangan matanya. Awina menjeling ke sebelah. Haiqal begitu rapat semata untuk menarik tali pinggang keledar dan kunci.
"Reunion kat mana?" tanya Haiqal.
"Royal Chulan," jawab Awina. Entah kenapa baru sekarang dia rasa terikat. Rancangan untuk pergi reunion bersama kawan-kawan musnah.
"Mulut tu jangan muncung. Cium nanti," sakat Haiqal lagi.
Awina tunjuk penumbuk. "Nampak ni?"
***
DIA termenung. Bayu yang menyapa lembut kulitnya begitu menenangkan hati. Tapi setiap kali dia menikmati semesta begini, kejadian hitam yang berlaku dalam hidupnya menerjah fikiran. Maira pejam mata. Segalanya sangat jelas dari awal dia sah menjadi hak milik Shahrizat Qaid hingga detik dia bebas.
Bagaimana dia boleh jatuh dengan mulut manis Shahrizat dan tinggalkan Haiqal yang juga pegang status teman lelakinya sewaktu di London.
"Ikut I balik Malaysia. I dah graduate. Lepas tu kita kahwin," cadang Shahrizat sewaktu dia datang ke rumah sewanya.
"Haiqal macam mana?"
"Look sweety, dia takkan dapat terima you dah. Mesti dia tak nak bertanggungjawab kalau you mengandung nanti. Silap haribulan, dia buang you. Sayang, I yang sentuh you... Biar I yang jaga you. Lagi pun I memang sayang you,"
Ya dia setuju. Tinggalkan Haiqal dan balik Malaysia. Hampir setahun perkahwinan semuanya baik saja tapi bila kedua ibu bapanya meninggal dalam kemalangan. Kelakuan Shahrizat mula berubah sedikit demi sedikit. Perangai pemabuk sewaktu di London dulu ada semula. Paling dia tak sangka lelaki itu boleh jadi sebaran itu sampai dia keguguran.
Lama dia dalam genggaman lelaki itu dan hidup dalam penuh ketakutan. Sampailah ada jiran yang sanggup tolong dia agar bisa lari dan failkan fasakh.
Sekarang dia perlu cari kebahagiaannya semula. Ingatannya kembali pada Haiqal. Takut untuk munculkan diri. Adakah Haiqal boleh maafkan dan terima dia semula? Dia sendiri tidak tahu nak cari Haiqal di mana.
Maira merenggut-renggut rambutnya. Hatinya berbisik nekad untuk mencari Haiqal.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro