Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

CDD | 4

HAIQAL melangkah turun anak tangga satu persatu dan terus menuju ke meja makan. Dia ambil tempat di sebelah Dato' Syed Hashim. Dia mencedok nasi lemak ke dalam pinggannya. Sedikit sambal dan telur rebus yang sudah dibelah-belah. Datin Mariam menghulurkan air teh kepada Haiqal.

"Haih Mummy, cantik ni nak pergi mana?" soal Haiqal saat melihat Datin Mariam yang berpenampilan lain dari hari biasa. Gaya macam nak keluar ke mana-mana saja.

"Mummy nak melawat kawan Mummy, Datin Esma dekat Seremban. Anak perempuan dia baru je bersalin. Tu yang Mummy nak pergi tengok. Sambil tu ambil berkat sikit," ujar Datin Mariam.

Aleeya yang ada di situ hanya mengangguk faham. Dia pun perasan dengan penampilan wanita itu tapi tak ada la nak bertanya kerana sudah tahu kebiasaannya Datin Mariam kerap keluar kalau ada aktiviti dan majlis yang dia perlu hadir.

"Ha? Ambil berkat?" Haiqal berkerut. Terpacul soalan itu sebaik dia menyisip air panasnya.

"Ambil berkat biar mummy cepat-cepat dapat menantu," balas Datin Mariam kemudian menjeling ke arah anak bujangnya. Seperti biasa akan bereaksi selamba.

Datin Mariam malas nak kata apa-apa. Tak menjentik hati Haiqal pun. Nanti asyik nak larikan diri atau tukar topik.

Sudah makan, Haiqal teguk habis airnya yang sudah suam. 

"Haiqal pergi dulu. Mummy take care okay. Jumpa nanti," kata Haiqal dan bersalam dengan kedua orang tuanya.

"Leeya pun!" Aleeya segera bangun dan capai totebag yang terletak di kerusi sebelah. Terkedek-kedek dia pergi salam dan cium orang tuanya. Usai itu, dia berlari ke pintu utama dan pakai kasut. Dia nak kejar Haiqal sebenarnya.

Di garaj, Aleeya berdiri di depan Mercedes Benz Haiqal. Tangan bercekak di pinggang. Tercungap-cungap dia sebab kejar abangnya. 

Haiqal yang baru buka pintu kereta terus pandang Aleeya. 

"Nak apa? Kereta kau kan baru keluar hospital. Takkan nak tumpang kut," kata Haiqal.

Aleeya berlalu ke sebelah Haiqal.

"Sampai bila abang nak macam ni?" soal Aleeya.

Haiqal tunduk melihat dirinya sendiri kemudian melihat wajahnya pada cermin tingkap kereta Alphard di sebelah. Rambut dibetulkan sedikit dan meraba jambang yang tidak penuh di kawasan dagunya.

"Kenapa? Handsome apa?" 

Aleeya mengeluh dengan perangai Haiqal yang sempat masuk bakul. Okaylah dia faham kalau abangnya cukup pendek akal untuk dapat tangkap apa yang dia cuba sampaikan.

"Let's be honest. Leeya penat Mummy asyik mengadu pasal abang yang buat tak endah je pasal hidup abang? Asyik kerja... kerja. Kalau Mummy buka topik jodoh ke menantu ke apa, abang lari. Sampai bila abang nak macam ni?"

Haiqal melepaskan nafas berat seraya menggaru hujung pelipisnya.

"Kalau abang nak kahwin, orang yang pertama abang cari ialah Mummy. Okay? Leeya bagitahu la Mummy tak payah fikir sangat. Abang nak fokus kerja dulu tolong papa uruskan beberapa projek."

"Cakap jelah abang belum move on dengan bekas kekasih abang yang tiba-tiba lenyap tu kan? Entah-entah dah kahwin dengan orang lain pun." tembak Aleeya dan berpeluk tubuh.

"Abang dah lambat." Haiqal masuk ke dalam kereta.

Aleeya bergerak sedikit ke tepi bila kereta mula keluar dari garaj. Dia hanya perhati saja kereta itu yang mula hilang dari pandangan.

Sementara itu, Haiqal berhenti di persimpangan keluar dari kawasan perumahan mewah tersebut. Bila sudah tiada kereta dari arah sana, Haiqal memutar sterengnya membelok kiri. Tingkap kereta perlahan turun hingga habis.

Perbualan ringkas dengan Aleeya tadi terngiang-ngiang. Sesiapa pun akan rimas bila diasak soal jodoh dan kahwin. Apatah lagi Aleeya yang asyik membangkitkan perihal bekas teman wanitanya. Acap kali itulah bayangan Maira Annisa muncul.

Haiqal kenal Maira sewaktu sambung  Ijazah di London dulu. Tempoh perkenalan yang singkat memutik rasa saling suka antara mereka yang membawa kepada hubungan cinta hampir tiga tahun. 

Hingga di satu waktu wanita itu menghilangkan diri secara tiba-tiba tanpa pesanan atau apa-apa. Lama juga dia tinggal di negara orang meskipun sudah tamat belajar. Takut kalau Maira kembali tapi terasa sia-sia saja penantiannya selepas dapat tahu wanita itu sudah pulang ke Malaysia.

Lima tahun berlalu dia biarkan saja hatinya kosong dan waktu merawat kekecewaan itu. Haiqal cuba untuk tidak mengharap apa-apa. Tentang mencari pengganti, tiada yang berjaya menarik hatinya.

"Masalahnya tak ada perempuan yang buat hati aku ni berbunga-bunga," gumam Haiqal sendiri. Dia cuba ingat semula. Ada ke?

"Kali terakhir kau berperangai macam ni dengan perempuan masa dengan Maira."

Tiba-tiba dia teringat ayat Thaqif tempoh hari selepas terserempak dengan Awina Aleeya di I-City Shah Alam. Haiqal cuma senyum seraya menggeleng perlahan.

***

Datin Mariam ketawa. Sebolehnya dia cuba kawal tawanya. Melebih nanti nampak tak sopan pula dah tua-tua ini. Selepas saja dia ke rumah kawannya, dia ke Mall untuk cari barang. Tak sangka boleh terserempak dengan kawan lama.

"Apalah kau ni Mah..." Datin Mariam mengelap air mata yang sedikit mengalir kerana gelak sedari tadi mendengar cerita lawak kawannya.

"Eh kau kata tadi, kau ke sini melawat kawan. Kenapa, dia sakit ke?"

"Eh tak ada la. Anak dia dah bersalin. Hari tu dia buat kenduri cukur jambul tu aku tak dapat datang. Tu yang pergi melawat hari ni," jelas Datin Mariam. Puan Hasmah mengangguk.

"Ya la kita ni kalau boleh rajin-rajin datang majlis orang. Besok sampai giliran kita, orang pula datang. Tak gitu?" kata Datin Mariam lagi.

Puan Hasmah mengangguk terus. "Betul la tu. Tapi cara kau cakap tu... Ada kenduri ke nanti?"

Hampir tersembur air yang disedutnya.

"Harap masinlah mulut kau tu. Nak tunggu kenduri apa pun tak tahulah. Anak bujang aku tu macam tak fikir nak cari bini." Datin Mariam merenung pada Puan Hasmah.

"Kau bukan ada anak perempuan ke?"

"Ada,"

Datin Mariam tersenyum. Seketika kemudian Puan Hasmah turut ikut senyum sama. Dapat tangkap apa yang bermain di fikiran.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro