Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

MEMANG benarlah aku ni si bongsu yang menurut kata. Memang tak reti nak melawan langsung. Tapi itu bukanlah bermaksud aku ni seperti lembu dicucuk hidung. Dengan ahli keluarga aje yang aku tak pandai nak tunjuk protes atau memberontak. Taat sungguh aku ni, kan.

Disebabkan aku ni si bongsu yang taat, maka hari ini aku berada di sebuah majlis reunion. Tak, bukan aku yang reunion. Tapi abang kesayangan aku, Safiy Khalil. Dia yang nak jumpa kawan-kawan sekolah dia di majlis reunion, tak fasal-fasal aku yang diheretnya sekali!

"Weh, Safiy! Lama gila tak jumpa kau!" aku berdiri di belakang abang yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan bekas rakan sekolahnya dulu. Aku sekadar melorek satu senyuman tipis bila ada beberapa pasang mata kawan-kawan abang melirik ke arahku. Mungkin ada yang kenal dan mungkin ada yang tak tahu siapa aku. Entah-entah ada yang membuat spekulasi yang aku ni girlfriend abang.

"Pergh, Safiy bawak awek la datang reunion kali ni!"

Ha, kan aku dah cakap. Tapi betullah aku ni girlfriend abang. Girlfriend halal.

Abang memutarkan tubuh memandang aku yang berdiri di belakangnya. Ketika abang mahu memperkenalkan aku kepada kawan-kawannya, ada satu suara mencelah. Membuatkan aku dan beberapa manusia yang lain terus menoleh memandang pemilik suara. Seorang wanita bergaun satin ungu sedang melangkah mendapatkan abang dan kawan-kawannya.

"Hai, Safiy. Lama tak jumpa you. You sihat?" wanita itu memandang ke arah abang bersama satu senyuman manis. Dahi aku berkerut. Siapa pula perempuan ni? Kawan abang ke? Atau bekas girlfriend abang masa zaman sekolah dulu? Ingat aku tak tahu ke yang abang aku ni seorang pencinta wanita ketika di zaman sekolahnya dulu? Couple, putus, couple dan kemudian putus lagi itu benda biasa bagi abang. Playboy sungguh abang aku ni.

"Sihat, alhamdulillah. You?" abang membalas senyuman wanita tersebut.

"I'm good. By the way, Safiy... you look super..." mata wanita itu seolah-olah menelanjangi tubuh abang yang berbalut kemeja lengan panjang dan jeans. Puas menilik abang, matanya kembali dipaku ke wajah abang.

"Striking," sambungnya. Abang ketawa sambil mengurut belakang lehernya.

"Thank you for the compliment, Arisya. You pun apa kurangnya." balas abang. Tercungit hujung bibir aku mendengarkan itu. Ceh, kalau dah namanya lelaki!

"I biasa-biasa ajelah, Safiy. Masih comot macam dulu," wanita itu tersipu-sipu sambil menyelit helaian rambutnya ke belakang telinga. Berkali-kali aku pandang penampilan wanita bergaun satin ungu itu. Lawa macam ni pun dia kata comot? Kalau ini dikatakan comot, aku ni macam apa pula? Macam mak lampir?

"Siapa kata? You masih cantik macam dulu," abang memuji wanita itu. Aku menjulingkan bebola mata ke atas. Ya Allah... gatalnya abang aku ni. Mulut tu macam baru lepas telan selori gula pasir.

"Ehem-ehem!" aku berdeham bila abang asyik rancak berbual dengan Arisya sehinggakan lupa aku di belakangnya. Bersama dengan deheman itu, bukan hanya abang, tapi kawan-kawan abang dan si Arisya itu juga memandang ke arahku.

"Eh!" abang seolah-olah tersedar akan kewujudkanku di sini. Boleh pula dia ber'eh-eh' bila tengok aku yang terpacak di belakangnya sedari tadi. Ciskek punya abang!

"Siapa tu, Safiy? Tak nak kenalkan dekat kita orang ke?" Arisya menjeling ke arahku. Dari air mukanya aku tahu Arisya seperti tak senang melihatku. Pandangannya itu adalah pandangan cemburu.

"Kenalkan, Saffa." abang menarik lenganku agar berdiri di sebelahnya.

"My girlfriend." Serentak dengan itu, bebola mata aku rasa nak terjojol keluar dari soketnya. Aku pandang wajah selamba abang. Sekejap, kenapa abang kenalkan aku sebagai teman wanitanya? Kenapa bukan sebagai adik? Apa permainan abang sebenarnya ni?

"Girlfriend you?" besar biji mata Arisya. Nampaknya dia benar-benar terkejut bila abang kenalkan aku sebagai teman wanitanya. Aku jeling beberapa orang kawan-kawan abang. Ada yang menayang wajah terkejut dan ada juga yang tersenyum-senyum. Mereka yang tersenyum-senyum tu mungkin mereka tahu yang aku ini adik perempuan Safiy Khalil. Bukan teman wanita Safiy Khalil. Heh.

"Yup, girlfriend I. Cantik, kan?" abang pandang aku dengan senyuman manis dan renungan penuh kasihnya. Bibir aku tercungit sedikit. Meremang bulu-bulu roma aku dibuatnya. Seumur hidup, abang tak pernah cakap aku ni cantik.

"Wah, Safiy. Senyap-senyap je kau eh? Tahu-tahu dah ada girlfriend," salah seorang kawan abang menumbuk perlahan bahu abang.

"Sebab itulah aku heret dia sekali ke sini. Nak kenalkan buah hati aku ni dekat kau orang semua." ujar abang.

"Kali ni kau memang betul-betul serius ke?" kawan abang yang seorang lagi menyoal. Tengok! Terbukti yang abang aku ni dulunya kaki perempuan.

"Hei, mestilah. Aku dah bertaubat kut! Umur dah tua, tak kanlah nak main-main lagi." selar abang sambil ketawa. Aku menghembus perlahan nafasku. Suka hati kaulah, bang. Jangan kau kenalkan aku sebagai bibik sudah. Aku hentak rahang kau nanti.

Bagai ada tarikan magnet, mata aku terarah ke arah Arisya. Wanita itu sedang merenung tajam ke arahku. Atau lebih spesifik lagi, pandangan tak puas hati. Jangan kata si Arisya ni tak boleh terima yang aku ni 'girlfriend' abang?

"Comel girlfriend you, Safiy." tak semena-mena, Arisya melayang satu senyuman padaku. Hilang terus renungan tajamnya pada aku sebentar tadi.

"Thanks, Arisya. Dia memang comel," abang melirik ke arahku. Aku dah lemas. Rimas bila semua mata asyik terarah padaku.

"Adik nak pergi tandas," aku berbisik perlahan ke telinga abang.

"Sure, sayang. Pergilah," balas abang dengan nada suara yang sengaja dikuatkan. Seolah-olah dia mahu kawan-kawannya mendengar. Tak menunggu lebih lama, terus aku berlalu pergi. Loya pula bila abang panggil aku 'sayang'. Hesy!

***

AKU mengerling jam yang membelit di pergelangan tangan kiriku. Sudah dua jam di sini tapi abang masih belum mahu pulang. Rasa menyesal pun ada sebab setuju untuk mengikutinya ke sini. Tapi itulah, aku dipaksa untuk ikut sekali.

Aku menghantar mesej pada abang mengatakan aku menunggunya di taman bunga yang berada di luar bangunan hotel tempat majlis reunion diadakan. Seminit kemudian, mesejku berbalas.

+ Sini datang ambil kunci kereta. Tunggu dalam kereta.

Aku berdecit perlahan.

- Tak rajinlah nak masuk ambil. Takpe la, adik tunggu kat taman ni. Abang janganlah lama sangat. Adik bosan kering dah ni.

+ Ya, sabarlah kejap.

Aku menyimpan telefon bimbitku ke dalam beg. Nampak saja bangku panjang yang terdapat di sebelah kolam ikan, terus saja aku melabuhkan duduk di situ. Bunyi gemercik air kolam sedikit sebanyak menenangkan hatiku. Namun ketenangan itu nampaknya tidak bertahan lama bila ada satu sosok manusia berdiri di hadapanku. Pelipisku berkerut memandang Arisya, kawan abang.

"Betul ke you ni girlfriend Safiy?" tanpa salam, Arisya menyoalku. Daripada nada suaranya, aku tahu Arisya masih tak puas hati setelah abang memperkenalkan aku sebagai teman wanitanya. Aku hela nafas lalu bangkit berdiri menghadap Arisya. Sebuah senyuman aku lemparkan buat gadis itu.

"Kenapa kalau saya ni girlfriend Safiy?" soalku. Aku masih belum mahu memberitahu hubungan sebenar aku dan abang. Lagipun, mesti ada sebab kenapa abang memperkenalkan aku sebagai teman wanitanya dan bukan adik perempuannya. Adakah kerana Arisya?

Selepas mendengar soalan aku itu, Arisya menilik aku dari hujung kepala sampailah ke hujung kasut sebelum dia tertawa sinis.

"Tak sangka taste Safiy sekolot ini," ujar Arisya. Muka aku berubah. Wait... what? Dia kata aku kolot?!

"To be frank, you tak sepadan langsung dengan Safiy. Safiy terlalu sempurna untuk berdiri di sebelah you. Bila I tengok you berdiri kat sebelah Safiy tadi, I rasa mata I sakit." Sambungnya lagi. Aku kepal buku lima. Wah, melampau betul minah ni ya. Buruk sangat ke aku ni bila berdiri di sebelah abang kandung sendiri? Lagipun perempuan ni buta ke apa? Muka aku dengan abang ada iras kut!

"Jadi? Safiy tu sesuai dengan siapa? Awak ke?" terjongket sebelah keningku. Arisya ketawa.

"Kalau nak dibandingkan I dengan you... yes. Mungkin I lebih sesuai dengan dia," Arisya menolak rambut yang terjuntai di dahinya. Aku menghela nafas panjang.

"Awak ni bekas girlfriend dia ke?" soalku lagi. Kalau betullah si Arisya ni pernah menjadi salah seorang teman wanita abang dulu, mahu saja aku azan dekat telinga abang. Perempuan macam ni pun dia pernah suka ke?

"Kenapa you sibuk nak tahu?" Arisya menjeling. Aku mencebikkan bibir. Lah, aku tanya aje kut.

"Tak nak tahu sangat pun. Saya cuma bertanya sebab saya tengok awak ni nampak macam tak puas hati aje bila saya ni girlfriend kepada Safiy. Awak cemburu ke?" aku memeluk tubuh.

"I sukakan Safiy."

Mata aku terkebil-kebil. Okey, tak terkejut pun. Abang aku tu boleh tahan kacak. Tak pelik kalau perempuan macam Arisya ni sukakan abang. Tapi itulah, aku bersyukur bila abang tak bercinta dengannya. Eei, tak mahulah aku ada kakak ipar macam perempuan ni.

"Tapi Safiy sukakan saya." Aku melayang senyuman padanya. Sengaja aku cuba memprovokasi perempuan berambut panjang separas bahu ini. Arisya mengetap rapat bibirnya sambil matanya mencerlung ke arahku.

"You tak layak untuk Safiy! I tak tahulah apa yang Safiy pandang dekat you. Dah la kolot!" sekali lagi Arisya mengkolotkan aku. Aku tunduk memandang penampilanku. Skirt labuh dipandankan dengan blouse. Tudung bawal yang aku pakai, aku gayakan dengan gaya butterfly. Okey... mungkin agak kolot. Tapi aku selesa dengan pakaianku ini. Apa yang penting, aku menutup aurat.

"Tak apalah, Cik Arisya. Kolot pun kolotlah. Janji Safiy sayangkan saya. Okey, bye!" aku berura-ura untuk pergi sebelum belakang sikuku disambar. Tubuhku terundur ke belakang bila Arisya menarik kuat siku aku yang dicengkamnya. Aku merentap tanganku dari pegangannya.

"Sakitlah!" mata aku terjegil. Sakit sebab kuku panjang Arisya yang macam hantu itu menekan kulitku.

"Putuskan hubungan you dengan Safiy!" aku terundur lagi bila Arisya menambah jarak merapati aku.

"Kenapa pula? Kalau saya putuskan hubungan dengan dia, dia akan pergi dekat awak ke?" aku merengus. Aku yakin mati hidup semula pun, abang tak akan pilih si Arisya ni. Seketika aku terfikir, inikah sebab abang mengheret aku sekali ke sini? Inikah sebab abang memperkenalkan aku sebagai teman wanitanya? Sebab abang nak jauhkan diri daripada Arisya?

"You tak layak untuk Safiy!" sekali lagi dia mengingatkan betapa tak layaknya aku berdamping dengan abang.

"Awak layak ke dengan dia? Awak lagi tak layaklah!" tempelakku. Geram betul aku dengan perempuan psiko ni. Tiba-tiba Arisya mencengkam kedua-dua belah bahuku lalu ditolak tubuhku ke belakang. Mata aku terjegil luas bila kakiku hanya berjarak beberapa jengkal saja dari kolam ikan. Bila-bila masa aku akan jatuh ke dalam kolam ikan tersebut.

"Cik Arisya!" aku pandang Arisya yang sedang tersenyum sinis. Dalam sekelip mata, sekujur tubuhku basah lencun. Bau busuk ikan menerobos masuk ke dalam rongga hidungku. Mujur kolam ikan ni tak dalam. Kalau tak, harus aku mati kelemasan. Sudah la aku tak reti berenang!

"Ini baru sikit!" ujar Arisya sebelum dia berlalu pergi tanpa rasa bersalah. Aku ketap bibir. Mahu saja aku tarik Arisya sekali ke dalam kolam ikan ini. Tapi dia dah berlalu pergi. Terkial-kial aku melompat keluar dari kolam ikan tersebut dengan tubuh yang kedinginan. Blouse dan skirt yang dipakai sudah melekat di tubuh. Nasib tudung tak basah semuanya.

"Saffa?"

Aku berpaling bila ada satu suara menyebut namaku. Buntang biji mataku memandang sosok Hud yang berjalan merapatiku. Apa yang Hud buat kat sini? Tak! Kenapa Hud perlu nampak aku dengan keadaan lencun seperti sekarang?!

"What happened to you, Saffa?" mata Hud memandang tubuhku. Terus aku menyilangkan tangan ke dada. Segan dengan pandangan Hud.

"Sorry. Ambil ni," Hud hulurkan blazer miliknya kepadaku. Terus aku ambil demi menutup tubuhku yang kebasahan. Mata Hud menjeling ke arah kolam ikan sebelum kembali memandang ke arahku.

"Awak terjun kolam ke, Saffa?" soal Hud. Aku diam dulu. Nampaknya, Hud tak nampak kejadian sebenar yang berlaku beberapa minit lepas. Hud tak nampak Arisya menolakku ke dalam kolam ikan tersebut.

"Errr... saya tergelincir." aku sengih. Kalau aku ceritakan perkara sebenar pada Hud pun, apa saja yang Hud boleh buat? Pergi serang Arisya? Huh, aku ni bukannya girlfriend Hud pun sampaikan Hud nak pergi serang Arisya. Lagipun, tak penting untuk Hud tahu tentang perkara sebenar yang berlaku.

"Tergelincir?" sebelah kening Hud terjongket. Mesti dia pelik macam mana aku boleh tergelincir jatuh ke dalam kolam ikan itu sedangkan kolam ikan tersebut dikelilingi dengan batu sungai. Kalau tergelincir masuk kolam renang, itu logiklah juga sebab lantai licin.

"Benda nak jadi,"

"Awak ni cuailah, Saffa."

Aku sengih. Ya, bila masa aje aku tak cuai?

"Eh, awak buat apa kat sini?" aku menyoal Hud. Tak kanlah Hud pun join majlis reunion yang diadakan di hotel ini?

"Saya dinner dengan client tadi. Awak pula buat apa kat sini?" soal Hud.

"Oh, teman abang saya pergi majlis reunion dia." jawabku.

"I see. Patutlah nampak macam ramai orang dekat hall." Hud tersenyum tipis sambil ibu jarinya ditunding ke arah bangun hotel. Kepala aku terangguk-angguk. Blazer milik Hud yang terletak atas bahuku, aku perbetulkan. Bau wangian yang dipakai Hud menerobos ke lubang hidungku. Wanginya!

"Adik!" selang beberapa saat, abang muncul. Matanya mencerlung memandang tubuhku.

"Kenapa basah-basah ni?!" abang menyoal. Dia pandang aku sebelum dia menoleh memandang ke arah Hud.

"Adik terjatuh dalam kolam ikan tadi." aku menarik tangan abang bila abang memandang tajam ke arah Hud. Sebelum abang jatuhkan tuduhan tak berasas pada Hud, lebih baik aku beritahu perkara sebenar.

"Macam mana boleh jatuh dalam kolam ikan pulak?! Itu kolam ikan dik, bukan kolam renang!" abang dah bercekak pinggang. Cara abang marah serupa aku ni adik dia yang berusia enam tahun.

"Dah nak jatuh, nak buat macam mana?" balasku selamba. Tapi, abang macam tak puas hati dengan jawapanku itu. Ya, siapa aje nak percaya kalau terjatuh dalam kolam ikan? Bukannya kawasan itu licin pun.

"Jomlah balik. Adik tak laratlah," aku tayang muka kesian. Abang menghela nafas panjang. Mungkin tak sampai hati nak marah aku lebih-lebih apatah lagi dengan keadaan aku yang sekarang.

"Jomlah," suara abang mengendur. Blazer ditubuhku, aku serahkan kembali kepada pemiliknya. Hud menyambut huluranku itu.

"Terima kasih pinjamkan blazer awak, Hud. Maaflah, blazer awak dah busuk ikan." Aku sengih. Hud ketawa kecil.

"It's okay," balas Hud. Aku perasan mata abang terarah lama pada Hud. Mesti abang pelik bila Hud ada bersamaku. Lagi-lagi bila Hud pinjamkan blazernya untukku. Mengenangkan kondisiku, aku tak rasa mahu memperkenalkan abang pada Hud. Nanti-nanti sajalah aku kenalkan mereka berdua. Aku dah sejuk beku ni!

"Abang..." aku tarik tangan abang. Bagai tersedar, abang menarik tubuhku agar berjalan di hadapannya. Sekaligus menyembunyikan tubuhku yang masih basah itu daripada pandangan Hud dan sesiapa sahaja.

***

AKU membalut tubuhku dengan sweater milik abang. Kebetulan abang memang ada menggantungkan sweaternya itu di dalam kereta.

"Abang tak percaya kau terjatuh dalam kolam ikan tu. Cepat bagitahu perkara sebenar." abang bersuara sambil dia fokus memandu.

"Betullah, adik terjatuh. Tergelincir." Aku masih mahu menyembunyikan perkara sebenar.

"Jangan nak bohong abang, dik. Abang ni takde la bodoh sangat nak percayakan kata-kata kau tu. Siapa aje dalam dunia ni yang terjatuh dalam kolam ikan? Bagitahu abang, siapa yang tolak kau?" suara abang bertukar keras.

"Kenapa abang fikir ada orang tolak adik?" aku menduga.

"Saffa Kirana, bila abang tanya boleh tak jawab aje? Apa yang susah sangat?" abang memandang tajam ke arahku.

"Arisya yang tolak kau, kan?" tebakan abang mengena. Terpejam-celik mataku memandang abang yang sedang memandu.

"Mana abang tahu?"

"Jadi betullah Arisya yang tolak kau?"

Aku mengemam bibir. Diamku adalah jawapan 'ya' kepada soalan abang.

"Aku dah agak dah! Perempuan tu memang tak berubah dari dulu!" abang mendengus kasar. Dia mencengkam kuat stereng kereta.

"Apa maksud abang?" aku mengiringkan tubuhku menghadap abang.

"Arisya tu psikopat. Harap muka aje lawa tapi sakit jiwa. Ingat dah besar ni, matanglah sikit. Tapi rupanya makin gila," dengus abang. Aku tak tahu apa yang Arisya pernah lakukan dulu sehingga abang memanggilnya psikopat dan sakit jiwa. Teruk sangatkah Arisya itu?

"Dia cakap apa dekat adik? Kenapa dia boleh tolak adik dalam kolam ikan tu?" soal abang. Aku sandarkan tubuh pada kerusi. Kejadian aku ditolak Arisya ke dalam kolam ikan itu kembali berputar di dalam kotak memori. Kata-kata Arisya terngiang-ngiang di telinga.

"Dia cakap dia sukakan abang. Dia cakap adik ni tak layak berdamping dengan abang sebab adik ni kolot. Adik ada la provok dia sikit, mungkin sebab itulah dia marah dan tolak adik masuk kolam ikan tu," ceritaku ringkas. Abang diam tapi aku tahu abang marah bila Arisya melakukan sesuatu yang tak elok padaku.

"Dia tu salah seorang bekas girlfriend abang ke dulu?" aku menyoal. Laju abang menoleh memandangku dengan pelipis yang bergaris.

"Mengarut! Siapa entah nak bercinta dengan perempuan psiko macam tu," balas abang sedikit kasar. Aku mencebikkan bibir. Tak ingin bercinta dengan perempuan psiko macam Arisya tapi manis mulut puji Arisya masa dekat majlis reunion tadi. Dah tahu Arisya tu syok dekat dia, kenapa puji Arisya tu cantik? Wayar dalam kepala otak abang aku ni dah tersalah sambung agaknya.

"Abang minta maaf, adik." tiba-tiba abang meminta maaf padaku. Aku pandang sisi wajah abang.

"Abang tak sepatutnya bawa kau pergi majlis reunion tu. Kalau abang tahu Arisya ada niat tak elok dekat kau, abang tak kan biarkan kau sorang-sorang. Abang minta maaf," abang mengeluh. Perlahan-lahan bibir aku membentuk satu senyuman tipis. Tanganku naik menepuk bahu abang.

"Tak apalah. Benda dah jadi pun. Dapat juga adik merasa jadi mermaid berenang dengan ikan-ikan kat dalam kolam tu," aku berseloroh. Tapi abang tak ketawa. Mungkin dia masih rasa bersalah kerana meninggalkan aku sendirian tadi.

"Jangan bagitahu mama dengan ayah fasal ni. Ini rahsia kita." ujarku.

"Abang pun tak naklah mama dengan ayah tahu fasal ni. Tak fasal-fasal abang yang kena berleter dengan dia orang tujuh hari tujuh malam sebab tak jaga si bongsu ni elok-elok." balas abang. Aku ketawa. Heh, jangan main-main dengan si bongsu kesayangan mama dengan ayah ni. Tak boleh disentuh sebarangan apatah lagi disakiti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro