Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

HARI-HARIKU berlalu seperti biasa. Aku menyibukkan diri membantu Kak Aimi di taska miliknya. Kebetulan, ada seorang staf berhenti kerja. Jadi, akulah yang menggantikan kekosongan itu sementara Kak Aimi mencari staf baru.

Kerja aku dekat taska itu sekadar membantu apa yang perlu saja. Memasak dan menidurkan kanak-kanak berusia setahun hingga empat tahun itu. Cebok budak itu tak masuk dalam skop kerja aku. Tak reti weh nak cebok budak. Kang lain jadinya.

"Akak, adik balik rumah sekejap. Mama panggil balik makan tengahari." Aku maklumkan hal itu kepada Kak Aimi.

"Hah, pergilah." Ringkas saja balasan Kak Aimi.

"Jomlah balik rumah mama sekali. Boleh makan tengahari sama-sama," aku mengajak. Kak Aimi bukannya orang luar. Dia kakak ipar kesayangan aku. Menantu mama yang paling boleh harap.

"Tak apalah, adik kirim salam aje dekat mama dan ayah. Sekejap lagi akak ada hal nak kena settle," ujar Kak Aimi.

"Okeylah. Adik balik dulu,"

"Hati-hati drive!"

Aku kenyit mata lalu terus menapak meninggalkan Taska Cahaya Permata itu. Kereta aku pandu dengan had kelajuan sederhana. Jarak antara taska ke rumah aku tu taklah jauh mana. Lebih kurang lima belas kilometer saja. Setibanya aku di rumah, kaki terus aku lencongkan ke dapur. Semerbak aroma asam pedas ayam kegemaranku menujah deria bau.

"Fuyooo! Mama masakkan asam pedas favorite adik la! Terima kasih, ma!" aku tarik kerusi lalu duduk. Tak lama kemudian, ayah muncul di meja makan. Ayah mengetuai bacaan doa makan sebelum kami mula menjamu selera. Kalau aku ada kat rumah, hanya kami bertiga saja yang memenuhi meja makan. Abang long, kak ngah dan abang sibuk. Kadang hujung minggu barulah kami dapat makan tengahari ramai-ramai.

Abang long dan kak ngah dah ada keluarga sendiri dan duduk di rumah sendiri. Abang pula sibuk. Keluar pagi balik petang. Waktu malam sajalah aku boleh cari gaduh dengan abang kesayangan aku itu.

"Adik masih ingat lagi tak kawan mama yang kita jumpa dekat kenduri itu hari?" tiba-tiba mama melontar soalan padaku.

"Mak Cik Faridah tu ke?" tanyaku setelah menelan nasi dalam mulut. Mama tiba-tiba ketawa dan berjangkit dekat ayah. Pelik aku dibuatnya.

"Kenapa mama dengan ayah ketawa? Adik salah jawab ke? Rasanya kawan mama yang kita jumpa dekat kenduri kahwin itu hari, Mak Cik Faridah sajalah." aku cuba menggali memori. Yang aku ingat, hanya Mak Cik Faridah saja kawan mama. Mana ada kawan lain lagi.

"Nasib baik kawan mama tu orangnya humble dan tak kisah,"

"Kenapa?"

"Dia tu orang ada pangkat la, adik. Datin Faridah."

"Seriuslah?" mata aku terjegil. Tak tahu pula aku kawan mama tu berpangkat datin. Selamba saja aku panggil dia mak cik masa kenduri hari itu. Hesy kau ni, Saffa!

"Mama! Kenapa tak bagitahu adik awal-awal? Malulah adik dok panggil dia mak cik." aku mengeluh pendek. Kalau panggil 'auntie' okeylah sikit kut. Ini aku panggil mak cik dekat seseorang yang berpangkat datin. Haiya!

"Sorry la, adik tak tahu. Lagipun penampilan dia masa kat kenduri hari itu tak nampak macam datin pun." Aku ingat lagi penampilan Mak cik Faridah... eh Datin Faridah masa kenduri kahwin hari itu. Baju kurung songket dan selendang yang menutup mahkotanya. Perhiasan pun sekadar seutas gelang emas dan beberapa bentuk cincin di jemarinya. Pokoknya, memang aku tak terfikir yang kawan mama itu orang yang ada pangkat.

"Iyalah, dah orangnya itu down to earth. Tak mendongak ke langit walaupun ada pangkat," sambut mama. Aku angguk setuju. Betullah tu, orang seperti inilah patut dijadikan contoh. Ada pangkat tapi tak menunjuk-nunjuk dan mendabik dada. Sorok-sorok saja. Aku panggil dia mak cik pun, dia boleh tersenyum. Langsung tak sombong.

"Arwah suami dia berpangkat datuk ke mama?" aku bertanya sekadar ingin tahu.

"Iya. Arwah suami dia waktu hidup dulu seorang ahli politik," jawab mama. Aku kagum seketika. Bukan biasa-biasa kalau orangnya pernah ada kuasa dalam kerajaan. Mesti besar jasa arwah suami Datin Faridah sehinggakan dikurniakan darjah kebesaran itu.

"Tapi dia pun ada bisnes sendiri. Tahu kan Kedai Tekstil Bonita? Hah, Datin Faridah itulah pemiliknya." Sekali lagi bebola mataku rasa macam nak terjojol keluar tatkala mengetahui kebenaran itu. Siapa saja yang tak tahu perniagaan Bonita yang merupakan pelopor tekstil terbesar di Malaysia? Setiap kali tiba musim perayaan, mesti kami sekeluarga akan membeli-belah di Bonita kerana kualiti produknya yang tidak pernah mengecewakan.

"Kenapa mama tak pernah cakap yang owner Bonita tu kawan mama?" aku tanya. Dah berpuluh tahun kami sekeluarga menjadi pelanggan tetap Bonita. Tapi sekali pun mama tak pernah cakap yang kedai tekstil Bonita itu merupakan perniagaan kawan baiknya.

"Hud yang bantu uruskan Bonita sekarang ni," tokok mama. Serta-merta wajah kacak Hud terlayar di ruang mata. Sejak pertemuan kali pertama di kenduri kahwin itu, aku sudah tidak bertemu dengannya lagi. Berhubung pun tidak. Macam mana nak berhubung kalau kami tak bertukar nombor telefon pun?

"Kenapa mama tiba-tiba bangkitkan fasal Datin Faridah?" soalku bila mama yang mula-mula bangkitkan soal Datin Faridah.

"Oh! Dia ada call mama petang semalam. Jemput datang ke rumah sebab dia ada buat kenduri tahlil untuk arwah suaminya. Kita pergi ya, dik? Teman mama. Ayah sibuk dengan kerja masjid dia." Mama begitu berharap aku dapat menemaninya ke rumah Datin Faridah. Aku jeling ayah. Ayah sejak berpencen ni memang aktif dengan kerja-kerja di masjid. Silap hari bulan, orang masjid lantik ayah jadi ahli jawatankuasa. Heh.

"Bila tu mama?"

"Khamis malam jumaat ni. Kita pergi ya, adik?"

"Hurm, okey."

Akhirnya aku bersetuju. Kalau bukan aku, siapa lagi yang nak menemani mama? Mujur ada aku si bongsu yang boleh jadi bodyguard mama kalau ayah tak ada.

***

KHAMIS malam jumaat itu, aku dan mama memenuhi jemputan Datin Faridah. Kereta aku pakirkan di tepi jalan sebaik saja tiba di destinasi. Aku terlopong seketika memandang bangunan rumah tiga tingkat itu. Besar gila. Memang tipikal rumah orang-orang kaya. Untuk masuk ke kawasan perumahan elit ini, kami perlu melepasi pondok pengawal terlebih dulu. Kami dibenarkan masuk setelah nama kami ada di dalam senarai jemputan majlis kenduri tahlil di kediaman Datin Faridah. Jadi, kalau tak ada nama dalam senarai jemputan, jangan haraplah pengawal akan melepas masuk.

"Besar betul rumah dia, mama. Mama pernah datang ke?" aku menyoal mama yang turut memandang ke arah rumah banglo tiga tingkat itu.

"Tak pernah. Ini first time," jawab mama. Tak berlama-lama di dalam kereta, aku dan mama beriringan menuju ke banglo mewah itu. Para jemputan sudah memenuhi ruang bawah kanopi yang didirikan di laman rumah yang luas. Ada sekumpulan pelajar tahfiz berjubah putih dan berserban sedang duduk di ruang tamu. Mungkin itu pelajar-pelajar tahfiz yang Datin Faridah jemput.

"Auntie..."

Aku dan mama terus tertoleh bila ada satu suara serak menegur. Tak berkelip aku memandang sosok Hud yang menyambut kedatangan kami. Lelaki itu mengenakan baju melayu berwarna hitam. Aku tak tipu, dia memang begitu sempurna di mata aku. Tak ada kurangnya di mana-mana.

"Hud? Ingat lagi dekat auntie," mama tersengih-sengih.

"Ish, mestilah ingat. Kejap Hud panggilkan mama dekat dalam." Sekilas Hud memandang aku sebelum dia berlalu memasuki rumah meninggalkan aku dan mama. Aku menyiku mama bila mamaku itu ralit memandang ke sekitar laman rumah yang luas itu. Bayangkan laman rumah ini mampu memuatkan sepuluh biji kereta. Tak ke luas gila tu?

"Rasa kerdil pula mama kat sini, dik." Luah mama. Aku mengangguk setuju. Melihatkan tetamu-tetamu yang berpakaian cantik dan kemas, aku rasa mereka bukan orang biasa. Mungkin golongan sosialit yang sama taraf dengan Datin Faridah. Tak macam aku dan mama, orang biasa-biasa saja.

"Mama nak balik ke?"

"Ish! Kita baru aje sampai. Makan pun belum lagi. Tak kan dah nak balik?" mama tarik muka. Aku sengih.

"Adik gurau ajelah," tercebik bibirku. Selang seminit kemudian, aku menangkap sosok Datin Faridah berjalan mendapatkan aku dan mama. Di belakangnya ada Hud yang mengekori.

"Kartika, Saffa! Datang juga kau orang berdua. Ingat tak sudi datang." Datin Faridah dan mama berlaga pipi dan berpelukan. Setelah itu, giliran aku menyalami tangan Datin Faridah. Terkejut juga aku bila tubuhku ditarik ke dalam pelukannya. Cara Datin Faridah peluk aku macam dah pernah jumpa banyak kali.

"Dah dijemput mestilah kami datang," jawab mama.

"Jemputlah makan dulu. Nanti lepas makan boleh la kita berbual panjang," Datin Faridah menjemput aku dan mama untuk menjamu selera di bawah kanopi.

"Yalah,"

***

JAM sudah melepasi pukul sepuluh malam. Para jemputan juga sudah beransur pulang. Aku cuit mama, buat isyarat yang kami perlu minta diri. Sudah la esok pagi-pagi aku nak ke taska.

"Sekejaplah dulu," mama memujuk aku untuk tetap berada di sini beberapa minit lagi. Aku mengeluh.

"Ini ada hadiah sikit," Datin Faridah muncul bersama dua beg goodies. Dengan dahi berlapis, aku menyambut juga huluran itu. Tak tahu pula ada disediakan cenderamata untuk tetamu yang hadir.

"Terima kasih, datin." Ucapku. Selepas mengetahui bahawa wanita jelita yang berdiri di depan aku ni bukan calang-calang orang, terus aku menukar nama panggilan. Tak kanlah nak panggil mak cik lagi selepas aku tahu siapa dia yang sebenarnya, kan? Namun secara tiba-tiba, Datin Faridah menampar lembut bahuku.

"Siapa suruh panggil datin? Panggil aje mak cik macam hari itu," ujarnya. Aku hampir ternganga. Masih wujudkah golongan sosialit yang tak kisah dipanggil mak cik seperti Datin Faridah ini?

"Eh, mana boleh macam tu. Tak eloklah," aku sengih kelat.

"Apa pula tak eloknya?" muka Datin Faridah berkerut.

"Kalau macam tu, Saffa panggil  auntie aje la." balasku. Walaupun panggilan mak cik dan  auntie itu membawa maksud yang sama, tapi sekurang-kurangnya panggilan  itu kedengaran sedikit molek untuk golongan ternama seperti Datin Faridah.

Datin Faridah sekadar ketawa.

"Mana-mana ajelah, Saffa." ujarnya.

"Faridah, kita orang nak minta diri dululah. Dah lewat ni. Saffa pun esok kerja," mama minta diri. Dia menghulurkan tangan pada Datin Faridah.

"Saffa kerja apa sekarang ni?" Datin Faridah macam berminat pula nak tahu apa pekerjaanku.

"Saya tolong kakak ipar uruskan taska dia, auntie." Aku sengih. Rasa segan pun ada. Belajar tinggi-tinggi tapi cuma kerja di sebuah taska. Ah, lantaklah. Bukannya masa aku belajar, aku minta duit sesiapa untuk tanggung yuran setiap semester aku, kan?

"Okeylah tu. Bukan mudah kerja dekat taska ni. Memerlukan kesabaran yang tinggi," ujar Datin Faridah dan kata-katanya itu aku setuju seratus peratus. Hanya yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan sayangkan budak-budak saja mampu bertahan kerja di taska. Tapi itulah, kebelakangan ini banyak pula keluar berita tentang penderaan kanak-kanak di taska. Semoga staf-staf di Taska Cahaya Permata dikurniakan hati dan jiwa yang sayangkan kanak-kanak. Bukannya pemarah dan kurang sifat sabar.

Sepuluh minit kemudian barulah kami benar-benar meminta diri. Bolos saja masuk ke dalam kereta, mama terus keluarkan isi di dalam beg goodies yang kami dapat. Mama ni memang tak menyempat sungguh!

"Ada apa aje mama dalam tu?" aku menyoal berbasa-basi sambil memulakan pemanduan.

"Buku surah Yaasin, tasbih kayu dan buah kurma, dik. Alhamdulillah..." aku mengerling balang kaca kecil yang berisi buah kurma. Balang tersebut diikat dengan reben dan dilekatkan pelekat. Tapi tak pasti pula pelekat apa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro