Bab 3
SEBIJI bantal aku tarik menekup kedua-dua belah telingaku. Pun begitu, suara mama masih lagi kedengaran menganggu lenaku. Seketika kedengaran bunyi pintu bilik tidurku dibuka dari luar.
"Saffa Kirana, bangun sekarang!" mama merentap bantal yang aku gunakan untuk menutup kedua-dua belah telingaku. Mataku memicing bila silauan matahari yang menembusi kain langsir menyapa kornea.
"Apa ni, ma? Adik nak tidurlah..." aku merengek. Nak marah mama sebab kacau aku tidur tapi tak boleh. Tak fasal-fasal aku sandang panggilan anak derhaka. Uih, tak naklah aku!
"Tidur apa lagi, adik? Dah pukul sebelas pagilah! Bangun, bersiap lekas. Ikut mama dengan ayah pergi kenduri," mama menyelak langsir bilik tidurku. Aku merengus tanda protes. Tolonglah... aku paling tak suka pergi kenduri. Lagi-lagi kenduri kenalan mama dan ayah. Bukannya apa, kalau aku ikut, mesti aku kena sidai. Mama dengan ayah kalau boleh jumpa kawan lama, aku pun dia orang boleh lupa tau? Itu tak masuk lagi soalan-soalan 'bila nak kenduri' yang sering saja aku terima. Hello, aku baru dua puluh lima kut!
"Malaslah. Mama ajelah pergi dengan ayah..."
"Jangan nak mengadalah, adik. Bangun sekarang. Pukul dua belas kita gerak,"
"Alahhhh..."
Pap! Punggung aku ditampar mama. Sakit weh!
"Bangun cepat. Bersiap cantik-cantik sikit. Mama bagi masa tiga puluh minit aje. Lambat, siap!" bersama amaran itu, mama berlalu meninggalkan bilik tidurku. Aku cuba menyambung lena tapi gagal bila suara mama asyik terngiang-ngiang di telinga. Maka, dengan rasa malas dan tak relanya, aku tinggalkan juga tempat beraduku. Lekas-lekas aku masuk ke dalam bilik air sebab mama cuma bagi aku tiga puluh minit aje untuk bersiap. Ah, tak kira! Tiga puluh minit tu mana cukup nak bersiap!
***
KATA mama, ini kenduri kahwin anak bongsu kawan ayah waktu mereka sama-sama berkhidmat dalam kerajaan dulu. Walaupun masing-masing sudah bersara, hubungan persahabatan mereka masih kekal utuh sehingga ke hari ini.
Kami disambut kawan baik ayah dan isterinya di pintu gerbang sebelum kami dipelawa untuk menjamu selera terlebih dahulu. Memandangkan dah tengahari, terus saja aku menarik mama ke bawah khemah. Manakala ayah menyertai kawan-kawannya. Bagi chance la ayah nak reunion dengan kawan-kawan dia.
Aku capai pinggan dan sendukkan nasi minyak ke pinggan mama terlebih dulu. Kemudian, barulah aku sendukkan nasi minyak ke atas pingganku. Dua ketul daging masak hitam dan acar buah aku ambil. Kalau datang kenduri, aku sangat suka meratah acar buah. Sedap kut!
"Kartika?" aku menoleh bila ada satu suara menyebut nama mama.
"Eh? Faridah ke ni?" mama memandang wanita anggun yang sedang tersenyum lebar.
"Akulah ni. Ya Allah, Kartika!"
Macam biasalah, sesi jejak kasih bermula. Memang macam inilah babak yang terjadi setiap kali aku pergi ke mana-mana tempat kenduri. Mama dan wanita yang namanya Faridah itu saling berlaga pipi dan berpelukan erat.
"Allahuakhbar, lamanya tak jumpa kau, Faridah. Kau sihat ke?" cerah biji mata mama. Pinggan nasi yang dipegangnya tadi diletakkan di atas meja berdekatan. Sudah la meja tu ada orang tengah duduk makan. Haih mama, mama.
"Alhamdulillah, sihat. Aku pun dah lama tak tengok kau, Tika. Tak sangka boleh jumpa kau kat sini," ujar Mak cik Faridah.
"Itulah. Kau datang dengan siapa?"
"Datang dengan anak teruna akulah. Kau pula datang dengan siapa?"
"Aku datang dengan suami dan anak dara aku ni ha. Saffa," mama menggamit aku. Aku terus memaniskan wajah lalu aku hulur tangan untuk bersalaman dengan Mak cik Faridah.
"Ini anak dara kau?" tanya Mak Cik Faridah pada mama.
"Yalah, Saffa Kirana namanya. Anak bongsu aku. Bujang lagi." mama sengih. Aku kerut dahi. Sekejap... perlu ke mama bagitahu status solo aku pada orang lain? Mama ni!
"Bujang lagi? Eloklah, anak teruna aku pun bujang lagi!" Mak cik Faridah tampar lembut bahu mama sambil ketawa besar. Mama ikut ketawa sambil menjeling aku penuh makna. Aku? Aku dah lenguh berdiri sambil pegang pinggan nasi ni oi! Kang ada juga pinggan terbalik kat sini nanti.
"Mama, adik cari meja dulu la," aku minta diri. Bila mama angguk, laju saja aku menghampiri sebuah meja kosong.
Elok aku letak pinggan, ada satu tangan turut meletakkan pinggannya di situ. Terus aku toleh memandang pemilik pinggan nasi itu. Seorang lelaki berkemeja rona gelap turut memandang ke arahku. Mungkin dia juga tak sangka yang kami sama-sama meletakkan pinggan di meja kosong ini.
"Sorry, meja awak ke ni?" dia bertanya. Spontan aku menggeleng. Iyalah, bukannya aku cop dulu meja ni pun. Kebetulan aku nampak meja ni kosong, jadi aku terus letak pinggan.
"Boleh saya duduk sini?" soalnya lagi. Aku terpegun. Tak cuma paras rupanya yang kacak tapi suaranya juga mengingatkan aku pada seseorang. Ya, lelaki yang jumpa telefon bimbit aku yang tercicir dulu. Kalau tak silap telinga aku, suara lelaki ini seakan-akan sama dengan suara lelaki yang aku bercakap dengannya lewat telefon tak lama dulu.
"Cik?" aku tersentak. Menderu darah merah naik ke wajahku. Alahai, Saffa! Kut iya pun nak tenung anak teruna orang, boleh tak pandang kiri kanan depan belakang dulu?
"Ya, duduklah. Kerusi banyak lagi ni. Lagipun saya dengan mama saya aje." aku senyum kekok lalu menarik kerusi untuk duduk. Lelaki itu juga duduk di sebelah kiri selang satu kerusi dari kerusiku. Seminit kemudian mama muncul bersama Mak cik Faridah di belakangnya. Mama memandangku dengan satu pandangan curiga. Yalah, aku duduk semeja dengan lelaki yang tak dikenali kut!
"Hud kenal ke dengan Saffa?" Mak cik Faridah menyoal lelaki yang duduk semeja denganku itu. Aku terpinga-pinga.
"Ini ke anak kau?" mama menyoal Mak cik Faridah.
"Ya. Inilah anak aku. Hud Ukail." Mak cik Faridah memeluk bahu tegap anak lelakinya itu. Mama ketawa sambil memandang aku dengan pandangan penuh makna.
"Hud dengan Saffa dah saling berkenalan ke?" Mak cik Faridah menyoal Hud sekali lagi. Hud menggeleng dengan aku sekali menggeleng walaupun soalan itu tak ditujukan kepadaku.
"Taklah, kebetulan aje kita orang duduk dekat meja ni." jawab Hud bersama senyuman tipisnya. Bibir mama dan Mak cik Faridah sama-sama membentuk huruf 'o'. Mama menarik kerusi di sebelah kanan aku lalu duduk.
Mak cik Faridah sibuk memperkenalkan mama pada anak lelakinya itu. Katanya, dia dan mama dulu satu sekolah menengah. Dah lama tak jumpa tiba-tiba jumpa balik dekat majlis kenduri orang.
"Saffa bujang lagi, kan?" aku yang sedang menikmati nasi minyak terus panggung kepala. Lambat-lambat aku angguk untuk soalan Mak cik Faridah itu.
"Belum berpunya?"
"Belum, mak cik."
"Anak acik ni pun belum berpunya lagi tau."
Aku dan Hud saling berpandangan. Aku tengok muka Hud cool saja tapi kenapa aku yang tiba-tiba nak gelabah ni? Alah, relaks sudah la Saffa, oi! Mungkin Mak cik Faridah cuma nak mengusik aje. Hud pun nampak macam dah biasa kena usik macam itu. Relaks sudah la.
"Kalau kau orang berdua masing-masing belum ada calon, boleh la berkenalan dulu. Mana la tahu sangkut," Mak Cik Faridah ketawa halus. Entah apa yang seronok pun aku tak tahu. Sakan sungguh dok mengusik aku dengan Hud.
"Mama, sudah la tu. Kesian dia, nak makan pun tak senang." Hud menegur bila perasan aku asyik kuis saja nasi dalam pinggan. Sekali lagi mata aku dan Hud saling berlaga. Kali ini lebih lama sebelum Hud sendiri yang melarikan matanya dari tatapan aku.
"Allah! Maaf ya, Saffa! Acik mengusik aje tadi." Mak Cik Faridah sengih. Aku sekadar melayang senyum. Ha, kan aku dah cakap tadi. Mak Cik Faridah sengaja nak mengusik aku dan anak lelakinya itu. Kata-katanya itu tak membawa maksud apa-apa pun. Haih.
***
MACAM biasalah, aku kena 'sidai' setiap kali datang ke majlis orang kahwin. Mama dah menghilang ke dalam rumah bersama Mak Cik Faridah. Kata mama nak pergi tengok pelamin dan bilik pengantin. Aku pula tak berminat nak tengok. Jadi, aku duduk menikmati semangkuk kecil cendol di bawah khemah. Ayah pula, macam biasalah kalau dah jumpa kawan lama. Mahu satu jam lagi ni nak balik.
"Seorang aje ke?" tiba-tiba aku ditegur. Laju aku angkat kepala memandang Hud yang menarik kerusi kosong di hadapanku.
"Ya," aku membalas juga. Kalau diam aje takut dicop sombong pula. Dah la Hud ni anak kepada kawan baik mama.
"Kat sini ada cendol. Laksa pun ada. Pergilah ambil," usulku bila keadaan terasa canggung antara kami. Hud langsung tak bersuara. Sibuk memandang jemputan yang tak putus-putus hadir memeriahkan majlis.
"Tak apalah. Dah kenyang," balasnya bersama senyum tipis. Aku hanya angguk. Tak tahu nak berbual apa dengan Hud yang aku baru kenal tadi. Lagipun, aku tak pernah berbual dengan mana-mana lelaki asing. Hud ni masih lagi dikira lelaki asing lagi bagi aku.
"Memang selalu ke ikut mama awak pergi kenduri orang kahwin?" soal Hud tiba-tiba. Mungkin dia juga tak betah berada dalam situasi diam seperti ini.
"Hurm, kena paksa." jawabku. Kalau tak kena paksa, jangan haraplah aku nak ikut mama dengan ayah pergi majlis kenduri kahwin. Tidur atau layan Netflix dekat rumah lagi bagus.
"Awak pula, selalu ke ikut mama awak?" ringan mulut aku bertanya.
"Selalu juga. Lepas arwah papa saya meninggal, sayalah yang jadi bodyguard mama saya. Mana aje mama saya pergi, saya akan ikut." Hud menjawab. Aku angguk kecil. Baru tahu yang Hud sudah kehilangan seorang ayah. Dia cuma ada Mak cik Faridah saja.
"Awak anak tunggal?"
"Nope, ada adik perempuan seorang. Tapi dia tak ikut sebab sibuk dengan final exam,"
"I see,"
"By the way, saya minta maaf kalau kata-kata mama saya buat awak tak selesa tadi. Mama saya memang macam tu. Kadang dia tak sedar yang guruan dia buat orang sekeliling tak senang. Saya harap awak okey." Hud meminta maaf bagi pihak Mak Cik Faridah. Aku tersenyum tipis.
"Tak ada hallah. Saya okey je. Jangan risau." Balasku. Sejujurnya aku tak ambil hati pun dengan usikan Mak cik Faridah itu tadi. Wanita itu cuma mengusik dengan meminta aku berkenalan dengan Hud. Katanya manalah tahu tersangkut jodoh memandangkan kami ni masing-masing belum berpunya.
"Mama awak teringin nak menantu kut. Awak cepat-cepatlah bagi dia menantu perempuan seorang," aku berseloroh.
"Seorang aje? Dua orang tak boleh ke?"
"Amboi!"
Ceh, belum apa-apa lagi dah pasang niat nak bagi dua orang menantu perempuan dekat Mak Cik Faridah.
"Gurau je," Hud ketawa. Tapi entah kenapa, aku suka dengar suara ketawa itu. Aku sukakan suara Hud. Suara garau dan basah. Sama macam suara lelaki di telefon tempoh hari. Melampau tak kalau aku cakap suara Hud kedengaran begitu seksi ditelingaku? Ah, dah gila agaknya aku ni!
"Belum jumpa jodoh yang sesuai lagi," tokok Hud.
"Belum jumpa atau awak yang memilih?" dugaku. Muka kacak macam ni, mustahil tak sangkut dengan mana-mana perempuan. Hud ni aku rasa, sejenis yang kalau petik jari sekali, bersusun-susun perempuan akan datang beratur. Sungguh aku tak tipu!
"Awak pula kenapa masih belum berpunya?" Hud tak menjawab soalanku, malah dia menyoalku kembali.
"Samalah, belum jumpa jodoh yang sesuai." Itu jawapan paling selamat sekali bagi aku. Masih single sebab belum jumpa jodoh. Kalau dah jumpa jodoh, takde la aku pegang title single bertahun-tahun lamanya. Kan?
"Muka cantik macam ni takkan tak ada yang nak kut? Ke awak yang jual mahal sangat selama ni?" hujung bibirnya tercungit sedikit. Aku mencebikkan bibirku. Jual mahal? Mungkin betul. Memang selama ni aku jual mahal bila ada mana-mana lelaki cuba mendekati aku.
"Belum jumpa lagi lelaki yang mampu menggetarkan hati saya. Kalau ada, sekarang juga saya ajak dia kahwin." balasku, selamba. Hud tiba-tiba ketawa. Saat mataku berlaga dengan matanya, hati aku tiba-tiba bergetar.
Ah, sudah! Jangan buat gila Saffa Kirana, oi! Tak kanlah Hud Ukail orangnya? Jejaka kacak yang berjaya menggetarkan hati kau?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro