Bab 10
HARI ini adalah harinya. Hari yang aku nantikan penuh debar. Hari yang akan merubah status bujang yang aku pegang sejak aku keluar dari perut mama lagi. Ya, aku tak pernah bercinta. Hud adalah lelaki pertama yang berjaya membuatkan aku tahu bagaimana indahnya rasa jatuh cinta.
Aku memandang pantulan wajahku di dada cermin. MUA yang aku upah datang seawal tujuh pagi untuk menyolekkan aku. Lebih satu jam jugalah aku menadah wajahku untuk disolek. Aku benar-benar puas hati dengan hasil sentuhan MUA tersebut. Dia benar-benar menyolek wajahku mengikut apa yang aku mahu. Solekan nipis yang tak merubah wajah asalku.
Upacara akad nikah yang akan diadakan di kediaman keluargaku akan berlangsung pada jam sepuluh pagi. Bermakna ada lagi kurang satu jam lagi sebelum statusku berubah. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan kami hari ini. Jangan kau sulitkan ia.
"Rasanya keluarga sebelah lelaki dah sampai tu," ujar Khairun, salah seorang sahabat baikku yang menjadi penemanku hari ini. Dari duduk di kerusi meja solek, aku bangkit mengatur langkah ke arah tingkap. Kelihatan dua buah kereta jenis MPV berhenti berdekatan dengan rumahku. Bibirku membentuk senyuman tipis bila terpandangkan sosok Datin Faridah dan Izzara. Aku cuba mencari kelibat Hud tapi tidak kelihatan. Mungkin Hud menaiki kenderaan yang berlainan.
Aku kembali merapikan diri. Kedudukan tiara di atas kepala aku betulkan. Awning tudung aku tiup supaya elok bentuknya. Baju kurung moden berwarna putih aku pastikan kemas. Tak lama kemudian, pintu bilikku ditolak dari luar. Kak Aimi muncul dengan wajah terujanya.
"Mama panggil turun. Cepat," ujar Kak Aimi. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepasnya panjang. Aku rapati Kak Aimi yang berdiri di jenang pintu.
"Hud dah sampai ke?" soalku.
"Hud belum lagi. Auntie Faridah cakap Hud naik kereta lain. Kejap lagi sampailah dia," jawab Kak Aimi. Aku menghembus nafas pendek. Betullah apa yang aku fikirkan tadi. Hud menaiki kereta yang berasingan. Tapi, kenapa tak datang sekali aje dengan rombongan? Hud tu pengantin lelaki kut!
"Jom," Kak Aimi menarik jemariku lalu dipimpinku untuk turun ke tingkat bawah. Lihat saja aku, Datin Faridah datang memeluk tubuhku dan mengucup kedua-dua belah pipiku. Sungguh aku begitu tersentuh dengan penerimaan dan layanan bakal ibu mertuaku itu.
"Cantik menantu mama," ujar Datin Faridah. Aih, belum pun sah jadi isteri Hud, Datin Faridah sudah memanggil aku menantunya. Aku duduk di atas pelamin indah sambil memegang erat bunga tangan segar. Rata-rata tetamu yang hadir sudah mengambil tempat duduk masing-masing. Jurunikah pun sudah tiba. Cuma Hud saja yang belum menampakkan bayangnya. Sehinggalah beberapa minit kemudian, telingaku menangkap sok-sek-sok-sek suara tetamu yang mempersoalkan keberadaan pengantin lelaki yang masih belum tiba. Padahal lagi sepuluh minit dah nak pukul sepuluh pagi. Aku mula tak senang duduk.
"Pengantin lelakinya mana?" aku dengar jurunikah menyoal ayah. Entah apa yang ayah bisikkan ke telinga jurunikah tersebut sebelum dia bangkit mendapatkan aku di pelamin.
"Adik, Hud mana? Dah lewat ni," aku nampak wajah resah ayah.
"Adik tak tahulah, ayah. Mungkin dia stuck. Jalan jammed kut," aku membalas. Sejujurnya aku betul-betul tak tahu di mana keberadaan Hud saat ini. Dari semalam lagi kami tidak berhubung. Berbalas mesej pun tidak.
"Mana boleh macam ni. Jurunikah pun nak nikahkan orang lain pulak lepasni!" keras suara ayah. Tapi tidaklah sampai nak menarik perhatian tetamu yang ada. Aku gigit bibir bawah.
"Abang Man..." Datin Faridah dan Izzara datang merapati aku dan ayah.
"Kenapa Hud tak sampai-sampai lagi ni? Kita tak boleh buang masa. Sekarang dah pukul sepuluh," ayah mengetuk jam yang berada di pergelangan tangannya. Datin Faridah juga nampak resah sama seperti ayah.
"Izzara, cuba call Abang Hud." Datin Faridah menyuruh Izzara menghubungi Hud. Namun belum pun sempat Izzara menghubungi abangnya itu, sahabatku muncul menghulurkan telefon bimbitku.
"Hud call!" ujarku. Terus saja aku menjawab panggilan daripada Hud.
"Hello, Hud? Awak kat mana? Kenapa awak lambat? Semua orang tengah tunggu awak ni." terus saja aku menembak Hud dengan kata-kataku. Namun, Hud memilih untuk berdiam. Dahiku berkerut.
"Hud? Awak dengar tak ni?" aku pandang skrin. Talian masih belum terputus.
"Saffa, saya minta maaf. Saya tak boleh teruskan pernikahan kita,"
"Ap... apa?" aku rasa tanganku menggigil.
"Hud, semua orang dah tunggu awak. Saya tak ada masa la nak dengar awak buat lawak bodoh macam ni!" terkancing gigiku. Agak-agaklah kalau Hud nak bergurau pun. Tak lawak langsung.
"Saya serius, Saffa. Batalkan aje majlis tu. Saya tak akan datang," suara Hud kedengaran cukup selamba. Mataku retak berkaca. Telefon bimbit dalam peganganku diambil Datin Faridah. Saat ini, fikiranku jadi kosong. Apa yang sedang berlaku? Kenapa semuanya tak seperti yang dirancang?
"Hello, Hud! Mama ni. Hud dekat mana? Cepatlah datang. Jangan buat kami semua tertunggu-tunggu!" Datin Faridah menggantikan tempatku berbicara dengan Hud di talian. Aku hanya mendengar di saat air mata sudah meleleh membasahi pipiku. Aku dah tak peduli dengan solekan di wajahku.
"Jangan buat gila, Hud Ukail! Datang sini sekarang!" suara Datin Faridah melangsi. Mesti Hud beritahu perkara yang sama pada Datin Faridah. Hud memberitahu bahawa pernikahan hari ini tak akan terjadi. Hud tak akan datang.
"Hello, Hud! Hud! Hud!" Datin Faridah terduduk di sisiku. Telefon bimbitku sudah terjatuh ke lantai. Seketika keadaan menjadi agak kecoh. Masing-masing mula mengatakan yang pengantin lelaki tak akan muncul di majlis hari ini.
Aku pandang Datin Faridah dengan mata yang berkaca. Begitu juga Datin Faridah memandangku dengan air mata yang berlinang.
"Hud tak akan datang ke ?" soalku dengan suara serak.
"Mama... mama tak tahu, Saffa. Ya Allah..." Datin Faridah menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Tapi aku hanya mengeraskan tubuhku. Air mata tetap galak merembes keluar.
"Adik! Faridah! Apa yang jadi ni? Mana Hud?!" suara ayah memetir. Terus Datin Faridah meleraikan pelukan di tubuhku. Dia bangkit berdiri menghadap ayah. Aku tahu Datin Faridah juga tak menyangka keadaan akan menjadi kacau seperti ini. Datin Faridah juga terkejut sama seperti aku.
"Saya... saya minta maaf, Abang Man. Hud... Hud kata dia tak boleh datang," ujar Datin Faridah, perlahan.
"Apa maksud awak dia tak boleh datang?! Hud pergi mana?" terhinggut kedua-dua belah bahuku mendengar suara lantang ayah. Aku tahu ayah marah. Hud sudah memalukan kami sekeluarga dengan tidak memunculkan diri di hari sepenting ini.
"Abang, abang. Sabar dulu. Jangan nak marah sangat," mama muncul memaut bahu ayah. Digosok-gosoknya dada ayah berkali-kali.
"Faridah, apa yang dah berlaku ni? Hud mana?" mama masih mengawal emosinya. Dia menyoal Datin Faridah dengan cukup tenang. Datin Faridah mengesat pipinya lalu dia menarik tangan mama.
"Hud tak boleh datang, Kartika. Dia minta batalkan majlis hari ni." payah Datin Faridah menuturkan ayat itu.
"Kenapa pula nak batal? Allahuakhbar! Apa sebenarnya yang dah jadi ni, Faridah? Hud baik-baik aje, kan?" kalaulah mama ada sakit jantung, aku yakin saat ini juga mama akan tumbang.
"Saya tak tahu. Saya minta maaf, Kartika. Saya minta maaf, Abang Man. Saffa..." Datin Faridah melutut di kakiku. Tanganku diraih ke dalam pegangannya.
"Mama minta maaf, Saffa." ucapnya berkali-kali. Air mataku mengalir deras. Saat ini, aku benar-benar rasa kecewa. Hud tak datang di hari yang sepatutnya menjadi hari bahagia kami berdua. Hud mungkir janji untuk memperisterikan aku. Hud telah memalukan seluruh keluargaku.
Hud, sampai hati awak!
***
AKU mengurungkan diri di dalam bilik tidurku dari pagi membawa ke malam. Bersilih-ganti ahli keluargaku cuba mengajak aku untuk makan. Tapi, aku menolak dan hanya berbaring di atas katil. Aku tak ada selera. Bagaimana aku nak menelan hatta sebutir nasi pun setelah apa yang berlaku? Aku malu. Tersangat malu. Aku, pengantin perempuan yang ditinggalkan pengantin lelaki di hari akad nikah. Aku ingat lagi maksud pandangan tetamu-tetamu yang hadir siang tadi. Ada yang memandangku dengan pandangan kasihan dan ada juga yang memandang sinis. Pasti mereka fikir aku ada berbuat salah sebab itulah Hud meninggalkanku.
Air mataku masih galak mengalir menuruni lekuk pipi. Kalau boleh ditadah, rasanya dah bertimba-timba air mataku kerana terlalu banyak menangis. Aku tak pernah rasa sekecewa ini seumur hidupku. Aku mengetap bibir.
Seketika, kedengaran pintu bilikku ditolak dari luar. Entah siapa pula yang cuba mengajakku untuk turun makan. Aku dah cakap yang aku tak ada selera!
"Adik..."
Suara mama membuatkan dadaku rasa nak pecah. Sejak siang tadi ayah, abang-abang dan kakak-kakakku datang membujukku kecuali mama.
"Adik, mama bawakan adik nasi. Meh makan dulu. Adik belum makan apa-apa lagi dari siang tadi." terpejam mataku mendengar suara lembut mama. Mama meletakkan dulang berisi makanan di atas meja solek sebelum dia menghenyakkan punggungnya di birai katil. Tangan lembutnya mengusap bahuku yang berbaring mengiring membelakanginya.
"Adik..."
"Adik tak lapar." aku bersuara datar. Kepalaku mula rasa sakit kerana terlalu banyak menangis dan kerana membiarkan perutku kosong. Tapi sungguh, aku tak rasa mahu menelan apa-apa walaupun aku memang sangat lapar.
"Jangan nak tipu mama. Mama kenal adik bukan semalam. Mama kenal adik sejak adik dalam perut mama lagi. Bangun, mama suapkan adik makan ya?" mama cuba menarik aku bangun. Tapi aku mengeraskan tubuhku.
"Adik tak sayang mama ya?" demi mendengarkan itu, air mataku makin galak merembes keluar. Lantas aku bangkit lalu memeluk erat tubuh mama. Kepalaku disandar pada dada mama.
"Mama... kenapa semuanya berlaku dekat adik? Apa salah adik, ma? Apa yang adik dah buat dekat dia? Kenapa dia buat adik macam ni?" aku menggogoi di dalam pelukan mama. Mama tak membalas. Cuma tangannya saja menepuk-nepuk belakang tubuhku persis bayi.
"Adik minta maaf sebab dah malukan keluarga kita." aku teresak-esak.
"Siapa cakap adik malukan keluarga kita? Adik tak ada salah apa-apa pun. Semuanya bukan salah adik," mama membalas keras. Setelah sedikit tenang dipeluk mama, aku meleraikan pelukan itu. Pipiku yang basah, mama kesat dengan ibu jarinya. Aku pandang wajah mama. Aku tahu mama kecewa dan terkilan dengan apa yang telah berlaku. Tapi mama bijak menyembunyikannya.
"Hud mesti ada sebab kenapa dia buat keputusan untuk batalkan majlis di saat akhir." ujar mama. Setelah apa yang berlaku, mama tetap bersangka baik dan yakin bahawa Hud ada alasannya yang tersendiri. Tapi bagi aku, walau apa pun alasannya, Hud tak berhak memperlakukan aku dan keluargaku seperti itu.
"Tapi dia dah melampau, mama." terkancing gigiku. Mama tersenyum kelat.
"Dah, jangan menangis lagi. Nanti mata adik bengkak, dah tak cantik anak mama. Mama suapkan adik makan ya? Mama tahu adik tak ada selera jadi mama buatkan adik bubur nasi ala-ala McD favorite adik." mama mengambil dulang yang diletakkan atas meja solek lalu kembali duduk di hadapanku. Aku memandang sayu ke arah mangkuk bubur tersebut.
"Adik dah susahkan mama. Maafkan adik," bersalah pula aku rasa kerana menyusahkan mama untuk masakkan bubur nasi buatku. Padahal aku yakin dekat dapur tu berlambak-lambak lauk untuk dimakan.
"Mama tak pernah rasa susah untuk anak-anak mama. Buka mulut tu. Bismillahirrahmanirrahim..." satu sudu bubur nasi rasa ala-ala McD itu disuap masuk ke dalam mulutku. Mama tersenyum lega melihat aku yang menerima suapan demi suapannya.
"Mama,"
"Ya?"
"Mama rasa kenapa Hud tinggalkan adik?" soalku. Aku benar-benar mahu tahu kenapa Hud tega meninggalkanku. Selagi aku tak ada jawapan, selagi itulah aku akan terus mempersoalkan kenapa. Beberapa hari sebelum hari akad nikah, hubungan aku dan Hud baik-baik saja. Kami tak bergaduh. Malah, Hud sendiri yang mengatakan akan bertemu denganku di hari akad nikah kami.
"Mama pun tak tahu apa sebabnya. Tapi yakinlah, semua yang berlaku pasti ada sebabnya." balas mama, masih dengan nada lembutnya.
"Mama tak kecewa dengan Hud?"
"Siapa kata mama tak kecewa? Hud telah lukakan hati anak bongsu manja mama. Tapi mama tak mahu cepat menghukum sebelum tahu kebenarannya."
Aku mendengus perlahan. Aku tak faham kenapa mama terlalu baik. Dalam hal sebegini pun mama masih tidak mahu meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahu Hud. Huh!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro