Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

ORANG kata jadi anak bongsu ni menyeronokkan. Sentiasa dimanjakan emak. Kena ketik dek seekor nyamuk, habis satu keturunan nyamuk dikerjakan ayah. Nak apa aje, mesti dapat. Celik aje mata, semua benda yang kau nak akan terhidang depan mata. Nak sepuluh ringgit, dapat dua puluh ringgit. Kau cakap aje nak makan apa, waktu tu jugalah abang kakak kau merempit pergi belikan demi tak nak tengok kau kempunan lapar.

Tapi, nanti dulu. Semua benda itu tak terjadi pada si bongsu yang bernama Saffa Kirana ya. Jangan haraplah boleh dilayan bagai tuan puteri. Dalam mimpi pun belum tentu dapat tahu?

"Adik, tolong singgah Kedai Buku Ali. Ambilkan name tag yang along tempah kelmarin. Thanks!" si sulung Safwan Khairullah yang aku panggil abang long mengirim pesan.

"Adik, dah alang-alang kau keluar tu kan, tolong belikan susu formula sekotak untuk Ufaira. Susu formula dia dah nak habislah. Tolong ek? Kejap lagi kak ngah transfer duit dekat akaun kau. Thank you, dik!" si kakak nombor dua Saffira Kamalia yang aku panggil kak ngah pula menambah pesanan.

"Dik, kau kat luar kan sekarang? Hah, cantik! Nanti sebelum kau sampai rumah, kau singgah sekejap dekat kedai repair telefon Abang Zul. Tolong ambilkan barang aku dekat dia." si abang nombor tiga, Safiy Khalil yang aku panggil abang juga tak mahu melepaskan peluang untuk menambah kerja aku.

See? Tengoklah! Tak seronok sebenarnya menjadi si bongsu dalam keluarga ini. Tidaklah aku mengeluh bila diminta tolong. Tapi agak-agaklah. Tak cukup hari minggu, tak kanlah sampai hujung minggu aku pun mereka nak kacau kut? Aku nak keluar lepak dengan member pun tak senang tahu tak!

Tetapi, sebagai seorang adik bongsu yang tak reti nak melawan, permintaan mereka itu aku turuti juga. Nak tak nak, terpaksalah aku menurut perintah. Lepas makan dengan member, aku terus minta diri walaupun baru pukul empat petang. Berkali-kali aku minta maaf dekat member-member aku bila mereka bersungut tak puas hati. Iyalah, aku dah janji dengan mereka nak luangkan masa bersama-sama sampai malam. Nak tengok wayang, pergi karaoke dan main boling. Tapi belum pun malam, aku dah kena balik.

Langkah aku atur keluar dari restoran. Destinasi pertama aku adalah ke sebuah pasaraya untuk membeli susu formula buat anak saudara kesayangan aku, Ufaira yang berusia tujuh bulan. Kemudian, aku pecut ke Kedai Buku Ali untuk ambil tanda nama yang abang long tempah. Tanda nama dia dah patah agaknya sampai tempah yang baru. Huh!

"Dik, kau kat mana? Cepatlah sikit. Abang Zul dah nak tutup kedai tu." abang dah bising sebaik saja aku menjawab panggilan daripadanya.

"Eei, sabarlah! Ingat orang ni superwoman ke? Orang dah on the way nak pergi kedai Abang Zul tu. Tengah drive ni!" aku berdecit. Rasa geram pun ada. Ingat aku tak ada kerja lain agaknya selain nak pergi ambilkan barang dia dekat Abang Zul tukang repair telefon tu?

"Yalah, yalah!"

Tut. Aku sendiri yang putuskan panggilan. Dengan had kelajuan 90km/j, aku memandu membelah jalan raya. Mujur tak banyak kereta. Cuma itulah, lampu trafik pula banyak sangat memandangkan ada banyak persimpangan di kawasan ini. Lima belas minit kemudian, aku tiba di kedai telefon milik kawan abang.

"Assalamualaikum!" pintu kaca aku tolak lantas kaki diatur ke arah kaunter. Abang Zul yang aku kenali sejak zaman sekolah menengah dulu muncul dari sebuah bilik. Dia meletakkan satu beg kertas atas kaunter.

"Barang apa ni, Abang Zul?" tanyaku sambil mengintai isi di dalam beg kertas tersebut. Ada kotak telefon. Eh... tak kanlah abang aku yang seorang tu beli telefon baru? Rasanya macam baru beberapa bulan lepas aje dia tukar telefon. Tak kan tukar lagi?

"Telefon dia yang lama. Dia minta Abang Zul repairkan," jawab Abang Zul. Mulut aku membentuk 'o'.

"Okey, terima kasih Abang Zul. Maaflah Saffa datang lambat." aku menyengih. Gara-gara aku, Abang Zul terpaksa menunggu untuk menutup kedainya.

"Tak apalah."

"Awal Abang Zul tutup kedai hari ni. Nak ke mana-mana ke?" aku sengaja menyibuk. Macam awal pula Abang Zul nak tutup kedai padahal baru nak masuk jam enam petang. Setahu aku, biasanya Abang Zul tutup kedai pukul sembilan malam.

"Iya, Saffa. Abang nak balik kampung wife abang kejap lagi. Ada hal keluarga sikit," Abang Zul senyum tipis.

"Oh, okeylah kalau macam tu. Saffa balik dulu. Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam,"

Bersama-sama beg kertas di tangan, aku berlalu keluar dari kedai tersebut. Masuk saja ke dalam kereta, aku bermalas-malasan dulu. Lenguh tangan asyik memandu sejak tadi. Dek rasa tertanya-tanya, aku keluarkan kotak dari dalam beg kertas itu. Nak tahu juga telefon abang yang mana yang dia minta Abang Zul baiki. Buka saja penutup kotak, mataku disajikan dengan sebuah iPhone X.

"Bila masa pula dia pakai iPhone X selama ni? Tak pernah perasan pun," omelku sendiri. Benar, aku tak pernah nampak abang aku tu pakai iPhone X sebab setiap kali abang beli telefon baru, abang aku tu mesti galak menayang dekat aku. Semata-mata sebab nak bagi aku cemburu. Mentang-mentanglah dah dapat kerja dengan gaji yang boleh tahan besar. Berlagak sungguh!

"Opocot!" hampir terpelanting telefon bimbit di tangan bila telefon bimbit milik aku berbunyi lantang. Tertera nama abang pada skrin. Terus saja aku menjawab panggilan itu.

"Telefon abang dah ada dekat adik. Adik dah pergi ambil dan adik on the way nak balik rumah," ujarku sebelum sempat suara abang menampar gegendang telingaku. Huh, nak bisinglah tu kalau aku tak pergi ambil lagi barang dia dekat Abang Zul.

"Hah, baguslah. Ni mama pesan suruh kau belikan popia basah dekat gerai depan sekolah rendah tu,"

"Hah?! Alaaaa! Abang aje la tolong pergi beli. Adik tak larat la..." sungguh aku betul-betul tak larat. Ingat lepas ambil telefon dekat kedai Abang Zul, aku terus nak balik rumah.

"Kau dah alang-alang kat luar, kan? Tolonglah pergi beli sekejap."

"Tapi..."

"Upah dia iPhone dekat adik tu. Adik pakailah,"

Terjegil besar mata aku bila Alang cakap macam itu. iPhone X itu aku belek berkali-kali.

"Seriuslah? Abang bagi adik iPhone ni? Tak prank, kan?" tanyaku. Manalah tahu kalau abang cuma nak pancing aku saja. Kutlah balik nanti, dia ubah fikiran. Bukan boleh percaya sangat dengan Safiy Khalil ni.

"Ye, memang abang baiki phone tu sebab nak bagi adik pakai pun." balas abang. Aku dah terjerit suka. Gila tak suka kalau dapat telefon baru? iPhone pulak tu. Elok sangatlah sebab telefon yang aku pakai sekarang ni pun hidup segan mati tak mahu. Asyik full memory aje.

"Terima kasih, abang! I love you la! Okeylah, adik nak gerak pergi beli popia basah ni. Jumpa kat rumah nanti!" terus aku putuskan talian. Teruja punya fasal sebab dapat pakai telefon baru walaupun telefon tu telefon rosak yang baru lepas dibaiki. Tapi kira okeylah tu. Sekurang-kurangnya aku tak payah keluarkan duit simpanan semata-mata nak beli telefon baru walaupun aku dah pasang niat nak beli telefon baru bulan depan. Iyalah, telefon aku sekarang dah serupa minta dibaling masuk ke dalam tong sampah saja. Erk!

***

LEPAS mandi dan solat maghrib, aku naik ke atas katil. Aku keluarkan kotak telefon dari dalam beg kertas. Aku belek iPhone kepunyaan abang yang sekarang dah rasmi menjadi milik aku dengan penuh teruja. Kemudian, aku selongkar pula beg tangan untuk mengambil telefon bimbitku. Tapi, sekejap... kenapa tak ada?

Aku mula cuak. Telefon bimbit aku tak ada dalam beg. Aku cari telefon bimbitku itu di atas meja solek dan meja belajar. Tapi, tak ada. Memikirkan keberangkalian yang telefon bimbitku tercicir dalam kereta, aku terus berlari turun ke bawah bersama kunci kereta di tangan.

Masuk saja ke dalam kereta, telefon bimbit milikku tetap juga tak ditemui. Puas aku cari sampai ke but belakang tapi tak ada. Aku gelisah. Ah, jangan buat fasallah telefon bimbit aku jatuh dan hilang kat mana-mana. Sudah la kat dalam tu ada banyak benda penting. Kalau betul-betul hilang, mampuslah aku! Makkk!

"Relaks, Saffa Kirana. Cuba kau ingat balik. Kut-kut kau tersalah letak kat mana-mana ke? Ingat balik... ingat balik..." aku pejam mata rapat-rapat. Cuba recall balik jika aku memang tersalah letak telefon bimbitku itu. Kali terakhir aku pegang telefon bimbit masa kat kedai jual beraneka kuih-muih. Lepastu, aku terus balik dan tak pegang telefon langsung.

"Tak kanlah terjatuh masa beli popia basah tadi kut?" bisikku sendiri. Memang aku ada bawa keluar sekali telefon bimbit masa keluar kereta beli popia basah itu. Tanpa membuang masa, aku terus berlari masuk ke rumah. Pada abang yang sedang menonton siaran berita, aku meminta telefon bimbitnya.

"Pinjam sekejap phone abang. Adik nak buat misscall. Telefon adik hilang!" aku tadah tangan. Mujurlah abang tak cakap banyak, dia hulurkan telefon bimbitnya pada aku. Sempatlah telinga aku dengar dia membebel mengatakan aku cuai. Tapi, aku buat tuli. Ini bukan masanya nak dengar abang membebel macam mak nenek!

Aku masuk ke bilik tidurku dan mula membuat panggilan ke nomborku. Aku mendengar deringan menanti panggilan bersambung. Maksudnya, telefon aku tak dimatikan. Sambil-sambil itu aku memasang telinga. Kutlah telefon bimbit aku tu terselit dekat mana-mana.

"Hello?" aku terpaku. Satu suara garau menampar halwa telingaku. Tubuh aku mengeras.

"Hello? Are you still there?" lelaki itu bertanya bila aku tiba-tiba membisu.

"Ya! Hello!" aku bagai tersedar.

"Sorry, macam mana telefon saya boleh ada dekat encik ya?" soalku terus. Pelik, macam mana telefon bimbit aku tu boleh ada dekat tangan seorang lelaki yang tak dikenali?

"Awak pemilik telefon ni ke?" tanya lelaki itu.

"Ya. Macam mana telefon saya boleh ada dekat encik? Mana encik jumpa telefon saya?" bertubi-tubi aku menyoal. Awalnya aku nak tuduh lelaki itu mungkin dah curi telefon aku. Tapi bila fikir balik, mana ada pencuri angkat call daripada telefon yang dicurinya itu, kan?

"Oh, saya jumpa telefon awak tercicir dekat parking lot. Saya cuba untuk hubungi kenalan awak tapi, telefon awak ada password. Baguslah kalau awak dah call ni," balas lelaki itu. Aku menghela nafas lega. Syukur... telefon bimbit aku berada bawah jagaan orang baik. Tiba-tiba rasa menyesal pula sebab cakap nak baling telefon aku tu masuk dalam tong sampah. Aku ni betul-betul tak mengenang jasa. Padahal, telefon tulah yang menjadi saksi jerih perih aku waktu zaman belajar dulu. Tengoklah, harus aku kucup telefon aku tu bila aku dapat balik nanti.

"Terima kasih sebab tolong jagakan telefon saya. Macam mana saya nak ambil balik telefon saya tu ya?" sopan sungguh aku menyoal. Yalah, orang dah berbudi pada aku kut.

"Erm..." lelaki di talian itu berjeda sebentar.

"Awak tahu Kafe D'Dee?" soal lelaki itu.

"Tahu!" kafe itulah tempat lepak aku dan member-member aku bila hujung bulan sementara nak tunggu gaji masuk.

"Esok pukul sebelas pagi kita jumpa kat sana, boleh?" lelaki itu menetapkan masa dan lokasi pertemuan kami esok. Terus saja aku mengangguk laju.

"Boleh, boleh. Kita jumpa kat sana esok."

"Alright,"

Setelah berbalas salam, lelaki itu terlebih dulu memutuskan panggilan. Tak semena-mena aku tersenyum. Entah kenapa aku rasa cukup berdebar untuk menantikan hari esok. Berdebar nak bertemu lelaki yang sudah menjumpai telefon bimbit aku yang tercicir itu.

"Oi, Saffa! Kau dah kenapa?!" aku tampar pipi aku sendiri. Kenapa aku boleh tersenyum? Ini kalau orang tengok, sah mereka kata aku baru lepas bergayut dengan boyfriend. Hesy!

Suara lelaki itu bagai terngiang-ngiang di telingaku. Meresap dan melekat terus ke dasar hati aku. Suara serak seksi itu tiba-tiba menggetarkan jantung aku. Kenapa ya? Tak kanlah aku boleh terjatuh suka dengan seorang lelaki hanya daripada lenggok suaranya saja? Gila... jangan kau buat gila wahai Saffa Kirana!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro