Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

AKU tiba di lapangan terbang. Dari jauh aku dah nampak mak dan ayah melambai-lambai. Aku tersenyum dan gembira namun tidak membalas lambaian mereka.

Dua tangan sibuk dengan beg dan bagasi. Banyak betul barang yang aku bawa balik. Semuanya buah tangan untuk mak, ayah dan nenek.

Oh ye, tidak lupa cenderahati untuk duda berbuasir, Rayyan dan juga Airin.

"Eh, mana bakal menantu mak? Dia tak ikut sekali?" Mak panjangkan leher. Dia mengintai-intai.

"Sepatutnya dia ikut juga. Tapi last minute, dia sibuk pula dengan kelab. Ramai budak baru daftar. Semua nak jadi macam dia." Aku tersenyum dan seronok bercerita mengenai keadaan di sana lalu tunduk mencium tangan mak.

"Dah tu, bila nak bincangnya? Hari tu bukan main dia telefon mak, katanya nak ikut kamu balik."

"Hish... awak ni. Kalau ye pun nak sembang, biarlah kita semua balik rumah dulu. Ada ke patut nak cakap hal peribadi kat tengah-tengah orang ramai ni?" Ayah geleng kepala. Tahu sangat perangai mak. Tak sempat-sempat.

"Jomlah, ayah. Nuha dah tak sabar nak jumpa nenek. Ada banyak buah tangan yang Encik Takaheshi bagi kat nenek, tau."

"Untuk nenek aje? Untuk mak tak ada ke?"

"Ada, ada. Semua orang ada!" Aku teruja lalu memaut lengan mak sementara ayah pula mengambil dua beg dari tanganku dan menarik bagasi untuk dibawa keluar.

Dalam perjalanan, aku tidak puas melihat sekeliling. Empat tahun aku tinggal di negara matahari terbit, tidak banyak perubahan yang berlaku di sini.

Sampai di rumah, telefon bimbitku terus berkumandang muzik instrumental Origin. Aku tersengih. Tak lain tak bukan, itu mesti Yuzu.

"Hai!" Ceria aku menjawab panggilannya.

"Hai. Sudah sampai?"

"Ya!"

"Kenapa tidak telefon saya dahulu?"

"Baru je sampai rumah. Nak duduk pun tak sempat lagi."

"Saya gembira dapat dengar suara Ayumi."

"Laaa... Baru beberapa jam. Takkan dah rindu?"

"Beberapa saat juga sudah rindu."

Aku tersenyum. "Awak sibuk tak kat sana?"

"Agak sibuk juga. Hari ini ada dua puluh orang budak-budak baru daftar nama mereka. Ayumi tidak ada, saya susah mahu buat kerja."

"Sabarlah. Kalau saya tak ada, Cik Naoko pun boleh tolong awak uruskan budak-budak tu."

"Cara kerja Ayumi dan Cik Naoko, tidak sama. Saya lebih selesa dengan Ayumi."

Aku mencebik kecil. "Sama jelah. Mengada-ada awak tu."

"Tidak sama. Ayumi lain. Cik Naoko lain."

"Apa yang bezanya?"

"Dia sudah tua."

Aku ketawa. "Ooo... kalau dia muda, barulah awak selesa, ya. Gatal awak ni kan!"

"Gurau saja. Erm... sudah makan?"

"Kan tadi dah cakap, baru je sampai. Nak duduk pun tak dan. Memanglah tak makan lagi. Last makan, dalam flight."

"Tak dan?"

"Tak sempat maksud saya."

"Ooo... tidak sempat. Okay, okay."

Aku tersenyum mengingati Yuzu yang belum faham sangat sebutan-sebutan ringkas dalam Bahasa Melayu.

"Saya matikan talian dahulu, boleh?" tanya Yuzu dengan nada sopan santunnya seperti biasa.

"Ya, boleh. Saya pun nak mandi ni. Awak jaga diri dan kerja baik-baik kat sana, ya."

"Okay. I will. You too... take care. I love you."

"Love you too."

Aku letak telefon bimbit atas meja dan melangkah ke katil untuk berehat sekejap sebelum masuk ke bilik air.

DI RUANG tamu, aku keluarkan segala jenis bentuk buah tangan daripada Encik Takaheshi untuk nenek. Teruja nenek menerimanya. Sama seperti mak dan ayah. Masing-masing ada bahagian walaupun sekecil-kecil cenderahati.

"Yuzu ada telefon kamu ke tadi?" soal mak.

Aku angguk sekali.

"Apa katanya?"

Hairan aku melihat mak. "Nak kata apa? Dia cuma tanya Nuha dah sampai ke belum."

Mak tolak bahu aku perlahan. "Aii... takkan itu aje? Dia tak cakap ke bila nak datang sini dengan mak bapak dia untuk bincang dengan kami?"

Aku berdecit dengan sikap mak yang tidak sabar. "Nantilah mak. Perlahan-lahan, boleh tak? Yuzu tu baru nak belajar pasal agama kita. Rilekslah dulu..."

"Biasalah mak kamu tu. Takkan tak faham?" Ayah menyampuk.

"Faham. Faham sangat. Siapa tak kenal Cik Ani tukang jahit?"

"Kamu jangan perli mak, ya. Dibuatnya nanti tak jadi Yuzu nakkan kamu, jangan cari mak pula nak mengadu."

"Awak ni kan, Cik Ani. Suka sangat cakap bukan-bukan. Tak patut awak kata macam tu. Hal mereka berdua, biarlah mereka selesaikan dulu mana yang patut." Ayah mencelah lagi.

"Betul cakap ayah tu. Lagipun, Yuzu baru je bersara. Baru beberapa bulan dia jadi jurulatih kat kelab. Biarlah hidup dia stabil dulu."

"Kenapa? Dia tak ada duit ke?" Mak aku dah mula buat andaian sendiri.

"Banyak duitnya tu. Mak jangan risaulah. Ada pulak fikir pasal duit orang."

"Mana kamu tahu dia banyak duit?"

"Laaa... Nuha tahulah sebab Nuha yang uruskan kewangan dia selama empat tahun. Duit dia yang menang banyak pertandingan, tujuh keturunan pun tak habis makan. Gaji jurulatih untuk kelab pun dia dapat banyak setiap bulan. Apalah yang nak dibimbangkan dengan duit budak Jepun tu? Eee... mak ni..."

"Yelah, yelah. Mak terima apa yang kamu cakapkan tu. Tapi ingat, mak tak suka kalau dia main-mainkan kamu, tau."

"Insya-Allah, mak. Ada jodoh kami, adalah. Dah, tak payah nak fikir sangat. Lebih baik mak suruh nenek cuba pakai kimono yang moyang Yuzu bagi tu."

"Itu lagi satu hal. Kimono yang dibaginya. Bila masa nenek kamu nak pakai? Asyik dua puluh empat jam sarung kain batik kat rumah." Mak membebel dengan hal yang tak ada kena mengena.

Haih... pening dengan mak aku ni. Itu pun nak dibebelnya. Orang bagi salah, tak bagi lagilah salah. Entah apalah yang dia nak agaknya.

"Ni mak nak tanya, nanti kalau Yuzu datang nak bincang dengan kami, siapa wakilkan dia?"

"Mak ayah dialah. Siapa lagi?"

"Tahu ke mereka cakap Melayu?"

Aku menggeleng. "Tak. Dua-dua tak tahu."

"Habis tu, macam mana nak berpantun? Takkan mereka nak balas dalam Bahasa Jepun? Faham pun tidak. Masalah betullah nak berbesan dengan orang Jepun. Kalau dengan orang putih tak apa lagi. Bahasa Inggeris pun bukan susah sangat. Ini Jepun, tahu tak? Jepun!"

Aku garu pipi. Kenapalah mak aku ni complicated sangat hidup dia. "Benda tu tak pentinglah, mak. Apesal dengan mak ni?"

"Apa benda awak merepek, Cik Ani? Sibuk sungguh nak berpantun bagai. Bincang sajalah lebih kurang, apa masalahnya?" Ayah mencelah.

Aku tersengih-sengih depan mak sambil angkat ibu jari pada ayah.

"Yelah, yelah. Kalau saya cakap sikit, ada saja yang tak kena. Itu tak boleh, ini tak boleh. Semuanya tak nak terima. Abang dengan Nuha sajalah yang betul," kata mak dengan menunjukkan rasa tidak puas hatinya.

Tiba-tiba aku simpati pada mak. Aku boleh nampak dia teruja bila aku nak kahwin. Apatah lagi dulu aku tak jadi bertunang dengan Rizal. Mungkin sebab itu mak menunjukkan sikap tidak sabar begini.

Perlahan-lahan aku dekatkan diri pada mak lalu erat memeluknya dari sisi. "Mak jangan bimbang, ya. Encik Takaheshi kan ada? Dia boleh cakap Melayu apa. Fasih lagi. Lebih fasih daripada bakal menantu mak yang cakapnya baku dua puluh empat jam tu." Tak pasal-pasal aku kutuk Yuzu.

Mak pandang aku. Perlahan-lahan mak tersenyum. Aku lega sebab mak tak kecil hati dengan kata-kata aku dan ayah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro