Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

AH! Seronoknya dapat pulang semula ke tempat asal. Setahun lebih tinggalkan rumah arwah ayah, rumah nampak seperti kusam besar. Yalah, walau selalu balik tapi mana sama kalau tidak tinggal sendiri di sini.

Rumah kecil yang diperbuat daripada batu sepenuhnya adalah tinggalan arwah ayah. Arwah ayah beli tanah di sini dan bina rumah ni bersama penat lelah dan kasih sayang. Dan kini aku akan menjaganya pula.

Masa aku hendak buka pintu, bunyi motosikal dari arah jalan kecil memaksa aku untuk menoleh. Mat romeo sudah sampai. Salah seorang pekerja Kak Yan. Lelaki yang berusia 28 tahun dan sudah berumah tangga itu memang agak lama bekerja dengan Kak Yan. Suami kepada anak saudara Pak Saad. Mereka ada kisah cinta agung mereka sendiri. Kahwin lari dan ambil keputusan tinggal di sini. Mengikut sejarahnya, Azrai tu anak Tan Sri. Bukan calang-calang orang. Tapi demi cinta, Azrai sanggup jadi tukang kebun.

Namun dia sudah dapat apa yang dia mahukan. Dia nampak cukup bahagia bersama isteri dan dua orang anak perempuannya yang masing-masing berusia 6 tahun dan 4 tahun. Aku rasa yang paling bahagia ialah isteri Azrai yang bernama Dhia. Wanita itu mendapat sepenuh perhatian daripada Azrai. Hidup mereka sederhana, tapi cukup bahagia.

Dua hal yang paling penting bagi aku ialah, cukup makan dan cukup kasih sayang. Itu saja yang aku mahu dan kedua-dua tu sudah Dhia miliki. Aku? Ya aku sedang menunggu prince charming aku sendiri. Pasti ada seseorang untuk aku.

"Eh, apa pasal kau balik?" Sampai-sampai Azrai terus bertanya. Dia ni memang cukup segak. Maklum, berdarah campuran.

"Cukuplah aku lepak KL. Sana memang tak sesuai dengan jiwa aku." Walau usia aku dengan Azrai agak jauh berbeza, dia 28 tahun dan aku pula baru nak masuk 22 tahun, aku tak boleh panggil dia abang. Demi keselamatan. Bukan apa, kalau aku panggil dia abang memanglah nampak macam aku hormat dia, tapi tak sesuai dalam persahabatan kami. Pertamanya takut Dhia cemburu, yang keduanya kami tak boleh bercakap seperti kawan.

"Dari dulu lagi aku dah cakap, kau tak tahan punyalah."

Memang Azrai ada cakap macam tu masa aku ambil keputusan untuk berubah angin. Tapi aku tidak sangka pula secepat ini aku akan bosan tinggal di sana.

"Memanglah. Tapi sekurang-kurangnya ada juga pengalaman aku tinggal di sana. Jadi, aku tahulah bagaimana keadaan hidup di bandar besar. Taklah aku serupa katak bawah tempurung sangat." Aku tolak daun pintu dan semua kenangan datang menyerbu.

"Kak Yan suruh kerja kat homestay ke kat kebun?" soal Azrai lagi.

"Homestay. Kalau aku bosan, aku kerjalah kat kebun," balasku.

"Yalah, aku balik dulu. Apa pun, selamat kembali. Serius aku cakap, kau tak ada hidup aku semacam sunyi saja," kata Azrai.

"Yalah, tak ada orang yang kau nak buli, bukan?" balasku sambil pandang Azrai. Bunyi motosikal Azrai bingit semula.

Azrai hanya tersenyum dan terus pergi. Suasana kembali sepi. Aku tolak motosikal kapcai tinggalan arwah ayah yang aku simpan di ruang tamu. Setakat nak keliling Cameron Highlands memang boleh lagi motosikal tua ni. Ayah baru beli tiga bulan, sebelum ayah meninggal dunia.

Baru saja keluarkan motorsikal, aku dengar lagi bunyi motosikal. Siapa lagi kalau bukan sahabat baikku, Hawa.

"Hawa!" Aku menjerit kegirangan. Lepas tongkat motosikal, Hawa terus berlari dapatkan aku. Seketika kami saling berpelukan dengan rasa yang sarat dengan kerinduan. Hawa sahabat aku dari darjah satu lagi. Dan persahabatan kami kekal hingga ke hari ini. Dialah tempat aku mengadu, dia jugalah tempat aku menumpang sayang. Hawa banyak membantu aku saat aku kehilangan ayahku.

"Seronoknya kau dah balik. Jangan pergi mana-mana dah lepas ni. Aku sunyi tak ada kawan." Seperti ada kesungguhan pada kata-kata Hawa.

"Tak, aku tak pergi mana dah. Aku akan tinggal di sini sampai bila-bila." Aku nekad kali ini. Takkan tinggalkan lagi bumi Cameron Highlands. Tak ada apa yang mahu aku kejar sangat di dunia ini. Apa yang aku miliki sekarang ini sudah cukup membahagiakan. Aku tak mahu apa-apa lagi.

"Aku harap betullah apa yang kau cakap tu. Kadang-kadang kepala kau ni pun bukan boleh pakai sangat." Hawa yang bertubuh agak berisi dan lebih tinggi daripada aku itu sebenarnya sahabat yang sangat memahami perangaiku.

"Percayalah, KL tak sesuai dengan jiwa aku."

"Baguslah kalau macam tu. Aku balik dulu. Nanti jangan lupa datang rumah aku. Mak aku pun dah tak sabar nak jumpa dengan kau."

"Suruh mak kau masak sedap-sedap sikit. Aku rindu nak makan masakan mak kau."

"Yalah, nanti aku suruh mak aku masak." Hawa semakin menghilang selepas itu. Suasana kembali sepi. Ah! Apalah sangat dengan sepi. Aku sudah biasa begini. Dan mungkin akan terus begini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance