Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Pelik. Pagi Sabtu ni ayah dengan mak seperti kalut saja. Awal pagi ayah dah ke pasar. Mak sibuk dengan cari itu ini.

Ada apa dengan mereka ni?

"Kenapa kalut sangat ni, mak?"

Mak tengah potong pucuk labu. Mak minta aku kupas ubi keledek yang mak akan satukan dengan pucuk labu nanti. Namanya ubi keledek masak lemak dengan pucuk labu.

"Hud nak datang dengan mak dia. Nak tengok nenek."

Saban malam, saban siang Hud menghubungi aku, tidak pula dia bercerita yang emak dia hendak datang melawat.

Hud memang nak cari penyakit dengan aku.

Hal-hal penting selalu sangat nak berahsia.

"Ini yang masak macam-macam?"

"Yalah, tetamu nak datang. Kena la masak apa yang tetamu suka makan."

Hurm...

Tak mau cakap apa-apa. Nanti jatuh tak ikhlas. Tolong sajalah apa yang aku termampu buat.

Kalau ikutkan, petang nanti baru Hud sampai memandangkan hari Sabtu ialah hari bekerja namun separuh hari.

Pukul dua baru habis waktu bekerja. Tapi tak tahulah kalau dia minta cuti sebab Sabtu memang selalu diberi kelonggaran.

Eh, kenapa aku rasa tak sabar pula menanti kedatangannya?

"Tolong jangan buat perangai. Kalau tak perlu jangan bercakap."

Lain pula cara mak bagi amaran. Ke aku memang kurang ajar?

Aku cakap apa yang betul saja. Tak adalah melebih.

Bunyi hon kereta sangat mengejutkan. Aku lihat jam pada telefon bimbit. Pukul sebelas suku baru. Takkan dah sampai?

"Dah sampai." Mak basuh tangan di singki.

"Jom sambut, jangan buat sombong."

Sombong ke aku selama ni?

Rasanya biasa saja. Hud tu yang sombong, tapi tak ada pula siapa yang nampak.

"Assalamualaikum."

Salam bersahutan dari luar rumah.

"Waalaikumussalam."

Emak ke muka pintu sekaligus menjawab salam Hajah Rahayu.

"Dah sampai orang yang kami tunggu."

Saling berpelukan kedua-duanya di muka pintu. Saling bertanya khabar masing-masing.

Lelaki yang berdiri di belakang Hajah Rahayu hanya merenung aku dengan pandangan yang sukar untuk aku fahami.

Rindu ke?

Merepeklah.

"Jemput masuk."

Mak baru teringat nak jemput tetamu masuk ke rumah.

Aku cium tangan Hajah Rahayu dan seperti selalunya dia peluk aku erat.

"Mak sihat?" Aku beramah mesra. Mak kan dah pesan jangan sombong.

"Alhamdulillah. Mak sihat, sayang."

"Duduklah dulu. Fia nak sambung masak." Rasanya lepas ni aku kena masak semua. Mak pasti berbual dengan bekas besan dia.

Betullah. Elok saja mak tersimpuh di sebelah Hajah Rahayu. Lupa terus apa yang sedang dia buat tadi.

Aku berjalan ke dapur semula. Menyambung masak. Tetamu istimewa tu sah-sah mahu makan tengah hari.

"Ehem..."

Hampir terlepas pisau yang aku pegang. Baru nak kupas bawang.

"Nak tolong apa-apa ke?"

Bagus. Memang aku sangat memerlukan pembantu.

"Kupas bawang."

Dulu masa menjadi suami isteri, jangan kata nak potong bawang, nak pegang bawang pun tak pernah.

Entah kenal bawang ke tidak.

Hud tarik kerusi makan. Aku letak bekas bawang dan pisau. Mangkuk kecil juga.

"Kupas bawang merah tiga puluh ulas. Bawang putih lima belas ulas."

"Nak buat kenduri ke?"

"Tu la pasal tak pernah tolong isteri ke dapur, kan?"

"Perli la?"

"Eh, terasa ke?"

Aku toleh pandang dia. Nampak dia tersenyum.

"Tak suruh, manalah nak tahu."

Menjawab. Jenis tak mahu kalah.

"Nak minta tolong kupas bawang? Nak bercakap pun susah."

Aku pun bukan jenis mudah mengalah.

Hud kembali kupas bawang.

"Cik Aida tak cakap apa-apa ke pasal cuti Fia?"

"Kenapa pula dia nak bising, kalau abang yang luluskan?"

"Lepas ni tak nak dah. Takut nanti bunyi macam-macam."

"Kalau tak nak dengar apa-apa, jangan kerja. Duduk aje kat rumah. Habis cerita."

Menjawab pun aku kena.

Rasanya baik aku tutup mulut. Masak cepat-cepat. Kenyangkan perut dia, lepas tu duduk diam. Tengokkan saja apa yang bakal berlaku kelak.

"Eh, kenapa Hud yang kupas bawang?"

Mesti aku kena ni. Ingat aku yang dera kawan tu kupas bawang.

"Nak belajar kupas bawang, mak."

Jawapan Hud merupakan jawapan selamat, maknanya dia yang tawarkan diri untuk mengupas bawang.

"Belajar lain kalilah. Biar mak masak. Hud pergi bersembang dengan nenek. Tu nenek dah cari Hud."

Takkan nenek cari Hud saja, carilah aku sama.

"Fia pun pergilah dengan Hud. Biar kami yang masak hari ni."

Hajah Rahayu pula bersuara. Memang aku tunggu sangat-sangat. Cepat aku ke singki mendahului Hud yang juga mahu basuh tangan.

Aku terlebih dahulu berjalan mendapatkan nenek. Duduk jauh sikit sebab aku tahu Hud akan duduk sebelah nenek.

Elok Hud sampai, aku bangun. Baik aku lepak rumah mak su. Taklah serabut sangat.

"Duduk. Jangan pergi mana. Kalau pun tak suka tengok muka abang, jangan nak pergi mana."

Hud bersuara dengan tegas.

"Nak cari pucuk ubi kejap kat rumah mak su." Mujur aku teringat rumah mak su banyak pucuk ubi.

Tanpa menunggu lama, aku terus keluar rumah. Berjalan menuju ke rumah mak su yang tak jauh dari rumah mak.

"Mak su, nak pucuk ubi." Aku bersuara dengan kuat. Bunyi seperti mak su sedang menggoreng sesuatu dari arah dapur memaksa aku bawa langkah ke pintu dapur mak su yang terbuka luas. Mak su sedang goreng ayam.

"Petiklah sendiri."

"Yalah."

"Orang KL dah sampai ke?"

"Macam mana mak su tau orang KL datang?"

Mak su diam. Tak jawab. Atau mak su sudah terlepas cakap?

"Mak su memang tahu ke orang KL nak datang?"

"Kata nak pucuk ubi. Pergilah petik. Sekarang dah tengah hari."

Mak su tukar topik. Aku pun malas nak desak sebab tak penting pun.

Aku petik pucuk ubi dalam secekak. Aku pun tak tahu kenapa aku petik pucuk ubi sebab tiada dalam perancangan pun.

Aku bawa balik pucuk ubi yang secekak. Nampak Hud berdiri dekat pokok tebu.

Rasanya dia tengah berura-ura nak mesin tebu. Di hujung kampung ada gerai menjual air tebu dan boleh mesin di situ.

Dulu, memang begitulah dia asal balik kampung. Suka sangat minum air tebu.

Hud pandang aku tapi aku buat tak tahu.

Dia senyum.

Tak balas pun.

Malas!

MALAM, aku ingatkan Hud dan Hajah Rahayu akan tidur di hotel, tak sangka kedua-duanya tidur di rumah ayah.

Nak tak nak, terpaksalah aku berkongsi tidur dengan Hajah Rahayu nanti.

Selepas solat isyak, semua berkumpul di rumah. Pak long datang dengan mak long. Mak su dengan pak su.

Pelik sangat. Mujur adik-beradik ayah tinggal tempat lain.

Kalau tidak, mahu penuh satu rumah.

"Assalamualaikum."

Aku dah terkejut. Cara pak long bagi salam macam ustaz nak bagi ceramah. Tak pernah pak long bagi salam macam tu.

"Waalaikumussalam..."

Ramai-ramai jawab salam pak long.

"Kami sekeluarga mengalu-alukan kedatangan buat Hajah dan Hud. Alhamdulillah, yang keruh kita jernihkan semula. Yang putus kita sambungkan kembali."

Aku semakin tidak faham.

"Fia, kami semua dah berpakat untuk menerima lamaran Hajah Rahayu dan Hud. Kami harap Fia juga setuju demi permintaan nenek."

Pak long ambil nafas. Dan pak long nampak lega. Pasti sudah berjaya bersuara dengan lancar.

Mata masing-masing memandang ke arahku.

Kenapa pandang aku?

Dan satu lagi, bila masa Hajah Rahayu melamar aku?

"Mak harap Fia setuju. Jangan degil lagi. Kalau sayang nenek, tolong nikah semula dengan Hud."

Aku kalih pandang Hud.

"Mana boleh main paksa-paksa, mak. Dulu pun mak paksa. Tengok, sudahnya bercerai juga."

Aku rasa nenek tak ingat apa-apa pun. Tak ada masalah kalau aku tak nikah dengan Hud semula. Ini mesti mereka yang melebih.

Mak tak balas kata-kataku. Bermakna apa yang aku suarakan memang betul.

"Abang mengaku, dulu abang yang salah."

Orang lain pula yang menjawab.

"Abang harap kali ni Fia beri abang peluang untuk abang tebus kesilapan abang."

Senangnya dia bercakap. Nak tebus kesilapan konon.

"Dahlah, Fia. Jangan merajuk lama-lama sangat. Buanglah yang keruh. Siapa yang tak pernah buat silap. Hud ada buat silap. Fia pun ada. Sama-sama ada salah masing-masing."

Ayah gosok belakangku. Lembut suara ayah memujuk. Ayah memang pandai memujuk.

"Bukan masalah siapa buat salah, masalahnya sekarang ni tak guna pun nak lupa salah masing-masing kalau masih ada rasa terpaksa. Takkan ke mana juga, ayah."

Aku bukan setakat menyindir Hud tapi menyindir diri sendiri sama.

Aku pernah berusaha untuk menerima Hud namun sia-sia. Tak berhasil. Akhirnya aku patah hati.

Suasana sepi seketika. Rasanya keputusan bakal tergantung.

"Macam ni sajalah. Rasanya nenek tu tak ingat apa-apa. Nenek dah nyanyuk. Nanti kita cakap pada nenek Fia dengan Abang Hud memang suami isteri. Bukannya nenek tahu pun apa yang berlaku."

Semua mata kembali pandang aku. Kali ini berbeza pandangan mereka berbanding tadi.

Marah aku ke? Aku rasa cadangan aku tu tak salah.

"Boleh tak Fia jangan macam budak-budak sangat? Matanglah sikit. Suka ke hidup dengan menipu?" bantah emak.

"Kalau dengan menipu mampu bahagiakan orang lain, apa salahnya menipu? Mak su pun pernah cakap macam tu. Kan, mak su?"

Mak su diam. Tunduk saja. Tak berani pandang sesiapa.

"Jangan banyak cakap lagi. Kami nak Fia nikah balik dengan Hud. Itu pun kalau Fia masih anggap kami keluarga. Kalau tak, suka hati Fia la. Nak terlingkup ke nak apa ke, jangan cari kami."

Ini yang paling aku tak suka tentang mak. Sikit-sikit dia ugut.

"Mak, nikah ni bukan perkara main-main. Berapa kali pula Fia nak jadi janda!"

"Kali ni abang serius, Fia. Berilah abang sekali lagi peluang untuk menjadi suami Fia. Abang janji abang akan jaga Fia sebaik mungkin."

Aku tunduk pandang lantai. Kedengaran kata-kata Hud seperti bersungguh.

Pelan-pelan aku angkat muka dan pandang Hud.

Tak apalah. Aku cuba sekali lagi.

Untung sabut timbul. Untung batu tenggelam.

"Kalau dah semua nak sangat Fia nikah semula dengan Abang Hud, Fia ikut sajalah."

Malas nak cakap lebih-lebih. Aku sorang saja yang membantah.

Aci lawan apa pun aku tetap akan kalah. Mak pula dah main ugut-ugut. Tak sampai hati pula nak kecewakan mak.

"Alhamdulillah, semoga dipermudahkan."

Pak long senyum-senyum. Dan masing-masing pamer wajah lega.

"Kali ni kita buat ringkas saja. Dulu dah tumbang kerbau segala macam. Panggil saudara-mara dan jiran-jiran terdekat."

Ceria kembali wajah mak. Siap susun rancangan.

"Seminggu boleh selesai tak semua urusan borang nikah?"

Ayah pula bertanya. Serupa ayah pula yang nak nikah.

"Insya-Allah boleh, ayah. Saya akan cuba."

Hud menjawab dengan bersungguh.

"Kalau macam tu, kita adakan majlis nikah dua minggu dari sekarang. Setuju?"

Masing-masing angguk. Langsung tak tanya aku.

Tapi bila melihat wajah ayah dan mak gembira, hati anak mana yang tidak gembira? Walau aku sendiri tidak pasti keputusan yang aku buat ini betul atau salah.

Tugas aku sedaya upaya menyenangkan hati mereka.

Selepas berbincang, masing-masing minta diri. Aku mula siapkan Toto untuk Hud dan Hajah Rahayu. Tak jadi tidur dengan aku sebab mak pun tidur di ruang tamu sama temankan nenek.

Hud tolong aku.

"Kenapa tiba-tiba ambil keputusan nak nikah sekarang? Kenapa tak sebelum-sebelum ni?"

Perlahan saja aku bertanya. Takut semua orang dengar.

"Sekarang abang rasa lebih bersedia."

Hud juga menjawab dengan perlahan.

"Kalau Fia tak kerja satu tempat dengan abang, abang pun tak hingin nikah dengan Fia."

"Bukan macam tu. Dah lama beli cincin, cuma ingatkan nak minta mak pinang lepas raya, tak sangka Fia muncul cepat pula."

"Cincin lama mana?"

"Bukan Fia bawa sekali ke?"

"Fia tinggalkan dalam laci almari solek."

"Ya? Nantilah abang tengok."

"Tiga-tiga cincin Fia tinggalkan. Rantai dengan gelang pun Fia tinggalkan sekali."

"Sejak kita bercerai, abang tak pernah buka laci tu."

Padanlah tak jumpa apa-apa.

Agaknya surat yang aku tulis tu pun dia tak baca. Buat penat aku karang.

"Walaupun Fia setuju, tapi abang kena ikut syarat Fia."

"Apa saja, asal Fia setuju kita nikah semula."

Bagus. Aku dah senaraikan banyak syarat-syarat dalam fikiran aku sekarang ni.

Kalau dia dah setuju, baguslah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro