Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Macam biasalah. WhatsApp aku tak tengok, dia telefon pun aku tak jawab. Di tempat kerja pun macam tu juga. Dia ada cuba bercakap dengan aku, tapi aku buat tak dengar.

"Susah betullah nak tengok Encik Hud tu senyum. Serius memanjang. Nak kerja pun tak senang."

Haidar bersuara memecah hening suasana.

Eh, dulu bukan main puji. Tak sampai sebulan dah makan hati? Padanlah dengan muka.

"Dia memang macam tu dari dulu."

Cik Aida berjalan ke mejaku sambil bercakap. Tak tahulah puji atau mengutuk, tapi rasanya sedang membela orang tu.

"Hantar pada Encik Hud kejap."

Cik Aida letak fail depan mejaku.

Nak saja aku suruh dia hantar sendiri, tapi nampak sangat kurang ajar.

Nak tak nak, terpaksalah aku yang pergi.

Ketuk dulu bilik dia baru masuk.

"Cik Aida suruh bagi kat encik."

Fail berwarna kelabu aku letak depan dia.

"Hurm, sejak bila berencik?"

Malas nak jawab.

"Mak jemput makan malam."

"Terima kasihlah."

"Terima kasih tu tandanya setujulah. Malam ni abang jemput Fia."

"Tak payahlah."

Laju tangannya ambil telefon bimbit dan hubungi seseorang.

"Assalamualaikum, mak. Mak cakap sendiri dengan Fia."

Telefon bimbit diserahkan kepadaku. Aku keraskan badan. Memang tak terfikir pun Hud akan ugut aku dengan cara ni.

"Cepatlah, mak nak bercakap tu."

Memang menaikkan darahku saja. Terpaksalah aku ambil telefon dari tangan dia.

"Assalamualaikum, mak."

"Waalaikumussalam. Malam ni Fia makan kat rumah mak tau. Mak masak sedap-sedap."

"Tak payah susah-susahlah, mak."

"Mak tak suka dengar Fia cakap macam tu. Mak nak Fia datang rumah mak malam ni. Mak dah pergi pasar. Jangan tak datang tau. Assalamualaikum."

Belum sempat aku jawab, Hajah Rahayu sudah tutup telefon. Telefon tu aku letak atas meja.

Hud turunkan tandatangan.

"Abang jemput Fia malam ni. WhatsApp lokasi rumah."

Fail dia serahkan padaku.

"Fia tak nak."

"Cakap sendiri dengan mak."

"Hesy!"

Fail aku ambil dengan kasar.

"Pintu jangan hempas. Nanti semua orang terkejut."

Menyesalnya pergi jumpa dia. Rasa nak menjerit sekuat hati.

Rasa macam-macam. Rasa nak bunuh orang pun ada.

Aku tak tutup pun pintu. Biar terbuka. Kalau aku tutup memang aku hempas.

Letak semula fail atas meja Cik Aida dengan muka masam.

"Meeting kejap."

Hud bersuara. Aku tak jadi ke tempat dudukku dan langsung berdiri jauh sedikit. Hud perhatikan seorang demi seorang.

"Ada satu kontena akan masuk. Barang dari China. Urgent semua ni. Jadi, tolong beri perhatian semua pada dokumen yang masuk."

Kami hanya dengarkan saja arahan.

"Semua dokumen kena siapkan sebelum sampai bahagian akaun. Saya tak mahu sebarang kesilapan. Bahagian kita proses pertama, kalau kita silap, semua bahagian nanti akan silap."

Arahan diterima.

"Siapa nak kerja lebih masa?"

"Abang, Fia nak..."

Semua mata pandang aku.

Aduh, kan terlepas juga perkataan abang. Aku tengok Hud senyum senget.

"Tak payahlah, bagi pekerja lama."

Mana aku nak letak muka ni?

"Bersurai semua. Semua pekerja lama buat overtime hari ni sampai pukul sepuluh malam. Aida, tolong uruskan untuk overtime ni."

"Baik, encik..."

Hud bawa senyuman ke biliknya.

Tak guna! Memang benar-benar aku terkena.

"Abang? Gatalnya." Cik Aida pandang aku tajam. Aku nampak muka orang cemburu pun ada.

"Tersasul."

Terpaksa buat-buat senyum.

"Tapi kan, nampak tak senyum Encik Hud tadi? Dia mana pernah senyum. Sekali dia senyum, cair terus Kak Mona."

Pekerja yang jarang-jarang sekali bercakap, dah mula bercakap.

"Betullah, kak. Kali pertama saya nampak dia senyum. Saya yang lelaki ni pun tersampuk sama."

Melampau betul.

Siap tersampuk. Aku ni dah tak tahu nak cakap apa.

"Kena panggil abang juga ni." Annisa pun tak nak kalah.

"Jangan nak mengada!"

Macam tak puas hati aje Cik Aida. Kalau tak puas hati, panggillah orang tu abang.

Sah, senyum sampai ke telinga orang tu.

Macam mana nak buat kerja ni? Malu satu hal. Malam nanti satu hal.

"Cantek Safia, masuk bilik saya kejap."

Dari muka pintu, Hud panggil nama penuh aku. Segera aku menuju ke biliknya.

"Mesti dia nak basuh kau, Safia." Annisa seperti takutkan aku. Aku tak takut pun.

"Ini abang punya pasal la..." Terus aku tolak badan Hud. Geram dengan dia tak habis lagi, bertambah dengan geram baru.

Hud ketawa. Nak banjir ke hari ni? Tak pernah aku tengok dia ketawa.

"Mulai sekarang Fia panggil encik."

"Jangan nak mengadalah."

"Habis, kalau tersasul lagi macam mana?"

"Biar ajelah. Apa masalahnya?"

"Cik Aida dah sebut Fia gatal."

"Lantak dialah."

Senangnya bercakap.

"Fia malu sangat."

Aku letak muka atas meja.

"Kalau macam tu, kita dedahkan hubungan kita."

"Tak nak! Kalau abang dedahkan, Fia berhenti kerja dua puluh empat jam. Dan jangan harap dapat jumpa Fia sampai bila-bila!"

"Boleh tak jangan nak ugut sangat?"

Aku pejam mata.

"Jangan lupa hantar lokasi rumah Fia."

"Tak ada mood nak pergi rumah mak."

"Dah, dah. Jangan banyak songeh sangat."

"Abang tu yang gedik. Abang panggil Fia ni kenapa?"

"Saja. Abang tahu Fia tengah bengang."

Konon-konon nak kurangkan rasa bengang akulah? Bertambah bengang lagi ada.

"Fia keluar dululah."

"Biarlah rasa malu tu reda sikit."

"Hesy!"

Hud ketawa lagi.

"Ingat, hantar lokasi."

"Hesy!"

Aku melangkah longlai. Masa aku keluar, semua pandang aku.

"Apa pasal?" Annisa tak menyabar betul.

"Kena sound la."

"Padan muka."

Annisa ketawa jahat.

"Lain kali jangan nak gatal sangat."

Gatallah sangat...

MAKAN malam macam biasa. Hajah Rahayu masih bercakap tak berhenti. Kak Farah tanya macam-macam. Abang Fauzi tak tanya apa-apa.

Tapi ada satu soalan daripada Hajah Rahayu yang aku bawa sampai ke rumah.

Dia tanya, masih ada harapan ke buat dia nak jadi mak mentua aku semula? Aku tak jawab. Bukan tak nak jawab sudah tak ada peluang, tapi aku teringat pada mak.

Wajah mak akan sama seperti wajah Hajah Rahayu kalau mak rasa kecewa.

Kesimpulannya, aku masih tak sampai hati.

"Lain kali jangan nak mengada ajak Fia makan malam. Fia tak suka."

"Bukan abang yang ajak. Fia cakaplah dengan mak."

"Abang tolonglah bagi apa-apa alasan."

"Abang tak pandai nak cari alasan."

"Cakap ajelah apa-apa."

"Kenapa tak nak cakap yang Fia memang tak suka nak datang rumah mak? Benci sangat-sangat dengan abang. Kenapa tak berterus terang? Perangai Fia memang macam ni, kan?"

Aku juga yang salah?

"Kenapa tak mahu berterus terang kalau benar-benar tak suka?"

Aku toleh pandang wajah Hud

"Dan kenapa abang tak mahu berterus terang kalau abang benar-benar tidak suka?"

Giliran aku pula bertanya.

"Sebab abang tak pernah cakap tak suka."

"Yalah tu. Cakap sajalah terpaksa. Terpaksa ikut cakap mak."

Hud tak balas.

Mungkin dia fikir tak guna nak bercakap dengan aku. Diam dia itulah kadang-kadang sangat menyakitkan.

Kerana diam dia juga aku rasa jemu. Letih.

"Esok abang jemput Fia."

"Tak payah. Fia pergi dengan Kak Nor. Kak Nor sebulan kena kerja kat Shah Alam."

"Jangan menyusahkan orang, Fia. Abang kan ada."

"Abang siapa buat Fia?"

"Bukan sesiapa, tapi abang sentiasa ada untuk Fia."

Aku pandang semula wajah Hud. Macam tak percaya Hud yang berkata-kata begitu.

"Abang dah hilang akal ke?"

"Kenapa?"

"Selama Fia jadi isteri abang, di mana keberadaan abang sampai Fia rasa Fia tak ada suami?"

Sebak datang tiba-tiba.

Betul, selama dua tahun bergelar isteri, aku langsung tak rasa kehadiran seorang suami dalam hidupku. Kosong dan sepi.

"Abang ada saja, hanya Fia yang tak sedar."

"Kalau Fia sedar, taklah Fia minta cerai."

"Sebab Fia tak pernah pandang abang dengan rasa sayang, sebab itulah Fia tak nampak abang."

"Sebab abang pun tak pernah sayang Fia!"

Sakitnya hati.

"Siapa cakap abang tak sayang Fia?"

"Dahlah. Fia malas nak bertekak dengan abang. Abang mana pernah nak mengalah."

"Selama ni siapa sebenarnya yang banyak mengalah?"

Aku pilih untuk tidak bersuara.

Hud juga.

Sehinggalah Hud turunkan aku di hadapan rumah sewa.

"Terima kasih. Assalamualaikum."

Hanya itu yang terlafaz sebelum aku keluar kereta.

"Waalaikumussalam."

Aku terus masuk ke dalam rumah tanpa melihat Hud pergi.

Sekarang ini macam-macam yang aku rasa. Sedih, sebak, sakit hati, marah dan macam-macam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro