Bab 4
Aku sampai awal hari ni kerana tumpang kereta Kak Nor. Kebetulan dia mahu ke Shah Alam. Bolehlah aku sambung tidur. Disebabkan malam tadi tak berapa nak lena, pagi ni rasa mengantuk sangat.
Baru nak letak kepala, Hud keluar dari biliknya.
Awalnya sampai. Baru pukul 7.30 pagi kut. Tidur kat tempat kerja ke dia ni?
"Masuk bilik abang kejap," arahnya.
"Cakap di sini saja tak boleh ke? Karang masuk bilik abang macam-macam pula fitnah timbul."
Tak nak aku masuk bilik dia. Dia yang nak bercakap dengan aku, dialah datang cari aku. Lainlah kalau berkenaan soal kerja.
Hud melangkah dan berdiri di hadapanku.
"Berpuluh kali abang call, kenapa tak jawab?" Kasarnya bahasa.
"Perlu ke jawab? Tak kut. Suka hatilah Fia nak jawab ke tak." Aku pandang tempat lain. Malas nak pandang muka dia. Menyakitkan hati saja.
"Abang hanya nak tahu, apa salah abang?"
Tak faham bahasa rupanya dia ni. Baik, aku akan jelaskan semula agar dia faham sefaham-fahamnya.
"Kenapa abang sebarkan cerita yang tak betul? Abang beritahu bekas isteri abang lari ikut lelaki lain. Tergamak abang fitnah Fia. Kalau betul abang bencikan Fia, takkan sampai sanggup fitnah Fia?" Mata kembali pedih.
"Astaghfirullahalazim. Abang tak pernah bawa cerita macam tu. Selama ni hal rumah tangga kita adalah hal peribadi yang abang rahsiakan. Tak pernah abang bercerita pada sesiapa."
"Tak payahlah abang nak cakap apa-apa lagi. Benda dah jadi. Tolong jangan kacau Fia." Aku tangkup muka atas meja.
"Fia, abang belum habis lagi bercakap."
"Fia tak nak dengar apa-apa pun dari mulut abang."
Mata memang pedih. Hati pula dulu-dulu menangis.
"Memang abang tak pernah cerita apa-apa tentang rumah tangga kita kepada sesiapa pun. Terpulang Fia nak percaya atau tidak."
Aku dengar langkahnya meninggalkan tempat dudukku selepas itu.
Susah untuk aku percaya kata-katanya. Kalau dia sendiri tidak bercerita, takkan ada yang berani buat cerita bukan-bukan. Hud tu garang juga orangnya.
"Selamat pagi."
Aku dikejutkan dengan suara Haidar memaksa aku angkat kepala dan pandang dia.
"Selamat pagi," balasku malas. Betulkan tudung selepas itu.
"Ni bakal isteri aku buatkan karipap. Rasalah."
"Bertuahnya kau. Dah ada tolong masakkan. Mesti dia sayang gila kat kau."
"Bercinta dari zaman sekolah lagi."
Padanlah. Aku ambil seketul kuih karipap dan masuk ke dalam mulut.
"Sedapnya. Pandai bakal isteri kau masak."
Haidar sengih serupa bangga pun ada.
"Untunglah kau." Aku puji lagi nak bagi Haidar seronok.
"Sebab itulah aku sayang dia. Bagi aku, dia serba sempurna." Haidar tarik kerusi Kak Mona dan dia duduk berhadapan denganku.
"Pandai masak memang salah satu ciri yang mesti ada ke untuk jadi seorang isteri?"
"Mestilah. Kau tak tahu ke? Bukan ke nak tambat hati suami kena tambat dulu perut dia?"
Mungkin sebab itulah Hud ceraikan aku. Sebab aku tak pandai tambat perut dia. Memang aku tak pandai masak. Tak apalah, benda dah nak jadi.
Hud keluar dari biliknya dan bergerak menghampiri kami.
"Selamat pagi, encik." Haidar sapa dengan mesra.
"Selamat pagi," balas Hud kasar. Dia terus berlalu tanpa pandang kami.
"Apa pasal tu?" Aku pura-pura bertanya.
"Biasalah, duda."
Haidar seperti kurang senang.
"Betul ke bekas isteri dia lari dengan lelaki lain?"
"Tak pasti juga, tapi biasalah gosip perempuan. Kadang-kadang benda yang tak ada diadakan."
Hati mula tak sedap. Buatnya memang betul Hud tak cerita apa-apa, macam mana?
Aku pandang Hud yang semakin menghilang. Rasanya dia ke kafeteria.
"Aku dengar juga Cik Aida macam syok saja dengan Encik Hud."
Mulut Haidar penuh tapi masih mahu bercakap.
Ada sesuatu tak kena dengan perasaanku bila mendengar kata-kata Haidar.
"Itu pun kau tahu?" Sengaja bertanya begitu demi menyembunyikan gelora rasa.
Tak tahu kenapa tiba-tiba saja rasa tak sedap hati.
"Aku dengarlah macam tu. Tu pasal dia tak berapa senang sangat bila Encik Hud selalu makan dengan kita. Dia takut bos kita tu sangkut dengan Annisa. Annisa kan cantik."
Ya, Annisa memang cantik. Orangnya putih kuning, bertubuh langsing. Wajah pula manis berseri.
Aku ingatkan Hud selalu makan dengan kami sebab mahu berbaik semula dengan aku, rupanya mahu mendekati Annisa.
Mujur Haidar bercerita. Kalau tidak, buat malu saja ditimpa perasaan sendiri. Aku kena sedar diri sekarang. Perkara yang lepas jangan dikenang-kenang.
"Selamat pagi semua..." Annisa datang bersama wajah muram.
"Selamat pagi."
Aku dan Haidar jawab serentak. Aku jeling sekali gadis sebaya denganku yang dihebohkan sebagai gadis cantik.
"Eh, karipap. Kau masak?" Tanpa dipelawa, Annisa ambil seketul.
"Bakal isteri Haidar." Aku tolong jawab.
"Sedapnya. Pandai dia masak." Annisa juga memuji.
"Tu aku cakap tadi. Memang pandai dia masak. Untunglah Haidar." Aku habiskan karipap kedua. Ambil tisu dan lap tangan yang berminyak. Cukuplah untuk alas perut.
"Tadi aku terserempak dengan Encik Hud."
Annisa mula bercerita dan aku berusaha memujuk hati. Cuba berbaik-baik dengan perasaan agar tidak terasa apa-apa. Hud sekarang bukan siapa-siapa bagiku.
Dia pun tak pernah pandang aku, jadi tak perlu aku terhegeh-hegeh. Pinggan tak retak, nasi pun tak dingin. Orang tak nak, aku lagi tak ingin.
"Dia baru keluar dari bilik dia," beritahu Haidar. Biarlah Haidar saja yang bercerita.
"Ya? Ingatkan dia baru sampai. Aku tegur pun dia tak jawab. Menonong saja pergi. Apa pasal pula tu?"
Takkan disebabkan bengang dengan aku, Annisa pun tak layan. Kata berminat dengan orang tu.
"Manalah kami tau. Selalu orang dah kahwin saja ada angin tak tentu pasal. Duda pun ada angin yang sama? Peliknya."
"Lantak dialah. Janji jangan kita kena sekali sudahlah." Giliran aku pula menjawab.
Masing-masing ke meja kerja bila nampak Hud melangkah masuk.
"Berkumpul semua!" Dengan tegas, dia keluarkan arahan memaksa kami semua bangun dan berjalan menghampirinya. Aku berdiri di belakang Annisa.
"Saya hanya bercakap sekali saja tentang perkara ni. Ya, saya mengaku saya duda. Saya bercerai dengan bekas isteri saya disebabkan isteri saya tak sayang saya lagi."
Bila masa aku tak sayang dia?
Masa tu aku berusaha keras untuk sayang dia dan berusaha untuk mencintai dia dengan sepenuh hati aku, namun sia-sia. Dia pandang pun tidak.
"Tapi bukan dia lari bersama lelaki lain. Saya nak tahu siapa yang buat cerita pasal bekas isteri saya lari dengan lelaki lain?"
Kuat dia bercakap dan jelas membuktikan yang dia sekarang ini benar-benar marah. Bermakna juga bukan dia yang bercerita.
Annisa mengundur sedikit badannya ke belakang seolah-olah takut.
"Kamu semua tak ada benda lain ke nak bercakap? Kenapa hal peribadi saya yang kamu semua selongkar?"
Masing-masing tunduk.
"Saya akan cari orang yang buat fitnah terhadap bekas isteri saya. Kalau saya dapat siapa yang sebarkan cerita ni, saya tak teragak-agak akan guna kuasa saya untuk keluarkan dia dari bahagian saya. Bersurai semua."
Hud melangkah dengan wajah marah. Kecut aku melihatnya.
"Haidar, kau dengar dari siapa bekas isteri Encik Hud lari dengan lelaki lain?" Aku bertanya kepada Haidar. Haidar yang mula-mula bawa cerita.
Kalau tidak, takkan aku berani tampar pipi Hud? Masa tu aku tak ingat apa-apa. Sakit hati teramat sakit.
Haidar pandang Cik Aida. Wajah Cik Aida masa tu nampak tak tentu arah. Bermakna, Cik Aida yang buat cerita? Kenapalah aku tidak bersabar?
"Aku pun dengar daripada Cik Aida. Cik Aida dengar daripada siapa?" Annisa pecah rahsia.
Cik Aida tambah tak tentu arah. Kalau dia yang bawa cerita, tunggu sajalah nasib dia tak lama lagi.
Kami memulakan kerja. Banyak perkara yang perlu aku pelajari.
Awalnya tenang-tenang saja. Masuk pukul sebelas pagi, suasana pejabat mula kecoh.
Hud mengamuk. Habis semua orang dia maki hamun termasuk Cik Aida sekali. Kami pekerja baru langsung tak berbunyi. Sebenarnya aku tak takut dengan Hud. Banyak sangat cakap, aku berhenti kerja saja. Habis cerita.
"Awak, ikut saya pergi gudang." Tiba-tiba dia keluarkan arahan.
"Sekarang?" Aku soal dia semula.
"Ada saya ajak awak subuh esok ke?" Dia marah aku. Mulut ringan saja menjawab tapi aku tahan. Bimbang nanti ada yang syak apa-apa.
Aku buat-buat tak dengar. Hud melangkah
"Fia!"
Dia panggil nama aku dengan panggilan yang selalu dia gunakan. Bodoh betul. Mendidih saja perasaan aku.
Aku berjalan dengan laju menghampirinya. Sebaik sahaja keluar dari pejabat, terus aku tampar perutnya.
"Kenapa sebut nama Fia?" marahku.
"Habis, nak panggil apa?"
"Panggil la Cantek."
"Cantik ke?"
Laju tanganku tampar lengannya dan dia mula tersenyum. Hilang sudah muka bengis dia.
"Abang jangan nak mengada sangat. Nanti orang syak apa-apa kalau panggil Fia. Tu panggilan kita di rumah saja."
Kami sama-sama berdiri menunggu pintu lif terbuka.
"Maaf, sebab dah tampar abang."
Kalaulah aku lebih bersabar. Kalaulah aku selidik dulu.
"Serius, abang memang tak pernah cerita apa-apa tentang rumah tangga kita terutama tentang Fia."
"Yalah, betul juga. Buat apa nak cerita tentang isteri yang tak pernah abang umpamakan?"
Apa diharap padi seberang. Entah masak entahkan tidak. Apa ditagih kasihnya orang, entah sayang entah tidak. Dalam kes aku dengan Hud, memang sah-sah dia tak sayang. Tak perlu main entah-entah.
Pintu lif terbuka dan aku dulu-dulu masuk. Hud yang tekan nombor lif.
"Abang tak cerita bukan maknanya tak sayang. Ada faedah ke nak cerita pasal isteri pada orang?"
"Hurm, sayanglah sangat. Buat Fia macam bercakap dengan dinding tu, sayanglah?"
Aku menyindir dia. Hud tak membalas dan aku pun senyap. Sehingga pintu lif terbuka kami masih berdiam diri.
"Abang, bukan ke gudang arah sana?" Aku ingatkan Hud bila menyedari langkah Hud menghala ke luar.
"Abang tak sebut pun nak pergi gudang sini."
"Gudang Pelabuhan Klang?"
Hud tak jawab. Terus saja melangkah keluar dari bangunan utama.
Serba salah sebenarnya nak keluar dengan dia. Bukan sebab aku takut ada suara sumbang yang bakal bercakap-cakap tentang kami, tapi aku lebih bimbang kalau masa silam kami dia ungkit semula.
"Apalah tercegat lagi? Masuklah. Kan panas terik ni."
Lambat aku tarik pintu dan masuk ke dalam kereta. Hud memandu keluar selepas itu.
"Abang ingat Fia dah kahwin lepas kita bercerai."
Kan aku dah cakap. Dia mula nak mengungkit.
"Fia ingatkan abang yang tak sabar-sabar nak nikah dengan kekasih abang."
"Manalah abang ada kekasih."
"Yalah tu..." Aku pandang arah luar.
"Serius, abang memang tak ada kekasih."
Akhirnya aku pilih untuk mendiamkan diri. Tak guna pun nak bercakap.
"Kita makan tengah hari dulu. Abang dah lapar ni."
Pun aku diam juga. Ikut suka dialah nak buat apa. Hud terus memandu sehinggalah dia berhentikan kereta di hadapan sebuah gerai makanan.
"Abang pergilah makan. Fia tunggu dalam kereta."
"Eh, makan sekalilah. Takkan diet kut. Badan dah langsing. Kalau orang tak tahu, mesti ingat Fia anak dara lagi. Seksi pula tu sekarang ni sejak jadi janda."
Aku gigit hujung bibir menahan kemarahan yang mula membuak. Hud sedang menyindir aku.
Aku jeling dia dengan jelingan tajam.
"Takkan nak biarkan abang makan sorang-sorang?"
Kenapa aku rasa sekarang ini perangai Hud tak sama seperti Hud yang aku kenal dulu?
Hud dulu seorang yang sangat dingin. Memang susah untuk aku mendengar suaranya. Hud sekarang seperti terlebih ramah pula.
"Selalunya makan sorang-sorang juga, kan? Ke dah ada yang temankan?"
"Mana ada orang teman. Nak minta Fia temankan abanglah sekarang ni."
"Tak apalah. Fia tak lapar lagi."
"Nanti apa pula orang cakap bila tengok abang makan sorang-sorang? Fia pula dalam kereta."
"Orang lain tak cakap apa pun. Kita yang mudah fikir yang bukan-bukan. Suka sangat buruk sangka."
Hud kalih posisi badan menghadap aku.
"Pandang muka abang," arahnya seakan memaksa. Akur dengan arahan, aku menoleh.
"Boleh tak kita lupakan tentang masa lalu kita? Boleh tak kita jadi kawan? Kalau pun benci sangat dengan abang, tak boleh ke buka sikit ruang untuk abang berkawan dengan Fia?"
Sungguh, selama hampir dua tahun menjadi isteri Hud, aku langsung tak pernah mendengar dia bersuara selembut ini denganku.
Terlalu dingin sikapnya sehinggalah aku rasa sangat bosan dan sangat menyesal kerana setuju dengan permintaan mak dan ayah.
"Abang ingat senang nak lupakan?"
"Jahat sangat ke abang ni? Zalim sangat ke abang sampai Fia tak boleh lupa? Abang pernah berkasar dengan Fia ke?"
Tidak, semua itu tidak tetapi dia benar-benar melukakan hatiku.
"Fia yang jahat."
"Tak kesahlah siapa yang jahat. Tolong tinggalkan dan lupakan semua tu. Sekarang abang nak kita mulakan semula hubungan kita dengan kita berkawan terlebih dahulu. Tak salah kalau abang jadi kawan Fia, kan?"
Tinggalkan dan lupakan semuanya? Senangnya dia bercakap. Dia fikir senang-senang aku boleh lupakan apa yang berlaku?
"Kita kawan?"
Aku tidak membalas.
"Kita kawan?" desak Hud. Selagi aku tak jawab, dia akan mendesak.
"Tak nak!"
Hud ke posisi asal dan dia sambung memandu. Aku tahu Hud sedang marah, tapi peduli apa aku? Biar sama-sama tak makan. Biar sama-sama kebulur, nak makan dengan dia tidak sama sekali.
Kami ke gudang yang terletak di Pelabuhan Klang. Lebih kurang dua jam kami di situ. Lepas tu kami pulang.
Hud langsung tak bercakap dengan aku. Kalau dia marah begitulah dia.
Dah masak sangat dengan perangai dia. Selama dua tahun ini tak ada apa yang berubah tentang Hud. Tetap sama.
Namun laluan Hud agak menyimpang. Aku tetap keraskan hati untuk tidak bercakap. Dan akhirnya aku tahu, itulah laluan menuju ke rumah bekas mentuaku.
"Fia tak nak pergi rumah mak!" Akhirnya aku buka mulut juga bila Hud memandu ke arah Padang Jawa.
Di Padang Jawa itu ada sebuah rumah tanah lot milik ibu bapa Hud.
"Abang dah bagi tau mak. Nak singgah makan dengan Fia."
"Abang?"
"Siapa suruh tak nak makan tadi?
Aku juga yang salah?
"Mak cakap nanti mak masak lauk kegemaran Fia. Takkan nak hampakan mak? Penat mak masak."
Aku ke yang suruh masak?
"Lagipun mak memang rindukan Fia. Banyak kali mak pergi rumah mak Fia, tapi setiap kali tu jugalah Fia pergi tempat lain. Kalaupun benci sangat kat abang, jangan mak pun Fia benci sama..."
Aku tak terkata.
"Yang bermasalah kita, bukan mak kita."
Hud memasuki halaman rumah orang tuanya. Halaman rumah masih sama. Penuh dengan bunga-bungaan.
Aku masih keberatan hendak keluar. Tak tahu apa yang aku marahkan.
Hud pusing badan pandang aku.
"Pandang abang, Fia."
Aku pandang ke arah tingkap.
"Abang cakap pandang abang." Suara Hud sedikit keras, memaksa aku menoleh. Mata kami saling bertentangan.
"Tolonglah, Fia. Kesian pada mak."
"Abang yang cari masalah."
"Mak memang nak sangat jumpa Fia. Fia marahlah abang. Fia makilah abang, tapi jangan buat mak macam tu. Fia pernah menjadi menantu kesayangan mak. Abang mengaku abang salah sehingga rumah tangga kita runtuh."
"Tak payah nak ungkit cerita yang dah lepas."
"Abang tak ungkit, tapi tolonglah Fia."
Aku tolak pintu kereta dengan perlahan. Aku keluar bukan termakan rayuan Hud, aku hanya pandang Hajah Rahayu.
Aku hanya kenangkan kasih sayang yang pernah dia curahkan untuk aku.
"Fia dah sampai?" Hajah Rahayu meluru mendapatkan aku.
Kemarahan yang aku bawa bersama bagai disimbah. Tubuhku didakap dengan erat.
"Kenapa Fia marah sangat dengan mak? Apa salah mak pada Fia sampai Fia dendam dengan mak?" Hajah Rahayu mula menangis.
Aku terkunci bicara. Apa salah Hajah Rahayu sehingga aku begitu dendam dengannya? Dia datang ke rumah mak, aku sanggup larikan diri tidak mahu bertemu dengannya.
Apa salah dia?
"Mak sihat?" Aku tak mahu terlibat sama dalam masalah emosi Hajah Rahayu.
Sebab aku tak pandai nak sedih-sedih. Masa bercerai hari tu pun mana ada aku menangis.
"Kenapa? Mak mati baru Fia nak datang jenguk mak?"
Aku dah salah tanya soalan rupanya. Aku tanya kesihatan dia, rupanya dia ingat aku minta dia mati cepat.
"Dah tu, mak. Kita orang ni masih dalam waktu kerja. Tak boleh nak lama-lama."
Hajah Rahayu lepaskan pelukan. Mujur anak dia mengerti apa yang sedang aku rasa.
"Jom, kita makan. Pagi tadi masa Hud bagi tau nak bawa Fia balik makan tengah hari, kelam-kabut mak pergi pasar."
Pagi tadi lagi Hud bagi tau nak bawa aku balik makan tengah hari?
Maknanya Hud dah rancang dari awal lagi? Memang tak guna betul Hud.
Tadi babak mengamuk tu, babak sengaja direka? Paling lawak babak singgah kat restoran.
Kenapalah senang sangat aku masuk perangkap Hud?
Aku sepak kaki Hud masa Hajah Rahayu sudah masuk dapur.
"Kenapa?" Wajah Hud tetap serius walau dia tahu kenapa aku sepak kaki dia.
"Tak guna. Abang memang dah rancang sejak pagi tadi?"
Dia geleng.
"Dari malam tadi."
Tak guna!
"Siapa suruh tak nak jawab panggilan abang."
Ah! Sakitnya hati. Rasa aku nak tumbuk-tumbuk saja muka dia.
Hud terus melangkah menuju ke meja makan.
"Duduk, sayang. Kita makan sama-sama." Hajah Rahayu kalut letak nasi ke atas pinggan.
Aku jeling Hud dengan rasa membara. Hud buat muka selamba.
Hajah Rahayu berjalan ke dapur.
"Duduk, sayang." Hud ajuk cakap Hajah Rahayu.
Aku tarik kerusi dengan kasar. Marah, geram, sakit hati, semua cukup.
"Tak payah nak marah sangat. Makan cepat." Hud ketuk meja dan mula mengunyah tanpa toleh kiri kanan.
Aku berusaha mengawal emosi.
"Kenapa tak makan lagi, Fia? Penat mak masak. Bila mak dengar Hud nak bawa Fia balik makan tengah hari, mak punyalah terkejut. Tak sangka Fia sudi juga datang rumah mak."
Ada juga yang kena bunuh ni.
"Hud dah cerita pada mak yang Fia kerja satu tempat dengan Hud. Tu mak suruh Hud bawa Fia balik rumah."
Aku jeling Hud yang masih lagi berselera makan. Sakit sangat hati.
"Makan, sayang." Hajah Rohani letak seketul ayam goreng ke atas pinggan. Terpaksalah aku basuh tangan dan baca doa makan dalam hati.
Kunyah pelan-pelan. Aku hanya fikirkan bekas mak mentua saja.
"Budak-budak bila balik?"
Dengan mulut penuh, Hud bertanya.
"Dua-dua balik petang karang."
Pasti dua beranak itu sedang bercakap pasal Balqis dan Amylin anak Abang Fauzi memandangkan Abang Fauzi dan Kak Fatin tinggal bersama Hajah Rahayu.
"Padanlah senyap sunyi."
Lama aku tak jumpa anak-anak saudara Hud.
Manja juga budak-budak tu dengan aku. Entah kenal atau tidak mereka pada aku.
"Eh, sikitnya makan. Mak masak tak sedap ke?"
Aku basuh tangan. Tanda aku sudah selesai makan. Hud masih belum sudah.
"Sedap." Takkan nak cakap aku tak selera makan sebab ada Hud?
"Habis, kenapa sikit sangat makannya?"
Hud jeling sekali.
Aku bangun dan bawa pinggan ke sinki.
Sedang cuci pinggan, Hud datang bawa pinggan dia sama. Aku berganjak sedikit untuk memberi laluan kepada Hud.
Dia basuh tangannya dan letak saja pinggan dia ke dalam singki.
Perangai masih tak berubah. Makan main tinggal saja pinggan. Tak tahu langsung nak basuh.
Tiba-tiba dia percik air ke mukaku.
Sengal!
Hud pergi macam tu saja.
Lepas basuh pinggan, aku kembali ke ruang makan.
"Tak solat?"
Aku pandang Hud. Tanya serupa aku ni jenis tak tahu jaga solat. Takkan nak ajak solat jemaah?
"Cuti."
Hud berjalan menuju ke salah sebuah bilik yang dulunya menjadi miliknya. Aku membantu Hajah Rahayu mengemas tapi ditegah. Dia ajak aku berbual di ruang tamu sementara menunggu Hud selesai solat zuhur.
"Lepas ni Fia selalu-selalulah datang rumah mak. Mak dah lama tunggu Fia."
Tanganku dia pegang.
Memang dari dulu lagi aku ialah menantu kesayangan Hajah Rahayu berbanding Kak Fatin.
Bukan disebabkan aku menantu pilihan keluarga tetapi mungkin sikap aku yang menyenangkan.
"Segan nak datang. Fia bukan lagi menantu mak."
"Memang, tapi mak tetap anggap Fia menantu mak. Mak tetap sayang Fia. Fia tak sayang mak?"
"Sayang."
"Habis tu?"
Takkan tak tahu aku tak baik dengan Hud? Takkan tak tahu anak dia punca semua masalah yang menimpa?
"Jangan pedulikan Hud, Fia datang masa Hud tak ada. Bukan Fia tak biasa datang sendiri."
"Fia tak ada kereta, mak."
Dulu ada. Hud belikan aku Myvi. Dah tak jadi isteri dia, takkan nak bawa lagi?
"Kereta Fia kan ada lagi. Hud tak jual pun. Nanti mak suruh Hud bagi semula pada Fia."
"Kereta orang, mak."
"Hesy, kereta orang apanya? Kereta Fia tu."
Aku senyumkan saja. Selepas itu aku biarkan Hajah Rahayu bercakap sorang-sorang.
Biar dia meluah rasa sehinggalah anak lelaki dia yang kedua merangkap anak bongsu muncul semula.
"Jom balik. Kita dah lewat ni."
Aku cium tangan Hajah Rahayu dan dia peluk aku dengan mesra selepas itu.
"Hud, kamu jangan lupa bagi semula kereta Fia. Senang Fia jenguk mak bila dia cuti."
Hud tercengang. Lama sedikit baru dia faham.
"Yalah." Sepatah dia balas sambil kancing semula butang baju.
Cium tangan Hajah Rahayu dan Hajah Rahayu cium pipi Hud kiri dan kanan. Anak mak, macam tulah.
"Ingat, pulangkan balik kereta Fia."
"Tahu..."
Kami bergerak semula ke kereta Hud. Siaplah. Memang ada yang aku basuh cukup-cukup nanti.
"Tak payah nak bising-bising. Memang abang yang rancang nak bawa balik Fia sebab setiap hari mak tanya pasal Fia."
"Kalau abang tak cakap Fia kerja di situ, mak takkan tahu."
"Hari pertama lagi abang dah bagi tau mak."
"Yang gatal bagi tau mak apa pasal?!"
Berani juga aku tengking dia. Geram. Semua nak cerita pada mak dia.
"Habis tu, mak tak sudah tanya pasal Fia."
"Diam-diam sudahlah."
"Nanti balik rumah, ambil kereta."
"Tak payahlah!"
Sekali lagi suara aku tinggi. Tak jawab terus dia. Sampai ke sudah tak bercakap.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro