Bab 3
HARI baru bermula lagi. Perasaan memang tak seronok sejak tahu Hud pun bekerja di tempat yang sama.
Ikutkan hati, mahu saja berhenti dan kembali tinggal di kampung.
Namun sudah terlanjur datang ke sini terpaksa tempuh juga. Bersabar dengan sedikit masa lagi. Sudah tertulis rezeki aku di sini.
Langkah terhenti bila nampak Hud berdiri berhampiran pintu masuk utama.
Ah! Ke mana pula aku nak menyorok? Dahlah pintu masuk ke bangunan utama hanya satu pintu saja. Nak tak nak, terpaksa juga aku melaluinya.
"Jom sarapan dulu."
Ewah, banyak cantik. Masa jadi isteri dia dulu, dia jarang hendak makan bersama.
Ini alih-alih jadi janda dan duda, mahu pula bersarapan dengan aku. Tak fikir ke apa orang kata kalau nampak kami makan berdua?
"Fia bawa bekal."
"Bawalah bekal Fia ke kafeteria."
"Fia nak makan kat ofis aje, lepas tu Fia nak sambung tidur." Tanpa pedulikan dia, aku berlalu begitu saja.
Aku ingat aku datang awal senang nak sambung tidur, rupanya dia lagi awal.
Aku ke tempat dudukku. Selepas itu aku keluarkan bekalan. Sempat goreng nasi dan buat jemput-jemput bilis.
"Fia masak apa?" Hud berdiri tegak di hadapanku.
"Nasi goreng."
"Dah lama tak makan nasi goreng Fia."
Kalau nak, cakap ajelah.
"Nak ke?"
Aku jeling tajam.
"Tak apalah. Cara tanya tu serupa tak ikhlas." Dia menonong masuk bilik dia.
Yalah tu.
Itulah Hud yang aku kenal selama ini. Kuat sangat merajuk.
Bercakap dengan dia harus menggunakan nada suara dengan betul. Kalau tidak, bakal disalah anggap. Tapi jangan haraplah aku nak pujuk. Bukan ada kena-mengena dengan aku pun.
Aku mula jamah nasi goreng dengan perlahan. Sambil tu aku lihat telefon bimbitku. Tengok Facebook sebenarnya. Melihat status rakan-rakan.
Seorang demi seorang rakan sekerja saling berdatangan. Yang tak nampak hanya Annisa dan Cik Aida.
"Awal kau sampai hari ni." Haidar menegur. Dia juga buka bekas makanannya.
Sah bakal isteri yang siapkan. Dulu, sediakan sarapan pagi adalah antara tugas wajibku. Mula-mula tu Hud langsung tak jamah, lama-lama setiap hari minta aku sediakan sarapan buatnya.
"Hari ni aku tumpang kakak sepupu aku." Aku tutup bekas makananku. Selesai sudah.
Jemput-jemput buat makan tengah hari nanti. Jimat sikit. Lagipun makanan di kafeteria tu bukan saja kurang sedap bahkan mahal juga.
Aku habiskan nasi goreng. Sesekali mata melihat pintu kayu berukir cantik. Sejak ditutup tadi, pintu itu langsung tidak dibuka.
Ah! Penghuni di dalamnya sedang dilanda angin kurang baik agaknya.
Aku memulakan tugasku lebih awal. Nanti tidaklah tergesa-gesa.
Cepat kerja habis, cepatlah selesai. Kerja aku merekodkan setiap barang masuk dan keluar.
Agak membosankan kerana setiap hari bermain dengan angka-angka. Kalau tersilap, memang habis aku. Jadi, aku perlu lebih berhati-hati.
"Kau orang nak tahu tak?" Kelam-kabut saja Annisa. Nafasnya naik turun seperti baru dikejar sesuatu.
"Kau ni ada aje cerita." Haidar tergeleng melihat Annisa.
"Kalau kau orang nak tahu, bos kita tu duda."
"Lah, baru tahu?" soal Haidar.
"Kau orang dah tahu?" Annisa buat muka kecewa.
"Hari pertama lagi kita orang dah tahu. Dengar ceritanya bekas isteri dia lari dengan lelaki lain."
"Apa?"
Serentak aku dan Annisa bertanya. Mataku jadi pedih tiba-tiba. Tergamak Hud sebarkan cerita yang bukan-bukan.
"Macam tu la yang aku dengar. Mereka cakap bekas isteri Encik Hud ada kekasih lain."
"Bodoh betul perempuan tu. Encik Hud tu bukan main segak lagi. Apalah yang bekas isteri dia tu kejar sangat sampai tergamak tinggalkan suami macam Encik Hud?"
Kata-kata Annisa memang benar-benar buat aku rasa cukup bengang.
Ikutkan hati yang marah, memang aku serang Hud sekarang juga. Tapi bila fikirkan masalah yang bakal timbul, aku sabarkan diriku baik-baik. Tunggu masa yang sesuai. Aku akan ajar Hud cukup-cukup.
Banyakkan bersabar, Fia. Aku bodoh sebab tinggalkan Hud.
Kau orang tak pernah hidup dengan dia, bolehlah cakap aku bodoh.
Cuba kalau kau orang hidup dengan orang yang serupa bercakap dengan dinding saja, barulah kau orang tahu bodoh ke tidak.
"Tu la pasal. Okey apa Encik Hud tu. Gaji pun mahal. Apa yang kurang lagi?" Haidar juga menokok.
Tak apa kau orang. Tunggu sikit masa lagi. Kau orang akan kenal siapa Encik Hud tu yang sebenarnya. Jangan nak puji sangatlah.
Kami sambung kerja kami dan aku masih berusaha untuk mengawal rasa marahku agar segala tugasanku tidak terjejas. Kelak yang terima padah aku juga kalau berlaku sebarang kesilapan.
Sehinggalah waktu rehat tiba. Aku perhatikan teman-teman yang mula tinggalkan meja masing-masing. Terakhir Cik Aida bersama Annisa. Tanpa berlengah, aku terus ke bilik Hud.
Aku menyerbu masuk. Kebetulan Hud juga sudah bersedia hendak keluar.
Aku tarik bajunya dan tanpa menunggu lama, terus aku tampar pipi kirinya. Sudah tidak terbendung rasa marahku.
Senang-senang dia menuduh aku sebagai perempuan murahan. Dia ingat aku apa agaknya?
"Kenapa ni?"
"Kalau betul abang bencikan Fia janganlah sampai fitnah Fia." Air mata mula mengalir.
"Fitnah apa bendanya?"
"Tergamak abang tuduh Fia lari dengan lelaki lain. Sedangkan Fia tak pernah buat kerja terkutuk macam tu."
Aku terduduk sambil menangis teresak-esak. Benar-benar gagal mengawal perasaan ketika ini.
"Bila masa abang cakap macam tu?"
"Tak payah abang nak menipu sangatlah. Kalau tak betul, orang tak cakap. Tapi memang sampai hati abang buat Fia macam ni." Sakit hati hanya Tuhan saja yang tahu.
"Fia, abang tak cakap apa-apa pun..."
Sekarang memang aku benar-benar menyesal. Menyesal kerana ikut sangat cakap mak.
Sudahnya aku langsung tidak dipandang. Jauh sekali untuk dihargai. Diburukkan lagi. Sekarang ini seperti maruahku dipijak-pijak.
"Habis, kenapa semua orang bercerita pasal bekas isteri abang lari ikut lelaki lain?"
"Sumpah, abang tak pernah cerita pada sesiapa pun tentang rumah tangga kita."
Aku bangun dan keluar dari bilik dia. Hud ikut dari belakang.
"Fia, abang berani bersumpah."
Aku buat tak dengar. Kembali duduk di tempatku. Dan aku letak muka atas meja. Aku nak tidur dan aku tak nak dengar apa-apa.
"Fia..." Hud seakan memujuk.
"Diammm!" Aku tengking Hud.
Dan kemudian aku dengar tapak kasut Hud, bermakna Hud sudah melangkah tinggalkan aku.
Kalau betul bukan dia yang bercerita, siapa lagi?
MASUK kali ini sudah lapan kali dia telefon. Lapan kali juga aku biarkan panggilannya tidak dijawab. Tak ada sebab untuk aku menjawabnya.
"Kenapa tak dijawab panggilan tu?" tegur Kak Nor sepupu belah ayah yang dua tahun lebih tua daripada aku.
Pasti saja dia mendengar walau aku tukar nada getaran.
"Malaslah, kak." Mata tetap melihat skrin TV.
"Mana tahu pak lang ke telefon. Mak lang ke. Nenek Fia tak berapa sihat, kan?"
"Taklah. Kalau mak atau ayah telefon, sekali Fia tak jawab, mesti mereka cari Kak Nor."
"Betul juga tu. Habis, siapa yang telefon?" Sibuk betullah sepupu aku ni.
"Orang yang Fia tak nak ambil tahu."
"Bekas suami Fia?"
Aku sengaja biarkan tekaan Kak Nor tidak dijawab.
"Padan la..."
Aku diam juga.
"Pelik, macam mana tahu nombor telefon Fia? Mak lang bagi ke?"
"Dia bos tempat Fia kerja."
Nak sangat tahu cerita, baik aku beritahu semuanya. Puas hati bercerita semuanya kepada Kak Nor.
Kak Nor tersandar dan dia pegang dahi.
Tahu pun tak terkata. Kepala aku ni dah serabut dengan macam-macam hal.
"Habis tu, macam mana?"
"Macam mana lagi, macam tulah."
"Kalau Kak Nor, memang tak kerjalah kat situ."
"Hajat hati memang nak berhenti, tapi mak pula tak benarkan. Tunggu dulu sebulan dua. Lepas tu baru fikir macam mana. Agak-agak tak tahan, balik kampung. Habis cerita."
Buat sementara waktu, aku mahu bertahan. Semua orang cakap aku seorang yang suka bertindak terburu-buru. Aku tak mahu disalahkan lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro