Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Sabar, Fia. Kejap lagi dia sampai.

Takkan dia mahu ke mana-mana lagi kalau kau dah beritahu dia yang kau tunggu dia?

Ah! Kenapa tak tentu arah jadinya. Aku rindu dia ke? Bukan, aku bukan rindu dia.

Tak pasal nak rindu bagai. Perut aku lapar sebenarnya. Mak aku janji nak kirim lauk.

Jadi, dari pagi tadi aku jamah air Milo saja. Sampai sekarang sudah menghampiri jam lima petang, perut aku belum diisi apa-apa. Sebab itu perut aku rasa teramat lapar.Nak beli makanan, malas sangat nak keluar.

Atau, kau dah kemaruk perkataan sayang yang acap kali dia sebut?

Tak, aku tak kemaruk pun. Jadi, kenapa harus ada rasa-rasa begini?

Serabut kepala aku fikirkan benda ni. Mungkin juga aku sedang berubah.

Berubah daripada rasa benci kepada rasa suka.

Bunyi enjin kereta Hud memasuki halaman rumah memaksa aku ke pintu utama.

Lega aku nampak kereta dia.

"Assalamualaikum."

Hud angkat tangannya dan tersenyum cantik.

Sumpah, kalau dia buat begini dulu, aku akan bertahan.

Dulu jangan kata nak senyum, bagi salam pun tak pernah. Teruk sangat perangai dia.

"Waalaikumussalam."

Aku melangkah keluar menghampirinya.

"Fia nak balik."

"Kejap. Abang masukkan semua barang dulu."

Aku halakan remote Myvi. Hud sudah bawa dua biji durian dan letak ke tempat letak barang kereta.

"Kata dua biji aje."

Hud angkut lagi buah durian.

"Nak balik tadi luruh lagi tiga biji. Pak lang dah balik. Ayah suruh bawa balik semua. Makan dengan Kak Nor."

Yalah, Kak Nor pun cucu mak tok juga.

"Ini semua lauk mak kirim."

Dia tunjuk pula bekas makanan.

Aku angguk. Itu yang aku tunggu sangat.

"Ke Fia nak makan dengan abang?"

Aku bulatkan mata.

"Okey, okey. Lagi seminggu. Abang sabar aje ni."

Sejak bilalah Hud dapat perangai pelik-pelik ni?

"Fia balik dulu. Terima kasih tolong bawa semua tu. Assalamualaikum."

Aku masuk ke dalam kereta.

"Waalaikumussalam."

Hud menghampiriku.

"Dah isi borang tempat letak kereta?"

"Dah, Cik Aida ada bagi pelekat."

"Jangan lupa tampal nanti."

Aku angguk.

"Fia dah kemas rumah. Mana upah Fia?"

Aku pandang wajah Hud.

"Tunggu nikah. Sekarang tak boleh bagi."

"Abang cakap benda lucah ke?"

Aku meneka.

"Kenapa? Fia terbayangkan benda lucah ke?"

Dia senyum senget.

Malas nak layan. Aku memandu keluar dari kediaman Hud.

Hurm, tak ada pun sebut sayang.

Lupalah tu.

Tapi apa hadiah yang dia nak bagi aku?

Aku pecut terus kereta sebab perut lapar gila. Masa aku sampai, Kak Nor tengah siram bunga. Dia cekak pinggang sambil pandang aku.

"Untunglah. Belum nikah dah dapat kereta."

"Kereta lama, kak."

"Kereta juga. Janji free..."

"Hud ada bawa balik buah durian. Durian mak tok.Jom makan."

Terus saja Kak Nor pusing kepala paip.

"Kak Nor angkutlah. Fia nak makan nasi. Mak ada kirim lauk."

Aku bawa bekalan kiriman mak ke dalam rumah. Kak Nor pula angkut buah durian.

Dah menggigil kelaparan.

"Hud bagi tau, pak lang ada balik."

"Ya?"

Kak Nor dah belah durian.

Aku buka bekas makanan kiriman mak. Mak masak kari ikan keli rupanya.

Ini mesti permintaan Hud. Sayang betul mak pada Hud.

Ini yang buat aku rasa cemburu. Kalau aku nak minta makan apa-apa, punyalah susah mak nak masak.

Aku mengeluh perlahan.

"Apa pasal?" Kak Nor tanya sambil makan durian.

"Semua kaum keluarga sukakan Hud. Boleh terima lagi Hud dengan baik walau apa yang berlaku."

"Sebab Hud budi bahasa dia bagus. Dia pandai hormat orang tua. Semua orang suka dia. Siapa-siapa pun kalau perangai elok, buat apa pun orang akan terima. Cuma kami memang tak tahu apa masalah kau orang sampai boleh bercerai-berai."

Separuh nasi yang emak kirim, sudah sampai perut.

"Hud tu lelaki yang sangat membosankan, kak."

"Habis, Fia tak fikir yang Hud pun rasa benda yang sama pada Fia?"

Terhenti aku mengunyah. Pandang muka Kak Nor yang makan buah durian penuh nikmat.

"Pernah Fia tanya apa kekurangan Fia pada Hud?"

"Tak pernah."

"Nampak tak? Fia rasa Fia saja yang betul."

Betul ke aku orangnya seperti yang Kak Nor sebutkan?

Mereka semua tak kenal siapa Hud. Mereka hanya kenal Hud dari luaran. Mereka tak pernah berkongsi hidup dengan Hud, jadi mereka tak pernah nampak posisi gelap Hud.

"Terus terang akak cakap. Kalau masih tak berubah juga, perkara yang sama akan berulang lagi."

Aku berusaha habiskan makanan walau perasaan aku sudah mula rasa lain macam.

Tak tahu bagaimana untuk huraikan apa yang aku rasa sekarang.

AKU pandang telefon bimbit. Selepas bercakap dengan mak tadi, aku berharap telefon itu akan berbunyi.

Kalau sebelum ini, aku memang tak ingin terima sebarang panggilan daripada Hud, tapi tak tahu kenapa malam ini aku berharap benar agar telefon itu berbunyi.

Aku mahu mendengar suara Hud. Tiba-tiba saja kau nak dengar suara dia, Fia.

Dah kenapa?

Nampak telefon bergetar, terus aku ambil tapi seperti ada sesuatu yang menghalang daripada aku menjawab terus panggilan Hud itu.

Kalau aku terus jawab, nanti apa kata Hud?

Dia fikir aku sudah tergila-gilakan dia. Tak boleh.Hud tak boleh fikir begitu.

Jadi aku letak semula telefon atas katil. Biarkan telefon berbunyi dan akhirnya berhenti sendiri.

Ah! Kenapa jadi tak betul ni?

Selang beberapa minit, telefon berbunyi semula.Kali ini aku terus menjawab. Tidak terus-terusan jadi tidak betul.

"Assalamualaikum, abang kacau Fia ke?" Lembut saja tutur bicara Hud menjadikan perasaan aku jadi lemah-selemahnya.

"Waalaikumussalam. Tak adalah."

"Abang ingatkan Fia tak sudi nak jawab tadi."

"Jangan nak perli sangatlah."

"Perli apa pula? Oh ya, terima kasih tolong kemas rumah. Selamat kembali ke rumah kita. Abang janji, abang bagi upah nanti."

"Abang nak cakap benda lucah ke?"

Hud ketawa.

"Kenapa Fia fikir macam tu dari tadi?"

"Yalah, nak rahsiakan sangat dari Fia."

"Tunggulah lepas nikah nanti. Memang abang dah sediakan hadiah paling istimewa buat Fia. Tak payahlah nak fikir lucah sangat."

"Abang buat Fia berangin ajelah. Entah apa-apa."

"Fia tu fikir yang bukan-bukan aje."

"Apa-apa ajelah. Fia dah jumpa kotak barang kemas. Abang guna ajelah cincin tu masa majlis nikah nanti. Tak payah nak beli lain. Buat membazir."

"Tengoklah nanti macam mana."

Kalau dia cakap tengok macam mana tu, maknanya dia tak setuju dengan cadangan aku. Dia mesti nak beli lain.

"Semua kain baju yang abang belikan untuk Fia, abang tak buang ke?"

"Sayang nak buang. Lagipun abang tak pernah buang tuan baju tu, jadi abang tak sampai hati nak buang baju-baju dia. Sekurang-kurangnya jadi peneman abang."

Dia ni merepek apa sebenarnya?

"Hurm, cubalah jadi pembersih sikit. Jangan biarkan rumah serabut macam tu. Rimas Fia tengok."

"Tak apa. Tak lama lagi tukang bersih rumah dah nak balik."

"Amboi, senangnya bercakap."

"Nanti abang belajarlah kemas rumah dari Fia."

"Yalah tu. Fia dah mengantuk ni."

"Nantilah. Abang belum puas lagi bercakap dengan Fia."

"Mengantuklah, bang. Fia nak tidur. Selamat malam."

Macam tu saja aku matikan panggilan. Kalau dilayan nanti entah pukul berapa pula aku nak tidurnya.

Telefon bimbit berbunyi semula.

"Dia punya perangai memang macam tu. Tak sempat apa-apa dah tutup telefon. Tak sempat abang nak cakap selamat malam juga. Selamat malam, sayang..."

"Hurm..."

Panggilan dimatikan. Aduhai...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro