3
SUASANA pada waktu pagi itu, terasa sedikit berbeza. Hanna rasa begitu kerana ibunya terlihat begitu sibuk di dapur. Macam-macam yang dimasaknya. Mungkin adik-beradik yang lain nak balik kot? Hanna tak mahulah fikir yang bukan-bukan. Dia memang tahu ibunya memang suka memasak kalau anak-anaknya pulang ke kampung. Jadi, Hanna pun membantu apa yang patut.
"Mak masak macam-macam ni? Sebab adik-beradik yang lain nak balik, kan?" Saja Hanna tanya, untuk kepastian.
"Ya." Sepatah saja Puan Su jawab. Hanna tak pula tanya lebih. Bila ibunya suruh goreng itu dan ini, dia buat. Bila ibunya suruh susun juadah yang sudah siap, dia ikut saja. Dalam hati dia tergelak sendiri. Boleh jadi menantu mithali ni!
Pukul 10 pagi, Puan Su dah siapkan semua juadah. Hanna pula berehat di bilik setelah menjamah dua keping lempeng cicah sambal bilis.
Telefon bimbit dibuka, Hanna melihat mesej-mesej yang masuk. Juga order yang masuk dari kedai online miliknya. Ketika itulah, tiba-tiba bunyi kenderaan masuk ke halaman rumah. Suara orang memberi salam kedengaran selepas itu.
"Waalaikumusalam," ucap Puan Su.
Disebabkan bilik Hanna boleh nampak kawasan halaman, dia pun mengintai. Bila dilihat, bukan adik-beradiknya yang datang. Tapi sekeluarga yang tidak dikenali. Seorang makcik terlihat juga bersama di sisi wanita itu, seorang lelaki muda. Tak lama lepas tu, Hanna nampak kereta proton warna putih. Dia kenal kereta itu. Milik adik lelakinya, Hadi. Adiknya yang lelaki itu, dah kahwin. Dah dapat tiga orang anak pun. Tapi yang keluar dari kereta itu, hanya adiknya seorang saja.
"Mak masak banyak juadah sebab ada tetamu nak datang rupanya!" Monolognya.
Hanna terus pakai tudung. Nanti mesti ibunya suruh bawa juadah-juadah tadi untuk dijamu oleh tetamu.
"Mari masuk ke dalam." Terdengar suara Puan Su mengajak tetamunya masuk ke ruamh. Hanna dari tadi dah berlari anak menuju ke dapur. Dia sudah bersiaga menerima arahan ibunya.
"Hah, Hanna. Bawa juadah tadi tu," arah Puan Su.
"Siapa yang datang tu, mak?" Hanna tanya. Memang dia ingin tahu sangat siapa yang datang tadi.
"Hadi, adik kamu."
"Tadi macam ada orang lain juga."
"Yang tu..." Puan Su jeda. Bibirnya menguntup senyum. Hanna yang melihat jadi terkerut keningnya.
"Siapa mak?"
"Mak harap kamu tak kisah. Mungkin tetamu kita ni nanti akan jadi sebahagian dari keluarga kita." Lepas Puan Su cakap macam tu, dia terus bawa dulang yang berisi teko dan cawan ke ruang tamu.
Hanna pula terkebil-kebil. "Sejak bila pula mak aku ni pandai berkias?" omelnya dalam hati. Tapi tangannya, membawa juga dulang yang berisi juadah ke ruang tamu.
Di ruang tamu, Hanna nampak makcik dan suami kepada makcik itu. Dia jadi ragu pula nak panggil makcik, sebab nampak muda sikit daripada ibunya. Dia juga nampak seorang lelaki yang agak tampan duduk di sebelah Hadi.
Bila adiknya pandang Hanna, dia terus tunjuk isyarat mata.
Ikut akak!
Lepas Hanna dah tuangkan air teh kepada semua tetamu, dia pun berlalu dan masuk ke dalam bilik. Tak lama lepas tu, Hadi muncul. Dia duduk di sebelah kakaknya.
"Siapa tu, dik?" soal Hanna. Serius saja wajahnya. Dia rasa lain sangat dah ni. Macam ada sesuatu.
"Kawan mak." Hadi jawab dengan muka selamba.
"Lelaki tu?"
"Kawan Hadi." Sekali lagi Hadi jawab dengan muka selamba.
"Cakaplah betul-betul!" Kali ni Hanna tanya, siap dengan cubitan manja di peha Hadi. Geram rasanya bila ditanya, tapi dijawab dengan acuh tak acuh.
"Sakitlah, kak!" Hadi gosok tempat yang kena cubit tadi. Berbisa sungguh! "Hadi cakap betul-betul ni," sambungnya, masih mengosok tempat yang dicubit tadi.
"Yeke ni?"
Hadi angguk. Tapi lepas tu, dia senyum.
"Kenapa tersenyum-senyum tu?" Hanna pun jadi pelik. Sebab tu dia tanya.
"Kacak tak kawan adik tu?' Hadi jongket kening berkali-kali.
"Entah. Tengok sekejap je tadi. Tak sempat pula nak tenung lama-lama."
"Jap. Hadi ada gambar dia." Hadi pun keluarkan telefon. Gambar seorang lelaki terpapar. Hanna pun tengok.
"Kerja apa dia ni?" Dalam hati Hanna dah berbisik, boleh tahan!
"Dia model sambilan. Tapi kerja sebenar dia tu, doktor bedah."
"Ouhh..."
"Ouhh je?"
"Habis tu?"
"Tak berkenan ke?"
"Entah. Lelaki macam ni, selalunya dah berpunya. Kalau akak berkenan pun. Takkan jadi apa-apa, kan?"
"Tapi kawan Hadi ni, bujang lagi, kak. Teman wanita pun tak ada."
"Entah-entah sebab dia homo!"
"Isy! Taklah!"
Hanna geleng-geleng kepala. Pengalaman yang dia dapat selama ini perlu dijadikan pedoman. Jangan mudah percaya. Jangan sesekali mudah percaya!
"Akak tak percaya."
"Terserah."
"Tapi tadi mak cakap, mereka nanti mungkin akan jadi sebahagian daripada keluarga kita. Tu apa maksudnya?"
Masih teringat-ingat ayat yang keluar dari mulut ibunya tadi. Hanna masih ada rasa sesuatu. Ah, jangan-jangan!
"Tu sebab, kawan Hadi tu nanti, bakal jadi Mr. Right, akak!"
"Apa?!"
Tak serik-serik ke pokok pisang berbuah? Sudah berkali-kali!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro