Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Bulan di langit penerang malam,

Bulan di jiwa penerang kalbu.

Cempaka,

Setiap peristiwa dalam Rajab dan Syaban memercikkan tafsir dan tamsil dan mereka yang dalam kafilah, berdiri di tenda berbeda, melihat lebih dengan hati, kesungguhan tajam terasah,terjumpa dan menjumpai permata batin yang dicari (Al-Amin halaman: 209)

Buku al-Amin yang lengkap ditandatangani sasterawan negara, Datuk A Samad Said itu sebenarnya sudah tiga kali diulang baca. Tetapi tidak pula dia menghayati ungkapan ringkas yang tercatat dengan dakwat hitam pada halaman putih buku itu. Al-Amin satu rangkuman riwayat Rasulullah SAW, tertulis halus dalam puisi yang syahdu. Penuh mempesona. Bait-baitnya membuai rasa, menggetar jiwa.

Dia tidak pernah terfikir hatinya tergesa membaca buku yang tebal itu berulang kali. Satu-satunya hadiah daripada Mia sebelum dia membuat keputusan berhijrah. Meninggalkan segala-galanya.

Dan, setelah sekian lama baru dia menyedari ada catatan penuh makna pada halaman awal buku itu.

Bulan Rajab! Dia menarik nafas penuh akur kekuasaan Allah. Maha Mengetahui Engkau Ya Allah, aku tidak terduga segala-galanya penuh rahasia, misteri indah pada bulan Rajab yang lalu. Dan, air matanya hampir sahaja menitik.

Apa lagi yang mampu dilakukannya? Dia kehilangan separuh jiwa. Sebahagian rohnya juga terasa terawang-awang antara langit dan bumi. Dia kehilangan kekuatan, dia kehilangan pasak gelegar! Dia terasa jantungnya berhenti berdegup. Tuhan, Engkau sahaja yang mengetahui rahsia alam ini.

Allahu! Benarlah. Hidup ini bukan sekadar mempersiapkan diri meredah laluan yang penuh liku dan keluk. Dugaan hidup ini bukan hanya memaknakan arti keperitan dan kebingungan. Pada ketika diuji terutama di saat kelam, bergerimis dan tidak berdaya, kita umpama kelkatu, yang sering kehilangan sayap jernihnya.

Ada ketikanya diri bernasib baik masih berdaya untuk bangkit biar sekadar menjadi pelarian ini. Cuma jauh di sudut hati, diri harus tabah menghadam dan mentafsir segala talun angin, segala pusaran ribut, gelora ombak sambil mengunyah makna perutusan Tuhan. Setiap ujian itu sesungguhnya satu makna kehidupan yang perlu disaring maknanya.

"Kau mampu bangkit, Cempaka! Bangkitlah! Kalau terpaksa bertongkat sayap, bangkitlah! Kalau terpaksa bertongkat paruh, bangkitlah, sahabat! Kalau takdir memaksa engkau bertongkatkan siku, bangkitlah juga! Kau perlu bangkit, Cempaka!"

"Aku sahabat karibmu! Kau mengaku begitu, bukan?"

Cempaka angguk. Namun matanya tidak mampu menentang mata Mia.

"Bulan Rajab bukan bulan suci. Tiada alasan untuk kau berduka cita. Tuhan menguji hamba-Nya untuk mengangkat darjat seseorang. Apa kau mahu berkabung sepanjang hayat?"

Kata-kata Mia menerjang telinganya. Berat dada Cempaka, namun dia menarik nafas dalam-dalam. Dia menyeka air mata.

"Cakap memang mudah. Aku yang menanggung."

"Hidup perlu diteruskan,Cempaka. Takdir kita sudah diatur sejak kau dalam rahim ibumu. Tapi kita juga diberi Allah kuasa untuk berdoa. Minta yang baik-baik. Doa mampu mengubah takdir."

"Kalau kau di tempat aku, mungkin kau akan faham panasaran aku."

"Kalau aku di tempat kau, aku mengharapkan doa tulus dari kau! Kau dengar sini! Hati aku basah, bibir aku basah dengan doa untuk kau, Cempaka. Ya Allah, Al-Quddus Yang Maha Suci dan penuh keberkahan, peganglah hati dan akidahnya. Semoga kau bangkit, Cempaka!"

Terjeda Cempaka mendengar jujur seorang sahabat. Dia terkesima. Bagai tidak percaya segala yang didengar. Tangannya digenggam erat oleh Mia. Sahabatnya itu menariknya ke dalam dakapan.

"Aku mahu kau jadi Cempaka yang kekal wangi. Sama ada di langit atau di bumi. Di saat hujan atau di musim kering. Kau itu sifatnya harum."

Cempaka tersebak.

"Leluhurmu hebat. Kau punya darah Melayu. Kau punya degup jantung Bugis. Kau punya kelembutan Jawa. Kau harus buktikan kau wanita dinamik. Kau jangan tewas dengan takdir dan kisah silam! Kalau emak kau lambang wanita yang hebat, tiada alasan untuk kau rebah!" Mia terus meniupkan semangat.

Air matanya menitik di bahu Mia. Bagai mahu dibenam segala duka di dalam pelukan Mia. Hatinya sebak. Bagai dihiris selapis demi selapis. Terima kasih Tuhan. Kau aturin aku lahir dalam keluarga yang amat panjang kisahnya. Penuh luka takdir leluhur aku. Namun, kau kirimkan aku sahabat-sahabat seperti Hizairi, Mia dan ramai lagi untuk mendukungi aku. Terima kasih, Tuhan!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro