prolog - aelius
"Aku boleh buat."
Itu apa yang diutarakan berulang kali dalam fikiran milik Aelius. Wajahnya merah padam, dek cahaya matahari yang memanah tepat bahagian muka, satu-satunya bahagian kulitnya yang terdedah. Selainnya, ditutupi dengan beberapa lapis baju dan beberapa besi yang melekap pada bahagian bahu, dada dan lututnya. Pakaian yang dia tak pernah faham kenapa dirinya layak untuk memakai.
Bukankah baju itu hanya khas untuk rakyat Stalward yang sememangnya layak memegang kewarganegaraan itu? Jauh sekali bukan dirinya.
Angan-angannya musnah apabila Aelius mendengar satu teriakan yang bukannya hadir daripada rongga suara milik manusia. Pedang panjang yang sentiasa dipegang tangan kirinya diketatkan pegangan. Bersiap siaga dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
Raungan milik binatang itu tidak surut, malah terasa semakin dekat. Aelius memulakan langkah, cuba untuk tidak mengikut ke mana cahaya bulan cuba membawa langkahnya pergi. Malam bagai memakan seluruh tubuhnya, namun dia tak mahu kalah. Dia tak mahu kalah dengan kegelapan yang seekan-ekan menakutkan. Yang mahu menariknya masuk ke dunia mereka.
Aelius rasa macam mahu mengetawakan diri sendiri. Mengetawakan semua orang yang seperti dirinya, terpaksa melakukan perkara gila ini hanya untuk mendapatkan sebuah pengiktirafan. Sebuah pengakuan yang mereka juga layak untuk bergandingan dalam coterie ini. Layak untuk menjadi seorang yang Stalward harapkan.
Hidup di mana kehidupan manusia dibahagikan mengikut coterie yang mendefinisikan siapakah mereka. Asbab utama sistem coterie ini ditubuhkan ialah untuk manusia hidup harmoni dan dapat mengekspresikan diri masing-masing.
Manusia terbahagi kepada tiga coterie. Dirinya, sebagai Stalward-born, yang bermaksud kehidupan mereka berevolusi bersama-sama dengan perasaan berani dan kejam. Tidak takut akan apa-apa jua rintangan. Dalam erti kata lain, coterie miliknya ini bersifat kejam. Ada sifat dahagakan darah dalam setiap diri mereka. Dalam coterie ini, pembunuhan itu ialah dibenarkan. Mengeluarkan, mengorek, mencucuk, mencarik-carik dan apa-apa lagi perbuatan ke atas benda hidup ialah dibenarkan. Malah, perihal itu amatlah digalakkan bagi mereka.
Stalward yang membenarkan segala keganasan terluah daripada jiwa mereka. Aelius rasakan perkara itu sangatlah tidak masuk akal, membunuh tanpa sebab, namun tiada sesiapa di sini berfikiran sama sepertinya.
Semuanya pemangsa.
Dan mungkin dia ialah mangsa yang berkeliaran bersama pemangsa.
Coterie yang lain seperti Acumen dan Indulgent, lebih berperikemanusiaan. Acumen berpaksikan kepintaran. Hidup mereka beredar dengan segala kemajuan dan penyelidikan. Indulgent pula paling bersifat manusia, menguruskan perihal stok makanan dan perdagangan milik keseluruhan coterie. Mereka mengamalkan cara hidup Old Earth dahulu. Lebih bersifat, ketenangan.
Tiga coterie untuk manusia. Namun, ada satu lagi coterie yang selalu diabaikan untuk manusia biasa, iaitu satu-satunya coterie yang hanya untuk makhluk lain, yang bukan berbadan mahupun berfikiran seperti manusia. Clairvoyant, coterie untuk mereka yang mempunyai sedikit elemen magis yang tak mampu dijelaskan oleh sains milik Acumen.
Mereka ada kuasa, ada segalanya untuk menghapuskan coterie-coterie lain namun mereka bertindak untuk lebih, sopan dan menghormati segala kehidupan. Tidak seperti manusia yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan dan hanya mempunyai nafsu marak dalam menjatuhkan antara satu sama lain.
Dunia, kian pupus dan tenat.
Aelius dapat dengar bagai ada objek bergerak yang membelah angin betul-betul berada di atas kepalanya. Kegelapan malam menjejaskan banjaran pandangannya, tetapi menajamkan pancainderanya yang lain. Bulu romanya naik, kesejukan yang bukan datang daripada angin malam menyebabkan dia terlampau yakin yang dia bukan keseorangan kali ini.
Ada sesuatu yang turut memerhatikan dirinya, namun dia tak dapat mengesan keberadaan makhluk itu.
Gila. Ujian yang dibuat untuk mereka yang berumur 19 tahun sepertinya sangatlah tidak masuk akal. Demi mendapatkan kelayakan untuk menjadi seorang Stalward, mereka perlu membunuh beberapa makhluk yang sudah tercatat secara turun temurun lagi.
Syaratnya mudah. Dia hanya perlu hidup sehingga pagi esok.
Namun itulah perkara yang paling sukar untuk semua lakukan. Untuk hidup. Untuk terus hidup dalam kandang kala jengking gergasi yang mampu bersatu dengan alam. Atau dengan erti kata lainnya, kala jengking ini mempunyai kulit yang membenarkan dirinya menjadi halimunan.
Selalunya, mereka yang terbunuh, langsung tidak sempat untuk mempertahankan diri mereka. Mereka terlebih dahulu disengat dan mati dalam keadaan yang paling perlahan, racun itu memakan dalaman diri mereka dengan masa yang sangat perlahan.
Tiada bezanya kalau ujian ini dilakukan dalam apa-apa jua keadaan. Siang bila cahaya terbias mahupun malam yang mencengkam tulang. Tiada beza, kerana makhluk itu tak akan kelihatan. Oleh kerana Stalward berada berhampiran dengan paksi bumi, mereka mempunyai malam yang panjang. Boleh mencecah sehingga 6 bulan.
6 bulan yang panjang dan mampu menggilakan sesiapa sahaja yang berada di bawah langit gelap itu.
Iya. Ujian ini dilakukan selama enam bulan. Hidup dengan stok makanan yang terhad dan ancaman yang tak pernah putus. Tiada sesiapakah yang terfikir bahawa segala ini sangatlah gila dan tidak masuk akal? Menggadaikan manusia hanya untuk menunjukkan kekuatan dan nafsu membunuh semata-mata?
Pokok di sebelah kanannya bergerak. Pergerakannya amatlah terhad, hanya beberapa helai daun sahaja yang tersagat dengan pergerakan itu. Semestinya bukan Rtylome, nama saintifik yang diberikan oleh Acumen untuk kala jengking itu. Mereka mungkin halimunan, tetapi mereka tidak berapa bijak untuk menutup pergerakan mereka. Mereka tinggalkan banyak kesan tertinggal untuk sesuatu yang halimunan.
Tetapi mungkin yang lain tak perasan. Kerana naluri mereka lebih kepada membunuh, dan membunuh itu hadir dengan perasaan takut yang memakan tubuh dan jiwa mereka. Mengontangkan perasaan mereka.
Dia tak mahu menjadi seperti Stalward yang lain.
Kali ini, dia dapat mendengar tanah dipijak halus dan dedaun bersentuhan antara mereka, tepat pada bahagian belakangnya. Bagai ada sesuatu yang mengelilinginya, namun dia tak dapat pastikan apakah sesuatu yang memagari dirinya.
Satu deraman perlahan menyentakkan dirinya yang sememangnya sudah bersiap siaga. Dia tetap terkejut kerana itu bukan bunyi yang dihasilkan daripada Rtylome. Bunyi itu lebih halus, namun tidak hilang kegarangan dalam nada itu.
Otaknya mula berfungsi. Cuba mengingati kembali segala makhluk yang wujud dalam buku panduan yang dicipta oleh nenek moyang mereka. Segala jenis binatang, mahupun manusia yang mempunyai magis dalam darah mereka cuba diingati Aelius.
Sebelum dia sempat melakukan apa-apa, dia dapat rasakan dirinya ditolak ke belakang sehingga bahagian belakangnya bersentuhan dengan tanah berlantaikan rumput ini. Matanya membuntang apabila dia dapat rasakan sesuatu yang berat menghempap tubuhnya, namun matanya tidak dapat melihat apa-apa bayangan selain daripada dirinya sekarang.
Satu nafas bukan milik manusia juga dapat dirasakannya juga. Sah, binatang yang sedang 'hinggap' atas dirinya ini juga bersifat halimunan seperti Rtylome. Dia yang boleh hilang dari pandangan mata sesiapa sahaja.
Atau mungkin ada orang yang boleh terbuka hijabnya dapat melihat, mungkin seseorang daripada Clairvoyant...
Sebelum fikirannya jauh menerawang, tiba-tiba satu bola hitam, seperti mata muncul di hadapannya. Sangat dekat, hanya beberapa inci sahaja jarak mereka. Mata milik makhluk itu juga besar, sebesar telapak tangannya. Mata itu memantulkan cahaya bulan yang ada di belakang mereka tatkala ini.
Pada awalnya, Aelius rasakan ini ialah pengakhiran untuk dirinya, mungkin ditelan hidup-hidup dengan makhluk yang langsung dia tak nampak dan kenal pasti. Tetapi fikirannya berubah apabila matanya bersabung dengan mata di hadapannya tatkala ini.
Mata itu, bagai memantulkan kembali refleksi dirinya. Mata hitam pekat miliknya bagai tercetak sama dengan milik makhluk itu.
Hatinya terhenti sejenak. Mata itu juga memantulkan perasaan yang sama seperti dirinya.
Mereka berdua takut dengan apa yang akan dilakukan oleh satu sama lain.
Apabila makhluk itu melihat Aelius yang diam tidak berkutik, dia mula memunculkan dirinya. Kepala yang besar, dipenuhi dengan sisik hitam yang kelam, langsung tidak memantulkan apa-apa cahaya. Bagai menyerap segala cahaya yang singgah pada permukaan kulit itu.
Serta merta pandangan Aelius menjadi gelap dek sayap besar milik makhluk itu dilebarkan. Makhluk itu berkaki empat, dengan ekor panjang hitam dan ada dua sayap kecil pada ekor tersebut. Baru Aelius sedar, apakah makhluk yang ada di hadapan matanya sekarang.
Seekor naga bersaiz sederhana. Mungkin masih kecil ataupun sama umur dengannya. Mungkin dia lebih tinggi sedikit daripada naga itu apabila mereka berdiri bersebelahan.
Serta, ini bukan naga biasa. Lihat sahaja kulit hitam yang mampu hilang itu, mungkin dia ialah spesies terakhir yang wujud atas muka bumi ini.
Seekor Skywentile. Segala tentang naga ini ialah halimunan. Termasuklah apinya.
"Hai..." Aelius rasa nak ketuk diri sendiri apabila dia tersedar yang dia cuba bersembang dengan reptilia yang sudah tentunya tidak memahami bahasa manusia. Namun reaksi naga tersebut mengejutkan Aelius. Naga itu menyengetkan kepalanya dan mulutnya sedikit terbuka.
Seekan-ekan tersenyum.
Mata Aelius membuntang apabila melihat kejadian tersebut. Adakah naga itu mampu memahami bahasa manusia sepertinya? Sememangnyalah sekarang, dunia sudah berpesat tinggi. Acumen telah mencipta satu alat komunikasi halimunan yang sebesar kuku jari kelengkeng yang diletakan dalam telinga. Dan alat ini mampu menerjemah segala bahasa yang wujud, tanpa mempelajarinya terlebih dahulu. Dia sendiri mempunyai alat ini pada telinganya sekarang.
Dan sudah pasti Acumen tidak mencipta untuk mereka yang bukan manusia, kan?
"Kau faham aku?" Aelius rasa macam orang gila sekarang, bercakap dengan seekor naga yang mampu mematahkan tubuhnya kepada dua dan mematikan dirinya dengan serta-merta.
Tapi, tak ada tentang dirinya yang normal.
Sekali lagi naga itu menangguk. Mungkin hanya dalam dirinya sahaja tetapi Aelius dapat rasakan naga itu rasa sedikit lega apabila dia dapat memahami manusia di hadapannya itu, memalui biasan matanya. Segala yang dirasakan sekarang ini amatlah pelik.
"What the.." Aelius memberanikan diri untuk mengusap sisik naga itu. Serta-merta naga itu bersandar pada sentuhannya sewaktu sahaja kulit mereka bersentuhan. Aelius tergelak kecil dengan kelakuan makhluk yang sepatutnya menakutkan itu. Dia mengambil masa tersebut untuk duduk, kerana takut naga itu memijaknya tanpa sedar. Sudahlah tapak kaki milik naga itu sebesar kepalanya.
"Apa kau buat dekat sini? Kenapa kau tak terbang je pergi tempat lain?" Aelius hanya berkata kepada dirinya sahaja, namun naga itu bagaikan memahami sekali lagi bait-bait perkataan yang keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dengan perlahan, dia menunjukkan kaki kanan belakangnya kepada Aelius.
Aelius perasan akan gari yang terlilit pada kaki naga tersebut. Segala taburan puzzle dalam kepalanya kian bercantum rapi. Skywentile yang menjadi tahanan milik Stalward entah untuk berapa tahun selepas ditangkap. Mungkin dia juga telah membunuh pelbagai manusia yang masuk ke dalam jaringan miliknya.
Tetapi dia pelik.
Mengapakah dia terselamat?
Hanya tinggal cebisan puzzle itu sahaja yang dia tak mampu ungkaikan. Mengapakan naga itu tidak membunuhnya, bukankah dia juga manusia?
Aelius mengambil pedang yang sudah jatuh beberapa kaki menjauhi dirinya selepas terlepas daripada pegangannya hasil daripada rempuhan naga tersebut. Dia mendekati kaki naga tersebut dengan perlahan. Sesekali dirinya digertak dengan deraman keras milik Skywentile tersebut, namun dia hanya tersenyum dengan harapan yang naga itu faham dia hanya ingin membantu untuk meleraikan besi tersebut.
Cubaan pertamanya untuk memotong besi itu menggunakan belahan pedangnya tidak berjaya. Namun dia tidak terkejut, kerana dia sendiri tahu tentang kekuatan besi ciptaan Stalward. Dia juga yang selalu menghabiskan masanya dalam bengkel besi itu sememangnya lebih tahu, namun tidak salah mencuba. Lagipun dia yang mencipta pedang ini untuk memotong apa jua jenis elemen, termasuklah besi. Namun tidak pernah dicuba untuk memotong besi buatan Stalward yang khas buat menggari makhluk yang seribu kali lebih kuat daripada mereka.
Bunyi yang keluar daripada mulut naga tersebut kedengaran bagai satu bunyi kesedihan.
"Light up your fire for me, please?" kali ini, Aelius mengacukan pedangnya betul-betul dihadapan mulut naga tersebut. Pada awalnya, mata naga tersebut hanya berkedip memandang dirinya, namun setelah beberapa ketika, dia mula membuka mulutnya.
Tiada apa yang keluar dan terzahir dek mata kasar milik Aelius, namun dia tahu api bersifat halimunan sedang menjilat pedangnya. Dia sendiri dapat rasakan bahang yang terhasil daripada mulut naga tersebut.
Cubaan kedua. Bolehkah dia cuba untuk memecahkan gari ini dengan api panas milik naga itu sendiri? Pada dasarnya, dia sangat mengharapkan agar cubaannya itu berhasil. Namun jauh dalam lubuk hatinya, dia tahu cara itu tak akan berjaya dek naga itu semestinya pernah mencuba cara tersebut untuk meloloskan diri.
Namun sekali lagi dia mengingatkan dirinya, tidak salah untuk mencuba. Kerana kita tak tahu apa keputusan yang kita akan dapat walaupun perkara itu pernah dilakukan sebelum ini. Mencuba dengan sebuah anomali yang baru amatlah digalakkan, seperti apa yang dikatakan oleh satu buku yang dihadiahkan oleh ibunya sewaktu dia kecil.
Bibir Aelius ternaik sedikit apabila dia dapat melihat besi itu mencair. Seperti yang dikatakan oleh hatinya, mungkin anomali pedangnya, ditambah dengan pemboleh ubah dimalarkan sedari dahulu iaitu api halimunan naga ini, dapat memberikan satu keputusan yang berlainan dengan eksperimen sebelumnya.
Entah apa yang dimerepekkan oleh diri sendiri pun, Aelius tidak tahu. Dia lebih suka suaranya memenuhi ruang fikirannya daripada mendengar sahutan suara-suara orang lain yang hadir daripada luar telinganya.
Gari yang merantai kaki naga itu sudah mahu tertanggal, namun satu deraman kuat yang hadir daripada naga itu membuatkan Aelius memberhentikan segala perlakuannya. Mata naga itu memandang ke arah satu sudut, dengan sayapnya yang dilebarkan. Bagai ada sesuatu yang hanya naga itu sahaja dapat melihat.
Kegelapan malam tidak membantu dirinya untuk memastikan bahaya yang tiba-tiba hadir. Tidak sempat dia mencarik cebisan akhir gari milik naga itu, dirinya tercampak beberapa kaki ke belakang dek libasan ekor milik naga hitam tersebut. Sekali lagi pedang dalam pegangannya tercampak jauh. Aelius mengerang kesakitan kerana pinggangnya yang terhentak dengan tanah terlebih dahulu.
Deraman naga tersebut bertukar kuat, serta-merta Aelius nampak apa yang berada di hadapan matanya.
Seekor Ftylome. Bersaiz dua kali ganda besar daripada badan naga hitam tersebut. Ekornya bercabang lima, salah satunya mempunyai sengat beracun yang mampu melumpuhkan dan mematikan siapa sahaja yang terkena.
Dia tidak tahu akan biologi tubuh naga di hadapannya, dan tidak tahu tindak balas badan naga tersebut jika terkena racun Ftylome.
Dan Aelius tidak mahu tahu sekarang.
Naga itu membuka mulutnya, menyasarkan kepala Ftylome tersebut. Beberapa ketika kemudian, Ftylome itu mengaum nyaring, Aelius pasti api halimunan naga tersebut sedang membakar sisik miliknya.
Disebabkan kesakitan yang dirasakan oleh binatang itu, ekor-ekornya yang dalam keadaan siaga itu terus melepaskan duri tajam beracum secara rambang. Sebelah sayap naga itu menghalang Aelius daripada terkena duri tersebut. Aelius tahu, baju yang dipakainya ini tak akan pernah mampu untuk menghentikan duri beracun Ftylome daripada menembusi kulitnya.
Kehalusan duri tersebut boleh menjadi sebesar ruangan dicelah kulit-kulit manusia. Itu satu kelebihan duri Ftylome yang ditakuti oleh Stalward. Ketakutan yang tak pernah menghalang untuk mereka membunuh binatang pemangsa tersebut.
Aelius dapat mendengar naga itu mendengus kesakitan, menandakan bahawa sisiknya ditusuk oleh salah satu duri beracun tersebut.
Come on, Aelius. Kau boleh buat.
Bisiknya pada hati yang lara. Hati yang cuba berpasak pada tempat yang tidak stabil dasarnya. Namun dia percaya, yang secebis daripada dirinya ini mampu melakukan hal ini.
Panah yang sentiasa tersisip pada belakangnya diambil. Ditarik dan disasarkan pada Ftylome yang sedang bergerak tidak menentu akibat diserang oleh api halimunan naga hitam itu.
Akibat dia tidak dapat menetapkan sasarannya, Aelius mengambil langkah drastik untuk memanjat badan naga hitam tersebut. Membuatkan naga tersebut tersentak lalu hilang fokusnya kepada Ftylome tersebut, menyebabkan Ftylome tersebut menyasarkan tepat pada leher naga hitam itu.
Naga hitam itu menderam kesakitan. Aelius yang cuba untuk menstabilkan diri sendiri di atas badan naga itu juga cuba berpaut pada leher binatang itu, dengan kakinya terjuntai ke bawah. Posisi ini menyebabkan kedua mereka sangat terdedah kepada tusukan duri tajam milik Ftylome.
"Maaf. Aku tak sengaja." bisik Aelius perlahan pada naga tersebut. Matanya tertancap pada duri tajam yang masih tertusuk pada leher naga tersebut, lalu dicapai dan dicabutnya. Serta-merta dia melepaskan pelukan pada leher naga tersebut. Tak mampu melayan perasaan sakit yang wujud dalam setiap sendi tubuhnya, dia pantas bergolek ke hadapan dan melutut dengan panah disasarkan pada Ftylome dihadapannya.
Panahnya tepat kena pada ruang ditengah-tengah mata putih binatang itu. Ditambah lagi dengan api halimunan milik naga tersebut, yang dilepaskan sebaik sahaja Aelius melepaskan anak panahnya.
Ftylome tersebut meraung kesakitan, kepala besar miliknya terpusing ke belakang dan hampir jatuh menghempap Aelius. Nasib baik naga itu sempat menarik Aelius dalam pelukan sayap besar miliknya, kalau tidak, sudah pasti Aelius akan terhempap binatang pemangsa itu.
Raungan binatang itu masih kedengaran, namun tidak sekuat dahulu. Naga itu seekan-ekan tahu kehendak hati Aelius yang ingin melihat kembali suasana yang terjadi, dia mengangkat sayap lebarnya yang memagar Aelius sedari tadi.
Ftylome itu masih menggelupur. Anak panah dia masih tegak berdiri tersusuk tepat pada kepala binatang tersebut.
Belum sempat dia katakan apa-apa, naga hitam itu terlebih dahulu memancarkan sesuatu daripada mulutnya. Kali ini, bukan lagi halimunan. Apa yang Aelius nampak ialah satu cahaya malap, berwarna biru cair. Biru yang meniru warna air lautan tatkala cahaya bulan jatuh keatas permukaannya.
Terus sahaja binatang itu terdiam. Tidak lagi bergerak. Kaku, pernafasannya berhenti.
Lama-kelamaan, Aelius tersedar sesuatu. Dia bertapak ke belakang, lantas menjauhi kedua-dua binatang pemangsa yang berada di situ. Matanya membulat secara berkala.
Dia berjaya, dalam membunuh. Dia berjaya untuk melakukan sesuatu yang langsung dia janji dia tak mahu untuk lakukan. Satu perkara yang mengikatnya sebagai seorang Stalward sejati.
Dia, dia membunuh.
Seluruh jiwanya terasa jijik. Dia mencampakkan panah yang berada di tangannya sejauh yang mungkin. Memandang kedua-dua belah tangannya yang masih menggeletar.
Naga hitam itu mula menderam. Bagaikan keliru dengan reaksi Aelius yang bukan seperti apa yang binatang itu jangkakan.
"Kenapa aku tak bercakap dengan dia dahulu? Mungkin dia macam kau juga, boleh faham apa yang aku cakap?" Aelius terus dapat rasakan yang dirinya sudah hampir gila dek kerana memikirkan 'demokrasi' dengan binatang pemangsa ialah merupakan salah satu cara untuk semua pihak kekal hidup.
Naga itu hanya menderam ganas.
Bagai dia tahu yang binatang itu tak akan membiarkan mereka hidup dengan mudah.
"Kalau kau boleh faham aku, kenapa dia tak boleh?" Aelius memandang tepat mata hitam naga tersebut. Mata yang turut memantulkan kembali bayangan matanya. Mata yang turut membiaskan kembali perasaannya.
Dia tahu, dia tak ada jalan lain daripada membunuh, ataupun akhirnya dia yang akan dibunuh. Dia hanya mahu selamatkan diri sahaja, kan?
Selamatkan diri dengan membunuh...
Dirinya terasa lemah. Bahagian kanan tangannya terasa bagai lumpuh. Berdenyut-denyut, mencengkam setiap inci sel miliknya dari dalam.
Aelius terjerit kuat. Badannya tiba-tiba rasa lemah yang terlampau. Bagai ada sesuatu yang melalui saluran darahnya dan menyebarkan sejenis toksin yang mampu melumpuhkan tubuhnya dari dalam.
Kini, barulah Aelius teringat yang dia terpegang duri milik Ftylome, sewaktu dia mencabut satu daripada leher naga tersebut. Entah mengapa, dia langsung tak terfikir yang aplikasi racun itu bukanlah sekadar disuntik daripada hujung, namun satu duri itu sudah diseliputi racun. Peganglah bahagian mana pun, pasti racun itu akan menyerap pada kulit sesiapa.
Aelius tergelak kecil dalam kesakitannya. Bukankah agak lambat untuknya mendapat ilmu tentang ini?
Sebelum Aelius jatuh rebah ke bumi, naga hitam itu pantas menyambut tubuh Aelius menggunakan mulutnya, tanpa membenamkan gigi tajamnya pada tubuh lelaki yang sudah hampir hilang sedarnya itu.
Dia mencampakkan lelaki itu dengan perlahan ke udara, dan Aelius itu betul-betul mendarat antara kepala dan leher naga tersebut. Memastikan Aelius stabil atas badan miliknya, terus sahaja naga itu terbang dan bersatu dengan langit malam.
Pada saat itu, segala kehidupan yang terkait pada langit mengetahui mereka menerima satu ketua baharu.
Dia yang akan memerintah langit. Mencampur-adukkan udara dan darah yang mengalir dalam tubuh badannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro