Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

SAKIT perut Safa ketawakan si Sudin. Rozie yang mendengarnya sudah terlopong. Kebetulan sekarang memang dia pulang ke kampung disebabkan bercuti semester. Tak sangka Sudin memang lurus bendul. Nampak saja bijak tapi kalau melibatkan Safa, terus jadi bodoh.

“Tak baik kau buat dia macam tu, Safa. Dia tu nampak sangat sayangkan kau.”

“Tau tak apa. Aku ni dah banyak kali bagi dia hint. Aku tak ada hati dekat dia langsung. Nak juga kejar cinta aku. Mendapatlah!”

“Kalau kau tak ada hati dekat dia, kenapa tak terus terang aje? Bukan sehari kau mainkan dia. Dah dekat dua tahun tau,” luah Rozie.

Dia masih ingat ketika mereka di Tingkatan Lima. Dia yang cadangkan mereka berkawan baik. Tapi tak adalah sampai ke tahap sekarang.

“Aku cuma gunakan dia untuk ajar aku subjek yang aku lemah. Tak dinafikan, dia tu berguna juga. Sekurang-kurangnya, keputusan SPM aku tak adalah teruk sangat. Kau yang suruh.”

“Ya. Tapi tengoklah sekarang. Dah makin teruk ni.”

Safa mencebik. Lelaki itu bukan saja pandai Matematik. Dia masih ingat ketika dia perlu siapkan kertas kerja Sejarah dulu. Disebabkan Sudin bijak, lelaki itu sanggup membuat kertas kerja itu untuknya. Dan hasilnya, dia mendapat keputusan yang baik.

“Kau tak rasa diri tu kejam ke?”

“Eh! Mana adalah. Aku ni kira baik jugalah sudi lagi nak berkawan dengan dia. Cuma dia tu tak reti bahasa. Dah bagi betis, nak paha pula. Ada hati nak ajak aku bercinta. Setakat sijil STPM, kerja toreh getah, memang aku tak hadaplah.”

Rozie menggeleng sedikit. Ada masanya dia kurang gemar dengan cara Safa. Suka sangat menghina orang yang tak berharta. Mungkin disebabkan gadis ini lahir dalam keluarga yang berada.

Safa hanya dibesarkan oleh ayahnya selepas ibunya meninggal dunia. Kata Safa, ayah tak mahu berkahwin baru sebab takut Safa didera ibu tiri.

“Kau memang tak ada perasaan langsung ke dekat Sudin tu?”

“Yang kau asyik tanya soalan sama ni dah kenapa?”

“Tak adalah. Dah lama kau berkawan rapat dengan dia. Takkan tak ada rasa apa-apa?”

Safa terdiam seketika. Memang dulu dia selesa berkawan dengan lelaki itu tanpa melibatkan soal hati dan perasaan. Sehinggalah lelaki itu mengaku sukakan dia, Safa menyambut huluran itu kerana dia inginkan sesuatu daripada Sudin. Tapi disebabkan kata-kata Farid tempoh hari, egonya tercabar.

“Kenapa diam?”

Ternaik bahu Safa. Dia berdeham sedikit.

“Aku balik dululah. Dah lama sangat aku duduk sini. Nanti ada masa, aku singgah rumah kau lagi.”

“Yalah. Hati-hati jalan tu.”

Safa berjalan kaki menuju ke rumahnya. Fikirannya masih teringatkan perbualannya tentang Sudin. Betul ke selama ini dia langsung tiada hati terhadap lelaki itu?

Pon!

Hampir luruh jantung Safa. Dia berpaling ke belakang. Nafas dihembus kasar. Jelingan tajam diberikan kepada lelaki itu.

“Nak balik ke? Jom, aku tumpangkan kau.” Tempat duduk di belakang motosikalnya ditepuk lembut. Tanda dia mahu gadis itu duduk di situ.

“Aku boleh jalan kaki. Bukannya jauh rumah aku dari sini.” Gara-gara basikalnya rosak, terpaksalah dia berjalan kaki.

“Janganlah jual mahal. Panas ni. Jomlah.”

Safa tidak mengendahkan permintaan Farid. Cepat-cepat dia tinggalkan kawasan itu.

“Safa…”

Sekali lagi laluannya dihalang oleh motosikal Farid. Sakit betul hati Safa. Hampir saja dia menendang tayar motosikal lelaki itu.

“Jomlah naik.” Lengan gadis itu dipegang erat.

“Lepaslah. Jangan sampai aku jerit, Farid!” ugut Safa.

“Aku bukannya buat perkara yang jahat pun. Cuma nak tumpangkan kau aje. Cepatlah naik.”

“Aku tak naklah.” Suara celah gigi Safa jelas kedengaran. Dia cuba menarik lengannya daripada disentuh lelaki itu.

“Hoi!”

Serentak mereka berdua berpaling ke arah suara itu. Safa menarik nafas lega.

“Lepaskan dia.”

Farid ketawa kecil. “Kau siapa nak halang aku? Tiba-tiba muncul macam hero Tamil.”

Turun naik nafas Sudin. Berang apabila dari jauh dia sudah melihat Fuad berani menyentuh Safa. Daripada cara gadis itu, dia sudah dapat menganggak, Safa dipaksa.

“Aku cakap lepaskan tangan dia.” Tergerak-gerak rahang Sudin. Kedua-dua belah tangannya dikepal kuat.

“Kalau aku tak nak?”

Buk!

Tersandung tubuh Farid dari motosikalnya gara-gara ditumbuk Sudin. Akibat terjatuh ke tanah, motosikal itu menghempap tubuh lelaki itu. Terjerit Farid gara-gara terkena ekzos yang masih panas.
Tergamam Safa. Cepat-cepat dia berdiri di belakang Sudin.

“Kurang ajar! Kau memang melampau. Kau siapa nak halang aku ganggu dia?!” Farid menjerit sekuat hati.

“Safa hak aku! Aku takkan benarkan lelaki lain sentuh dia.”

Tertelan air liur Safa. Kali pertama dia melihat lelaki ini mengamuk.

“Safa pergi balik. Abang akan pastikan lelaki ni tak ikut Safa.”

Kelam-kabut Safa meninggalkan tempat itu. Sesekali dia berpaling ke belakang. Jantungnya berdegup laju. Kata-kata Sudin tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.

🤩🤩

SAFA masih gagal melelapkan mata. Perkara yang berlaku petang tadi, masih mengganggu fikirannya. Dia bangun daripada berbaring dan bersandar di kepala katil.

“Hish… apa yang kau fikir ni Safa? Dia tu Sudin. Lelaki yang tak ada apa-apa.”

Pipinya ditampar berkali-kali. Nafas dihembus kasar. Dia bangun dan segera keluar dari bilik. Lebih baik dia basahkan tekaknya terlebih dahulu.

Di ruang tamu, abah masih belum tidur. Dahinya sedikit berkerut. Kebiasaannya, Haji Zaki jarang tidur lewat malam.

“Abah…”

Terkejut orang tua itu. Dadanya diurut perlahan.

“Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni.”

“Abah pun sama. Abah tak boleh tidur ke?” Punggung dihempas lembut di sebelah abah. Kepalanya dilabuhkan ke bahu lelaki itu.

“Abah tengah fikir tentang masalah ladang kita tu. Hasil dah tak banyak. Hutang kita pun makin bertambah ni.”

Tegak terus kepala Safa. Ini kali pertama dia mendengar masalah orang tuanya. Selama ini dia tidak pernah mengambil tahu langsung soal itu.

“Hutang apa?”

“Tak ada apalah. Nanti pandailah abah selesaikan. Safa pun bila nak kerja ni?”

“Malaslah. Safa buat kerja rumah cukuplah.” Tersengih-sengih Safa.

Menggeleng orang tua itu. Ada anak seorang, mengalahkan 10 orang. Tiba-tiba dia teringatkan lamaran daripada keluarga Haji Asri. Serba salah juga untuk dia berikan jawapan. Tapi memikirkan masa depan mereka sekeluarga, mungkin ada baiknya dia menerima lamaran daripada keluarga lelaki itu.

“Safa ada kekasih?”

“Ha? Kekasih?”

“Yalah. Anak abah ni dah besar. Manalah tahu, dalam diam dah ada kekasih.”

Tertelan air liur Safa. Saat ini, wajah Sudin muncul dalam fikirannya. Cepat-cepat dia gelengkan kepala.

“Geleng tu apa maksudnya?”

“Err… Safa tak ada kekasihlah. Malas nak fikir lagi.”

“Hmm… bagus. Senang abah nak buat perancangan.”

Hampir berlapis dahi Safa. “Perancangan apa?”

“Adalah. Abah buat ni untuk masa depan kita juga. Dah, pergi masuk tidur. Abah pun dah mengantuk. Nanti tutup lampu ruang tamu ni. Jangan nak membazir.”

Haji Zaki bangun dan terus masuk ke dalam bilik. Safa masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Tubuhnya bersandar lemah di sofa.

“Kenapa aku masih ingat dekat dia?”

Nafas dilepaskan dengan berat. Dadanya disentuh dengan telapak tangan. Masih terasa lagi debarannya di situ.

😬

Apalah yang dirancang oleh Haji Zaki?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro