Bab 1
SAFA pening kepala nak menyelesaikan kerja Matematik. Dia betul-betul tak suka kerja kira-mengira ni. Kenapalah subjek ini wujud di sekolah?
“Aku malaslah nak buat.” Safa campak pensel ke atas meja.
Terperanjat Rozie. Tiba-tiba saja Safa mengamuk.
“Kau dah kenapa?”
“Kau tengoklah. Satu soalan pun aku tak reti. Cikgu Meon tu pun satu. Kenapalah banyak sangat dia bagi soalan?”
Sejak nak periksa ni, boleh dikatakan setiap kali mata pelajaran Matematik, cikgu mereka akan berikan hampir 30 soalan latih tubi.
“Matematik ni kalau nak pandai, memang itulah caranya. Hari-hari menghadap soalan, pandailah nanti.”
“Masalahnya aku rasa macam aku ni bertambah bodoh adalah. Kau pun sama aje macam aku, Rozie.”
Tersengih-sengih Rozie. Tapi dia tak kisah. Sekurang-kurangnya dia mencuba juga siapkan kerja yang diberi cikgunya itu. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang.
“Eh, kejap. Kau kenal tak dengan Abang Sudin?”
Safa menjulingkan biji matanya dengan riak bosan.
“Kau cakap macam aku baru pindah sehari dekat sini. Dah tentulah aku kenal mamat miskin tu. Dia tu pekerja abah aku.”
Terus berubah air muka Rozie. Kepala digeleng berkali-kali.
“Tak baik kau cakap macam tu.”
“Tak kisahlah. Kau nak cakap apa pasal dia?” soal Safa sambil membetulkan ikatan rambut. Kuat pula angin di beranda rumahnya.
“Abang Sudin tu pandai Matematik. Apa kata kau minta dia ajar kau? Eh tak… maksud aku, ajar kita berdua.”
“Euww… tak naklah aku.” Hampir terjerit Safa.
Memang taklah dia nak berbaik dengan budak bau getah tu. Nak dekat pun dia rasa nak termuntah.
“Kau nak dapat keputusan okey ke tak? Kita ni dah nak SPM tau. Kau cubalah ambil kesempatan sikit dekat dia. Cuba berbaik dengan Abang Sudin tu. Lepas SPM, kau tak payahlah lagi pedulikan dia.”
Safa termenung seketika. Bagus juga idea Rozie. Dia pun bukannya ada hati terhadap Sudin. Tak salah dia gunakan kepandaian Sudin untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Tapi macam mana kalau dia betul-betul suka aku?”
Rozie ketawa sedikit.
“Dia memang dah lama suka kau. Bukan suka tipu-tipu.”
Safa menghembus nafas dengan kasar.
“Itu yang aku risau. Aku takut mamat tu psiko. Nanti bila aku nak tinggalkan dia, dia cederakan aku ke. Hish… takutlah.” Meremang bulu roma Safa.
Jatuh rahang Rozie. Jauh betul imaginasi Safa.
“Jangan nak merepeklah. Aku yakin Abang Sudin tu baik. Kau carilah jalan supaya dia sendiri yang tinggalkan kau.”
Safa cuba menghadamkan kata-kata Rozie. Dia masih teragak-agak untuk menerima cadangan Rozie.
“Nantilah aku fikir dulu.”
“Kau ni penakut sangatlah. Ke kau takut tersuka dekat Abang Sudin tu?”
Bulat mata Safa.
“Kau jangan nak merepeklah. Aku tak akan suka budak miskin macam tu. Dia pun kerja dengan abah aku. Tak ada maknanya aku nak pilih dia.”
“Kau ni, janganlah nak mengata orang sangat. Abang Sudin tu rajin kerja walaupun tahun ni dia nak STPM. Manalah tahu nanti bila dia dah habis belajar, dia dapat kerja yang lebih bagus. Baru buntang biji mata kau!”
Safa pandang Rozie semacam.
“Kau ada hati dekat dia ke?”
Rozie hampir tersedak diterjah dengan soalan itu.
“Lain macam kau puji dia.” Mengecil anak mata Safa.
“Ke situ pula? Aku ni cakap benda yang betul aje. Suka hati kaulah nak terima ke tidak cadangan aku tu.”
Hampir nak tergelak Safa. Baru diusik sikit, dah menggelabah. Tiba-tiba dia terbayang wajah kacak lelaki itu. Tak guna muka kacak, tapi tak ada duit. Itu yang buat Safa tak mampu sukakan lelaki itu.
❤️❤️❤️
SUDIN mengikat tali kasutnya. Kasut yang hampir berlubang itu disapu bersih. Harap-harap dapatlah bertahan sehingga selesai dia menduduki peperiksaan STPM. Hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi untuk dia membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Tak sampai hati pula dia nak meminta wang daripada kakaknya. Biarlah dia gunakan kasut ini lagi. Asalkan boleh dipakai, dia tak kisah.
Baru-baru ini keadaan rumah mereka bertambah teruk. Dia tahu kakaknya terpaksa menyimpan duit untuk dia dapat sambung belajar. Sudin jadi serba salah. Mungkin ada baiknya dia tangguhkan dulu niatnya untuk sambung belajar selepas tamat STPM nanti.
“Abang!”
Terhenti langkah Sudin. Dia berpaling ke belakang. Jantungnya berdegup laju saat melihat senyuman Safa.
Rasa macam bermimpi pula. Sudah lama dia teringin nak berkawan dengan gadis ini tapi sikap Safa yang agak sombong, buat dia tak berani untuk menghulurkan salam perkenalan. Lebih-lebih lagi dia bekerja dengan abah Safa.
“Abang dah nak balik ke?” Safa tayang senyuman manis.
“Err… ya.” Sudin tundukkan wajah. Sesekali dia membetulkan rambutnya yang agak kusut. Malu juga kalau dia kelihatan comot di hadapan gadis itu.
“Jom, kita balik sekali. Basikal Safa rosak, Safa tak berani nak balik jalan kaki sorang-sorang.”
Tak berkelip mata Sudin. Hampir saja dia nak menampar pipi sendiri. Manalah tahu dia hanya bermimpi di siang hari.
“Safa tak kisah ke balik dengan abang?”
“Tak. Jomlah.”
Sudin angguk sambil tersenyum. Mereka berdua berjalan seiringan. Rumah mereka berdua tak adalah jauh mana.
“Dah lama Safa nak berkawan dengan abang.” Tiba-tiba Safa bersuara.
Sudin tergamam. Langkahnya berhenti mendadak.
“Safa cakap apa?”
“Safa dah lama nak kawan dengan abang. Abang tu sombong sangat dengan Safa.”
Sudin mengusap belakang lehernya. Dah terbalik pula. Selama ini, dia yang salah sangka rupanya.
“Abang memang nak sangat kawan dengan Safa.”
“Betul ke?”
Sudin mengangguk sambil tersenyum malu.
“Lepas ni, bolehlah kita belajar sama-sama. Abang tak kisah kan kalau Safa nak minta tolong ajarkan Safa mata pelajaran yang Safa lemah?”
“Eh, mestilah boleh.”
Safa rasa nak melompat bintang. Mudah betul dia mengayat Sudin walaupun dia terpaksa menahan rasa loya setiap kali berbual dengan lelaki itu. Asalkan dia dapat menggunakan Sudin untuk kebaikan masa depannya, apa salahnya dia terpaksa berkorban sedikit.
“Abang ada nombor telefon?”
Sudin gelengkan kepala. Dia manalah mampu nak beli telefon.
“Ooo… tak apa. Nanti Safa bagi telefon lama Safa dekat abang.” Dalam hati Safa dah makin menyampah dengan Sudin. Zaman sekarang mestilah ada telefon. Miskin betul lelaki ini.
“Eh, tak payahlah. Nak buat apa?” Laju Sudin membantah. Risau pula dia. Tiba-tiba saja gadis ini mahu berikan dia sesuatu yang berharga.
“Safa ikhlas nak bagi. Nanti senanglah Safa mesej abang kalau nak tanya apa-apa. Abang tak sudi ke ajar Safa?” Sengaja dia tayang wajah sedih.
Serba salah Sudin jadinya. Mestilah dia suka. Dia cuma risau kakaknya mengamuk saja nanti.
“Kak Mah ada telefon. Nanti abang bagi nombor dia.”
“Tak naklah. Safa segan. Abang ambillah. Telefon tu memang Safa dah lama tak guna.”
Tak ingin dia nak bercakap dengan kakak Sudin. Nanti sah-sah perempuan tu dapat menghidu niat jahatnya. Habislah rancangan dia untuk pergunakan Sudin.
“Yalah, abang terima.” Terpaksalah Sudin mengalah juga.
Terus senyuman Safa semakin lebar. Terpaku Sudin. Manis betul Safa. Macam manalah dia tak jatuh hati dengan gadis itu.
🥶🥶🥶
Kesian Sudin. Entahlah apalah lagi agenda Safa?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro