Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

LAMA mata Hail merenung air sungai yang mengalir tenang. Dia selesa duduk di tebing sambil melontar batu-batu kecil ke dalam sungai. Bunyi aliran sungai itu memberi kedamaian dalam jiwanya untuk seketika. Dia memejamkan mata sejenak. Nafas ditarik perlahan-lahan sebelum dilepaskan. Kelopak matanya dibuka kembali.

"Abang, tengok ni Am dapat ikan!" Suara Hamsyari memecah kesunyian Hail.

Hail tersenyum. Dia menoleh ke sisi. Dia dapat melihat dengan jelas, Hamsyari sedang memegang joran yang diperbuat daripada buluh kecil. Lelaki itu menayangkan ikan puyu sederhana besar ke arah Hail. Senyuman ceria yang terlakar di wajah Hamsyari masih kekal dalam ingatan Hail sehingga sekarang.

Kenangan manis itu bertamu dalam minda Hail membuatkan dia larut dibuai kenangan.

"Ikan apa kau dapat tu?" soal Hail. Tangannya masih setia memegang joran manakala matanya memandang ke arah Hamsyari yang sedang menghampirinya.

"Ikan puyu," jawab Hamsyari tersengih.

"Alah, ikan puyu aje. Abang ingat kau dapat ikan baung. Bolehlah abang masak sedap sikit hari ni," omel Hail seolah-olah memperlekehkan kemampuan Hamsyari.

Hamsyari mencebik. Dia menjeling pada abangnya.

"Ikan puyu pun rezeki juga, bang. Termasuk ikan ni, Am dah dapat tangkap lima ekor ikan. Abang tu, bukan setakat ikat baung, ikan puyu pun tak makan umpan abang tu. Abang nak tahu sebab apa?" soal Hamsyari sambil menepuk lembut bahu Hail.

Hail menoleh ke sisi.

"Sebab apa?"

"Sebab Allah tahu abang takkan bersyukur kalau dapat ikan puyu," jawab Hamsyari sambil tergelak.

Hail tersentap. Dia mengecilkan mata memandang Hamsyari. Tak pasal-pasal kena sindir dengan adik sendiri. Tetapi itulah Hamsyari, walaupun adiknya itu jauh lebih muda tetapi pemikirannya jauh lebih matang. Seringkali adiknya itu mengingatkan, jika kita tidak bersyukur dengan sedikit, bagaimana kita hendak bersyukur dengan banyak? Jika Hail merendah diri dengan setiap harta yang dia ada, Hamsyari jauh lebih merendah diri dengan apa yang dia miliki.

"Kau kan kalau nasihatkan abang nombor satu. Kau datang sini sekejap," panggil Hail. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Dia berdiri di tebing sungai.

"Ada apa, bang? Abang marah ke Am cakap macam tu?" soal Hamsyari mulai gugup. Wajah Hail yang kelat cukup menggerunkannya.

"Datang ajelah dekat sini," gamit Hail.

Hamsyari hanya menurut. Dia mendekati Hail. Belum sempat dia berkata apa-apa, Hail terlebih dahulu menarik lengan Hamsyari sebelum tubuh adiknya itu ditolak ke dalam sungai.

"Aaa!" Jeritan Hamsyari bergema di segenap ruang ladang kelapa sawit tersebut bergabung dengan bunyi tawa Hail yang kuat. Seronok dapat kenakan adik kesayangannya itu.

"Abang!" marah Hamsyari sambil meraup rambutnya yang basah ke belakang. Dia mengapungkan tubuh dan mula bergerak ke arah tebing. Apabila melihat Hail yang sedang berdiri sambil mencekak pinggang, timbul idea jahatnya.

"Padan muka kau!" ucap Hail sambil ketawa.

Hamsyari mengecilkan mata. Dia berenang sehingga ke tebing. Dia berpaut pada akar-akar kayu yang berselirat di tepi tebing.

"Yalah, Am mengaku kalah. Abang tolonglah Am naik. Am sejuk sangat ni. Balik karang mesti demam," ujar Hamsyari dengan suara yang lirih.

Hail terdiam. Dia menepuk dahi. Hampir dia terlupa yang Hamsyari alah pada cuaca sejuk. Adiknya itu pasti cepat terkena selesema.

"Allah. Maaf, dik. Abang terlupa yang Am tak boleh sejuk," ucap Hail dengan rasa kesal yang mendalam. Dek ingin bergurau, dia terlupa akan kesihatan adiknya sendiri.

Lantas, Hail menghulurkan tangan untuk menarik Hamsyari. Tangannya bersambut. Tetapi belum sempat dia menarik tangan Hamsyari, adiknya itu terlebih dahulu menarik tangannya sehingga tubuh Hail tercampak ke dalam sungai.

Bushhh!

Hamsyari ketawa kuat. Seronok melihat si abang yang terkapai-kapai cuba menyedut oksigen.

"Itulah tadi kenakan orang. Padan muka abang!" jerit Hamsyari. Kegirangan.

Hail mengetap bibir. Lantas, dia berenang untuk mendapatkan Hamsyari namun Hamsyari terlebih dahulu memanjat tebing. Dia ketawa terkekek-kekek melihat muka Hail yang tidak berpuas hati.

Bunyi ketawa Hamsyari masih segar di telinga Hail. Betapa dia rindukan gelak tawa itu. Semenjak kematian papa dan mamanya, hanya Hamsyari yang Hail ada. Segala kasih sayang dicurahkan untuk adiknya itu. Masih tergambar jelas kedukaan yang terpancar di wajah Hamsyari saat mengetahui papa dan mamanya meninggalkan mereka. Meninggalkan dunia. Seminggu Hamsyari demam panas. Berbulan-bulan adiknya merengek untuk berjumpa dengan mamanya. Segala cara Hail gunakan untuk memujuk sehinggalah adiknya itu kuat dengan sendirinya.

Disebabkan itulah dia tidak izinkan sesiapa pun menyakiti hati adiknya. Hamsyari nampak saja kuat dari segi fizikal tetapi hatinya lembut. Jiwanya sensitif. Kekurangan kasih sayang dan belaian daripada seorang ibu, membuatkan Hamsyari mudah rapuh. Jadi, salahkah dia kalau dia inginkan pembelaan untuk Hamsyari? Salahkah jika dia ingin Sufi merasa kesakitan yang Hamsyari rasa? Lelaki sebaik dan senaif Hamsyari tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu. Tidak patut!

"TUAN HAIL!"

Sayup-sayup kedengaran suara orang menjerit, memancung lamunan Hail yang panjang. Pantas, dia berpaling. Dia mendengus apabila melihat batang tubuh milik Sufi sedang berlari ke arahnya. Hail bingkas berdiri sambil berpeluk tubuh. Menanti sehingga gadis itu berada betul-betul di hadapannya.

Sufi tercungap-cungap kerana terlalu laju berlari. Dia cuba mengatur pernafasannya. Dia tunduk memegang lutut untuk seketika. Penatnya hanya Allah yang tahu. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dihembuskan dengan kuat. Kertas kontrak dipegang kemas.

"Hah, kau nak apa?" soal Hail garang.

Sufi mendongak. Dia menentang pandangan Hail yang kelihatan dingin seperti kebiasaannya.

"Apa maksud semua ni?" soal Sufi sambil menayangkan kertas kontrak yang sudah ditandatangani itu.

Hail menayang muka selamba. Riak wajah Sufi yang seakan-akan berang itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.

"Maksud apa? Itulah maksudnya. Kau pandai baca, kan? Bukan kerja aku nak terangkan satu per satu pada kau," jawab Hail bersahaja.

"Kenapa tertera dalam kontrak ni yang saya kena berkahwin dengan Am jika Am sihat sepenuhnya? Tuan tak bincang apa-apa pun dengan saya tapi tuan dah buat keputusan untuk masa depan saya? Tuan fikir tuan siapa?" soal Sufi dengan rasa amarah yang tertahan-tahan.

Hail memandang Sufi dari atas hingga ke bawah. Tiada satu pun yang ada pada Sufi menarik perhatiannya. Wajah gadis itu biasa. Penampilannya juga biasa. Entah macam manalah Hamsyari boleh cinta mati dengan gadis seperti Sufi. Tapi bagi Hail, perempuan biasa seperti Sufi yang sepatutnya berjaga-jaga. Luaran tampak baik tetapi hakikatnya penuh dengan tipu muslihat.

"Bila kau tolak cinta Am, ada kau fikir apa akan jadi pada dia? Ada kau fikir perasaan dia bila kau suruh dia pergi mati? Disebabkan kata-kata kau tu, dia hampir bunuh diri. Nope. Dia dah buat perbuatan terkutuk tu tapi sebab Allah masih sayangkan dia, dia masih bernyawa sekarang ni. Pernah kau fikir kesakitan yang dia rasakan masa tu? Pernah?!" bentak Hail dengan suara yang melengking tinggi.

Bahu Sufi terenjut. Beberapa ekor burung berterbangan lari akibat terkejut mendengar suara Hail yang memetir.

Sufi meraup wajah. Bagaimana lagi cara yang dia boleh lakukan untuk memahamkan lelaki yang bernama Hail Haiyan ini?

"Putus cinta itu biasa, tuan. Setiap orang pasti merasakan sakit disebabkan cinta."

"Tapi tidak bagi Am. Kau adalah segala-galanya bagi dia. Setiap cerita yang dia kongsikan dengan aku, pasti dia akan sebut tentang kau. Segala-galanya tentang kau nampak indah di mata dia. Kau cinta pertama dan terakhir dia. Kenapa kau berikan dia harapan? Kenapa kau berikan dia cinta jika kau nak musnahkan hati dia? Hancurkan perasaan dia. Kau memang perempuan yang tak ada perasaan. Kau perempuan yang hanya tahu menjahanamkan orang lain!" hambur Hail lagi. Naik turun dadanya mengawal kemarahan.

Sebaik saja melihat wajah tenang milik gadis itu, kemarahannya pasti akan memuncak. Serentak bayang wajah Hamsyari yang kemurungan memenuhi ruang fikiran.

Sufi melepaskan keluhan berat. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tohmahan yang dilemparkan oleh Hail tidak berasas.

"Berapa kali saya cuba jelaskan pada tuan yang saya tak bersalah, tapi tuan langsung tak nak dengar. Saya mungkin jadi sebab semua ini berlaku tapi bukan saya penyebab Am merana sampai begini sekali. Tuan pekakkan telinga untuk mendengar penjelasan saya dan tuan butakan mata hati tuan untuk kenal siapa saya yang sebenarnya. Tuan memang zalim! Tuan tahu apa makna zalim? Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, itulah zalim. Sekarang tuan letakkan saya dalam dendam tuan yang tak berasas itu sedangkan saya cuba jelaskan perkara yang sebenarnya," jawab Sufi cuba membela diri.

Hail ketawa. Ketawa yang sengaja dibuat-buat. Otaknya tidak dapat menerima kata-kata Sufi. Baginya segala yang terbit dari mulut Sufi hanya dusta. Palsu dan penuh dengan kebohongan.

"Jelaskan perkara yang sebenar? Kau nak jelaskan yang kau bukan kekasih Am?" soal Hail seolah-olah mengejek.

Sufi mengangguk laju. Itulah yang cuba dijelaskan kepada Hail, namun lelaki itu enggan untuk memahami.

"Kau memang suka buat lawak, kan? Banyak betul helah kau nak tipu aku. Sekali kau menipu, sampai mati pun aku takkan percaya cakap perempuan yang lidah bercabang macam kau ni. Orang sebaik Am bolehlah kau perbodohkan tapi bukan aku. Mata aku belum buta untuk lihat kesakitan dan seksaan yang Am rasa. Kesakitan yang kau hadiahkan atas balasan cinta dia yang tulus untuk perempuan tak guna macam kau!" balas Hail masih tetap dengan pendiriannya. Dia tidak akan sesekali mempercayai Sufi. Tidak sama sekali!

Sufi memicit dahi. Terasa ingin menjerit sekuat hatinya. Namun, Sufi tahu walau sekuat mana dia menjerit memberitahu perkara yang sebenar, itu tidak akan berbekas dalam diri Hail. Lelaki itu telah dibutakan dengan dendamnya.

"Dan tuan nak tengok saya terseksa dengan menjadikan saya hamba di tempat ini? Jika terjadi apa-apa pada Am, tuan nak saya abdikan hidup saya di tempat tuan ni? Jika Am sembuh, tuan nak saya nikah dengan dia? Tuan ingat saya barang mainan? Saya tak ada mak bapak?" Suara Sufi kedengaran berkeras. Dia merenung tepat ke dalam anak mata hitam pekat milik Hail yang sarat dengan api kebencian.

Hail hanya melemparkan senyuman sinis.

"Lebih dari sepuluh ribu orang hilang dekat Malaysia ni, hanya suku saja yang berjaya ditemui, kau ingat keluarga kau akan tahu kau ada dekat sini? Mungkin nyawa kau melayang dulu sebelum sempat kau jumpa dengan keluarga kau," jawab Hail selamba.

Sufi meneguk liur. Kata-kata Hail membuatkan bulu romanya tegak. Jantung mula bergetar.

"Lagipun syarat yang aku letakkan tu terlalu ringan untuk perempuan yang tak berhati perut macam kau. Kalau kau boleh jadikan Am hamba cinta kau, kenapa aku tak boleh jadikan kau hamba kat tempat ni? Am sanggup berikan apa saja untuk kau. Takkan kau tak boleh buat apa yang dia buat? Baru adil, kan? Am sanggup pertaruhkan nyawa dia untuk cinta kau, jadi aku nak kau perhambakan hidup kau kat tempat ni sebagai balasan untuk Am," sambung Hail lagi setelah tiada balasan daripada Sufi.

Sufi tersentak. Dia menggelengkan kepala dengan laju. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki tidak betul seperti Hail. Dia tidak percaya yang lelaki di hadapan ini adalah abang kepada Hamsyari. Bagai langit dan bumi.

"Gila! Tuan memang gila! Kebencian tuan pada saya tak berasas! Saya bukan kekasih Am! Saya akan pastikan tuan menyesal dengan perbuatan tuan sendiri!" bentak Sufi. Tidak dapat membendung rasa tidak puas hatinya.

"Sekali lagi kau cakap kau bukan kekasih Am, aku benam kau ke dasar sungai tu!" herdik Hail sambil menuding ke arah air sungai yang mengalir tenang.

"Benamlah! Benamlah sampai tuan puas! Saya sedikit pun tak hairan. Tuan nak sangat tengok saya terseksa, kan? Tak payah tunggu seumur hidup, satu jam pun saya tak sanggup nak hadap perangai tuan yang tak semenggah ni!" cabar Sufi tanpa berfikir panjang.

Hail mengecilkan matanya memandang Sufi. Jelas sekali gadis itu cuba mencabarnya. Malah tiada riak takut tergambar di wajah gadis itu.

"Kau cabar aku?" soalnya dengan suara yang bergetaran.

"Ya, saya cabar tuan! Saya cabar tuan bunuh saya kalau itu boleh puaskan hati tuan yang kotor tu!" jerit Sufi. Mula hilang kesabaran yang selalu dia pertahankan.

Hail mendengus marah. Berdesing telinganya mendengar jeritan Sufi. Lantas, dia menarik lengan Sufi dengan kasar sebelum tubuh gadis itu dihumban ke dalam sungai.

"Arghhh!" Sufi menjerit keras.

Dia cuba untuk mengapungkan badan namun belum sempat dia menyedut oksigen, kepalanya terlebih dahulu dibenamkan ke dalam air sungai. Sufi terkapai-kapai meminta pertolongan. Terasa air sungai memasuki rongga hidung dan mulutnya. Malah, matanya juga terasa pedih.

"To... To... Tolong!" Suara Sufi tersekat-sekat.

"Kau yang nak mati sangat, kan? Kenapa nak minta tolong?! Kau nak rasa kesakitan yang Am rasa, nah kau rasakan sekarang!" Hail mula hilang kewarasan.

Kepala Sufi dicekak dari belakang sebelum kepala itu diselamkan ke dalam air sungai. Bunyi jeritan gadis itu tidak memberi kesan kepada Hail. Dia bagaikan dirasuk.

"Lepaskan saya! Lepaskan saya! Kenapa tuan buat saya macam ni?!" jerit Sufi dengan rontaan yang semakin kuat. Dia cuba melawan. Tangan Hail ditepis kasar tetapi dia gagal. Sekali lagi wajahnya diselamkan ke dalam sungai. Pedih dan perit Sufi rasakan.

"Kenapa? Sebab Am tu adik aku! Satu-satunya adik yang aku ada! Tapi kau rampas kehidupan dia daripada hidup dia sendiri. Aku tak boleh terima! Kau perempuan kejam! Neraka pun tak layak untuk perempuan macam kau!" hambur Hail lagi.

Hati Sufi tersiat. Dia melawan demi menyelamatkan nyawanya daripada sasaran Hail. Dia dihukum atas kesalahan yang dia tidak lakukan walaupun segala-galanya bermula daripada dia. Sufi menangis dalam hati. Menangisi silapnya sendiri.

"Lepaskan saya! Saya bukan kekasih Am!" jerit Sufi akhirnya.

"Aku takkan lepaskan kau walau siapa pun kau!" pintas Hail. Dia masih belum puas membenamkan tubuh Sufi ke dalam sungai. Melihat Sufi yang terkapai-kapai meminta pertolongan, membuatkan dia terasa puas. Puas kerana dapat membalas kesakitan yang dirasakan Hamsyari.

"Tuan!" Bunyi suara yang menjerit kuat membantutkan perbuatan Hail. Dia menoleh.

Baim memandang Hail dan Sufi yang kelihatan lemah silih berganti. Dia tidak percaya dengan apa yang dia lihat dengan mata kepalanya.

"Tuan, apa yang tuan buat ni?" soal Baim lantas turut masuk ke dalam sungai. Dia menghampiri Hail yang masih memegang kejap belakang tengkuk Sufi.

Dada Hail yang berombak ganas mulai reda. Dia memandang Sufi yang kelihatan tidak bermaya. Perlahan-lahan, dia meleraikan pegangan.

"Istighfar, tuan. Tuan yang saya kenal bukan macam ni. Kemarahan takkan selesaikan masalah, tuan," bisik Baim perlahan. Cukup untuk Hail yang mendengar.

"Astaghfirullahalazim," desis Hail. Dia meraup wajahnya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Dia naik ke tebing tanpa memandang ke arah Sufi yang sudah terbatuk-batuk.

Sufi menarik nafas panjang sebelum dihembuskannya dengan perlahan. Hampir saja dia lemas, mujur Baim datang tepat pada waktunya. Kalau tidak, pasti dia jadi arwah saat ini. Lafaz alhamdulillah bergema dalam hatinya.

"Biar saya tolong awak..." ucap Baim. Cuba menarik lengan Sufi tapi dengan pantas, Sufi menepis. Dengan keadaan yang lemah, Sufi naik ke tebing. Dia terlentang di atas tanah dengan dada yang berombak kencang. Tidak lama kemudian dia mengerekotkan tubuh. Dia terbatuk. Batuk yang mengeluarkan air. Seluruh tubuhnya menggeletar kesejukan. Samar-samar dia melihat Hail yang berdiri membelakanginya.

"Tuan Hail..." panggil Sufi dengan nada suaranya yang masih lemah.

Baim tersentak. Dia mendapatkan Sufi yang terbaring tidak berdaya tetapi anak mata gadis itu terarah kepada Hail yang diam membeku.

"Neraka saya bukan tuan yang tentukan. Syurga saya bukan tuan penjaminnya. Saya hamba. Tuan juga hamba. Saya harap tuan jangan lupa taraf tu sampai tuan mati..." ucap Sufi dengan suara yang tenggelam timbul.

"Awak tak apa-apa, Sufi? Jom saya bawa awak balik," ucap Baim.

Sekali lagi dia cuba menarik lengan Sufi tetapi dengan pantas Sufi menolak. Dia tidak selesa dipegang. Sedaya upaya Sufi cuba untuk bangkit. Akhirnya, dia mampu untuk duduk walaupun kepalanya terasa berdenyut.

"Saya tak apa-apa. Saya tak boleh mati selagi dendam Tuan Hail tak selesai. Tuan nak tahu tak apa yang paling menjengkelkan dalam dunia ni? Hinanya orang mulia di pandangan orang yang dia hina. Melakukan kesilapan itu sifat manusia dan memaafkan itu kemanusiaan. Tapi sayang, tuan tak ada semuanya sebab hanya wujud tuan saja manusia tapi hati tuan hati binatang!" sambung Sufi lagi.

"Dahlah tu, Sufi. Jauh awak melalut ni..." ucap Baim cuba menenangkan suasana. Dia tidak mahu Hail mengamuk lagi.

Hail hanya mendiamkan diri. Dia cuba tidak mengendahkan kata-kata Sufi namun jauh dalam sudut hati, kata-kata itu menikam tepat ke jiwanya. Menggoncang sanubarinya.

"Baim, kau bawa perempuan ni balik sebelum aku kuburkan dia hidup-hidup!" arah Hail sebelum melangkah meninggalkan Sufi dan Baim tanpa sedikit pun menoleh. Hatinya galau saat ini mengenangkan perbuatannya pada Sufi sebentar tadi.

"Saya dihukum atas kesalahan yang saya tak lakukan. Adil ke untuk saya?" soal Sufi sambil memandang Baim dengan mata yang berkaca.

Baim kehilangan kata. Simpati tertumpah saat melihat gadis itu menitiskan air mata. Nampak Sufi betul-betul kesakitan. Adakah benar gadis itu tidak bersalah? detik hati Baim. Mulai waswas. Dia mengeluh. Dia hanya memandang Sufi yang sedang terbaring.

Sufi kembali merebahkan tubuh di atas tanah. Dia penat. Penat kerana tiada sesiapa pun yang mempercayainya. Adakah derita ini berpanjangan atau ada jalan untuk dia keluar dari penjara ciptaan seorang lelaki bernama Hail Haiyan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro