TDLM - bab 41
Perasaan yang tidak sedap membawa Mak Su Nora ke rumah Dhiya apabila tiada lampu yang terpasang.
Mahu kata keluar, kereta masih di garaj. Dhiya juga tidak ada memaklumkan pada dia Dhiya keluar ke mana-mana.
Lagipun sekarang sudah pukul 10 lebih. Jarang sangat lah jika Dhiya tidak berada di rumah waktu-waktu sebegini.
Kunci rumah yang diberikan kepadanya digunakan untuk membuka pintu yang dikunci dari dalam.
Sunyi.
Pagi tadi Dhiya ada memaklumkan padanya yang Kasyaf akan singgah sebentar. Masa bila pun dia tak sedar, macam singgah sekejap saja.
Anak tangga didaki menuju ke tingkat atas lalu daun pintu bilik Dhiya ditolak perlahan.
Hatinya memanjat kesyukuran melihat sekujur tubuh Dhiya yang sedang berbaring di atas katil.
Tapi masih ada rasa risau melihat tiada lampu yang terpasang walaupun satu. Takkan lah Dhiya tidur sebelum maghrib?
Mak Su Nora berjalan mendekati Dhiya di katil. Bahunya disentuh lembut, mahu memeriksa sekurang-kurangnya Dhiya tidak dalam keadaan pengsan.
Kerana beberapa hari ini sebegitu.
"Dhiya," panggilnya lembut. Dahi Dhiya disentuh, tidak terlalu panas tidak terlalu dingin. Mungkin hangat.
Punggung berlabuh di sisi katil. "Dhiya," panggilnya lagi. Nampak seperti tidur.
Yakin bahawa Dhiya tidur, dia tidak mahu mengganggu lenanya. Baru sahaja dia ingin beredar, kedengaran Dhiya melepaskan batuk kecil membuatkan dia kembali ke katil.
Wanita itu menggeliat kecil dengan dahi yang berkerut-kerut membuatkan Mak Su Nora menuang air kosong ke dalam gelas yang tersedia di tepi katil.
"Mak su?" kepalanya terasa berat. Mungkin kerana seharian dia tidak berhenti menangis sehingga tertidur.
Tapi dia masih lagi dapat mengecam siapa wanita di hadapannya.
Tanpa disuruh, mak su menolong Dhiya yang cuba untuk bangun bersandar pada katil. Gelas yang diisi air tadi dihulurkan.
Samar-samar cahaya lampu jalan menembusi bilik Dhiya, dapat mak su menangkap wajah Dhiya yang sembap.
"Dhiya okay tak ni?" tangannya mengelus lembut ubun-ubun Dhiya.
Gelas yang di tangan dipegang kuat. Baru tanya seperti itu sudah cukup membuatkan air mata mula berkumpul kembali di tubir mata.
Kepala ditunduk sebelum menggeleng lemah. Air mata jatuh membasahi pipi.
Helaan nafas kecil dilepaskan. "Kenapa ni? Cerita dekat mak su."
Pipi yang basah disapu. Pandangan beralih memandang pintu sliding door yang ditutupi dengan langsir putih yang nipis.
"Dhiya-" suara tenggelam dalam kesebakan sendiri.
Nafas ditarik dalam. "Dhiya dengan Kasyaf-" suaranya pecah lagi apabila air mata kembali jatuh. Hujung kuku digigit.
Walaupun tidak habis, dia seperti dapat mengagak apa yang akan dikatakan oleh Dhiya. Mak su tidak bertanya, dia terus menarik Dhiya ke dalam dakapannya.
"-akan bercerai." Bilik itu dipenuhi dengan tangisannya.
Biarkan kali ini sahaja dia menangis semahu-mahunya kerana sungguh dia tidak kuat. Hatinya hancur, ranap.
Mana ada isteri yang sanggup untuk bercerai sedangkan hanya lelaki yang bergelar suami bertakhta di hati?
Tapi ini adalah keputusan yang perlu dia buat. Hati dan perasaannya harus ditolak tepi.
Dia hanya memujuk dengan menepuk lembut bahu Dhiya. Dapat dia rasa bahunya yang basah dengan air mata Dhiya.
Mak Su Nora tahu benar ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk Dhiya putuskan.
Mereka kekal seperti itu untuk beberapa minit. Apabila tangisan Dhiya reda sedikit, pelukan dilepaskan. Kotak tisu diambil lalu dihulurkan pada Dhiya.
"Dhiya dengan Kasyaf dah bincang elok-elok ke? Tak ada cara lain?" mana tahu perceraian bukan satu-satunya jalan yang mereka ada.
Kepala digeleng lemah. "Tak ada mak su, ni je satu-satunya jalan yang ada."
"Dhiya dah tak sanggup nak sakitkan Kasyaf atau Dina. Dhiya cuma akan merosakkan hubungan mereka."
Mak su hanya angguk. Dia faham, jika memang itu yang terbaik dan mampu membuat Dhiya lebih tenang.
Tangan Dhiya ditarik ke dalam genggamannya. "Tak apa, mak su ada. Mak su teman Dhiya."
Difikirkan akan reda namun tangisannya kembali lebat.
Malam ini dia ingin tangisi hatinya.
BARU sahaja selesai mengaminkan doa makan, tirai katilnya diselak kecil membatalkan niatnya untuk menjamu selera.
Kelihatan Iman yang baru sampai di sebalik langsir yang kembali ditutup apabila dia mendekati katil.
"Baru nak makan ke?" dia pandang pinggan yang berisi makanan disediakan oleh pihak hospital.
Dhiya hanya mengangguk. Sebelum kemoterapi, biasanya dia akan menjamu makanan terlebih dahulu.
"Bila rawatan?" Iman tanya lagi.
Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. "Insyallah dalam pukul 3 macam tu."
Iman sekadar angguk kepala. Dia biarkan Dhiya untuk memulakan selera sebelum dia berlalu ke bilik air. Tidak lama selepas itu dia kembali dengan beberapa jenis buah yang sudah dibasuh.
"Banyaknya." Dia pandang buah strawberi, pisang, oren dan epal yang dibawa oleh Iman.
Tangan Iman sibuk menyusun buah-buah di dalam bekas kedap udara lalu diletakkan ke atas meja bersebelahan dengan katil.
Bibirnya sengih kecil lalu letakkan buah strawberi di sebelah pinggan Dhiya. "Kau kan tidur sini malam ni, kalau lapar boleh makan."
Sebiji buah kesukaannya yang bewarna merah itu dimasukkan ke dalam mulut. Sedikit rasa masam manis masih dirasai walaupun mulutnya terasa pahit.
Iman tarik kerusi lalu duduk di atasnya. "Jarang kau buat cycle hujung minggu macam ni?" soalannya berkias.
"Kasyaf tak balik lagi ke minggu ni?" kedengaran nada suaranya yang tidak berpuas hati.
Dhiya senyum nipis sebelum menggeleng. Tiada sebab lagi mengapa Kasyaf perlu balik ke sini.
Kedengaran Iman mendegus kasar. "Dhiya, kenapa dia selalu macam ni?"
"Macam ni macam mana tu?"
Mata dipejam beberapa saat sebelum celik kembali. "Dia tak adil tau. Aku faham komitmen kerja dia di sana, tapi kau isteri dia. Perhatian yang dia bagi pada Dina perlu dia bagi sama rata pada kau. Itu hak kau."
"Tak lagi."
Dahinya berkerut seribu. "Maksud kau?"
Entah apa yang lucu sehingga membuatkan dia asyik tersenyum kecil juga dia tidak tahu, tapi mungkin sekadar untuk menutupi duka di hati.
"Aku dengan Kasyaf dalam proses perceraian." Kalau disembunyikan pun, lambat laun akan tahu juga.
Terkejut tapi tidak terlalu terkejut. Mungkin itu boleh menggambarkan reaksinya sekarang.
Apa yang boleh dia harapkan dengan hubungan Kasyaf dan Dhiya yang diibaratkan seperti tiada hala tuju?
Dia tidak nampak pengakhiran mereka melainkan perpisahan kerana masing-masing layak dengan orang lain yang lebih baik.
"Bila?"
Bahagian daun hijau buah strawberi diletakkan ke dalam pinggan. Mungkin air mukanya nampak biasa tapi tidak hatinya. "Baru je."
"Surat dari mahkamah dah dapat," suaranya kedengaran bersahaja.
Iman tatap Dhiya. Walaupun cuba untuk disembunyikan, dia kenal benar dengan Dhiya. Lakonannya tidak lah hebat mana.
"Kau okay tak?"
Pandangan diangkat memandang Iman. "Will be okay."
Lambat laun nanti dia akan tebiasa. Mungkin sekarang hatinya masih ingin meratapi.
Iman hanya melepaskan helaan nafas panjang. "Tak apa, aku ada untuk kau."
Hanya senyuman nipis sahaja yang membalas kata-kata Iman.
"HABIS tu minggu ni you tak balik lagi ke?" kerusi meja makan ditarik. Punggungnya berlabuh di kerusi itu.
Kasyaf yang sedang membasuh tangan memandang Medina sekilas. "Ya."
Tiada niat di dalam hatinya untuk membohongi Medina dengan mengatakan Dhiya mempunyai urusan hujung minggu ini sebagai alasan untuk tidak pulang.
Bagaimana boleh sedangkan hubungan mereka bagai retak menanti belah.
"Selalu sangat dah you tak balik ni. I risau lah, Dhiya tak terasa ke?" tanya Medina.
"Projek I kan dah habis, I boleh lah balik macam biasa." Satu lagi pembohongan ditambah.
Bagus lah jika begitu. "You."
"Ya?"
"Boleh tak tolong ambilkan sudu dalam laci?" memandang Kasyaf masih di dapur.
Kakinya diatur menuju ke laci. "Besar ke kecil?" laci dibuka tapi soalannya tidak dijawab oleh Medina.
Dahi Kasyaf berkerut apabila melihat sesuatu bersama dengan timbunan sudu.
Alat yang menunjukkan dua garis itu diambil lalu dia pandang Medina yang turut memandangnya dengan sunyuman lebar.
"Are you pregnant?"
Bibirnya pecah dengan senyuman lebar dengan soalan Kasyaf. Rahsia yang dia simpan selama ini daripada suami akhirnya diberitahu.
Dia memandang Kasyaf yang masih memandang pregnancy kit yang menunjukkan keputusa positif dengan air muka yang masih lagi tidak percaya sebelum mengangguk laju.
"Seriously?" suara Kasyaf kedengaran teruja lalu berjalan mendekati Medina di meja makan.
"Serius lah."
Tubuh Medina dipeluk erat. Rasa bersyukur dipanjatkan pada Allah yang Maha Pemberi Rezeki. "Dah berapa lama?" dakapan dileraikan.
"7 weeks."
"Kandungan okay? You dah jumpa doktor belum? Esok kita pergi jumpa doktor ya."
Soalan-soalan Kasyaf mengundang tawa kecil. "I dah jumpa, actually dah nak dekat sebulan I tahu yang pregnant."
Dahinya berkerut. "Kenapa you tak bagitahu i?" agak terasa memandang sudah sebulan tapi dia tidak mengetahui apa-apa.
Pipi lelaki itu disentuh lembut, memujuk. "I nak pastikan kandungan I betul-betul selamat. I tak nak kalau ada apa-apa yang berlaku."
"Doktor kata apa?"
Tangannya beralih menyendok nasi pada pinggan Kasyaf dan dia. "Alhamdulillah, doktor kata baby okay, in agood condition. Bukan kandungan luar rahim semua tu."
Bersyukur, tapi masih ada rasa takut. Kandungannya yang sebelum ini bertahan agak lama berbanding yang lain tapi berakhir dengan kematian dalam kandungan.
Jadi sememangnya Medina ingin pastikan pada awal kandungan semuanya baik-baik sahaja.
Senyuman nipis terukir. Kasyaf bahagia, dalam hati dia mendoakan bahawa cahaya mata kali ini akan dapat mersai kehidupan di dunia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro