TDLM - bab 38
Selepas membersihkan dapur, Dhiya terlena di sofa ruang tamu bagi menghilangkan penat. Entah berapa lama juga dia tidak perasan.
Tidurnya terganggu dengan bunyi orang memberi salam. Berkerut-kerut dahinya mencuba untuk bangun sekaligus memikirkan siapa yang datang bertandang.
Mahu kata Kasyaf, lelaki itu sudah memberitahu awal-awal lagi bahawa minggu ini dia tidak dapat pulang kerana kerja. Lagipun, hari ini baru hari Rabu.
Kalau Iman, sudah tahu pintu pagar berkunci dia akan menggunakan pintu pagar kecil yang menghubungkan rumah dia dan mak su.
Tudung yang senget dibetulkan, dengan langkah yang cermat Dhiya menuju ke pintu utama.
Sebuah kereta Toyota Camry diparkir di hadapan pintu pagar dengan seorang perempuan yang tidak dia nampak wajahnya kerana ditutup dengan pagar.
Tidak pula Dhiya kenal mana-mana orang yang menggunakan kereta itu.
Pintu pagar automatik dibuka sahaja, jika orang jahat manakan mahu memarkir kereta. Lagipun tiada apa pun di rumahnya.
Wanita itu berjalan masuk ke dalam kawasan rumah.
Mata dikecilkan sedikit untuk melihat tetamu yang datang. Kecut perutnya melihat wanita itu di sini. sejauh ini.
"Aunty." Lidahnya kelu.
Puan Azizah senyum kekok. Kerja gila, sanggup dia memandu seorang diri dari Kuala Lumpur ke Kuantan semata-mata untuk bertemu dengan Dhiya.
Ada hal yang ingin dia bincangkan dengan Dhiya.
Tangan dihulurkan oleh Dhiya untuk bersalaman dan disambut oleh Puan Azizah. Dia masih terkejut dengan kehadirannya ke sini.
"Aunty buat apa dekat sini? Tak bagitahu pun nak datang." Sengaja dia tidak panggil Puan Azizah dengan panggilan umi. Rasa seperti tidak layak.
Soalan itu tidak dijawab, Puan Azizah seperti tadi hanya senyum kekok.
Dhiya cuba untuk tenangkan diri, kepalanya dipenuhi dengan pelbagai persoalan.
"Boleh saya masuk?" berdiri lama pula di depan pintu.
"Oh, maaf. Masuklah." Pintu dibuka luas, apabila Puan Azizah masuk pintu ditutup rapat.
Mereka berdua berjalan menuju ke ruang tamu didahului dengan Puan Azizah. Dia pernah datang ke sini sekali, sewaktu majlis pernikahan Dhiya dengan anak lelakinya.
"Duduk dulu, aunty."
Sofa perseorangan menjadi tempat punggungnya berlabuh.
"Aunty nak air apa? Saya buatkan sekejap."
Kepala menggeleng. "It's okay."
"Air kosong ke?" serba salah pula jika tidak menghidangkan untuk tetamu.
Puan Azizah pandang Dhiya, dapat dia lihat sosok tubuh yang susut. Wajah mulai cengkung dan pucat. "Boleh juga."
Dhiya senyum. "Sekejap ya aunty." Dia menghilang ke dapur.
Ruang tamu yang luas menjadi pandangan Puan Azizah untuk seketika. Bersih dan sunyi. Timbul rasa kasihan pada Dhiya.
Bagaiman dia boleh tinggal seorang diri dengan sakit yang semakin memakan masanya?
Dhiya kembali ke ruang tamu dengan membawa segelas air kemudiannya diletakkan ke atas meja. Dia mengambil tempat berhadapan dengan Puan Azizah.
Berada berdua dengan wanita itu tanpa mengetahui niatnya datang ke sini mendatangkan debar. Dia menanti patah perkataan untuk keluar dari mulutnya.
"Tak kerja ke?"
"Saya dah berhenti."
Kepala angguk kecil tanda faham. Kalau sudah sibuk dengan rawatan, mana sempat untuk melakukan kerja lagi.
Diam lagi. Kelihatan ada perkara yang ingin keluar dari mulut Puan Azizah tetapi ditahan.
"Kamu sakit apa?" Puan Azizah tanya. Hari itu dia ada ternampak ubat Dhiya. Yang dia tahu itu ubat yang kebanyakannya digunakan untuk pesakit kanser, kanser apa dia tidak tahu.
Memang terkejut melihatkan menantunya yang mengesot menahan sakit di lantai. Tapi lagi terkejut melihatkan ubat itu.
Dari gaya anak menantunya, Puan Azizah agak tiada siapa yang tahu jadi sebab itu lah dia merahsiakan juga. Tidak bertanya Kasyaf mahupun Medina. Adalah lebih baik jika dia dan Dhiya berbincang berdua. Seperti ini.
Tangan digenggam erat. Rasanya tiada guna jika dia mengelak, perempuan di hadapannya ini seorang pesara doktor.
"Kanser rahim."
Riak muka cuba untuk disembunyikan. "Stage?"
"Awal stage 4."
Mengucap panjang mendengarkan jawapan itu. Lama juga Dhiya menyembunyikan sakit ini. Jika Dhiya tidak datang tempoh hari, sampai ke sudah tiada siapa yang tahu.
"Dhiya, saya rasa kamu pasti dapat mengagak sebab saya datang ke sini." Dia cuba mencari ayat yang paling manis, tidak mahu melukai menantunya.
Tetapi berhari-hari dia fikirkan hal ini sehingga dia tidak boleh berhenti. Sewaktu makan terfikir, sebelum tidur terfikir, celik mata juga hal ini perkara pertama dia fikirkan.
Jadi sebab itu dia datang ke sini. Untuk memberitahu pandangannya.
Seperti ais, Dhiya hanya membatu. Tidak, dia tidak tahu. Adakah untuk memarahinya? Adakah ingin berbaik dengannya?
Dhiya tidak dapat fikirkan.
Nafas ditarik dalam. Puan Azizah larikan pandangan sebelum kembali memandang Dhiya. "Saya faham kamu sakit, tapi—"
Mendengarkan tapi, Dhiya sepertinya dapat mengagak. Kepala ditunduk memandang lantai, cuba untuk menyembunyikan kesedihan dan takut yang datang membadai hati.
"—tapi saya takkan pernah setuju dengan apa yang kamu buat. Sama ada kamu sihat, ataupun sakit perkara yang kamu telah buat tetap tidak betul." Puan Azizah berterus terang.
Salah tetap salah, tidak perlu menegakkan benang yang basah.
"Medina kata, dia setuju untuk kahwinkan Kasyaf dengan perempuan lain, iaitu kamu kerana dia inginkan perempuan itu memberikan zuriat."
"Tapi kamu tidak mampu, kamu tahu kamu sakit dan minta maaf kalau saya terlalu jujur, kamu sudah membohongi dia." Pandangannya yang jujur laju sahaja ditutur.
Simpati yang datang apabila melihat Dhiya yang diam tidak berkutik, diam membatu cuba untuk diusir. "Perkara tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada Dina, Kasyaf atau kamu sendiri."
"Saya hanya tahu Kasyaf mencintai Dina, dan selamanya saya hanya nampak begitu. Saya juga nampak kamu sayangkan Kasyaf."
"Tapi Kasyaf tidak mampu untuk membalas perasaan kamu." Bibir yang kering dibasahkan dengan air liur. Jika tahu sepanjang ini, dia minum sahaja air kosong tadi dulu.
"Apa yang saya nampak, apa yang saya faham, kamu hanya mengambil kesempatan di atas sakit kamu. Selain daripada menyakiti hubungan Dina dan Kasyaf, kamu juga menyeksa zahir dan batin kamu sendiri.
Dadanya terasa seperti ingin pecah apabila kata-kata Puan Azizah yang masuk sehingga ke lubuh hati yang paling dalam.
Salah? Tidak. Apa yang dikatakan semuanya itu benar. Memang dia telah mempergunakan sakitnya untuk berkahwin dengan Kasyaf. Membohongi Medina dan Kasyaf hidup-hidup mengatakan dia mampu untuk memberikan zuriat. Sengaja mencari sakit dengan terlibat dengan semua ini.
Ini kenyataan yang dia perlu terima tapi mengapa hatinya terlalu sesak? Seperti ingin menidakkan dan terus mengatakan bahawa apa yang dia lakukan betul?
Padahal tidak! Sama sekali tidak patut terjadi!
"Saya minta maaf kalau kata-kata saya terlalu jujur, atau menyakitkan kamu. Tapi tolong—" suaranya lirih.
"—tolong lepaskan diri kamu dari semua ini. Lepaskan Kasyaf."
Tubir mata yang dipenuhi dengan empangan air mata akhirnya pecah. Satu persatu jatuh membasahi pipi.
Allah, beratnya reality yang perlu dia hadapi.
"Kalau bukan untuk Dina dan Kasyaf, untuk kamu sendiri. Bahagia kamu bukan dengan mereka, Kasyaf tidak mampu untuk bahagiakan kamu." Dia sendiri dipagut sayu.
Puan Azizah tahu dia telah melukai hati Dhiya, tapi jika tidak berkata sekarang, mereka bertiga akan menanggung sakit yang tidak terganggu.
Dhiya anggukkan kepala lemah. Dia masih belum mampu untuk mengangkat muka memandang Puan Azizah. Malu.
Kenapa perlu Tuhan menghantar Puan Azizah untuk menyedarkan apa yang dia lakukan selama ini salah? Kenapa dia tidak sedar sendiri?
Agaknya betul kata-kata tadi, dia hanya mengambil kesempatan, mempergunakan Medina dan Kasyaf. Bukan sekadar untuk menghabiskan sisa hayatnya dengan orang yang dia sayang.
"Saya faham." Suaranya sebak menahan tangis, tidak di hadapan wanita ini dia akan menangis.
"Saya minta maaf kerana perlu libatkan aunty dalam masalah saya yang pentingkan diri. Saya—" dia tidak mampu tahan lagi, air matanya makin laju.
"—saya sungguh-sungguh minta maaf."
Puan Azizah pandang Dhiya. Dia pernah menyayangi Dhiya sebagai anak sendiri kerana juga terlalu sayangkan dia.
Tapi apabila berlaku seperti ini, hatinya menjauhi Dhiya. Dia tidak mampu menerimanya.
Tapi Puan Azizah cuba untuk memahami. Dhiya hanya lah seorang anak yang sesat dalam kesunyian, masih mencari tujuan untuk meneruskan hidup.
Dia bangun dari duduknya, mendekati Dhiya. Tubuh menantunya dibawa ke dalam dakapan untuk pertama kali.
Dapat dia rasakan dinginnya seorang Dhiya. "Umi minta maaf, sayang." Dia memujuk.
Tangisannya makin lebat. Pelukan itu menyedarkan Dhiya betapa dia merindui kasih seorang ibu. Selama ini dia hanyut dibawa badai ombak.
Sehingga menghancurkan istana bahagia orang lain. Dia yang bersalah, dia yang pentingkan diri sehingga tidak memikirkan perasaan orang lain.
Bahagia seorang wanita dicipta menggunakan air mata seorang wanita yang terluka.
Maafkan aku, Medina.
Maafkan saya, Kasyaf.
Maafkan aku, Ya Allah.
Aku berdosa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro