Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TDLM - bab 33

"Tak apa, awak teman lah pak su dekat luar." Pinggan mangkuk yang ada di atas meja segera dibawa ke sinki.

"Betul tu, Kasyaf. Tak apa, biar mak su dengan Dhiya je yang basuh pinggan ni," tambah Mak Su Nora pula.

Kasyaf senyum nipis, sebenarnya rasa serba salah pula tidak menolong di dapur, tapi sudah dua wanita itu berkata sebegitu, Kasyaf menuju ke gazebo rumah.

Kelihatan Pak Su Razlan sedang duduk mengambil angin luar.

"Pak su." Kasyaf ambil tempat di kerusi kosong berhadapan dengan lelaki yang sudah melebihi separuh abad umurnya.

"Kasyaf." Kedatangan lelaki itu disambut mesra olehnya. Walaupun jarang berbual tapi apabila berjumpa, pasti akan bertegur.

Diakui olehnya walaupun kelihatan dingin di luar, suami anak saudaranya itu agak mesra dan mudah untuk berbual bicara.

Pak su berdehem seketika. Kelat pula rasa tekak. "Kasyaf tak merokok ke?"

Bukan apa, biasanya anak-anak muda seusia Kasyaf, ada yang lebih muda darinya kalau sudah melepak seperti ini pasti akan ada rokok di tangan.

"Eh, saya tak merokok." Soalan itu dijawab diselangi dengan tawa kekok. "Dah berhenti."

Dulu sebelum mengenali Medina, dia adalah seorang perokok, tak ada lah tegar mana. Tapi memandangkan Medina ada menjadikan syarat untuk dia berhenti sebelum menerima dia sebagai teman lelaki, terus dia berhenti.

"Bagus lah kalau macam tu. Orang dalam rumah ni tak elok kalau kena asap rokok." Seakan-akan dia memberi peringatan.

Kasyaf menanti ayat itu untuk disambung.

"Arwah mama Dhiya kan dulu ada kanser, mak su pun ada. Asap rokok tak elok untuk diaorang," dia menasihat sekaligus cuba untuk memberitahu maksud tersirat.

Dia memang sudah sedia maklum bahawa Dhiya merahsiakan tentang sakitnya dari orang lain kecuali mereka.

Tapi tidak salah bukan jika dia cuba untuk memberitahu secara halus? Kalau Kasyaf ini memang bijak orangnya, pasti dapat menangkap.

Ya, memang Kasyaf tahu akan makluman itu. Cuma, "Pak su, Dhiya okay kan?" dia ada baca salah satu punca kanser adalah sejarah keluarga suatu ketika dahulu.

Duduk dibetulkan, niat untuk menjawab terhenti apabila melihat Dhiya yang sedang menuju ke arah mereka sambil membawa dulang.

"Pak su, awak ni ada air teh dengan sira pisang." Pinggan beralih tempat dan disajikan kepada mereka sebagai pencuci mulut.

Tadi di dapur sempat dia sediakan memandangkan cara untuk membuatnya terlampau senang disamping ada buah pisang yang tidak termakan.

"Terima kasih."

"Sama-sama," Dhiya membalas kepada Kasyaf dengan senyuman di bibir.

Gembira kerana malam ini dapat menjamu makan malam bersama keluarganya dengan Kasyaf, dapat merapatkan silaturrahim.

Dia suka melihat Kasyaf beramah mesra dengan mereka.

"Dhiya masuk dulu." Dhiya berlalu pergi meninggalkan mereka berdua kembali.

Teh yang masih panas disisip perlahan oleh pak su. Sira pisang yang sudah suam-suam sedikit disua masuk ke dalam mulut.

"Kamu tahu, Dhiya gembira sangat bila berkahwin dengan kamu."

Perubahan dari segi luaran dan dalaman jelas kelihatan. Dhiya yang dahulunya hidup untuk diri sendiri kini hidup untuk orang lain.

Melihatkan anak saudaranya yang semakin hari semakin ceria walaupun dia sendiri tahu semakin hari kesihatannya makin merosot, sedikit sebanyak dia gembira.

Dia juga tahu sebab mengapa mereka berkahwin dan sebagai seorang ahli keluarga untuknya, tiada apa yang dia harapkan selain dia berbahagia.

Agaknya apa yang akan berlaku jika Kasyaf tahu Dhiya sakit?

Adakah akan takut untuk kehilangan isterinya kerana suatu ketika dahulu, dia pernah berada di tempat itu.

Kasyaf hanya senyum kecil. Jika ditanya, dia sendiri tidak tahu adakah dia yang membuat Dhiya makin bahagia.

"Dulu kalau balik kerja, kalau tak disuruh makan, takkan makan. Kalau tak di check sendiri, sakit sihat pun orang tak tahu," luahnya.

Sejak babanya meninggal, begitu lah Dhiya.

"Sekarang, bila dah kahwin dengan kamu tiap-tiap hari—" Dia ketawa sekejap, "—datang rumah nak belajar memasak." Dia cerita lagi dan Kasyaf hanya mendengar.

"Selagi rasa ada yang tak kena, tiap-tiap hari lah dia masak nak bagi sempurna."

Kasyaf diam. Jika tanya adakah terharu, ya dia terharu. Tapi jika dia tanya serba salah, ya dia merasa serba salah.

Selama perkahwinan mereka, Kasyaf merasa tidak ada sesaat dia melayan Dhiya sebagai isteri yang dikasihi, tetapi hanya sekadar teman serumah.

Dia boleh nampak betapa sayang dan cintanya Dhiya kepadanya tapi hatinya menafikan semua itu.

Dia tidak boleh, dia tidak mampu, dia tidak sanggup mempunyai wanita lain selain daripada Medina dalam hatinya.

Setiap hari apa yang dia rasa terhadap Dhiya adalah kesian dan bersalah.

Kesian kerana dia ibaratkan mencipta istana pasir di tepi pantai yang akan hancur apabila dihempas oleh ombak.

Bersalah kerana dia lah ombak yang akan menghancurkan istana itu.

"Pak su tak minta banyak pun, Kasyaf." Dia bersandar dan anak matanya tepat memandang lelaki itu.

Dia tahu, Kasyaf tidak bersalah dalam hal ini. "Selagi masa masih ada, hargai Dhiya."

Dhiya sudah dianggap seperti anak sendiri. Memikirkan apa yang sedang menimpa wanita itu, hatinya juga hancur.

"Dhiya tak ada niat nak hancurkan perkahwinan kamu dengan isteri." Dhiya yang boleh dia nampak di dapur dari tempatnya dipandang seketika.

Sampai bila boleh dia melihat Dhiya membesar di depan matanya pun dia tidak tahu.

"Dia cuma nak menumpang kasih. Tak banyak, cuma sikit. Mungkin 1 daripada 100 bahagian hati kamu."

Lidahnya kelu, ibaratkan dikunci. Kasyaf hanya diam dengan pandangan yang jatuh memandang lantai sebelum beralih kepada Dhiya yang boleh dia nampak juga dari situ.

Nadhiya.


BERKERUT seribu dahi Dhiya sambil tangannya menggengam kuat perutnya yang dicengkan kesakitan seolah-olah isi perutnya dibelit dari dalam.

Peluh menitik ke pipi sedangkan dia hanya berjalan dari tingkat bawah untuk ke biliknya bagi mengambil ubat.

Nasib baik ketika ini Kasyaf sedang mandi. Kalau tidak, memang menangis kesunyian lah Dhiya menahan sakit.

Ubat-ubat yang disimpan dalam laci meja kecil di sebelah katil ditelan dengan segera lalu beberapa teguk air kosong diambil.

Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali, berharap kesakitannya akan reda.

Bunyi daun pintu bilik air dibuka dari luar dan dia nampak Kasyaf yang memakai kain pelikat dan badannya ditutup dengan tuala dipandang seketika.

"Awak nak apa-apa ke?"

"Saya terlupa ambil baju."

Dia bangun dari duduknya. "Tak apa, saya ambilkan." Almari dibuka dan duduk mencangkung mengambil t-shirt yang dilipat.

"Mana-mana boleh je kan?" mana tahu ada spesifik baju yang Kasyaf ingin pakai.

"Boleh je." Kasyaf turut mendekati almari pakaian, ingin ambil kain pelikat yang baru.

Sebenarnya tadi dia terlupa untuk mengambil pakaian untuk disalin. Tapi memikirkan Dhiya yang mungkin berada di luar dan akan tidak selesa ternampak dia hanya memakai tuala, dia sarungkan kain pelikat yang lama.

Sewaktu tangannya dihulur panjang, Dhiya tiba-tiba bangun membuatkan Kasyaf sedikit terkejut dan diam di posisinya.

Jarak antara dia dan Dhiya sekarang terlalu dekat sehingga dapat Dhiya merasai helaan nafas hangat Kasyaf di telinganya walaupun masih memakai tudung sarung.

Tangannya jatuh turun ke bawah, tidak jadi untuk mengambil kain pelikat.

Dhiya pusingkan tubuhnya lalu pandangan mereka berdua bertemu. Sukar untuk dia agak apa yang Kasyaf fikirkan sekarang kerana dia tidak mampu untuk membaca mata lelaki itu.

"Dia cuma nak menumpang kasih. Tak banyak, cuma sikit. Mungkin 1 daripada 100 bahagian hati kamu."

Kata-kata pak su bermain dalam fikiran Kasyaf. Kejam kah dia sebagai seorang suami? Selama ini adakah dia berlaku tidak adil terhadap Dhiya walaupun sudah dia jelaskan situasinya?

Sekarang ini Kasyaf hanya mampu memandang air muka Dhiya, mencari tahu adakah wanita ini bahagia selama bersuamikan dia?

Bahagiakah dengan hanya sekadar memiliki jasad namun tidak hatinya?

Tanpa sedar, Kasyaf dekatkan wajahnya dengan Dhiya. Tiada apa yang dia dengar sekarang melainkan helaan nafas masing-masing.

Semakin dekat dan semakin dekat sehingga hidung mereka tersentuh.

Dhiya pejamkan mata, berharap segalanya bukan mimpi.


PRANG!

Medina mengurut dadanya yang terkejut apabila entah bagaimana gelas di tangannya boleh jatuh menghadap lantai.

Jantungnya berdegup laju, bukan kerana kaca yang bertaburan tapi disebabkan oleh rasa tidak sedap hati.

"Waduh, Medina. Terkejut bibik." pembantu rumah yang semakin dimamah usia tiba-tiba sahaja muncul di dapur.

Dia mengambil penyodok dan juga penyapu di dapur basah dan kembali ke meja makan di mana Dina masih lagi tidak berganjak, masih cuba untuk bertenang.

"Dina ke tepi, biar bibik bersihkan." Kaca mula disapu tapi dihalang oleh tangan Medina.

"Tak apa, bik. Biar Dina yang bersihkan."

"Dina duduk saja, nanti terkena kaki Medina."

Dia sudah tidak menghalang lagi. "Terima kasih bibik." Kakinya diatur menuju ke ruang tamu yang masih lagi terang dengan lampu.

Hujung bibir digigit dan telefon yang berada di tangan digenggam kuat.

Ada apa-apa berlaku ke terhadap Kasyaf? Atau Dhiya? Atau terhadap mereka?

Kerana sekarang hatinya tidak sedap dan perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adalah mereka berdua.

Pintu sliding door yang belum dikunci ditolak. Angin malam meniup lembut wajanya.

Keluhan kecil dilepaskan. Patut atau tidak dia menelefon mereka?

Patut atau tidak? Tapi tidak mengganggu ke? Sekarang sudah makin larut malam.

Medina hiraukan perasaan itu, laju sahaja tangannya mencari nama Kasyaf untuk menghubunginya.

Agak lama dia tunggu sebelum panggilan dijawab oleh Kasyaf.

"Hello, assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Ada getar di sebalik suara Kasyaf yang boleh dia dengar.

"Kenapa call? Ada apa-apa jadi ke?"

Hujung kuku digigit, sudah menjadi tabiatnya jika dia dalam keadaan yang tidak tenang. "Tak ada apa, you okay ke? Dhiya? Semua okay?"

"Semua okay, I okay, dia okay? You okay tak?" dia kembalikan pertanyaan.

"Okay, I'm okay. Saja je call, maaf ganggu."

Masing-masing diam.

Bibir dikemam. "Tak apa lah, kalau you dengan Dhiya, I pergi dulu. Kirim salam dekat Dhiya."

Panggilan ditutup. Walaupun sudah menelefon mereka, jantungnya masing lagi laju. Seakan-akan dibadai ombak laju yang tidak ada tanda akan reda.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro