Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TDLM - bab 29

Walaupun berat, Dhiya paksa juga kelopak matanya untuk dibuka apabila telinganya menangkap bunyi barang disusun.

"Iman?"

Wanita yang sedang menyusun botol air mineral di meja tepi katil Dhiya angkat muka saling berpandangan. Niatnya tidak mahu mengganggu lena Dhiya gagal.

Bibir Dhiya menuturkan kata yang tidak berapa jelas dek kerana tekak yang kering.

"Kau nak air?"

Soalan itu mendapat anggukan lemah.

Iman tuang air mineral ke dalam cawan yang baru dibasuh tadi.

Katil Dhiya dibetulkan sedikit kemudiannya bahagian depan katil naik 45 darjah.

Tangannya membantu Dhiya untuk meneguk air yang dalam sekelip mata sahaja habis segelas. Dahaga betul.

Manakan tidak, tadi sebelum solat isyak berapa kali Dhiya muntah. Makanan yang dimasak oleh mak su hanya disentuh sedikit kerana tekak yang loya.

"Kau buat apa dekat sini?" soalnya setelah haus hilang. Iman yang mengisi kembali cawan dengan air dipandang sekilas.

"Dah habis shif ke?" dia tanya lagi.

Kerusi yang dia ambil dari katil yang kosong kerana kerusi di katil Dhiya hilang entah ke mana menjadi tempat punggungnya berlabuh. "Pukul 9 tadi dah habis."

Dhiya pandang jam tangannya yang diletakkan di meja kecil. Pukul 11.30 malam. "Kau buat apa dekat sini?"

Soalan itu mengundang keluhan kecil. Sudah terang lagi bersuluh. "Melawat kau lah. Hari ni kan kau kemo."

"Mana kau tahu?"

"Hadi kata dia nampak kau, aku call mak su tanya so dia cakap kau datang sebab rawatan kau."

Jawapan dari Iman didengarkan sahaja.

Bibir dikemam sekejap. "Aku datang sekejap je ni, sementara ada kelapangan sebab Hadi suruh ambil dia. Tapi aku sengaja datang awal."

Sekejap anak matanya memandang cincin yang tersarung di jari manis Dhiya. Rasa tidak percaya pula Dhiya sudah menjadi isteri orang.

"Dhiya."

"Ya."

Kedua-dua mereka saling bertatapan. "Nanti kalau kau buat chemo cycle ke, kau bagi tahu lah aku. Aku boleh datang tengokkan kau, temankan kau."

Mulutnya tersengih kecil. Ini sebab kenapa dia tidak suka beritahu siapa-siapa kalau dia sakit, takut menyusahkan orang.

"Tak apa lah Iman, kau tu dah lah ada anak-anak, suami lagi, kerja lagi. Ni nak temankan aku lagi."

"Tak ada menyusahkan aku pun Dhiya. Kau tu kawan aku, mesti lah aku kena tengokkan kau." Ini yang Iman rasa ingin membebel.

Dia sebagai seorang doktor tahu perasaan pesakit yang rasa terbeban tapi Iman cuma risau kalau jadi apa-apa.

"Lagipun dekat sini senang sikit berbanding kalau dekat KL, mak dengan ayah aku boleh tengok-tenggokkan anak aku."

Dhiya hanya senyum lemah. Malas mahu membalas, nanti dia juga yang mengah.

Waktu pada telefon dipandang, tinggal beberapa minit lagi sebelum janjinya untuk menjemput Hadi kerana malas mahu cerita panjang tapi dia ambil kereta Hadi pagi tadi.

Malam-malam begini susah untuk dapatkan grab, jadi alang-alang Hadi dan Dhiya di satu hospital, boleh dia melawat Dhiya sambil-sambil mengambil suaminya.

"Dhiya."

"Hmm?" rasa macam berat pula mata.

"Kau happy?"

Dahinya berkerut kecil. "Soalan apa tu?" sejak dua menjak ini, selalu sangat Iman tanya soalan itu apabila berjumpa.

Rasanya dia perlu siapkan jawapan awal-awal, jadi apabila mereka berjumpa tidak perlu lah Dhiya fikir perlu jawab apa.

Iman keluh kecil. "Ya lah, sekarang kan kau dah jadi isteri orang." Walaupun tidak lebih dari seminggu baru.

Sebut sahaja tentang perkahwinannya sudah cukup buatkan Dhiya gembira. Siapa yang tidak gembira. "Mesti lah."

Kepalanya angguk kecil. Bagus lah kalau begitu.

Ingatannya teringatkan sesuatu, "Oh ya, esok lusa aku ingat aku nak pergi hair salon. Botakkan kepala." Dia hiasi ayatnya dengan tawa kecil palsu kerana tidak mahu ianya kedengaran sedih.

Dia pandang Dhiya. Keningnya menjadi rapat. "Kenapa?"

"Rambut aku ni hah, dah makin banyak gugur. Kulit kepala pun dah makin jelas. Penat lah nak sapu tiap-tiap hari." Penat nak pujuk hati sebenarnya. 5 tahun dia simpan rambut, sekarang akan gugur kepala.

Iman hanya dengar, tidak tahu harus balas apa. "Habis tu kalau Kasyaf ada dekat rumah?"

"Aku pakai je lah tudung." Selamba sahaja dia menjawab.

"Tidur pun ke?"

"Ya."

Diam. Ikut suka hati lah.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Iman baca mesej yang dihantar oleh Hadi.

"Dhiya, aku balik dulu. Hadi dah siap shift."

Kepala sekadar mengangguk lemah. Dhiya balas pelukan Iman.

"Kalau ada apa-apa call aku, jangan nak berahsia." Suaranya sedikit mengugut. Kalau Iman tidak tahu dari mulut orang lain, memang tidak lah Dhiya ingin memberitahunya.

"Ya."

Tangan dilambai sebelum Iman meninggalkan Dhiya yang mencuba untuk lena kembali.

BERKERUT dahi Medina apabila telinganya menangkap bunyi enjin kereta di hadapan rumah. Siapa? Takkan lah Kasyaf.

Penat pulang dari kerja seterusnya menempuhi jalan sesak lebih dari satu jam belum hilang, dia paksa diri untuk bangun menuju ke pintu.

Siapa pula yang datang bertamu waktu maghrib begini.

Belum sempat pun pintu dibuka, pintu sudah terbuka dari luar. Aneh tapi tipu lah kalau Medina kata dia tidak gembira melihat Kasyaf di muka pintu.

"You buat dekat sini?" soalnya ingin tahu. Hari ini sepatutnya Kasyaf pulang ke Kuantan. Jika waktu sebegini masih di sini, pukul berapa pula sampai di sana nanti.

Mulutnya menyengih. Lupa pula ingin memberitahu kepada Medina. "I tak balik Kuantan minggu ni. Esok pagi I kena jumpa supplier, deal pasal stock semua tu."

Beg bimbit Kasyaf diambil dari tangan. "Habis tu Dhiya tahu ke?"

"Tahu."

"Habis tu minggu ni tak pergi sana lah ni?"

"Tak."

"Esok lepas meeting tu tak nak ke balik Kuantan sekejap?" dia memberi cadangan. Serba salah pula. Takkan lah baru minggu pertama Kasyaf tidak balik. Nanti apa pula Dhiya rasa ni.

Kasyaf daratkan punggungnya ke atas sofa. Angin sejuk dari kipas membuatkan dia sedikit lega. "Ahad I kena turun site."

Dia ambil tempat di sebelah suaminya. Sungguh hati tidak sedap. Kalau dia sendiri di tempat Dhiya, takkan lah tidak terasa.

Mahu ganti kembali rasa macam mustahil pula. Dhiya kerja di Kuantan, Kasyaf kerja di sini. rasanya tidak perlu sampai ambil cuti bagai. Macam keterlaluan pula.

"I dah bagi tahu Dhiya lah yang I tak balik minggu ni." Tidak beritahu pun Kasyaf tahu apa yang bermain dalam fikiran Medina.

"Dia okay tak?"

"Okay je."

Bagus lah kalau begitu. Perasaan tadi bertukar menjadi gembira kembali. Walaupun masih dalam tuntutan kerja, setidak-tidaknya dia boleh luangkan masa bersama Kasyaf lagi hujung minggu ini.

"You dah makan ke?" soal Kasyaf. Melihatkan pakaian Medina, rasanya baru sampai. Mana tahu sudah makan di luar sebelum sampai.

Kepala digelengkan tanda belum. "You lapar ke?" Alahai, penat pula rasanya ingin memasak. Dengan badan yang lenguh dan melekit pula.

Duduknya dibetulkan. "Kalau you tak nak masak, kita boleh dinner dekat luar."

Bibirnya menguntum senyuman. "Candle light dinner?"

Kasyaf juga turut senyum. "Apa-apa yang sayang I nak."

Medina meloncat kegembiraan. Tidak padan dengan umur yang sudah hampir pertengahan 30-an. "Kalau macam tu I nak mandi dengan solat sekejap. Lepas isyak kita keluar."

"Baik puan."

BADANNYA bersandar pada kerusi kayu yang diletakkan di hadapan pintu sliding door tingkat bawah. Anak matanya tidak memandang ke mana-mana, sekadar termenung.

Bosan, tiada apa yang perlu dia lakukan di rumah ini. Mahu kemas rumah, sudah memang kemas. Mahu memasak, tidak rajin untuk memasak mengisi perutnya sahaja.

Mahu melakukan kerja, seminggu sebelum berkahwin Dhiya sudah meletakkan jawatan.

Kerja sambil melakukan kemoterapi agak mustahil memandangkan dia perlu masa untuk berehat selepas rawatan.

Tapi kali ini dia terus berhenti, tidak memohon cuti tanpa gaji seperti 5 tahun lepas. Kenapa? Saja. Mana tahu masa sudah tidak banyak, boleh lah syarikat terus mencari pengganti.

Lagipun duit simpanannya sewaktu bekerja sudah lebih dari cukup untuk dia hidup beberapa tahun kalau sempat bertahan selama itu. Sebelum dia berhenti juga, syarikat ada memberikan duit pampasan memandangkan dia sudah lama berkhidmat di situ.

Duit insurans yang diterima kerana kemalangan yang meragut nyawa arwah baba juga masih ada, tidak bersentuh langsung.

Ditambah pula dengan duit nafkah yang diberikan oleh Kasyaf, jadi cukup sangat lah untuk tampung hidupnya.

Kalau tidak cukup, cari lah kerja kembali.

Dhiya mengeluh panjang apabila lamunannya mati. Sepatutnya Kasyaf pulang semalam tapi sudah diberitahu awal-awal dia sibuk.

Semalam dia ada lihat Medina memuat naik gambar mereka makan malam. Romantik sungguh! Tipu lah jika kata tidak cemburu.

Tapi apa boleh buat. Orang itu di sana, dia di sini.

Kedengaran bunyi pintu pagar di sisi rumah dibuka. Mak su berjalan ke arahnya sambil tangan membawa pinggan yang ditutup dengan daun pisang. Lauk mungkin.

"Dhiya buat apa dekat luar ni? Sekejap lagi dah nak maghrib." Dia ambil tempat di hadapan Dhiya. "Ni mak su masak ayam kurma."

"Terima kasih." Daun pisang diselak sedikit, nampak sedap. "Saja je mak su, ambil angin."

Mak Su Nora hanya mendengar. Boleh buat apa lagi di rumah ini. Daripada berkurung di dalam bilik, ada baiknya juga lah Dhiya ambil angin.

"Dhiya ingat alang-alang duduk saja dekat rumah ni, Dhiya nak tanam pokok bunga lah. Taman arwah mama pun dah tinggal semak samun je."

Di hujung bucu pagar dulu tempat arwah mama jadikan taman bunga. Tapi apabila mama tiada, tiada siapa yang menguruskannya. Baba sibuk dengan kerja.

Kepalanya dipusingkan memandang tempat yang pernah menjadi taman itu. Tinggal pasu-pasu yang pecah belum dibersihkan. Kadang-kadang ada juga Dhiya mengupah orang untuk potong rumput lamannya.

"Bagus lah Dhiya, tak ada lah Dhiya bosan dekat rumah. Petang-petang kalau mak su free, mak su datang tolong." Tak ada lah minat sangat berkebun, tapi kalau setakat tolong-tolong tu boleh lah.

"Oh ya, esok mak su tak yah masak lah ya, Dhiya buat nasi dagang."

Dahi yang sudah berkedut dikerutkan. "Bukan kelmarin Dhiya masak nasi dagang ke? Esok nak masak lagi?" beberapa hari yang lepas dia ada ajar Dhiya untuk memasak nasi dagang.

Dhiya sengih kecil. "Yang itu kan nasi keras, gulai pun rasa tawar. Esok Dhiya nak baiki lah sikit, practice make perfect. Nanti kalau Kasyaf makan, rasa masin pula macam mana."

Dia masih baru dalam memasak jadi perlu banyakkan latihan walaupun terpaksa masak lauk yang sama berkali-kali. Asalkan pada hari Kasyaf menjamu, tiada cacat cela dengan masakannya.

"Hmmm,ye lah."


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro