TDLM- bab 21
Dhiya urut sekitar betis dan buku lali untuk menghilangkan lenguh. Semakin hari, fizikal badannya makin merosot. Kerana itu, Dhiya sudah mula memakai baju kurung untuk ke tempat kerja bagi menyembunyikan badannya yang semakin kurus.
Bengkak di kaki yang sudah kecut kembang kembali. Sakit di perut tidak perlu cerita, dengan beberapa hari lagi dia akan datang bulan.
Duduk di kerusi dibetulkan apabila tulang punggungnya lenguh, mungkin kerana berada dalam posisi yang sama agak lama sehingga kusyennya mengeluarkan haba.
Dhiya berbongkok sedikit untuk membetulkan kain yang acap kali tersingkap sehingga ke betis. Ini kenapa Dhiya tidak berapa gemar memakai baju kurung bertekstil kapas.
Jari dia kembali laju menekan papan kekunci. Kurang dari satu bulan akaun syarikat akan ditutup jadi bahagian kewangan agak sibuk. Agak susah tapi jika boleh Dhiya ingin memohon cuti pada hari dia datang bulan.
Kalau datang bulan, memang perutnya akan sakit sehingga Dhiya tidak mampu untuk bangun dari katil dan berbuat apa-apa.
Tapi baru sahaja dia menyambung kerja, Dhiya teringat akan perbualan dia dan Medina beberapa hari yang lalu.
"Kau nak ke kahwin dengan Kasyaf? Berikan dia zuriat yang aku tak mampu?"
Dhiya pandang Medina dengan tidak percaya. Ya, memang Medina ada memberitahu akan hajatnya ini dua minggu lalu tapi tidak Dhiya sangka Medina akan menawarkan hal itu kepadanya.
Akal mengatakan tidak tapi hati kata ya.
Kenapa? Bukan ini kah yang Dhiya ingin selama ini? Bukan Kasyaf kah yang Dhiya tunggu selama ini? Tapi apabila peluang diberikan, kenapa perlu hati dia bergetar seperti ini?
"Medina-" Dhiya tidak tahu apa yang harus dia kata membuatkan lidahnya kelu untuk seketika.
"-mengucap Dina, istighfar."
Apa guna kalau dia terima sekalipun? Sudah jelas bahawa idea itu gila dan tidak masuk akal. Mempunyai anak bersama Kasyaf sedangkan Medina adalah satu-satunya wanita yang bertakhta di hati lelaki itu?
Pokok di luar juga tahu akan hakikat itu.
Lagipun, mengandung? Ingin sahaja Dhiya beritahu akan hakikat yang dia tidak mampu tapi dia kunci sahaja mulutnya.
"Aku tak mampu Dhiya, aku tak reti nak jaga kandungan aku? Sampai bila Kasyaf nak kena tunggu? 9 tahun Dhiya, 9 tahun aku kahwin dengan dia tapi aku masih tak dapat nak bagi dia seorang pun anak." Tubir mata yang sudah dipenuhi kolam air mata pecah.
"Dina." Dhiya ke ke katil. Kedua-dua bahu Medina dipegang. "Kau boleh mengandung lagi. Kau mampu, lebih dari mampu. Semua ini hanya dugaan dari Allah. Kau kuat, sabar."
Tangan itu ditepis. Sumpah telinganya sudah bernanah dengan kata-kata orang disekililingnya. Baik Dhiya, baik ibunya sendiri atau sesiapa sahaja.
Kuat. Sabar. Ujian. 9 tahun dia dengar, 9 tahun dia sabar dan kuatkan diri dengan ujian dari Allah. Tapi sampai bila dia perlu sabar dan kuat? Sampai dia gila dengan kehilangan anak sendiri?
Orang-orang hanya pandai berkata tapi yang sakitnya hanya Medina. Yang menangis setiap malam merindui anaknya yang belum sempat untuk lahir ke dunia adalah Medina. Bukan satu atau dua tapi lima.
Itu yang orang sekeliling kata dia perlu kuat? Sebab dia perlu kuat lah Medina lebih sanggup melihat Kasyaf bersama dengan orang lain. Kerana pada hakikatnya setiap hari dia bangun dari tidur dengan hati yang sudah hancur.
"9 tahun aku dengar orang suruh aku sabar. Kalau aku tak sabar selama ni dah lama dah aku gila, Dhiya."
Bibir Dhiya seperti dikunci. Dia hanya pandang Medina tidak berkutik, mencari ayat yang paling sesuai agar tidak lagi melukai hati Medina.
"Dina, kau dengar sini. Benda ni tak senang, tak mudah. Banyak hati yang kau kena fikir kalau kau buat semua ni, hati perempuan yang akan jadi isteri Kasyaf walau bukan aku sekalipun, hati mak ayah kau dan Kasyaf, hati Kasyaf sendiri sama ada dia setuju atau tak sebab ni melibatkan dia sendiri, dan yang paling penting hati kau." Air liur ditelan.
Nafas ditarik lebih dalam. "Kau tanya diri kau, kau sanggup bermadu? Kau sanggup tengok suami kau ada anak dengan orang lain? Kau sanggup kalau Kasyaf mencintai orang lain selain dari kau?" selama dia kenal Medina, poligami adalah perkataan yang paling Medina benci.
Dada Medina terasa senak dengan soalan-soalan itu? Sanggup kah dia?
"Tapi aku tak kuat." Sekali lagi dia menangis tapi cuba untuk ditahan.
Laju sahaja kepalanya menggeleng sebelum menarik Medina ke dalam pelukan. "No, kau kuat. Kau dah bertahan for 9 years and you'll be stronger."
Lamunan Dhiya mati apabila perbualan meja sebelah memasuki telinganya. Dia gerakkan tetikus laju-laju apabila ikon pada komputernya hilang sebelum kembali menyambung kerjanya.
SEPANJANG suaminya solat Isyak, Medina hanya membuang pandang ke arah lelaki itu. Dia solat agak lambat memandangkan baru sahaja pulang dari kerja, katanya agak sibuk kebelakangan ini.
Medina peluk tubuh walaupun angin malam agak panas, mungkin kerana cuaca tidak berapa menentu sejak dua menjak sehingga malam pun boleh terasa haba.
Beberapa hari yang lepas Medina sudah kembali ke rumah dan sudah ke tempat kerja. Boleh dikatakan hidupnya kembali normal namun banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.
'Kau sanggup bermadu? Kau sanggup tengok suami kau ada anak dengan orang lain? Kau sanggup kalau Kasyaf mencintai orang lain selain dari kau?'
Acap kali soalan yang ditanyakan oleh Dhiya dia tanyakan kepada diri sendiri. Seribu kali ditanya, seribu kali Medina tidak sanggup.
Jika suatu hari nanti Kasyaf mencintai perempuan itu lebih darinya bagaimana? Jika Kasyaf memilih untuk lebih bersama dengan perempuan itu bagaimana? Jika Kasyaf tidak mencintai dia lagi, bagaimana dengan dia?
"You?"
Terangkat bahu Medina apabila disentuh oleh Kasyaf. Tidak sedar bila Kasyaf sudah habis wirid dang datang kepadanya. Kasyaf tarik kerusi yang diletakkan di balkoni bilik mereka. "Jauh termenung."
Tangan yang bersilang pada dada dileraikan. Medina ambil tempat di kerusi kosong sebelah Kasyaf. "You."
"Hmm?"
"I ada benda nak cakap."
Kasyaf cuba baca anak mata Medina. Kebelakangan ini agak susah untuk dia baca apa yang bermain dalam fikiran isterinya. Medina lebih banyak termenung, mungkin kerana masih perlukan masa.
Kopiah putih ditanggalkan lalu diletak di atas meja di antara mereka. "Apa dia? Cakaplah." Sepertinya penting kerana tidak pernah-pernah Medina akan meminta izin seperti itu.
Tangan yang berada di peha digenggam kuat. Dia takut untuk melihat penerimaan Kasyaf dengan hajatnya.
"You?" Kasyaf panggil lagi bila Medina hanya diam.
Nafas ditarik dalam. "I izinkan you kahwin lain." Tekaknya terasa pedih dengan hanya menutur ayat itu sahaja.
Berhari-hari dia fikirkan hal ini masak-masak dan walaupun dia tidak sanggup, walaupun hatinya akan terluka, tapi Medina terpaksa. Ini mungkin jalan yang terbaik.
Terkebil-kebil mata Kasyaf pandang Medina dengan tidak percaya. "Apa you cakap ni?"
Kasyaf larikan pandangan tapi bila Medina diam, dia pandang kembali isterinya. "I tak faham."
Hujung bibir digigit. "Kahwin dengan perempuan yang mampu bagi you anak."
"Dah tu you tak mampu? Selama you tak mampu ke?"
Tangan Kasyaf dia pegang apabila lelaki itu kelihatan tidak berpuas hati. Kasyaf bukan lah seorang lelaki yang cepat melenting dan ini mungkin kali pertama Kasyaf bereaksi seperti ini.
"Sayang," Medina memujuk.
Kasyaf tarik tangannya sebelum bangun dari kerusi. "Anak tak penting untuk I, I takkan paksa you kalau you tak nak mengandung sekalipun, I tak kisah sebab apa yang penting is you, you're the only one that I want."
Sekarang boleh lah Kasyaf kata begitu, tapi apabila tua kelak?
"Kalau I kata anak tu penting untuk I?"
"Then we can try again."
"Tapi-"
"I don't want to talk about this. Again." Perkataan terakhir Kasyaf tekankan sebelum masuk ke dalam bilik. Medina tidak tahu Kasyaf ke mana tapi kelihatannya lelaki itu keluar dari belik.
Hanya keluhan panjang sahaja yang keluar dari mulutnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro