Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TDLM - bab 18

Kereta Dhiya berhenti di sebuah rumah setingkat yang berkonsepkan tradisional moden. Ini kali pertama dia datang ke sini, jadi harapnya dia tidak tersalah rumah. Tapi melihatkan banyak kereta yang diparkir di luar, Dhiya yakin ini tempatnya.

Badannya disandar pada tempat duduk. Memandu selama hampir 4 jam membuatkan badan dia agak lenguh. Dia pandang rumah yang agak besar ditambah pula dengan laman yang luas. Berkira-kira untuk keluar.

Bunga mawar kuning yang ditambah dengan baby breathe sempat dibeli sewaktu dalam perjalanan ke sini diambil. Dhiya sudah sampai, takkan mahu berpatah balik.

Usai keluar dari kereta, butang kunci ditekan lalu disimpan dalam beg tangan. Tetamu lain yang sedang menjamu selera dengan berbual kosong dan tertawa tidak menjadi perhatian Dhiya.

"Dhiya?"

Langkah kaki terhenti. Dia pandang perempuan yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Dhiya ke tu?"

Senyumannya dibalas. Dhiya mendekati wanita itu lalu sepasang tangan diraih untuk disalami. "Ya. Aunty sihat?" rasanya sudah agak lama Dhiya tidak bertemu dengan ibu Medina, Puan Suhaila. Mungkin dalam setahun lebih.

"Aunty ingat awak tak datang, Dina ingat pun macam tu." Bahu kanan Dhiya ditepuk lembut.

Leher yang tidak gatal digaru. "Ingatkan tak sempat datang." Agak kekok, mungkin kerana ada seorang lagi wanita sedang memandang mereka berdua.

"Oh ya, kenalkan Zah, Dhiya kawan baik Medina. Dulu dekat sekolah rapat macam belangkas. Dhiya, ini Puan Azizah, umi Kasyaf."

Dhiya pandang Puan Azizah. Jadi ini umi Kasyaf? "Assalamualaikum Puan." Tangan dihulur untuk bersalaman lalu disambut oleh wanita itu dengan senyuman manis.

"Ini lah Dhiya? Selalu Dina cerita dekat umi pasal Dhiya, pertama kali jumpa dengan Dhiya. Tak payah panggil puan, panggil umi je. Kawan awak yang lain pun panggil umi juga." Selalu nama Dhiya meniti di bibir menantu kesayangannya, agak cantik tapi tidak mampu untuk mengalahkan Medina.

Tidak tahu harus balas apa jadi Dhiya hanya senyum. Berharap ada yang memanggil namanya.

"Oh ya, awak masuklah. Yang lain ada dekat dalam, Hanan dengan Iman dah sampai sebelum maghrib lagi."

Setelah meminta izin pergi, Dhiya tanggalkan kasut lalu masuk ke dalam rumah itu untuk pertama kali. Cantik. Rekaan dalaman tidak terlalu mewah, mungkin kerana ingin kekalkan konsep minimal.

"Dhiya?"

Asyik melihat isi rumah itu, anak mata Dhiya beralih ke bahagian dapur terbuka. Kelihatan 3 pasang mata melihat ke arahnya tidak percaya.

Medina mendekati dia. "Kau buat dekat sini?"

"Aku tak dijemput ke?" saja dia muncungkan mulut. Dia biarkan sahaja apabila Medina pegang tangan dia. Sesekali dia mencuri pandang melihat perut Medina yang semakin membesar.

Mereka berdua berjalan mendekati yang lain. "Ni untuk kau." Sejambak bunga tadi diberikan kepada Medina.

Melihatkan saja bunga mawar kesukaan Medina dan Dhiya terus sahaja dia senyum lebar. "Duduk lah dengan diaorang kejap." Medina masuk ke dapur basah.

"Kata tak datang?" Iman isi air strawberi ke dalam gelas lalu diberikan kepada Dhiya. Hanan turut menanti jawapan.

Air diteguk untuk hilangkan dahaga. Medina kembali dari dapur dengan membawa pasu panjang jernih yang sudah diisi dengan bunga tadi. "Ada masa terluang, so aku datang."

"Cantik rumah baru kau." Puji Dhiya ikhlas. Sebelum ini Medina dan Kasyaf menyewa sebuah apartment setahunya. Mungkin kewangan suda stabil jadi mereka membeli rumah. Lagipun Medina ada bagitahu dia dinaikkan pangkat 3 bulan yang lepas.

"Kan? Dah lah dapat harga murah dengan lama luas. Rumah dah siap terbina. Nanti bila baby dah lahir, boleh lah main kejar-kejar dekat laman, tanam pokok ke?" cadang Hanan.

Medina hanya tersengih. "Murah-murah pun kitaorang beli rumah ni guna loan. Dapat murah pun sebab papa deal dengan kawan dia. Lagipun rumah ni kan jauh sikit dari bandar sesak, sebab tu murah."

Dhiya hanya angguk faham. Sedang dia asyik memandang sekitar rumah, anak matanya terhenti pada kolam. Kelihatan Kasyaf yang memakai baju melayu bersama seluar slack hitam berbual dengan suami Iman dan Hanan. Agaknya kalau dia juga bersuami, adakah mereka akan berbual sama-sama.

Lama dia pandang ke sana. Dari jauh dia hanya memerhati. Tidak banyak perubahan melainkan Kasyaf sudah memakai kaca mata. Kali terakhir dia bersua dengan Kasyaf adalah 9 tahun yang lalu ketika di Kuantan.

Ada juga dia bertembung di majlis antara mereka berempat tapi sengaja Dhiya elak. Peristiwa di mana dia cuba untuk membunuh diri lalu diselamatkan oleh Kasyaf masih segar dalam ingatan. Dan yang paling memalukan sewaktu dia peluk Kasyaf. Itu memang gila.

"Kalau lah Dhiya ada suami, mesti dia pun tengah berbual dengan suami kita."

Lamunan Dhiya mati. Dia pandang Hanan. Topik kahwin lagi.

"Kau tak nak kahwin ke? Iman ni hah, dah dua anak dah." Hanan tambah lagi.

"Tak ada jodoh." Siapa sahaja yang tidak mahu? Tapi kekurangan diri membuatkan dia tahu di mana tempat yang harus dia berdiri.

Berkerut dahi mereka mendengarkan jawapan Dhiya. "Bukan tak ada jodoh, kau yang memilih." Jawapan Dhiya disangkal Iman dan mereka hanya tertawa nipis.

Wajah sahabat-sahabatnya dipandang satu persatu. Sebak yang datang dia tahan memikirkan jika suatu hari nanti dia akan pergi. Dhiya tidak mahu memberitahu kerana dia faham masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

Masa-masa seperti ini ingin dia simpan dalam hati. Medina, Iman dan Hanan yang selalu menceriakan harinya.

"Lauk apa kau hidang? Aku seharian tak makan lagi." Topik cuba diubah walhal memang satu hari dia langsung tidak menjamah apa-apa.

"Ada ayam gulai, sate ayam dengan daging. Ayam rempah pun ada. Kau nak apa? Aku ambilkan." Medina lekas bangun tapi Dhiya halang.

"Tak apa, aku ambil sendiri."

SEDAR tidak sedar, angka pada jam sudah menghampiri pukul 11 malam. Iman sudah pulang terlebih dahulu kerana anaknya merengek. Tetamu yang lain sudah lama beredar.

"Kau nak balik bila?" pintu kereta tempat duduk belakang ditutup setelah Hanan letakkan anaknya di tempat duduk kereta khas untuk kana-kanak.

"Lepas kau balik. Lagipun mak su dah bising dekat rumah." Padah apabila keluar tanpa memberitahu. Berapa banyak panggilan dan mesej yang dia terima tapi tidak berbalas.

Medina pandang Dhiya tidak percaya. "Kau nak drive balik Kuantan?"

"Ya."

"Malam-malam macam ni?" giliran Hanan pula tanya.

Tidak kelakar tapi Dhiya tertawa kecil. "Ya, kenapa?"

"Bahaya lah Dhiya, kau dah lah seorang-seorang. Jalan sunyi, kalau ada apa-apa jadi dekat kau siapa nak tolong?" Hanan tidak setuju.

"Betul tu. Kalau kau bertolak sekarang, esok 3 pagi baru sampai tau," tambah Hanan lagi.

Sejenak dia berfikir. Ada betulnya juga. "Tak apa lah kalau macam tu, kejap lagi aku check in mana-mana hotel available."

Medina mendengus geram. "Duduk je lah sini Dhiya, rumah aku ni banyak bilik kosong."

"Tapi nanti takut Kasyaf tak-"

"Kasyaf mesti bagi."

Bukan Kasyaf yang tidak selesa, tapi dia!

"Kenapa ni?" Kasyaf yang muncul dari mana apabila nama dia disebut.

Tangan suaminya diraih. "You, kalau Dhiya stay sini semalaman boleh kan? Dia nak drive balik Kuantan tapi I risau kalau apa-apa jadi."

Detakan jantung yang laju cuba untuk Dhiya sembunyikan. Ini antara salah satu sebab mengapa dia elakkan diri dari bertemu Kasyaf. Walaupun sudah 13 tahun, hatinya masa sama seperti dulu.

Ada sedikit rasa cemburi apabila Kasyaf memeluk bahu Medina tapi cuba untuk dia endahkan. Mengucap beberapa kali dalam hati.

"Boleh, bilik ada kosong. Lagipun bahaya kalau balik malam-malam macam ni."

"Yeay! Malam ni I nak tidur dengan Dhiya tau." Muka Medina yang teruja dipandang lalu Kasyaf hanya tersenyum nipis melihat isterinya yang gembira.

"Sorry tau, aku bukan tak nak ajak kau stay dengan aku tapi straight balik Nilai rumah mertua aku."

Kepala digeleng tanda tidak mengapa. "Its okay, tak ada apa pun."

Hanan dan suami bersalaman terlebih dahulu sebelum meninggalkan Medina, Kasyaf dan Dhiya di rumah itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro