13: Libasan Sejambak Bunga
Usai mandi, dengan hanya bertuala paras betis... Aku terus bergegas mendapatkan pakaianku yang masih lagi berada di dalam bagasi. Belum ada kesempatan lagi untuk aku mengemaskan pakaian tersebut ke dalam almari.
Seluar tidur dan t-shirt lengan pendek bersaiz besar menjadi pilihanku setiap hari jika berada di rumah. Nampak seperti selekeh tetapi aku tidak peduli. Seperti biasa selepas mandi, aku akan berbaring atau tidur selama satu hingga dua jam untuk menambah kembali tenagaku yang hilang secara mendadak.
Penat, teramat penat. Degup jantungku menjadi laju kerana kepenatan yang teramat sangat. Realiti bila menghidap sindrom kepenatan kronik (chronic fatigue syndrome) atau bahasa saintifiknya, myalgicencephalomyelitis. Bagi mereka yang normal, mandi merupakan aktiviti yang boleh membuatkan badan jadi segar dan lebih bertenaga. Tetapi aku tidak. Lepas mandi, wajib baring atau tidur kerana kepenatan melampau.
Meow. Meow. Meow. Kedengaran Loki mengiau kuat dari luar bilik. Maka kubatalkan niat untuk menyarungkan pakaian lantas mempercepatkan langkahku ke arah pintu.
Pasti ada sesuatu berlaku pada kucing itu.
Meowwww. Loki mengiau panjang seperti dirinya sedang diapa-apakan.
"Loki." aku membuka pintu kamar tidurku lalu menjengah ke ruang tamu. Saat terpandang Loki digomol seseorang yang tidak aku kenali, automatik aku menjerit lalu menutup pintu kembali siap menguncinya rapat.
"I...itu bukan Dr. Noe. Bukan juga Soobin. Perompak ke?" dalam kekalutan, sempat aku berteka-teki sebelum menyambar telefon yang berada di hujung katil. Aku tidak peduli, aku harus menghubungi Dr. Noe segera.
Truut. Truut. Sambil menanti panggilanku dijawab, aku menggigit hujung kuku. Gementar dan takut merajai diri.
"Kan saya dah cakap, jan..." suara Dr. Noe kedengaran.
"Doc, a...ada perompak. Di ruang tamu sedang cekik Loki." dengan gagap, aku memberitahu.
"Perompak? Awak berada di mana sekarang?"
"Dalam bilik, doc. Sa...saya tak berani keluar."
"Kalau macam tu, jangan keluar. Stay dalam bilik. Sepuluh minit lagi saya sampai. Kalau perlu cuba hubungi po..."
Tok. Tok. Tok. Ketukan pintu membuatkan aku terperanjat besar hingga telefon di tanganku terlucut lalu jatuh mencium lantai.
"Cik, buka pintu ni." lembut suara di luar meminta aku membukakan pintu bilikku. Ah, jangan terpedaya dengan rayuan itu Laliz.
"Keluar dari rumah ini segera kalau tak saya hubungi polis!" aku mengertak.
"Okey, okey. Sebelum saya keluar... Saya mahu tanya satu soalan."
"Apa dia?" aku berjalan merapati pintu.
"Saya tak salah rumah kan? Ini rumah Noe Taehyung kan?"
Apabila nama Dr. Noe disebut, entah kenapa aku menjadi sedikit lega.
"Awak siapa?" di balik pintu aku menyoal.
"Noe Hendery, adik kepada Noe Taehyung. Awak pula siapa? Kekasih simpanan abang ke?" giliran aku pula disoal.
Kekasih simpanan? What the... Tiba-tiba pula amarahku bertandang. Automatik aku membuka pintu bilik lalu menyambar sejambak bunga ros yang berada di atas meja kecil.
"Kekasih simpanan ya? Ambil ni!" kulibas jambangan bunga di tangan seperti dirasuk semangat jahat.
******
"Sakit." jejaka berambut perang mengaduh tatkala Dr. Noe menyapu gel berubat ke lengan kanannya itu. Aku pula terkulat-kulat, menahan malu kerana sudah salah sangka.
"Tahan sikit." Dr. Noe bersuara sebelum mengerlingku.
"Saya tak akan salahkan awak. Ini semua salah Eri. Datang tak bagitahu, main menonong je masuk rumah orang." beritahu Dr. Noe kepadaku.
"Ah..." aku menunduk. Tidak sanggup pula melihat lengan Hendery calar-balar dek libasan jambangan bunga ros sebentar tadi.
"Apa-apa pun, saya minta maaf ya." aku mengangkat pandang, cuba memberanikan diri bertentang mata dengan adik Dr. Noe.
"Tak mengapalah, kak. Salah Eri juga." jejaka itu menguntum senyum. Silih berganti aku mengamati wajahnya dan Dr. Noe. Sedikit pun tiada persamaan. Wajah mereka cukup berbeza, bukan seperti adik-beradik.
"Laliz."
"Ya, doc?"
"Sekejap lagi saya akan pulang ke hospital. Jadi, hati-hati ya. Budak ni nakal sikit. Sentiasa berada di dalam bilik. Keluar bila ada keperluan sahaja." Dr. Noe menonyoh dahi Hendery.
"Apa abang ni? Ingat Eri gatal ke apa?" Hendery mencebik.
"Baik, doc." aku mengangguk patuh.
"Abang belum kenalkan pada Eri lagi siapa perempuan ni? Kekasih abang atau perempuan simpanan? Kalau Kak Yiren ta..."
"Dia isteri abang. Jadi hormat sikit bila bercakap." Dr. Noe mendengus. Kini wajahku menjadi tenungan tajamnya.
Is...isteri? Dia kenalkan aku kepada adik dia sebagai isteri?
Ah, drama tiga suku bakal bermula.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro