20; Psalm, Si Kuku Besi
Nota: Vote dan komen amatlah diperlukan. Ringan-ringankan jari anda kalau tidak mahu digigit oleh Psalm.
Terima kasih. 🙆♀️❤️
**********
Psalm ketawa besar. Sudah lama dirinya tidak mendengar perkhabaran yang menggelikan hati.
"Rhosyn, Rhosyn. Kau cuba berkomplot dengan bedebah tu untuk jatuhkan ayah kau sendiri?" lelaki itu mencapai jubah merah baldu lalu menyarungkan ke tubuhnya yang dipenuhi parut kekal. Parut-parut itu sentiasa menjadi kebanggaannya dan membuktikan bahawa dia adalah penakluk bangsa Nephilim di Zagreb.
"Ba...gaimana Tuanku?" Hayden menyoal takut-takut. Isaiah disampingnya kelihatan terhibur melihat sekawan Malpas melahap bangkai Orabas. Pengajaran untuk Orabas, bangsa yang cuba mencerobohi tanah Zagreb... Maka pengakhirannya mereka ditangkap oleh Psalm, dipancung hidup-hidup sebelum menjadi habuan Malpas.
"Aku nak kau dan yang lain-lain jangan apa-apakan mereka. Mereka ajak kita 'bermain', maka ya... Kita akan ikut." Psalm menguntum senyum buat seketika sebelum sepasang mata lelaki itu memerah.
"Baik!" jawab Hayden dan Isaiah patuh.
*******
"Ayah, sudah-sudahlah." aku menahan ayah dari menyambar sebatang rokok.
"Sebatang je." ayah memujuk.
"Haa, iyalah. Mula-mula sebatang, lepas tu habis satu kotak." aku meletakkan sepinggan biskut kering kegemaran ayah ke atas meja.
"Dengarlah bang apa kata Hee Ran tu. Abang bukannya muda lagi, paru-paru dah mula bermasalah dah." ibu menambah. Kopi panas dituang berhati-hati ke dalam cawan. Aroma kopi berpadu dengan kedinginan hujan renyai-renyai, cukup menyenangkan.
"Kamu merokok?" ayah menyoal Jimin tiba-tiba. Aku dan ibu berbalas pandang.
"Tak." sepatah Jimin menjawab. Jejaka itu kelihatan teragak-agak ketika mencapai secawan kopi. Malu tapi mahu bak orang cakap.
"Baguslah. Jangan jadi macam ayah tau. Merokok ni tak elok, terutamanya bagi lelaki muda seperti kamu. Kalau alami teratozoospermia, habislah." ujar ayah sambil mengunyah biskut kering.
Terato apa ke benda?
"Abang kalau bercakap, kalah doktor. Diri-sendiri... Tak nak cermin dulu." sindir ibu.
"Eh, ayah tak reka cerita ni. Merokok boleh menyebabkan sperma lelaki menjadi tidak normal, berkepala dua. Aih, ayah tak naklah anak ayah susah nak dapat anak atau cucu ayah yang lahir nanti tidak sempurna." silih berganti aku dan Jimin dipandang ayah.
Nampak gayanya pemikiran ayah begitu jauh ke hadapan.
"Ayah, Hee Ran belum bersedia untuk berkahwin..."
"Baik, ayah. Saya takkan sesekali merokok dan akan berikan ayah cucu yang paling comel." tiba-tiba Park Jimin mencelah.
What the?
Aku terkedu.
"Ibu tak boleh dengar ayah kamu bersembang lama-lama. Naik pening dibuatnya. Nak nasihat orang, diri-sendiri pun tak betul. Huh!" ibu mencebik lantas beredar meninggalkan kami bertiga di balkoni.
"Haa, ayah dengar tak? Nak Hee Ran ambilkan cermin?" aku berkias.
"Sini kamu!" ayah bangkit dari duduknya dan terus merangkul tubuhku. Kepalaku disekehnya.
"Ayah, lepaslah. Tak sukalah bau mulut ayah. Busuk!" sedaya upaya aku cuba meloloskan diri dari ayah. Tawa kecil Park Jimin kedengaran. Melalui ekor mataku, jejaka itu nampaknya seperti terhibur dengan tingkah kami berdua.
"Tak nak, ayah nak peluk kamu puas-puas. Bila kamu dah kahwin dengan Jimin nanti, pasti pelukan ayah akan dilupakan." jawab ayah lalu dahiku dikucupnya.
Aku perasan, sejak akhir-akhir ini perangai ayah nampak berbeza. Dirinya suka membuat lawak dan mengusik kami seisi keluarga walhal sikap ayah bukan begitu.
Biasanya, kepenatan memandu lori jarak jauh membuatkan ayah lebih suka berdiam diri dan banyak menghabiskan masanya di balkoni bersama secangkir kopi, biskut kering dan sekotak rokok apabila ayah bercuti.
"Bakal menantu ayah, sini." ayah merungkaikan pelukan di antara dirinya dan aku lalu memaut erat bahu Jimin.
"Bila ayah tiada nanti, jagakan Hee Ran baik-baik ya? Ayah ni dah tua. Bak orang cakap... Rumah kata pergi, kubur kata ke mari." tawa ayah meletus.
Jimin sekadar mengangguk mendengarkan pesanan ayah. Aku pula dipagut sebak. Aku tidak suka bila ayah ungkit tentang tua, mati atau melontarkan ayat berbaur perpisahan.
Aku tak sanggup membayangkan saat di mana suatu hari nanti aku akan kehilangan ayah.
Aku tahu, aku takkan kuat.
******
"Rhosyn."
Ralit memandang jauh melihat pohon-pohon mati di sepanjang pinggir jalan, Rhosyn dihampiri Psalm.
"Tuanku." pantas gadis itu turun dari belebas jendela lalu menunduk bagaikan patuh dengan apa yang ingin diperkatakan oleh ayahnya.
"Mateo telah mengutuskan satu amanat kepada aku sebelum dia menghembuskan nafas terakhir."
Mendengarkan nama Mateo disebut, Rhosyn sudah tahu... Pasti hal perkahwinan akan dibangkitkan lagi.
"Mateo mahu putera kesayangannya, Theodore mengahwini kau apabila malam bulan berdarah menjelma nanti dan selepas itu kau akan dibawa tinggal di Bukit Hermon. Kau dan Theodore akan sama-sama menjaga kesucian kawasan itu dari terus ditakluki bangsa lain." tambah Psalm.
"Kalau Rhosyn menolak?" Rhosyn menduga ayahnya. Sedikit senyum terjungkit di hujung bibirnya.
"Kau akan menerima nasib seperti abang kau, dipasung kepala dan dicampak hidup-hidup ke dalam sangkar dihuni ratusan Bune." Psalm mendekati Rhosyn. Rahang anaknya itu dicengkam kuat.
"Atau kau mahu jadi seperti ibu kau? Aku bunuh perempuan tak guna tu dengan aku sendiri dan jantungnya... Aku jadikan arak seribu tahun." jari-jemari lelaki itu membelai lembut rambut Rhosyn.
"Tapikan, aku ada sesuatu untuk ditawarkan kepada kau. Kalau kau sudi berkahwin dengan Theodore, aku dengan rela hati akan serahkan takhta ini kepada bedebah tu." Psalm membuat penawaran.
Rhosyn tidak dapat menafikan bahawa ayahnya bijak dan juga licik. Kini gadis itu tersepit di antara dua pilihan.
Jika dia berkahwin dengan Theodore, pasti dirinya bakal jadi isteri yang termalang dan tidak bahagia.
Jika ditolak, nyawa Rhosyn pasti direnggut ayahnya dan Yoongi kekal menjadi mangsa buruan Nephilim munafik.
"Nampaknya, aku sudah tahu apa jawapan yang ada di fikiran kau." Psalm menyeringai tajam. Ini hanyalah permulaan bagi permainan di antara mereka bertiga.
Rhosyn tidak mampu berkata apa. Beratus tahun dia menyukai Min Yoongi, tidak pernah sekali dirinya meluahkan perasaan kepada jejaka itu.
"Minta orang suruhan sediakan gaun merah yang diperbuat dari bulu angsa muda." akhirnya Rhosyn bersuara.
Demi melihatkan sekuntum senyuman dari Min Yoongi, gadis itu rela berkorban apa sahaja.
********
"Abang, adik datang." Rhosyn mendongkol hiba tatkala tangannya menyentuh tanah hitam. Terpacak sebiji batu tingginya paras paha dan terukir satu tulisan; Aydin dalam ingatan, bintang kesayangan Rhosyn.
"Adik bawa bunga kesukaan abang." beberapa kuntum bunga diletakkan ke atas pusara Aydin. Walaupun jasad abangnya tiada kerana dibaham kerakusan Bune, Rhosyn tetap membina sebuah pusara untuk Aydin sebagai tanda ingatan.
"Abang ingat lagi tak waktu dulu-dulu? Kita selalu menyelinap keluar dari istana untuk mencari bunga ni." bunga petunia berwarna biru gelap dan bertompok putih di atas pusara abangnya direnung bersama genangan air mata.
"Bunga langit malam. Itu yang abang gelarkannya sebab abang tak tahu nama asal bunga ni." Rhosyn tertawa kecil sebelum tangisannya terhambur. Dadanya terasa sesak mengingatkan kejahatan ayah sendiri. Hatinya hancur mengenangkan hidup tidak pernah merasa sekelumit bahagia.
"Bilakah semuanya akan berakhir, bang? Adik dah terlalu penat untuk hidup begini." rintih Rhosyn bertemankan hujan lebat yang mula turun membasahi bumi.
Dari kejauhan, Min Yoongi sekadar memerhati. Mahu sahaja dirinya memujuk gadis itu, namun dia harus mengelak dari terus berjumpa dengan satu-satunya puteri Psalm.
"Maafkan aku, Rhosyn." tutur Yoongi perlahan lalu menghilangkan diri.
******
"Masa ini jugalah kau teringin nak makan macam-macam." aku menolak buku nota ke tepi. Ingatkan nak ulangkaji subjek sejarah sosioekonomi Korea Selatan sampai habis malam ni, tuptuptup... Cacing di dalam perut buat hal.
Aku mengerling ke arah katil kosong.
"Waktu ni jugalah kau pulang ke Paldang." aku melepaskan satu keluhan kerana ketiadaan Park Jimin. Bukan rindu okey. Kalau dia ada, bolehlah aku suruh dia belikan snek untuk aku. Nak harapkan Song Minho, dimintanya upah tinggi berbanding dengan barangan yang dibeli. Dasar pacat sungguh!
"Aih." aku bangkit bersama kesakitan. Kebas punggung ni haa selepas tiga jam duduk di atas kerusi, ulangkaji pelajaran tanpa henti. Kalau tak kerana ada peperiksaan yang akan bermula lusa, tiada maknanya aku nak belajar setekun ini.
Dari terus membuang masa, aku menyambar dompet dan jaket nipis merah hati. Lagi cepat pergi ke kedai serbaneka, lagi cepat boleh pulang ke rumah untuk ulangkaji sambil kunyah snek kegemaran.
******
Aku memusingkan beg plastik yang mengandungi susu pisang, keropok udang, gula-gula karamel dan kek span strawberi dengan teruja sekali.
Ditambah pula langit malam dihiasi kerdipan bintang, aku menjadi senang.
"Tak elok gadis secantik awak keluar malam-malam macam ni."
Langkahku terhenti tatkala ada suara asing yang menegur. Serta-merta tubuhku kaku dan jantung mula berdegup laju. Dengan memberanikan diri, aku mencari punca suara tersebut.
Dua orang lelaki melemparkan senyuman kepadaku sebelum aku dihampiri mereka.
"Ikut kami."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro