bab 74
TERNGANGA mulut Tengku Syed Adam mendengar cerita Damia yang duduk di sofa dalam pejabatnya itu. Selepas makan tengah hari tadi, dia telah didatangi oleh Damia. Pada mulanya dia enggan berjumpa dengan wanita itu tetapi akhirnya dia bersetuju setelah Damia menyebut nama arwah Akisyah Nabilah.
"Mia tahu mesti abang ingat Mia ni sengaja mereka-reka cerita, kan? Tapi itulah kebenarannya. Khalil sendiri pernah tunjuk gambar dia dengan arwah Kisyah. Khalil pun pernah ada anak dengan arwah tapi Khalil paksa arwah gugurkan kandungan tu. Masa tu nama arwah tengah naik, jadi dia pun setuju. Lagipun kandungan arwah baru je cecah tiga minggu. Tapi semuanya berubah bila Khalil tahu arwah mula tergila-gilakan abang. Khalil tak suka perempuan yang dia dampingi suka dengan lelaki lain. Lagi-lagi orang tu adalah abang."
Cerita Damia dengan penuh bersemangat. Cuba meraih perhatian Tengku Syed Adam yang kelihatan khusyuk mendengar itu. Sesekali dia mengerling ke arah bingkai gambar besar yang tergantung megah di dinding. Gambar Tengku Syed Adam bersama Dahlia Arissa dan Tengku Syed Muiz. Melalui gambar itu, terpapar jelas kebahagiaan di wajah mereka. Serta-merta perasaan cemburu menerpa di lubuk sanubari Damia.
"Habis tu, macam mana pulak Khalil boleh bunuh arwah? Arwahkan kemalangan? Lagipun tak ada masuk kes polis pun, kan?" tanya Tengku Syed Adam mengenai kekeliruan di fikirannya. Dia masih kurang percaya dengan apa yang didengarinya itu.
"Khalil sabotaj kereta arwah. Dia ada buat sesuatu pada brek kereta arwah. Ada kes polis dan memang melalui pemeriksaan kereta arwah, disk brek tayar belakang tak ada klip yang berfungsi untuk menyokong sistem brek. Lagipun arwah memang disifatkan sebagai seorang pemandu yang suka bawak kereta laju-laju," sambung Damia lagi.
Dia memandang Tengku Syed Adam semula. Menunggu respons daripada lelaki itu. Namun Tengku Syed Adam sudah kembali seperti mula-mula tadii. Berlagak biasa. Muka teruja untuk mendengar ceritanya sudah tidak kelihatan lagi.
"Dah habis cerita?" tanya Tengku Syed Adam.
Damia mengangguk. Namun dia terkasima bila Tengku Syed Adam menunjukkan pintu bilik pejabatnya. Isyarat menyuruhnya agar beredar.
"Takkan macam tu je?" bentak Damia tidak puas hati. Dia mahu Tengku Syed Adam berterima kasih dengannya.
"Habis tu kau nak apa lagi ni?"
"Damia nak abang tahu, yang Mia ni mangsa Khalil jugak." Macam arwah Kisyah!
Tengku Syed Adam tersenyum sinis. Matanya memandang tepat wajah Damia seraya bersuara, "Orang dah tak ada, tak elok disebut-sebut lagi. Lagipun aku rasa, aku dah tak ada kaitan dengan semua ni. Sebelum aku halau kau, baik kau blah sekarang."
"Abang, Mia ni mangsa Khalil jugak tahu tak! Abang tu suami Mia. Jadi abang kena bela atas apa yang berlaku pada Mia."
"Eh, perempuan! Kau tu bercakap tak pakai otak ke? Kau tu bukan mangsa Khalil sebab kau tu sendiri yang rela buat maksiat dengann dia. Sampai ada isi dalam perut tu! Aku ni dah ceraikan kau. Baru je malam kelmarin. Takkan kau dah lupa kut. Lagipun buang masa kau je Mia, sebab aku memang dah tak minat nak ambik tahu pasal semua ni."
Damia sudah pun merengus kasar. Sakit hatinya bila rancangannya itu tidak berhasil untuk meraih perhatian Tengku Syed Adam. Dia gagal lagi!
"Kalau macam tu mesti abang berminat dengan baby ni, kan? Baby ni tak salah, bang..." pujuk Damia sambil mengusap perutnya yang sudah membesar itu.
"Kenapa aku nak berminat pasal baby yang sah-sah bukan anak aku?" marah Tengku Syed Adam.
Damia mengetap bibir geram dengan layanan Tengku Syed Adam. Dia berdiri lalu menuju ke tingkap kaca yang ada di situ.
"Abang tak kesian ke kalau baby ni tak ada ayah?" Damia bertanya dengan nada yang sayu.
Tengku Syed Adam yang sedang memeriksa e-mel tidak terus menjawab.
Damia menghampiri Tengku Syed Adam. Bahu lelaki itu cuba disentuh namun sempat ditepis.
"Keluar sekarang, Mia!" tengking Tengku Syed Adam sehingga bergema suaranya. Pasti staf yang ada di luar terkejut mendengar jeritannya itu.
"Mia akan keluar kalau abang setuju bersama semula dengan Mia. Bukan untuk Mia, tapi untuk baby ni, bang..." rayu Damia lagi. Air mata yang gugur disapu dengan hujung tudung. Mata Tengku Syed Adam tiba-tiba merah memandang Damia. Dia sudah mula hilang sabar.
"Keluar!" halau Tengku Syed Adam lagi. Kali ini lebih kuat.
Damia terus menuju ke pintu bersama esakan halus. Pintu ditutup kasar sehingga menghasilkan bunyi dentuman yang amat kuat.
Melihat bayang Damia sudah hilang, Tengku Syed Adam segera menelefon isterinya. Kedatangan Damia perlu dimaklumkan. Yang paling penting berita yang dibawa oleh Damia tadi. Berita tentang kematian Akisyah Nabilah.
PUTERI sudah pun menangis di bahu Dahlia Arissa. Syahfina yang duduk dihadapan itu juga turut disapa perasaan hiba mendengar esakan Puteri. Mereka bertiga bertemu di rumah Syahfina petang itu setelah Dahlia Arissa mendapat panggilan telefon daripada suaminya tengab hari tadi. Tengku Syed Adam menyarankan agar isterinya berjumpa dengan Puteri dan menceritakan perihal yang sebenar.
"Akak tak kira, malam ni jugak akak nak dia ceraikan akak! Apa nak jadi-jadilah!" Tiba-tiba Puteri bersuara. Dia mengangkat muka bersama air mata yang masih lebat turun itu. Syahfina menghulurkan tisu. Dahlia Arissa menggosok lembut bahu Puteri.
"Patut pun malam tadi dia bukan main baik lagi layan akak, layan anak-anak... rupa-rupanya dia sorokkan sesuatu daripada akak..." sambung Puteri bersama sendu yang masih belum berhenti.
Syahfina melangkah ke dapur. Minuman lupa dihidangkan dek terkejut dengan kedatangan Dahlia Arissa dan Puteri. Nasib baik dia cuti hari ini.
"Sabar kak, semua ni dugaan Allah," pujuk dahlia Arissa."
"Betul apa yang Lia cakap tu kak," celah Syahfina pula. Air Milo ais dihidangkan bersama kek lapis Sarawak yang diberi oleh kenalannya yang juga dari Sarawak. Berwarna-warni kek itu dihiasi piring.
"Ini bukan dugaan, tapi ini balasan."
Syahfina terkedu. Dahlia Arissa pula terus terdiam. Dua baris ayat yang terkeluar tenang daripada mulut Puteri menyentap hati mereka. Ayat yang nampak ringkas tetapi pedas. Dan punya maksud mendalam.
"Dulu akak buruk sangka dengan Lia. Akak cakap yang bukan-bukan dengan Lia. Kali ini Allah balas balik apa yang akak dah buat. Dan yang paling penting, Lia jugak yang ada di sisi akak masa akak dalam keadaan macam ni..." luah Puteri.
"Kak, jangan cakap macam tu. Semua ni ketentuan takdir..." pintas Dahlia Arissa lalu memegang tangan Puteri.
Syahfina mengangguk bersetuju dengan kata-kata Dahlia Arissa. Tetapi dia juga tidak menafikan kata-kata Puteri sebentar tadi.
"Macam manalah akak langsung tak dapat nak detect bila Khalil dengan Damia... Kalau tak, dari dulu lagi akak cari dia," kata Puteti lagi. Penuh dengan kekesalan.
Tangisannya mula kendur. Dahlia Arissa dan Syahfina hanya mendiamkan diri. Membiarkan Puteri meluahkan rasa. Membiarkan Puteri menghamburkan segala duka. Semoga beban di bahu terasa ringan walaupun hanya sekejap cuma.
KEPALANYA digeleng-geleng beberapa kali tanda tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh Damia.
"Itu semua kerja gila, Mia. Kalau Khalil tahu, mati Mia dia kerjakan!" bebel Aunty Syida apabila mendapat tahu Damia menceritakan tentang Khalil Asyraf kepada Tengku Syed Adam. Yang paling mengejutkan, lelaki itu pernah membunuh artis terkenal, iaitu Akisyah Nabilah. Sebelum ini dia langsung tidak tahu mengenai hal itu. Tidak semena-mena, meremang bulu roma Aunty Syida.
"Mia tak kisah apa nak jadi lepas ni, ma. Kalau Khalil nak bunuh Mia sekalipun, Mia tak kisah. Tapi sebelum Mia mati, Mia akan pastikan Adam jadi milik Mia..." janji Damia.
Kalau dulu dia memang ingin dapatkan Tengku Syed Adam kerana dia cinta separuh mati terhadap lelaki itu, tetapi sekarang tidak lagi. Dia ingin membalas dendam atas apa yang Tengku Syed Adam lakukan kepadanya. Dan biar Dahlia Arissa pula rasa apa yang dia rasa. Rasa diceraikan! Ya, dia akan pastikan Tengku Syed Adam menceraikan Dahlia Arissa.
"Jangan nak buat kerja gila, Mia. Mia sorang je anak mama. Mama tak nak jadi apa-apa pada Mia, tahu tak!" bentak Aunty Syida. Bukan apa, hanya Damia tempatnya bergantung. Jika terjadi apa-apa 0ada Damia, susahlah hidupnya nanti.
"Mama jangan risau. Kalau jadi apa-apa dengan Mia, semua harta Mia akan jatuh ke tangan mama dengan anak yang Mia kandung ni. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah kut untuk mama dengan baby ni," balas Damia perlahan.
Senyuman sudah terukir di dalam hati Aunty Syida. Suka mendengar kata-kata anaknya tadi. Sekarang dia tidak perlu risau kalau apa-apa terjadi ke atas Damia.
"APA yang sayang cakap ni? Abang tak faham."
Puteri tersenyum sinis. Balasan daripada Khalil Asyraf itu amat menjengkelkan hatinya.
"Tak faham atau buat-buat tak faham? Dah lah abang, Puteri dah tahu semuanya! Dan malam ni jugak Puteri nak abang lepaskan Puteri."
Tergamam Khalil Asyraf mendengar kata-kata Puteri. Selama ini Puteri sayang benar dengan keluarga mereka. Puteri sayang benar dengan dirinya. Tetapi pada malam ini, kenapa semuanya berubah? Siapa yang dah racun kepala dia ni? Hati Khalil Asyraf merengus kasar.
"Kenapa abang nak lepaskan Puteri pulak?" Khalil Asyraf mula meninggikan suara untuk menakutkan Puteri dengan harapan dapat mengubah pendirian isterinya itu. Tetapi lain pula yang terjadi bila Puteri kelihatan tersenyim mengejek.
"Sepatutnya dari dulu lagi Puteri mintak abang lepaskan Puteri. Puteri ingat lepas abang kahwin abang akan berubah. Tapi makin teruk lagi ada. Macam-macam perempuan abang usung. Tak sedar diri tu dah ada anak bini kat rumah. Dah tu dampai ke bini orang pun abang nak kebas!" tempelak Puteri berani. Nasib baik kedua-dua anak mereka sudah tidur.
Khalil Asyraf yang sedari tadi duduk di atas sofa mula mengangkat punggung. Dia melurut rambut kebelakang sambil berjalan mundar-mandir. Runsing. Gelisah.
"Tapi... tapi abang punya hak kahwin lebih daripada satu!" Khalil Asyraf cuba menegakkan benang yang sudH basah.
"Masalahnya sekarang, abang tu berkahwin ke dengan semua perempuan tu? Tak, kan? Ini bukan soal abang berkahwin lain, tapi ini soal abang simpan perempuan lain! Sampai bunting Damia tu abang kerjakan!" jerkah Puteri. Dia tidak takut kepada Khalil Asyraf. Sejak dulu lagi. Sejak mereka berkahwin.
Berdesing telinga Khalil Asyraf mendengar jerkahan Puteri.
"Jangan nak merepek, Puteri!" tempik Khalil Asyraf pula. Hatinya mula diasak perasaan takut yang teramat. Dia takut Puteri termakan dengan cerita itu. Walaupun cerita itu lagi sahih, tetapi buat masa ini dia masih belum mahu kehilangan Puteri. Dia sayangkan isterinya itu. Dia juga tidak menduga Puteri akan tahu perkara ini lebih awal, tidak seperti yang dijangkannya. Pasti ada mulut yang gatal menceritakan kepada isterinya itu tentang dirinya dengan Damia. Adakah orang itu Dahlia Arissa? Ataupun Syahfina? Atau Damia?
"It's up to you. Kalau abang tak nak ceraikan Puteri, Puteri boleh pergi Jabatan Agama Islam..."
"Tak! Abang tak akan ceraikan Puteri. Lagipun abang dah tak ada apa-apa hubungan dengan perempuan tu," bantah Khalil tanpa membenarkan puteri menghabiskan kata-katanya.
Puteri masih duduk di sofa mula mengangkat punggung. Tidak mahu berlama di situ. Keputusannya muktamad. Sudah terlampau lama dia bersabar. Sudah terlalu banyak dia memberi peluang kepada Khalil Asyraf, tetapi lelaki itu langsung tidak tahu hendak menghargai. Jadi, biarkanlah kali ini mereka membawa haluan masing-masing.
"Sayang... jangan macam ni," pujuk Khalil Asyraf lalu memaut lengan Puteri. Dan buat pertama kalinya Puteri merentap kuat tangannya dan sekali gus menolak tubuh Khalil Asyraf.
"Jangan awak nak pegang saya! Jijik tahu tak?" tempelak Puteri. Tidak diduga cara dia membahasakan diri turut berubah. Langkah terus dihalakan ke bilik sementara Khalil Asyraf sudah terkaku di situ.
Vote pls, dah nak tamat dah pun novel ni :(
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro